Isnin, 19 Julai 2010

..bingkai..

..dan kemudiannya saya merasakan suara di luar tingkap itu membisik semakin kuat. Ianya membisik-bisik semakin jelas sehingga suara yang asalnya sayup-sayup itu sudah mula kedengaran butirannya.

Dan suara itu sebenarnya memanggil nama saya.

"Oun, Oun, Oun"

Saya mula berpeluh cemas dan takut. Masakan tidak, mendengar suara wanita di luar tingkap bangunan tingkat dua itu bukanlah sesuatu yang boleh dikira normal. Apatah lagi bunyi suara itu datang dari pohon besar disebelah bangunan itu. Saya dapat menangkap jelas arah suara itu. Ya, ia memang dari celahan pohon itu.

Saya mula berpeluh ketakutan, dan nafas mula sesak.

Lalu muka saya yang dipekup semenjak dari tadi di atas meja itu saya angkat perlahan-lahan.

Dan kemudian saya menoleh perlahan-lahan ke luar tingkap kelas, memandang tepat ke arah pohon itu.

Dan dari jarak 5 meter pohon itulah, di antara dua cabang besarnya dan dalam kepekatan malam itu saya dapat melihat tubuh seorang wanita berpakaian kain serba buruk berwarna putih, betenggek dengan rambut mengerbang sambil merenung tepat ke arah saya dengan matanya yang berwarna putih terbeliak.

"Oouunn"

Jantung saya tersentap.

Benda itu terapung menghampiri tingkap.

Lalu saya cuba membuka mulut saya.

Perlahan-lahan saya mengucapkan,

"Bismillahirrahmanirrahim"

Saya dapati lidah saya menjadi sangat susah utnuk digerakkan dan bibir saya menjadi ketat. Nafas saya tiba-tiba sukar ditarik dan saya menjadi seakan-akan lemas. Dan pabila saya mahu menyambung ayat seterusnya,

"Allahulailahailla huwal haiyulqhaiyyum, laa...."

Nafas saya tersekat di kerongkong dan suara saya tiba-tida tidak terkeluar lagi.

Saya menjadi lemas dan ketakutan apabila memandang benda itu terbang dekat ke arah tingkap sambil memandang saya. Benda itu memanggil-manggil nama saya,

"Oun, Oun"

Saya memejamkan mata. Namun seakan-akan dipaksa untuk dibuka, mata saya terbuka semula.

Dalam sekelip mata, kini benda itu sudah berada di dalam kelas dihadapan saya. Jaraknya dengan saya hanyalah kira-kira satu jengkal dihadapan muka saya.

Saya ketakutan dan menjerit.

Dan ketika itulah suara saya tiba-tiba terkeluar, "Arrghh!"

Saya tersentak. Saya membuka mata saya. Saya mengangkat muka saya yang dipekup di atas meja baru sahaja tadi. Saya cemas dan memandang di sekeliling. Benda itu tiada. Saya masih berada di dalam kelas 4 Delima.

Oh, mimpi rupanya.

Patutlah, benda itu memanggil saya 'Oun', nama panggilan saya di rumah. Di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu, tiada siapa pun yang memanggil saya dengan nama itu. Hanya keluarga saya dan rakan-rakan sekolah rendah saya yang memanggil saya dengan nama itu.

Saya selalu tertidur di dalam kelas semasa waktu prep malam. Bukan kerana kerja tak ada, tapi terasa malas melakukannya.

Meja saya di tepi tingkap. Tempat wajib saya. Dan di sebelah tingkap itu di antara kelas 4 Delima dan 4 Nilam (mungkin), ada pokok besar. Sebenarnya tak lah berapa besar sangat, namun kadang-kadang jika diperhatikan pada waktu malam, ianya boleh kata menimbulkan sedikit perasaan aneh.

Saya memandang ke laur tingkap, ke arah pohon itu.

Tiada apa-apa di situ.

Saya mengalihkan pandangan ke koperasi. Tiba-tiba saya menyedari, di bawah pokok sebelah kelas saya itu tadi, ada sesuatu yang bergantung. Saya memandang benda itu. Ianya adalah sejalur kain putih yang tergantung dari atas pokok.

Tiba-tiba hati saya cemas. Mata saya melirik mengkit kain itu ke atas pokok.

Dan ketika itulah saya nampak, benda yang berpakaian kain serba buruk berwarna putih. rambutnya mengirai mengerbang dan kusut. Ianya bertinggung di batang pokok itu dengan tangannya memegang batang di atasnya seperti bergayut. Dengan matanya terbeliak berwarna putih, ianya memanggil saya,

"Hazrul, Hazrul, Hazrul....."

Saya menjerit sekuat hati,

"Aarrgghh!"

Saya tersentak!

Muka saya masih lagi dipekup di atas meja.

Ianya,

adalah sebuah mimpi?

Saya takut untuk mengangkat muka saya. Adakah kali ini ianya masih juga mimpi?

Tiba-tiba saya terdengar suara di telinga saya,

"Hazrul, Hazrul"

Saya memejam mata ketakutan, dan mulut ini terkumat-kamit membaca ayat qursi.

"Hazrul, mangkit oi. Orang dah balik prep ni. Jom balik makan kat dewan makan"

Ianya adalah suara yang saya kenal. Suara 'dalam' Thariq. Saya mengangkat kepala dan memerhatikan sekeliling. Kali ini bukan mimpi. Saya bangun mengikuti mereka pulang prep malam. Sebelum beredar saya melihat pokok itu. Tiada apa-apa di situ. Tiada apa-apa di situ.

*****

Saya teringat kisah ini, selepas menonton filem Inception semalam. Filem yang mengisahkan tentang cubaan mempengaruhi atau mencuri maklumat seseorang di dalam mimpi. Walaupun agak mengarut, ianya agak menarik untuk ditonton.

Jika anda peminat filem The Matrix berserta falsafahnya, cerita ini memang menarik untuk ditonton. Dan juga bagi yang sedang mendalami ilmu TOK, selain filem The Matrix, filem ini saya cadangkan untuk anda.

Pabila menonton filem ini, ianya mengingatkan sya tentang pelbagai perkara. Contohnya penggunaan Totem. Di dalam filem ini, totem adalah sesuatu objek yang kita simpan yang mana tiada orang lain tahu tentang perihalnya. Jadi apabila kita memasuki mimpi, dan kita mahu mengetahui sama ada mimpi itu adalah mimpi atau realiti, kita akan merujuk kepada Totem itu. Seperti dalam mimpi saya di atas, walaupun tidak menyedari pada mulanya, akhirnya saya menyedari bahawa di sekolah menengah tiada yang memanggil saya dengan nama 'Oun'. Maka itu sebenarnya boleh memberitahu saya bahawa itu sebenarnya sebuah mimpi.

Dan seterusnya penggunaan konsem 'drem in a dream', atau dalam bahasa Melayunya 'mimpi berbingkai'. Jika anda hanya di dalam satu mimpi, mungkin mudah untuk menyedari jika anda terjaga bahawa segalanya adalah mimpi. Namun bagaimana pula jika anda bermimpi, dan di dalam mimpi itu anda bermimpi. Dan apabila anda terjaga dan menyangka bahawa segalanya adalah realiti, tapi sesungguhnya ianya masih lagi ilusi.

Seperti dalam The Matrix,

"How do you know what is real?"

Ianya berkait rapat dengan konsep yang pada mulanya dipelopori Rene Descartes tentang konsep sesuatu yang nyata.

'If real is define as something that you can touch, that you can hear or feel, than real is simply the impulse from your neuron to your brain'

Sekian,

Bagaimana anda tahu bahawa sebenarnya sekarang anda bukan sedang bermimpi?


Selasa, 6 Julai 2010

..pohon tua..

..dan mungkin juga, beza antara tumbuhan dan haiwan itu sungguh banyak sekali meski kita tak pernah menyedari atau terfikir tentangnya.

