Jumaat, 1 Januari 2010

..malam sebelum D-Day..

..dan hari ini 31 Disember 2029 adalah hari yang saya rasa adalah hari terakhir dalam hidup saya. Saya teringat kembali hidup saya yang lepas semasa memanjat setiap anak tangga di lapangan kosong itu. Setiap anak tangga itu bagaikan setiap tahun dalam kehidupan saya, dan juga bagaikan setiap kisah dalam hidup saya. Setiap anak tangga itu tercoret kisah-kisah hidup saya. Saya teringat kembali kisah kira-kira 20 tahun dahulu. Agak kelakar pabila saya teringat kembali kisah semasa saya belajar di universiti, tentang semua kawan-kawan saya.

Melihat tubuh sasa lelaki beruniform hijau memakai beret merah di sebelah tangga itu, saya teringat kawan saya bernama Mukhlis dan Fer. Kelakar rasanya gelagat mereka berdua ini. Fer seorang kasanova yang penuh dengan sifat kejantanan. Dia 'athletic', tinggi, wajah bersih berkulit cerah, bertubuh sasa seperti lelaki beruniform itu. Tapi biasalah, tiada yang sempurna. Fer agak 'struggle' untuk lulus dalam semua peperiksaan. Dia punya ramai teman wanita yang setiap satunya itu adalah gadis paling 'hot' di uiversiti. Dia simbol kejantanan. Mukhlis pula agak berlawanan dengan Fer, dia agak 'lembut' dan selalu lepak dalam biliknya. Kerana Fer itu kuat, dia selalu buli Mukhlis yang 'lembut' itu. Memang kelakar.

Juga teringat di rumah paling buruk di tempat saya bersama penghuninya Amilia dan Jannah. Saya sedikit kasihan dengan Amilia. Bukan apa, kasihan lihat dia terpaksa bekerja keras semata-mata untuk dapat D dalam peperiksaan. Juga kasihan melihat dia terpaksa pulang ke universiti setiap tahun pada bulan 8. Nak buat macam mana, rezeki orang lain-lain. Jannah sahabatnya seorang yang comot. Berkulit gelap, hidung kemik. Suka mengelap hingus di khalayak ramai. Tapi syukur, perwatakannya bagus penuh dengan kelembutan wanita. Mungkin itu kurniaan tuhan kepadanya.

Lamunan saya terhenti ketika juruterbang membuat pengumuman.

'Selamat pagi Tun, kita akan belepas ke Tehran dalam masa 5 minit'.

Saya mengambil surat khabar dihadapan saya, terus menatap halaman belakang. Saya tahu saya pasti membaca berita tentang kawan saya di bahagian belakang.

Tersenyum lihat kejayaan Hazman menggondol dua lagi pingat emas dan seterusnya merangkul kembali gelaran Mr. Asia yang pernah dipegang Malik Nor dahulu. Sudah lama rasanya saya tidak bersembang dengan Hazman, atau lebih tepat dipanggil Mr. Muscle oleh media. Teringat juga gambar kami berdua di ruangan sukan semasa remaja dulu dengan tag 'Mr Muscle dan Mr Perfect Six Packs bakal menjadi simbol kebanggaan Malaysia'.

Hazman dahulu tinggal bersama 3 orang sahabatnya, Auni, Munzir dan Remy. Auni orang Johor. Dia seorang yang pemarah dan kurang pandai bergaul dengan orang. Saya ingat dahulu dia seperti cuba meracun kami dengan memasak kari bercampur coklat. Oh, masakan Auni memang memualkan perut. Munzir pula seorang yang pendek. Dia selalu ditertawakan oleh Amilia ketika bermain volleyball kerana Munzir ini tangannya cengkol, Amilia pula pernah menjadi Kapten pasukan volleyball kolejnya. Saya selalu ketawa melihat gelagat Amilia memerli Munzir dengan membuat gaya mengayuh basikal sambil terbaring atas court, ianya bagai memperli Munzir yang 'serve' perlahan dan bola pula jarang lepas net. Remy juga selalu menjadi bahan gurauan Amilia. Remy belajar sastera. Dia seorang yang tidak senyum sedikit. Saya selalu ke rumah mereka berempat, walaupun masakan mereka tidak sedap.

Oh di bawah juga ada berita kejayaan Mariam, atau mesra dipanggil Kak Mary oleh kami. Kak Mary berjaya bawa pulang 5 pingat emas dalam acara badminton wanita dalam Sukan Olimpik. Kak Mary juga sperti Auni pernah cuba meracun kami dengan memasak tomyam berwarna biru. Rasanya payau-payau dan saya muntah hijau hanya dengan mengambil aromanya. Itu belum menjamahnya lagi.

Dan saya menyelak ruangan tengah akhbar itu pula, terus ke bahagian 'Kesihatan'. Mahu membaca apa pula tips kesihatan dari Professor Dr. Hanafi, dan juga catatan perjalanan kembara misi menyelamat mangsa gempa bumi oleh Dr. Ihsan. Duo School of Medicine universiti kami ini diceritakan bakal memenangi hadiah nobel tahun depan kerana mencipta penawar HIV.

Itu cerita 20 tahun yang lalu. Saya teringat kembali ketika tanpa sedar saya terjumpa koleksi Futurama yang terkenal pada suatu ketika dahulu ketika saya di universiti. Saya tak minat siri itu, ceritanya tidak matang. Namun kawan-kawan saya suka menontonnya.

Dan dalam satu episod itu terdapat episod di mana Fry dan kawan-kawannya masuk ke dalam kotak dimensi lain, di mana semua perwatakan karakter dalam dimensi itu berlawanan dengan perwatakan Fry dan kawan-kawannya. Saya tertanya-tanya, adakah ada dimensi lain di dunia ini? Di mana semua sifat orang yang saya kenal berlainan dengan apa yang saya kenal dalam dunia ini?

Mungkin ada Mukhlis yang 'athletic', atau Amelia yang pandai dan mendapat semua 'A' di dalam semua peperiksaan, atau Remy yang belajar Biotech, atau Auni yang peramah dan pandai masak, juga Kak Mary yang terkenal dengan masakan tomyamnya yang serba hangat. Mesti kelakar bukan? Nur 'Atikah Huda dalam hidup saya juga mesti seorang wanita yang sangat sempurna, dan di dimensi itu juga saya rasa mesti saya seorang yang kuat tidur, bercakap banyak tapi langsung tidak buat kerja. Berlawanan dengan dunia ini, saya rasa saya di dunia itu mesti seorang yang sangat kacak.

'Selamat petang Tun, kita akan tiba di Tehran dalam masa 2 jam'. Suara juruterbang saya yang berbunyi seperti dari walkie talkie itu mengejutkan saya.

Ini adalah post saya yang terakhir pada malam ini. Syukur pemimpin OIC memberi sokongan pada saya. Anda akan mengenang malam ini sebagai malam sebelum D-Day. Setibanya saya di Tehran nanti, saya akan bertemu dengan para pemimpin OIC. Dan besok, bermulalah serangan tentera kita di bawah arahan saya. Kita akan menyerang Amerika.



Ini adalah karya sastera semata-mata. Tiada kaitan dengan yang hidup atau yang sudah mati, ataupun yang mati atau yang sudah hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan