Selasa, 26 April 2011

..goncangan!..

..dan di situ, berkali-kali juga konsep yang sama ditekankan. Ayat yang keramat itu meskipun hanya di ucap sekali, namun maksudnya diulang seiring diberi penekanan istimewa berdasarkan fungsinya dalam mata pelajaran itu.

Akan tetapi, konsep itu saya sedari sebenarnya tidak asing bagi saya.

Entah bila saya tidak sedari ianya bermula, namun sejak saya sedari bermulanya di sekolah rendah, konsep itu perlahan-lahan meresap ke dalam jiwa saya.

Saya semakin rajin bertanya ayah saya tentang perihal dunia-dunia, perihal bintang, perihal apa yang berlaku di televisyen, perihal apa sahaja yang saya tidak tahu.

'A child is like a scientist'.

Mungkin itu kata-kata ahli akademik barat untuk menerangkan kelakuan seorang kanak-kanak sebaya saya yang suka bertanya dan membuat eksperimen.

Namun masa kecil saya yang dihabiskan dengan membuat eksperimen dan bukannya bermain seperti kanak-kanak lain membuatkan saya sedikit sebanyak ingat bahawa ianya telah lama berlaku kepada saya.

Saya masih ingat membuka buku sains PMR abang semasa saya di darjah 4 kerana ingin lebih mengetahui tentang fotosintesis yang hanya diterangkan sebaris di dalam buku sains UPSR.

Dan seterusnya.

Dan seterusnya.

Sehinggalah ayat itu didendangkan di dalam matapelajaran Theory of Knowledge, satau mata pelajaran falsafah tentang cara berfikir yang diajar semasa saya di Kolej MARA Banting.

'Cogito ergo sum'.

Kata-kata Rene Descartes, seorang ahli falsafah Perancis yang bermaksud 'I think, therefore I am'.

'I think, therefore I am', 'Saya berfikir, maka saya?'.

'Cogito ergo sum' digunakan sebagai asas kepada ilmu pengetahuan dari sudut barat, dan mungkin juga sudut moden. Bagaimana kita mengetahui tentang sesuatu perkara itu benar?

Dengan berfikir.

Bagaimana kita mahu menerima perkara yang diceritakan orang itu adalah benar?

Dengan berfikir.

Hidup kita tanpa kita sedari adalah penuh dengan pencarian kepada kebenaran. Mengapa kita ke sekolah, ke universiti? Untuk belajar. Mengapa kita belajar? Kerana ingin mengetahui. Mengapa kita ingin mengetahui? Kerana dengan ilmu itu orang tak akan bisa menyembunyikan kita dari kebenaran, dan kita akan dapat hidup tenang kerana kita tahu kita tidak ditipu.

Namun juga mungkin sesetengah yang suka berjenaka, mengapa kita ke sekolah dan belajar, kerana di hantar ibu bapa. Kenapa ibu bapa kita berbuat begitu? Kenapa juga kita berbuat begitu kepada anak kita nanti di masa hadapan? Kerana kita, seperti ibu bapa kita tidak mahu kita ditipu di masa hadapan dan supaya kita hidup dengan mengetahu kebenaran.

Hidup ini, tanpa kita sedari sebenarnya penuh dengan perjuangan mencari kebenaran.

Dan tanpa kita sedari, apabila kita mendengar orang berkata sesuatu, pertembungan kompleks terjadi di dalam otak kita untuk menerima atau menolaknya. Kita, pengalaman kita dari hidup berpuluh tahun, ilmu yang telah kita pelajari, dan tanpa kita sedari emosi kita, dengan bengisnya akan bertarung dengan informasi baru yang mahu masuk ke dalam minda kita.

Jika seorang rakan kita si Abu datang memberitahu bahawa nasi ayam kedai Pak Leman sudah naik harga 20 sen, tanpa kita sedari minda kita akan bertarung. "Si Abu seorang yang jujur, dia boleh dipercayai", "Harga minyak naik 20 sen, boleh jadi", "Dah lama aku duk pi makan kat kedai Pak Abu, tak boleh jadi", "Ish mana boleh camni, habislah duit aku nak makan kat mana lagi" akan bertarung dengan informasi baru berupa "nasi ayam naik 20 sen" ini.

Cikgu berkata, "Nasi mengandungi karbohidrat yang membekalkan tenaga". Dengan elemen yang sudah ada didalam minda kita, "Cikgu tahu segalanya", "Cikgu tak akan menipu", "Patutla tak makan nasi tak larat naik tangga" akan saling tawar-menawar sama ada untuk menerima informasi baru yang mahu masuk menghuni otak kita itu.

Dua contoh ini hanyalah contoh rekaan yang sebenarnya ligat berlaku di dalam kepala kita tanpa kita sedari.

Pertarungan asas yang menunjukkan kemajuan otak sang manusia.

Pertarungan yang didefinasikan sebagai 'berfikir'.

'Cogito ergo sum'.

'I think therefore I am'.

'Saya berfikir, maka saya?'

Maka kita sapai ke masalah translasi di sini. Buat yang sudah nampak masalah di sini, kita akan menyedari bahawa translasi dari satu bahasa ke bahasa yang lain sebenarnya sukar kerana sesuatu perkataan itu tak semestinya dapat diberi makna dengan setepatnya dalam bahasa yang lain.

Seperti contoh 'heart', jantung, 'liver', hati, secara saintifiknya adalah benar namun dalam konteks sosialnya adalah tidak sama. 'I keep you in my heart' membawa maksud 'Daku menyimpanmu di dalam hatiku', dan bukan 'jantungku'.

Maka masalah translasi ini tertumpu kepada versi asal ayat itu.

'Cogito ergo sum'. Sesetengah ahli akademi mentafisrkannya bulat-bulat sebagai 'I shake, therefore I am'.

Dan 'shake', goncangan ini sebenarnya dalam konteks asalnya adalah suatu goncangan kuat kepada pemikiran kita.

Goncangan yang disertai skeptisme. Suatu perbuatan berani mempersoalkan segala-galanya. Suatu kecekalan mempertaruhkan minda kita bahawanya kita juga mungkin di pihak yang salah.

Bagaimana kita tahu kita sebenarnya berada di pihak yang benar?

Bagaimana kita tahu apa yang kita ketahui selama ini adalah sesuatu yang benar?

Guru memberitahu bahawa tumbuhan hijau mengandungi klorofil.

Bagaimana dia mengetahui bahawa perkara itu benar? Mungkin dia belajar dari universiti. Bagaimana universiti mengetahui bahawa klorofil itu berwarna hijau? Mungkin datang dari saintis asal yang melakukan eksperimen itu. Bagaimana mereka mengetahui bahawa apa yang mereka perhatikan itu sebenarnya adalah klorofil dan bukan perkara lain? Mungkinkah berlaku kesilapan alatan makmal? Mungkinkah sebenarnya pigmen hijau itu hanya kelihatan hijau semasa diuji di makmal, dan klorofil itu hanya kelihatan hijau jika berada di laur makmal? Mungkinkah juga sebenarnya klorofil itu tidak pernah wujud dan yang wujud hanyalh pari-pari kecil yang bercahaya hijau dan menyinarkan cahaya hijaunya kepada alat pengesan makmal? Dan boleh jadi juga sebenarnya tanpa kita ketahui, semua saintis di dunia berpakat menipu kita dengan mengatakan klorofil itu berwarna hijau?

Namun pernahkah kita terfikir, sebenarnya klorofil itu berwarna biru dan sebenarnya kita tersilap dengar semasa guru itu memberitahu? Sebenarnya gegendang telinga kita sedikit rosak dan hanya mendengar bunyi hijau? Atau juga cikgu itu sebenarnya cuba bercakap warna lain namun terkeluar hijau? Adakah warna rumput yang kita lihat itu semuanya hijau? Adakah warna hijau yang kita lihat itu sama dengan warna yang dilihat oleh orang lain? Adakah di dalam mata orang lain, warna hijau itu sebenarnya kelihatan sebagai warna merah di dalam pemikiran kita?

Cuba anda fikirkan, bagaimanakah orang yang rabun warna hijau melihat warna hijau di dalam mindanya. Jika saya berkata pada anda, fikir pasal gajah, secara automatisnya akan muncul gajah di dalam minda anda. Bagaimana pula dengan minda orang rabun warna apabila disebut warna hijau? Atau juga orang yang buta semenjak dilahirkan, apakah yang dia bisa lihat di dalam mimpi-mimpinya setiap malam? Atau juga orang pekak. Tahukah dia apa ertinya bunyi-bunyian di dunia ini?

Cogito ergo sum.

Anda punya seorang kekasih. Setiap malam anda menelefonnya. Anda sangat sayangkannya, dan dia juga sayangkan anda. Anda menyayanginya kerana dia sangat istimewa. Tentulah anda menyayanginya kerana dia lain dari perempuan lain. Dia dilahirkan dan dibesarkan dalam suasanan keluarga bahagia. Bapanya pemimpin masyarakat, dan ibunya seorang suri rumah. Dia seorang yang sangat berdikari, dia seorang yang mampu hidup sendiri. Mungkin kerana didikan bapanya dia begitu. Dia seorang yang pandai dan mahu menjaga segalanya. Mungkin dia mewarisi sifat kepimpinan bapanya. Tidak seperti wanita lain yang tidak gemar berjoging, kekasih anda suka berjoging di taman. Anda berfikir, kerana perwatakannya yang suka menjaga semua benda, berdikari, terurus, maka dia suka berlari kerana dia ingin menjaga bentuk badannya supaya anggun dan mapan. Dia seorang yang berani. Dia juga seorang yang suka bermain permainan video. Mungkin anda berfikiran bahawa tidak semua orang sempurna, maka sifatnya yang suka bermain permainan video itu adalah ketidaksempurnaannya. Maka anda menerima sifatnya itu. Lagipun, seperti anda yang kadang-kadang mahu melepaskan tekanan, dia juga melepaskan tekanannya dengan bermain permainan video.