Walau kedua-duanya benda hidup dan kedua-duanya adalah organisma multisel, namun seni reka antara kedua-duanya amat jauh sekali.

Tak dapat disangkalkan bahawasanya kedua-duanya diatur oleh blok-blok yang sama bernama sel, dan hanya dengan kehadiran kloropas di dalam sel tumbuhan itu sudah membawa sejuta perbezaan kepada binaan yang terhasil.

Tumbuhan itu ibaratnya bangunan-bangunan yang dibina. Ianya berdinding-dinding keras dari batu bata tebal, di bina untuk menerjah angkasa. Lohong kosong pengangkutan di dalam tumbuhan itu ibaratnya seperti ruang-ruang dalam bangunan dengan segala paip-paip air dan aircond itu sama juga dengan floem dan xoelem dalam tumbuhan.

Kenderaan pula, sama seperti bangunan binaan manusia, adalah sesuatu yang dibina untuk bergerak. Ianya sama seperti haiwan, dibina untuk bergerak ke sini ke sana. Dan segala yang bergerak itu mestilah ringan, mestilah kecil dan mestilah mampu membakar tenaga dengan lebih pantas dari segala yang statik.

Maka kita lihat haiwan itu jika dibandingkan dengan kayu-kayu di hutan bersaiz kecil. dan haiwan itu pula membakar tenaga lebih cepat dari tumbuhan untuk pergerakan. Jika dibandingkan dengan kayu balak yang beratnya bertan-tan itu, haiwan hanyalah sesuatu yang ringan.

Mungkin, ada juga sesekali haiwan seperti paus dan gajah yang besar saiznya. Namun nampakkah kita kepada kurangnya kelincahan mereka berbanding haiwan kecil? Kurangnya lincah mereka itu sehingga mungkin menjadi sama perlahannya dengan pokok-pokok balak yang besar itu.

Dan seperti juga sesuatu yang perlahan itu dan tidak bergerak itu, segala yang terkumpul bisa dikeluarkan dari dalamnya dengan lebih cepat. Seperti udara-udara tengik dalam sebuah bangunan itu dikeluarkan melalui sistem penyaman udara dengan jayanya sekali.

Namun bagi kereta, yang bergerak laju dan membakar lebih banyak petrol, maka ekzos yang besar dimestikan agar kesemua asap itu dapat dikeluarkan, atau asap-asap itu akan meracun kembali enjin kereta itu.

Namun hakikatnya bagi sesuatu yang bergerak seperti haiwan, segalanya tak dapat dibesarkan dengan sesuka hati seperti sebuah ekzos. Ataupun jika hendak dibesarkan memakan masa berjuta tahun dalam evolusi.

Dan sementara itu pula tumbuhan-tumbuhan di hutan perlahan-lahan mengosongkan racun-racun dan toksin yang dihasilkannya melalui daun-daun yang gugur, dan juga perlahan-lahan menghantarnya ke luar dari badannya. Maka secara perlahan-lahan tetapi lebih menyeluruh dan jitu itu, tumbuhan berjaya mengeluarkan segala toksin dari badan mereka.

Tetapi kurang berjaya bagi haiwan.

Maka toksin-toksin itu berkumpul dan meracuni haiwan perlahan-lahan.

Dan akhirnya, hanya seekor sahaja haiwan yang kita tahu hidup mencapai lebih dari 100 ke 200 tahun yakni kura-kura.

Manakala tumbuhan balak itu rata-rata sudah diketahui hidup beratus-ratus tahun hinggakan ada yang berumur ribuan tahun.

Dan tanda-tanda penuaan itu pada grafnya adalah pabila kita melihat tubuh-tubuh menjadi semakin kecil dan rendah.

Tinggi di passport (3 tahun dahulu) = 170cm
Tinggi setahun dahulu = 169cm
Tinggi sekarang = 168cm

Menyedari bahawa anda sedang menua membuatkan anda merasakan apa yang digilai remaja-remaja dan manusia sekarang sudah tidak menarik lagi.