Rabu, 25 November 2015

..bayangan..

..dan berturutan warnanya cantik, saya kira salah satu perkara tercantik di dunia.

Namun saya sedar, warna pelangi yang tujuh itu; merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo, ungu hanyalah di dalam kepala saya.

Pelangi hanyalah biasan cahaya matahari apabila menerjah titsan titisan hujan. Setiap titik hujan membiaskan dan mempantulkan kembali sedikit cahaya matahari, yang apabila banyak terjadinya resonans sehingga terang mampu dilihat mata kita.

Pelangi hanyalah serakahan cahaya putih matahari. 

Setiap bintang mengeluarkan gelombang elektromagnetnya yang tersendiri. Dan bergantung kepada saiz bintang yang menentukan jenis tindak balas nuklear di dalam terasnya, sesetengah spektrum gelombang ini lebih kuat dari yang lain.

Sesetengah bintang mengeluarkan radiasi dalam gelombang x-ray yang paling kuat, sesetengahnya pula mengeluarkan gelombang inframerah, dan sesetengahnya mengeluarkan gelombang ultraungu. 

Dan bintang kita, matahari, sama seperti bintang lain yakni mengeluarkan semua gelombang elektromagnet,  mengeluarkan satu jalur gelombang yang paling kuat di antara 380 nm hinga 780 nm terkuat.

Dan jalur inilah yang kita panggil sebagai cahaya nampak.

Mungkin kebetulan, jalur gelombang terkuat yang dikeluarkan oleh bintang kita adalah satu-satunya kawasan jalur gelombang yang deria kita boleh tafsir.

Kawasan jalur gelombang yang juga kuat dikeluarkan matahari namun tidak boleh dilihat oleh mata kita adalah ultraungu yang lagi kuat dari ungu, dan inframerah yang lagi lemah dari merah. Mengapa? Saya fikir kerana sebaik sahaja gelombang ini sampai di bumi, ianya diserap oleh lapisan atas atmosfera bumi dan sedikit sahaja yang sampai kepada kita. Mungkin sebab ini mata kita tidak pernah berevolusi untuk melihat warna ini.

Apabila gelombang elektromagnet di dalam jalur cahaya tampak singgah di iris mata kita, masuk ke retina mata, ianya akan menyebabkan tindak balas kimia di dalam protein opsin (dan rhodopsin) di dalam mata kita menyebabkan ianya berubah bentuk. Perubahan bentuk ini menyebabkan berlakunya perubahan cas di dalam sel di retina, dan menghasilkan denyutan elektrik lemah yang dihantar ke otak.

Jika hanya sedikit jalur dari gelombang ini yang sampai, contohnya jalur berdekatan 780 nm yang sampai, hanya sejenis opsin yang akan bertindak balas dan menghantar isyarat elektrik. Isyarat elektrik yang sampai ke otak dari sejenis protein ini akan ditafsirkan oleh otak sebagai hanya satu jenis jalur. Di dalam kes ini, sebagai merah. Otak akan mencipta satu imej di dalam pemikiran kita di mana satu jenis jalur gelombang ini di istilahkan sebagai warna merah yang kita nampak.

Begitu juga jalur di kawasan 380 nm yang di ilusikan sebagai warna biru, 530 nm yang dicipta oleh otak sebagai hijau.

Jika semua gelombang di dalam cahaya tampak yang bercampur aduk ini singgah ke mata, semua jenis opsin akan bertindak balas dan menghantar isyarat ke otak. Otak yang menerima semua isyarat ini akan bertindak balas secara elektrik, dan mencipta satu warna baharu; putih.

Menyebabkan kita nampak cahaya matahari sebagai putih.

Putih yang menandakan semua opsin aktif.

Putih, yang merupakan satu ilusi ciptaan otak apabila semua spectrum singgah di mata kita.

Spektrum elektromagnet di dalam satu jalur yang tiada beza jenisnya, yang beterusan frekuensi dan panjang gelombangnya, yang berterusan nilai tenaganya.

Spektrum elektromagnet berterusan yang tiada beza jenisnya.

Dijeniskan oleh otak yang mencipta warna untuk kita lihat.

Dan itulah helah sang hujan.

Yang memecahkan gelombang bercampur aduk ini kepada satu spektrum yang teratur dan berterusan yang mengaktifkan protein yang spesifik di dalam retina mata kita secara berterusan.

Lalu terjadilah pelangi.

Itulah helahnya.

Sang hujan yang mengatur cahaya, sang otak yang mencipta warna, untuk si manusia kagumi, betapa cantiknya sang pelangi.

*****

Lewat ini saya kerap melihat pelangi semasa pergi dan pulang kerja.

Semasa pergi kerja di waktu pagi, matahari naik di belakang saya, Jika hujan, akan terlihatlah pelangi di hadapan saya, seolah-olah saya mengejar pelangi itu semasa pergi kerja.

Semasa pulang kerja di waktu petang, matahari di belakang saya dan pelangi di hadapan saya seolah-olah saya mengejar pelangi petang semasa pulang.

Saya kira inilah nikmat musim hujan, kita akan kerap dapat melihat pelangi.

Saya kagumi kecantikan pelangi, sambil mengejarnya saban hari.

Namun saya sedari, pelangi ini, sebenarnya, hanyalah sebuah ilusi.