Isnin, 23 November 2009

..eksperimen 2..

..dan saya tertanya-tanya, kenapa perlu abah potong rambut saya, baru 3 bulan lepas abah potong. Setelah diamati maka saya membuat kesimpulan, bahawasanya seperti pokok taugeh yang saya selalu tanam (dengan menyemai kacang hijau atas kapas basah), rambut juga sebenarnya tumbuh!

Maka saya juga tertanya-tanya, jikalau rambut itu tumbuh, dan rambut itu seperti bulu, adakah berus lukisan juga tumbuh?

Abang punya berus lukisan yang bermacam-macam saiz, untuk mata pelajaran seninya di sekolah. Saya sering memerhatikan berus lukisan itu dan bermain-main dengannya, dan terdetik di hati saya adakah berus itu juga tumbuh seperti rambut.

Maka saya pun mencapai gunting, dan potong berus lukisan itu, bermula dengan berus paling kecil.

Selang seminggu, saya tengok kembali.

"Masih tidak tumbuh"

Maka saya memotong berus yang lain, iaitu bersaiz sederhana dan besar.

Dan malamnya saya mendengar abang dimarahi emak, tentang berus lukisan yang dipotong, dan abang menjawab tidak tahu, lalu emak mengatakan abang tidak pandai jaga dan biarkannya dipoting oleh kawan-kawannya yang mungkin dengki.

Dan sebulan pun berlalu.

Saya melihat dalam rak buku abang. Dan tepat pada sangkaan saya, bulu pada berus lukisan itu juga sama,

"Ianya tumbuh semula!"

Maka hati menjadi semakin ghairah. Lalu gunting dicapai sekali lagi, dan kali ini semua berus lukisan itu ditarah sehingga rapat!

Dan besok paginya semasa abang hendak ke sekolah, (dan saya hendak ke tadika mungkin), saya dengar abang saya mengomel-ngomel dan emak pula dengan suara yang marah.

Malam itu saya membuka rak buku abang, untuk melihat hasil eksperimen saya. Tetapi kali ini saya terkejut.

"Asalnya ada 3 berus, tapi sekarang kenapa pula 6? Dan siapa pula memotong berus yang lagi 3? Saya hanya potong 3 berus bulan lepas, dan memotongnya semula semalam"

Hati makin tertanya-tanya. Namun dibiarkan sahaja.

Akan tetapi persoalan 'tumbuh-menumbuh' itu tidak berakhir di situ sahaja.

Teori baru diformulakan, "Kalau macam itu, kalau kita potong tangan kita, bolehkah tangan kita tumbuh semula?". "Bagaimana pula dengan kaki?". Dan teori radikal dicapai oleh budak tadika "Kalau kita potong tangan orang, dan pabila dia mendapat anak kita potong tangan anaknya, dan pabila anaknya melahirkan cucunya dan kita potong tangan cucunya, maka lambat laun keturunnya akan dilahirkan tanpa tangan"

Dan persoalan itu melewar-lewar di kepala. Sehinggalah satu hari di rumah tok.

Abang dan kakak iza (Izza Hazirah) sedang membuat kerja sekolah. Saya dan adik bermain-main dengan kucing yang ada di rumah tok. Saya capai gunting abang. Persoalan itu semakin berat rasanya di tanggung oleh kepala dengan desakan untuk membuat eksperimen memuncak-muncak, namun pada siapa?

Lalu ketika adik tiada, saya mengangkat anak kucing yang ada di rumah tok.

"Kalau rambut boleh tumbuh semula, adakah tangan juga boleh? Dan adakah telinga juga boleh?"

Dan,

Zaaass

Saya meletakkan gunting ke dalam kotak pensel abang, dan saya letakkan anak kucing di luar rumah. Harap tiada siapa yang nampak eksperimen saya, biarlah saya sahaja.

Namun langit tak selalu cerah, hati tak mesti bebas gundah. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

"Sapa potong telinga kucing ni?"

Suara abah yang hingar sungguh bunyinya. Saya jadi takut.

"Matilah aku"

Lalu saya menjawab, "Wan kot"

Jaring dituding pada adik saya, kerana dia paling bongsu, dia paling kecil, dan umurnya hanya 4, tiada siapa yang akan marah padanya. Dan tepat pada sangkaan saya, tiada siapa yang marahkannya.

Dan setiap minggu ketika pulang ke kampung saya mencari anak kucing itu, hanya untuk menemui kekecewaan bahawasanya tak semua benda yang dipotong boleh tumbuh.

Tak semua yang patah boleh tumbuh, dan tak semua yang hilang boleh berganti.

Dari kiri: Izza Hazirah, Hazwan Adzfar, Faizul Adzfar, Hazrul Adzfar

Ahad, 22 November 2009

..eksperimen 1..

..dan ketika itu dalam usia yang bertatih ke 6 tahun, saya mungkin seorang yang belum dikira mampu memikirkan segala-galanya. Mungkin pada ketika ini saya amat bersetuju dengan apa yang telah diajar dalam I&P, bahawasanya kanak-kanak adalah ibarat saintis kecil yang sentiasa tertanya, namun semuanya telah dan saya masih ingat lalui semasa saya kecil.

Pada kira-kira usia itu, obsesi saya adalah perkara yang sama dengan minat manusia pada masa sekarang: tenaga. Namun tenaga yang saya ketahui pada masa itu hanyalah satu, itulah api, yang saya kira juga adalah minat semua kanak-kanak semasa kecil tak kira zaman apa.

Saya menyalakan api menggunakan guruih (mancis dalam bahasa Kedah), satu persatu sambil mata terpaku akan butir-butir hitam itu mengeluarkan cahaya dan haba. Oh tidak lupa juga cahaya dan haba itu boleh berpindah dari bahan ke bahan! Dan bahan yang terkenal pada masa itu sudah tentulah kertas surat khabar.

Lalu kepala kaku sambil mata terpaku melihat kertas surat khabar terbakar dimamah api.

Oh tidak cukup dengan itu, saya ambil pula pembancuh simen (yang seperti rupa alat memasak burger) dan diletakkan atas nyalaan api, meniru rupa perkakas yang saya biasa lihat digunakan emak di suatu 'compartment' rumah bernama dapur. Ayah saya seorang geologis, dan juga seorang Civil Engineer, maka bahan-bahan untuk membuat rumah biasanya bertaburan di rumah saya. (Jadi jangan cuba gebang dan tipu saya pasal geologi dan civil, saya dibesarkan dengan cerita tanah dan batuan serta bangunan)

"Eh kenapa kertas terbakar, benda ini tidak?"

Lalu tangan ini gatal menyentuh besi pembancuh simen ini, seraya disertai lolongan yang membasahkan sel muka dengan darah yang mengalir rapi dalam kapilari.

Muka merah padam kerana sakit, mujur hanya sedikit.

Lalu hati terdetik kerana benda itu panas.

"Oh jikalau aku panas aku mandi"

Benar.

"Kerana air itu boleh sejukkan benda, mungkin"

Saya memikirkan perkara apa yang boleh dicuba untuk menguji kebenaran pernyataan itu. Setelah berfikir panjang dan sambil melihat sekeliling, lalu tangan ini mengambil semula pembancuh simen dan dilayurkan atas api.

Hampir cukup panas rasanya pembancuh simen itu, saya mengangkat dan membawanya masuk ke dalam rumah, mencari-cari kalau ada bahan yang berair untuk dicuba supaya pembancuh simen itu boleh sejuk.

Namun agak hampa kerana tidak dijumpa di ruang tamu. Berarak pula ke dapur.

"Oh sinki terlalu tinggi pula" Hati mengomel tidak berpuas hati kepada usia diri ini yang baru berangka 5 atau 6.

Lalu perarakan dengan pembancuh simen itu masih dihadapan diteruskan ke destinasi terakhir: tandas.

Ada bunyi air, mungkin abang sedang mandi.

Rupanya adalah betul, dan kebiasaan kami adalah mandi tidak bertutup pintu, atau tutup tidak berkunci, kerana dilarang keras oleh emak dan abah. Larangan itu juga berpunca dari salah saya yang suka main air. Obses saya bukan hanya pada api, malah juga air, sama seperti manusia lain.

Lalu tangan menolak pintu, dan nampaklah abang Pejon (Faizul Adzfar) sedang mandi. Dia tidak menghadap pintu, maka dia tidak sedar akan kehadiran adiknya ini.

Dan dari belakang saya nampak badannya yang sedang disimbahi air itu.

"Air, penyejuk"

Lalu tangan ini pun menekap pembancuh simen ke belakang abang Pejon, yang juga hadir dengan lolongan tajam, dan sudah tentulah wap (atau asap kulit terbakar?).



Abang Pejon (kiri) bersama kanak-kanak yang mak saya mengasuh.

..kisah phosphorus dan nitrat..

Dipetik dari salah satu nota Facebook saya bertarikh 8 Mac 2009

...dan saya selalu sahaja bermain-main di sekeliling rumah nenek itu, tidak kira seorang ataupun bersama adik atau kakak saya. Biasanya selepas pulang dari tadika saya dan adik akan mula menjelajah seluruh pelusuk belukar di depan stor, kemudian kami menjengah pula kedalam bekas kolam ikan ayah saya, dilihat-lihat jikalau ada yang boleh dijadikan barang untuk dimainkan.

Sepetang dihabiskan melewar di ruang penuh semak samun beserta pohon-pohon rambutan yang saya kira lebih tua dari saya. Kemudian hampir sahaja senja, ayah akan datang mengambil kami pulang, dan rumah tok menjadi teka-teki semula untuk dijelajahi keesokan harinya.

Pada suatu hari saya mendapat mercun papan yang saya sudah lupa sama ada diperoleh dari sepupu ataupun abang. Abang kadang-kadang memperolehnya dari rakannya, atau sepupu entah mana didapatinya, mungkin dari kedai dihujung kampung.

Mercun itu menjadi bahan mainan kami yang baru, bermacam-macam projek dijana dengan idea-idea serupa bernas di benak pemikiran budak 6 tahun dan 4 tahun. Mula-mula dimasukkan di dalam tin susu kosong dan diletup untuk mendengar gemanya, kemudian dimasukkan ke dalam buah kelapa muda yang gugur, atau buah kelapa tua ditepi stor yang disimpan tok untuk dibuat benih. Masing-masing mahu melihat kesan letupan mercun papan itu, kuat atau tdak, bunyinya terpekung atau bak halilintar, atau hanya saja-saja untuk mencari idea baru.

Saya juga pernah membelah mercun itu untuk melihat apa yg ada didalamnya, walaupun dibangkang adik kerana ianya sama sekali merosakkan mercun itu. Kami juga kadang-kadang kecewa apabila mercun itu masuk angin, istilah yang digunakan orang kampung untuk mercun yang gagal mengaum ketika dicucuh api, dan juga yang bunyi seperti kentut kecil, mungkin kerana phosphorus dan sulfurnya sudah teroksida, atau nitrat didalamnya belum cukup padat, atau juga ferumnya sudah berkarat.

Sedang asyik saya leka mengeksperimen dengan mercun-mercun itu, tiba-tiba adik saya lari kerana terdapat seekor ayam betina bersama anaknya.

Bagi yang jarang mencium udara kampung, ayam betina bersama anak-anak adalah suatu yang mesti dihindari, kerana selembut-lembut ayam itu dan sepenakutnya ia lari jika dikejar kita akan berubah utara selatan jika ianya bersama anaknya. Secara automatik ayam betina yang menjaga anaknya akan berubah ke 'protective mode', dengan kepaknya dikebar besar untuk anak-anaknya bersembunyi, serta bulu tengkuknya mengerbang hingga ayam itu serupa belon yang ditiup padat dengan udara, dan sekarang tugasnya hanya satu, menyabung sesiapa yang datang dekat! Kakak saya pernah luka-luka dikaki dek dipatuk ayam betina yang berang entah tiba-tiba.

Akan tetapi pada hari itu, bagai satu kekuatan baru yang saya dapat dari bermain mercun, saya tiba-tiba menjadi bersemangat untuk mencuba sesuatu yang baru, menganggu ibu ayam itu. Mungkin kerana anak-anak ayam yang comel itu mendorong saya untuk mengejar mereka, atau saja-saja untuk suka, saya mula merancang bersama adik pada hari itu, untuk mengelirukan ibu ayam itu dan menangkap anaknya.

Adik saya berdiri dihadapan ibu ayam itu, saya dibelakangnya. Ibu ayam itu menjadi pening untuk mengadap siapa, bulu tengkuknya dikembang kearah saya, kemudian kearah adik saya, seperti tidak tentu arah, kemudian kami mula mengejar anaknya. Apabila ibunya mengejar, saya lari dan adik saya mengejar anaknya, pabila ibunya sedar anaknya dikejar, ibunya akan mengejar adik saya pula, diulang-ulang. Ibu ayam itu pula kemudian seperti sudah hilang arah dan anak-anaknya yang mengejar ibunya mula berkeceramuk dan bercempera ke arah lain. Sampai satu ketika, tangan saya hampir sahaja menyentuh seekor anak ayam.

Saya terus mengejar, akan tetapi ibu ayam itu sedar akan gelagat saya, lalu ia mula beralih arah dan mula hendak menyabung. Saya terkejut, dan mula melarikan diri mengelak ayam betina itu, dan pada masa itulah ianya berlaku. Anak ayam yang saya kejar tadi itu hilang dari pandangan mata, dan saya mula memacu mata saya kehadapan untuk lari, dan pada masa itulah anak ayam yang sedang ketakutan itu juga lari lintang pukang ke celahan kaki saya, kebawah kaki, dan semasa saya cuba mengambil langkah seterusnya, kaki saya secara tanpa sedar berada di atas anak ayam itu, dan sayapun ter...


. . .

Rasa tidak sedap hati menjengah kepala, tentang benda lembut sebentar tadi yang berada dibawah tapak kaki. Adakah ianya ular? Atau hanya tanah liat? Atau.. Saya menoleh kebelakangan , dan semasa mata saya meliar mencari itulah pandangan terpaku pada suatu bebola berbulu kuning diatas tanah.

Saya kaget, bebulu kuning diatas tanah itu bukanlah sesuatu yang nampak seperti elok untuk dipandang. Saya berhenti, ayam betina itu sudah pergi entah kemana. Adik saya juga terpaku, kami mendekati bebola bulu kuning itu, dan masing-masing mula menjadi pucat melihat akan paruh kecil serta kaki di benda itu, serta percikan merah yang keluar dari paruh itu. Masing-masing cuak, takut, gelisah, tok mesti marah jika tok tahu anak ayamnya mati oleh kerja kami berdua, masing-masing terdiam sejenak.

Tiba-tiba terdengar laungan dari jendela rumah tok “Oun, wan, mai masuk minum milo mai!” . Suasana menjadi lebih kaget, tok memanggil kami masuk kedalam, apa perlu dibuat dengan anak ayam itu? Jika kami masuk kedalam sudah tentu tok akan perasan tentang benda tidak bernyawa itu dan mesti mengesyaki kamilah yang membuat bahananya.

Lalu saya mula berfikir, apa yang mahu dibuat dengan bangkai itu? Jika mahu dibuang disemak mesti lambat laun tok akan jumpa semasa menebas, jika mahu ditanam tiada cangkul atau jika ada pun mesti tok akan curiga, lalu semasa kaget inilah kepala saya tiba-tiba disampuk sesuatu, “Sat tok, nak main mercun ni bagi habis sat!”

Segalanya disiapkan, satu disisipkan dibawah bangkai itu, dan satu diterojoh masuk kedalam paruh kecil bangkai itu.

Api dihidupkan, dicucuh yang dibawah bangkai itu dahulu kemudian baru pada sumbu yang terkeluar sikit dari paruhnya. PANGGGGG!!! Letupan pertama, cecair merah terpercik sedikit bersama asap serta bebulu kuning seraya sesuatu yang kecik terpelanting ke atas, dan seterusnya PAAANNNGGGG!!!

Benda yang diudara itu hilang dari pandangan, ditelan asap-asap yang kelam. Proses penghapusan bukti berjaya, tiada kesan bangkai hatta setitik darahpun tertinggal, tiada kubur perlu digali, bukti kekejaman saya dan adik hilang, dan kami masuk ke rumah tok dengan senang hati untuk minum milo, minuman kegemaran semasa kecil.


. . .


Setelah lebih sepuluh tahun peristiwa itu berlaku, saya masih ingat dengan jelas rupa anak ayam itu. Pada suatu hari saya terbaca di akhbar sebuah berita hangat, berita tentang serpihan mayat dijumpai diatas puncak sebuah bukit akibat dibom. Saya tersenyum, sambil hati kecil saya berkata “Ingatkan aku sorang ja yang bwat camni, rupanya ada lagi”


Stor (asalnya adalah sebuah jelapang)



Bubu? Lukah? Entah saya pun tak tahu.


Adik saya Hazwan Adzfar di atas busut bawah pohon buluh


Pokok rambutan yang saya selalu panjat semasa kecil

Tok di depan rumah.


Buah kelapa untuk dibuat benih.

Selasa, 17 November 2009

..je t'aime..

..dan antara filem yang menggabung 'short stories' yang saya pernah tengok, short story ini yang saya rasakan paling menyayat hati dengan gayanya yang tersendiri.

Ironi



"By acting like a man in love,
he became a man in love again"

Dipetik dari filem Paris Je T'aime, atau Paris I Love You

Isnin, 16 November 2009

..kisah padi..

AMARAN: PENULISAN INI MENGANDUNGI PERKARA YANG DIKIRA BERAT

..dan Seman pun berkata, "taukeh, masuk buku ya, ujung bulan nanti tolak duit padi". Semua barang dicatat dalam buku log, tetapi bukan buku 555, hutang beribu tidak wajar diletak dalam buku 555, hutang 4 angka tidak muat dalam buku 3 angka itu.

Seman angkut barang itu; racun rumpai, baja. Baja dacing hanya sampai sikit, dia bukan orang kuat kerajaan. Maka dia perlu cari baja yang lebih kualiti. Benih padi nanti sampai. Motorsikal Honda petaknya hampir bergoyang-goyang dek terlampau berat oleh botol racun dan baja itu.

Bulan ini hutang lagi, sama seperti bulan lepas, tahun lepas, semenjak hari itu. Hari di mana dia tak kenal apa itu makna 'korporat', makna apa itu 'saham', apatah lagi 'GLC'. Mahu naik tergeliat lidah utaranya untuk sebut perkataan itu, apatah lagi otaknya yang naik berbelirat pabila memikirkannya.

Beberapa tahun sebelum itu, ada orang datang beritahu projek kerajaan. Nama Bernas. Seman mula tidak percaya. Namun kemudian dia tersenyum gembira. Bernas beli padi orang kampung, bayar harga tinggi. Timbang cukup, bayar cukup. Buat beberapa tahun Seman mampu senyum. Duit Bernas itu Seman guna beli kubota, tidak lagi guna kerbau. Masa itu masa dia muda.

Tapi itu cerita dulu. Kemudian dia dengar khabar Bernas hanya mahu beli beras gred tinggi. Berasnya tidak cukup satu gred lagi. "Apa kejadahnya? Bukannya beras aku tak boleh dimakan?"

Dia terpaksa naik belanja untuk bela padinya. Semuanya makan duit. Kadang-kadang ribut datang, ketam datang, siput datang. Semua bencana. Maka hidup Seman mula susah dek kerana malapetaka yang saling tumpah bagai dirinya itu lesung batu untuk ditumbuk-tumbuk antan bernama derita itu. Dia mula hutang.

Kemudian hidupnya mula sengsara.

Dia tak tahu hendak buat macam mana.

Dia fikir hendak buat pinjaman Bank Pertanian, macam masa dia beli kubota dulu.

"Tapi Abang Lang bank pun dah tak macam dulu. Dulu tak mintak cagaran, sekarang minta cagaran. Kalau kita cagar tanah padi tu, kalau tak habis bayar hilang la tanah kita tu. Nak bagi anak bini makan apa Abang Lang? Tanah? Selut? Ketam batu?" Adiknya Tajudin bersuara lantang, tidak setuju.

Seman termenung seketika. Dia pandang luar tingkap. Lihat tanah sekangkang keranya yang dia dapat dari orang tuanya, sesudah dibahagikan kepada 14 bahagian, besar itulah yang dia dapat. Mujur ayahnya rajin memugar tanah dahulu, mujurlah.

Lalu datang Mat Paya, dua pupunya yang tinggal di hujung kampung. Dia saudara Seman. Dia darah daging Seman. Mat Paya datang bawa berita gembira. Datang dengan kereta Datsun, gagah nampak dia berkereta. "Aku juga boleh beli kereta" Seman berkata. "Dah tentulah Abang Lang" Mat Paya sahut beriya.

Mat Paya cakap jangan risau. Dia kenal taukeh kilang padi dekat mukim seberang tu. Dah ramai orang buat macam ini.

"Abang Lang jangan risau. Besok kita pergi. Tak payah cagar apa-apa. Boleh pinjam terus, dengan syarat padi Abang Lang kena jual dekat dia lah."

Seman melirik senyum lebar. Kalaulah cuping telinganya tiada, dah tentu senyumnya bertemu di belakang kepala.

Dalam kepalanya fikir, segala masalahnya sudah berakhir. Dapat pinjaman, boleh beli baja, recun, benih, tak perlu cagar apa-apa. Sudah tidak perlu pada Bank Pertanian. Syaratnya hanya perlu jual padi pada taukeh. "Oh itu sudah cukup bagus! Kalau Bernas tak mahu ambil padiku, pergi mampus lah dengan dia!" Dia mencemuh angkuh.

Besoknya dia dapat duit, dengan ditemani Mat Paya yang kuat bertengking dengan taukeh itu kerana meminta duit lebih untuk dua pupunya itu. Mat Paya bagai wira padanya, bagai gaduh besar dia lihat Mat Paya bermati-matian memperjuangkannya. "Oh inilah gunanya saudara" ucapnya syukur dalam kepala.

Alang-alang sudah di kilang itu, dengan segala racun rumpai dan baja juga di jual, dia terus sahaja beli di kilang itu. Sekali lagi Mat Paya menyabung tenaga, meminta harga barang itu dikurangkan. Dia betul-betul gembira bukan kepalang hari itu. Dia gembira.

Seman guna duit beli baju sekolah baru untuk anak. Juga beli buku latihan untuk anaknya ambil peperiksaan. Mujur buku teks dapat pinjaman, sekarang yang tinggal hanya buku latihan yang pihak sekolah wajibkan. Mahal, tetapi Seman akur, dia tak mahu anaknya hidup derita sepertinya.

Seman cadangkan pada Tajudin untuk jumpa taukeh itu juga. Dia ingin bawa Tajudin sendiri pergi jumpa taukeh, dia yakin mampu perjuangkan adiknya sepertimana Mat Paya berbakti padanya. Dia pergi dengan Tajudin ke kilang itu naik motosikal honda petaknya yang berasap-asap kepul putih dan hitam, sama seperti hatinya dahulu, tapi itu dahulu. Mungkinkah?

Sampai di kilang dia lihat kereta Datsun sudah ada di situ. "Oh Mat Paya sudah ada di sini. Maka kerja jadi mudah"

Mat Paya keluar dar pejabat taukeh sambil memasukkan dompet ke dalam seluar. Dia bagai terkejut beruk lihat mereka berdua di situ. Tak tahu kenapa dia menggelabah, tapi dia berpura-pura sapa Seman dan Tajudin. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, dia tersenyum. Padanya mereka rezeki, pada Seman dan Tajudin, Mat Paya penyelamat yang di nanti.

Genap 5 bulan, Mat Paya datang lagi. Kali ini dengan tawaran sewa lori dan mesin padi untuk tuai dan angkut padi Seman ke kilang. "Taukeh bagi, harga boleh dirunding". Bagai dinanti-nanti, Mat Paya memang saudara sejati!

Dia lihat mata penimbang itu. Kira-kira 50 tan. "Mungkin hasil tahun ini tidak menjadi". Getus hatinya. dia gembira, syukur, sekurang-kurangnya dia dapat pinjaman dan dapat jual padi. Walaupun tahun ini kurang 5 tan dari tahun lepas-lepas, dia tetap syukur. Dia perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang dia dapat, itu ajaran datuk nenek moyangnya, tidak boleh dibahas.

Dia lihat Mat Paya sedang bertekak dengan taukeh, tentang harga padi. Naik gerun dia dengar harga yang Mat Paya mintak dari taukeh, tak pernah dia jual padi semahal itu. Mat Paya memang saudara sejati. Dia terfikir-fikir mahu jodohkan anak perempuannya yang sedang sekolah menengah dengan anak lelaki Mat Paya yang kerja kilang di pekan. Sopan santun budak itu dia lihat. Rajin sungguh dia bekerja hingga pulang ke rumah waktu embun jantan mula menguak jernih di daun-daun pucuk jamu. Rajin sungguh.

Dia dapat duit. Sebagai tanda terima kasih dia bagi RM100 pada Mat Paya. Duit yang dia dapat dia bayar semula taukeh. Ada baki lagi RM2000. Sudah cukup banyak berbanding tiada apa-apa. Dia bersyukur lagi. Malam itu Seman beli buah epal, riuh rumahnya dengan suara anak-anaknya gembira. Seman juga gembira, Seman gembira.

Seman bahagi duit itu; untuk belanja, dan juga untuk modal padi musim berikutnya.

Seman bajak bendang, Seman semai benih, Seman tabur baja, Seman juga meracun rumpai petaknya. Semua Seman buat.

Namun sampai tengah musim duitnya habis. Dia pun jumpa Mat Paya, dan jumpa taukeh, dan pinjam lagi.

Habis tuai, Seman dapat duit. Tapi kali ini susut sedikit, hanya RM1500. Tak mengapa, fikir Seman, dia perlu bersyukur.

Sampai tengah musim berikutnya Seman pinjam lagi. Dan lagi, dan lagi. Selepas kira-kira 3 tahun, Seman perlu pinjam awal musim. Dia berasa malu untuk berjumpa dengan Mat Paya untuk minta tolong dengannya. Siapalah dia. Mat Paya sudah pakai kereta Proton Wira sekarang, dia masih lagi dengan Honda petaknya. Dia terpaksa tebal muka walau untuk berjumpa saudaranya.

Syukur Mat Paya ada untuk membantunya tadi.

Seman letak barang-barangnya ke tanah. Anak daranya sampai tepat sekali dengannya dengan menaiki van biru, seperti biasa.

"Sudah boleh menikah anak ku ini", fikirnya.

Nanti kalau ada orang masuk meminang, dia akan pinjam duit untuk buat belanja kahwin, pada taukeh. Mesti tumbang seekor lembu. Harap Mat Paya membantunya.

Sabtu, 14 November 2009

..kisah bangau..

..dan bangau itu pun terbang beribu-ribu kilometer ke selatan, mahu melarikan diri dari cuaca sejuk kutub utara. Dia perlu cepat, dia perlu ligat, kerana barang lambat seminggu pun akan membiarkan badannya dibaham angin sejuk itu, dan sejuknya itu akan mengejangkan ototnya.

Dia perlu cepat, jadi sukar untuknya berhenti rehat untuk makan, kerana di angin tiada R&R yang jual makan, di angin semuanya perlu di cari di darat, dan di cari itu makna perlu di kais; kaisnya pagi berjaya, kenyanglah dia pagi itu, kaisnya petang hampa, maka bergerutlah perutnya semalaman.

Maka dia singgah di paya, kerana cuacanya panas sedikit, tapi terlalu panas untuknya bertelur dan hidup, bulunya bulu putih, paruhnya paruh mancung, tak seperti burung 'local' yang koko dan berparuh penyek.

Maka tibanya di paya itu, badannya sudahpun kurus kerana sudah berharian tidak makan. Maka diseluknya paruh ke dalam air, cuba-cuba mencari akan ikan.

Tapi hampa, kerana tidak berpengalaman mungkin, tidak bisa dia hidup di kawasan semak seperti itu. Oh tidak, bukan dia yang cetek pemikiran, ikan ini yang bodoh tak mahu timbul untuk dimakannya!

Maka ikan berlari-lari seraya nampak bangau.

"Bodohlah aku mahu masuk ke perutmu, sama bodoh dengan kau yang bulu putih berdiri celah rumput koko, tak belajar penyamaran langsung!"

Desir hati ikan, sambil ketawa, tentulah.

Lalu ikan mengejek bangau dari jauh. "Bodohlah akan kamu kerana di sini rumputnya panjang-panjang, mana mungkin aku timbul!"

Bangau bengang. "Bengap punya ikan"

"Aduh! Aduh! Sakitnya perutku!"

Suara dari jauh kedengaran. "Inilah akibatnya tidak makan makanan aku, inilah akibatnya makan makanan orang". Kerbau merintih. Perutnya sakit. Dalam kepalanya berfikir ini mesti kerja nasi mentah yang dia jumpa di sebelah reban ayam. Malasnya kerbau untuk berjalan sedikit ke tepi paya untuk makan rumput, dikekahnya nasi yang dia jumpa dekat dengan rumah tuannya, malasnya kerbau.

Nasi mentah ketawa terkekeh. Nasibnya baik, fikirnya. "Ambik kau, dulu kepung aku, sekarang dah jadi sekam!" Nasi mentah ketawa, fikirnya manusia tidak akan apa-apakannya, manusia hanya mahu kulit beras untuk dibuat sekam dan dibakar, dan dibuat baja. Tapi dia tidak tahu selamatnya dia kerana mentah, sudahlah bodoh, dirasakan nasibnya itu senantiasa baik pula.

Lalu kayu api berteriak "Apa yang kau sukakan sangat?" Bengang. Dia menyambung "Selamatnya kau sebab aku!"

Nasi berang.

"Eh apa kau tahu kayu, kau tu dah la dilonggok orang, mahu dibakar pula!"

Malam itu masa nasi ditanak, menangis-nangis dia (yang nama asalnya beras). Tak mahu direbus hidup-hidup. Kayu pula meratap-ratap, tambah pula dilihatnya abu dan arang ketawa padanya. "Aku tak mahu jadi hitam". Oh kayu, macam la kau itu putih sangat. Bangau hanya sengih. "Amatur"

Namun selamatnya mereka berdua kerana hujan. Air sedang bersuka ria pabila dipanggil turun. "Bodohnya, siapa yang ganggu daku dikala aku tinggi di puncak?" Fikirnya air dia akan sentiasa tinggi dari orang, dia sentiasa lebih dari orang. Oh air yang tidak matang, kalaupun kau turun jadi air longkang, lambat laun akan disejat balik jadi awan. Itupun kalau kau mahu berusaha timbul ke permukaan air, itupun kalau kau sedar.

Air turun, jadi hujan, sambil marah. Dalam marahnya dia langgar kayu api, dalam marahnya sambil mencari. "Siapa bahalul yang menarik ku turun dari awan?"

Lalu dijumpanya katak. "Oi bodoh!, kenapa panggil aku? Aku tidak hutang apa-apa padamu"

Katak dengan cemasnya 'Tolong daku, tolong daku"

"Apa yang kau mahu? Aku tidak bisa menolongmu, bukannya bawa apa-apa faedah padaku. Kau hodoh, lembik, eeuu geli"

"Tolong daku, tolong daku, ular mahu makan aku!"

"Aaah apa aku peduli, bukan masalah aku!"

Ngggaaaapppp!!!

. . .

Bllluuuurrrrppppp!

"Hmmm, sudahlah untuk harini, tak boleh tamak, lepas ini puasa, tiga hari pula keluar cari makanan. Biarpun katak itu hodoh, bergerutu, lendir, tidak sesedap ikan mahu nasi, atau serangup rumput yang aku tahu bukan makanan aku, aku terima nasibku, aku terima katak itu makanan aku. "Alhamdulillah" Ular beredar, sambil tersenyum perli.

. . .

Dan bangau terbang semula, hampa.

"Panjang punya cerita, cakap sikit punya banyak, last2 aku lapar jugak"

Khamis, 12 November 2009

..merdekakah kita?..

Episod 14

..dan saya masih lagi mendengar suara2 mereka berkata begitu, walau bagai hendak naik radang cochlea ini diasak oleh ayat-ayat itu, ianya masih lagi berupaya meradangkan hati saya secara bahasanya.

Saya juga kadang-kadang berkata begitu, dan begitu kuat juga pernah menyokong teori-teori itu. Walau sekarang juga saya sedar banyak yang mengucap begitu, baik orang yang berada di bawah sedang bekerja bertungkus lumus mengais tanah mencari barang sebutir nasi, atau yang agak senang dapat menyewa rumah dan bekerja di kilang, mahupun yang di tengah dengan kereta dan rumah ansuran mereka, atau juga sedikit kelompok di atas yang memakai t-shirt polo yg dimasuk kemas dalam seluar bertali pinggang 'Lacoste'.

Semua masih berkata begitu, masih percaya begitu, kasihan, kepada diri saya juga.

Suara-suara begitu masih berkata, memang ini perangai bangsa mereka, bangsa kita, bangsa saya. Pemalas, kuat mengumpat, tikam belakang, dengki, buruk perangai, sombong, dan segala macam tahi yang biasa diucap oleh bangsa lain kepada bangsa lain. Namun ini, kepada diri sendiri.

Namun jauh di dalam hati saya, jika dilapah segala pemikiran dan racun-racun yang disuntik dalam minda saya oleh kata-kata begitu sejak kecil, akan terselak segala kesedaran yang saya baru sedar.

'seperti katak di bawah tempurung'

Itulah saya kira diri saya ini jadinya semasa saya berada di Malaysia. Penuh dengan idea-idea rakus tentang buruknya bangsa saya semasa di sana, disuap lagi dengan bukti-bukti sahih dan nyata di depan mata kepala, saya pernah percaya. Kemudian disogok pula oleh rujukan kepada kaum lain, saya makin diduga. Dibesarkan dalam komuniti yang percaya semua itu, dan melalui semua ini, saya yakin bahawa semuanya benar, pernah yakin.

Namun, saya kiranya saya sedar sekarang. Setelah keluar dari tempurung beribu negarakan Kuala Lumpur itu, saya mula melihat apa yang ditohmah kepada bangsa saya itu, sebenarnya sama sahaja dengan bangsa lain.

Tiada beza, tiada yang amat berbeda, hanya kerana kita percaya, hanya kerana kita melihatnya di depan mata, namun yang buruknya itu tampak di bangsa, walhal saya sedar sekarang ianya adalah hal dunia.

400 tahun kita dijajah sudah, perlu kita berfikir sekarang, merdekakah kita?

..bersambung..

Selasa, 10 November 2009

..kisah bintang 1..

..dan seraya mata memandang ke luar tingkap pada satu malam kira-kira bulan Disember tahun 2008, saya terpegun dengan langit yang dihadap malam itu. Tidak pernah disangka, bahawa selama 3 bulan saya berada di Leeds dan tidur di tepi tingkap (pot pilihan sejak sekolah, katil betul2 sebelah tingkap), saya tidak pernah sedar yang saya tidur di bawah buruj Biduk.

Buruj Biduk, yang saya sering mencari-cari di kala langit mula membenamkan matahari di ufuk habis, dan awan pula malu untuk merangkak, meninggalkan langit itu kosong, penuh hanya dengan bintang.

Namun tika di Malaysia sukar benar mencari biduk, dan saya kira belum pernah saya melihatnya di sana. Hanya satu permata yg bisa membuat mata saya berkilau, dengan magnitud -1.46 (matahari= -26.74, bulan = -12.74), Sirius yang berumahkan Canis Major menjadi carian di kala menatap langit.

Sirius bintang tercerah, hampir keliru kadang-kadang jika Musytari atau Zuhal berarak di belakang awan kabur dekat dengan Sirius, hanya warna pada mata kasar menjadi pembeza.

Dan di utara pada Biduk, terdapatnya Ursa Minor, rumah kepada Polaris.

Dan pada malam ini, tika saya mendongak ke langit, tepat 45 darjah ke utara, di sana saya melihatnya. Paksi kepada cahaya malam. Jika anda punya kamera SLR, dan memasang kelajuan 'shutter' untuk buka selama 5 atau 6 jam, anda akan lihat semua bintang berputar di sekeliling satu paksi, satu pusat, yang dicari manusia berdekad, malah berabad, dan tidak jauh juga jika dikatakan bermilenia, sebagai panduan pelayaran, panduan utara, bintang Polaris.

2 bintang, 2 ciri, punya keistimewaan tersendiri. Satu di utara, satu di khatulistiwa. Di utara sentiasa di cari, di khatulistiwa memang dikagumi. Sirius yang tercerah, Polaris yang penunjuk arah. Sirius yang dikagumi manusia, Polaris yang dicari pelayar.

Sama seperti manusia. Ada yang ingin menjadi tehebat, yang menonjol bakat, yang mahu punya peminat. Namun ada pula mahu berbakti, mahu memberi, mahu mengasihani. Antara dua tiada yang salah, semuanya betul.

Mana satu kita tidak kisah, walaupun ramai yang mengejar Sirius, mahu menjadi yang tercerah, yang terhebat. Jangan risau, jika anda tidak mampu, tanamkan Polaris di dalam hati, menjadi yang dicari orang di kala susah.

Jika anda tidak dapat menjadi Sirius, jadilah Polaris.

If u can't be a Sirius, be a Polaris

..bukan noktah..

..dan pada malam ini ketika jariku digigit-gigit oleh suhu berangka tunggal, sementara kepalaku dimamah pula oleh buku Grays Anatomy, dan hatiku diratah-ratah oleh gulana peperiksaan, aku tahu, bahawa aku perlu bercerita, tentang kisah, yang masih belum sudah, yang belum kaku, kisah itu..