Logik anda untuk setiap perwatakan dan sifatnya itu benar. Ianya juga masuk akal. Oleh sebab anda menyanyanginya, maka emosi anda mengiyakan segalanya tentang dia dan menidakkan sesuatu yang buruk tentangnya, seperti kelemahannya.

Sesetengah orang berkata bahawa kekasih anda itu seperti lelaki kerana dia sangat berani, berdikari, cekal dan kuat. Namun anda berkata, itulah ciri-ciri yang anda mahu.

Namun suatu hari dia mengalami kemalangan danmendapat kecederaan teruk. Semasa pembedahan dilakukan untuk membetulkan kecederaan itu, doktor tidak menemui rahim dan ovari, akan tetapi menemui sepasang testis di dalam abdomennya.

Dia sebenarnya seorang lelaki.

Pada ketika ini logik anda akan terus berubah.

Segala-galanya tentang dirinya yang anda ketahui kini punya pandangan dari sisi yang sungguh berbeza.

Kenapa dia tidak selemah seperti wanita lain? kerana dia sebenarnya seorang lelaki. Kenapa dia mampu berdikari dan tidak mengharapkan orang lain dan mahu membuat segalanya sendiri? Kerana dia lelaki dan itu adalah egonya. Kenapa dia suka berjoging? Kerana dia lelaki yang punya testosteron. Kenapa dia berani? Kerana dia lelaki. Kenapa dia suka bermain permainan video? Kerana dia lelaki.

Logik-logik yang anda punya untuk menerangkan tentang perilaku dia kini runtuh dan diganti dengan logik lain. Logik yang masuk akal, yang anda percaya dan ada telah evaluasikan dari pengalaman hidup anda, dari pengetahuan anda, dari emosi anda yang anda yakini benar dan betul kini anda sedari semuanya adalah ilusi semata-mata. Kini logik itu diganti oleh logik yang lain.

Mungkin contoh ini keterlaluan, dan tak mungkin berlaku di alam nyata.

Tapi pernahkah anda terfikir, bahawasanya apa yang anda ketahui selama ini sebenarnya adalah salah? Logik, dan jawapan serta alasan tentang kebenaran yang anda pertahankan itu sebenarnya adalah tidak benar?

Bagaimanakah, jika saya beritahu, bahawa sebenarnya di dunia ini, otak anda adalah cacat dan manusia sebenarnya melihat dunia ini terbalik, yakni segala senarai blog dan widget yang anda lihat di kanan entri ini sebenarnya dilihat oleh manusia lain sebagai berada di kiri? Bagaimana jika saya beritahu anda bahawa sebenarnya terdapat kuman di berus gigi yang menyebabkan anda sakit perut? Tiba-tiba sekarang anda akan terfikir bahawa sebab sakit perut semenjak 3 hari lepas bukan kerana nasi dari gerai tengah hari 3 hari yang lepas, tapi kerana berus gigi anda? Bagaimana jika saya beritahu anda sebenarnya anak angkat? Boleh jadi itu sebabnya abang anda mendapat banyak benda semasa kecil dan anda hanya bermain permainannya. Bagaimana jika saya memberitahu bahawa kekasih anda curang dan anda hanyalah 'spare part'nya? Boleh jadi itu sebabnya dia lambat membalas sms anda, lambat mengangkat telefon kerana ber'dating' dan tidak mahu berjumpa ibu dan bapa anda.

Cogito ergo sum.

Adakah semua perkara yang anda percayai sekarang adalah benar?

Adakah segala alasan yang anda berikan untuk mempertahankan kebenaran itu boleh diterima? Pernahkah anda terfikir bahawa terdapat alasan lain yang boleh digunakan dan memungkinkan bahawasanya anda sebenarnya selama ini berada di pihak yang salah?

Goncang pemikiran anda. Fikirkan kemungkinan bahawa anda sebenarnya salah. Tolak kebenaran yang anda peluk erat selama ini dan terima 'kebenaran yang mungkin' supaya anda lebih bersifat terbuka.

Fikir dengan waras, dan bukan dengan emosi.

Fikir sendiri, dan bukan dari pemikiran orang lain.

Bina logik anda sendiri, dan bukan dari logik yang orang lain bina.

Goncang pemikiran anda!


*****

Semenjak mempunyai minat dalam sains sosial, pemikiran saya tertumpu kepada aspek sosial manusia. Sperti cara mereka berfikir, cara mereka menganalisa jawapan, cara mereka mencari kebenaran dan bergai-bagai lagi.

Salah satu medium yang saya gunakan adalah Facebook.

Bagaimana?

Kerana dari 'wall' Facebook, terdapat berbagai-bagai ragam manusia dan luahan hati serta pendapat mereka.

Terdapat pelbagai post yang saya ingin kongsikan di sini, tapi saya tertarik dengan trend masa kini, trend berkongsi blog.

Anda tahu, blog-blog isu politik.

Salah satu prinsip utama falsafah adalah melihat sesuatu dari dua sudut, yakni mengmbangkan pendapat kita dari dua sudut. Contohnya seperti yang saya berikan di atas. Kita selalu melihat sesuatu dari sudut bahawa kita ini benar, bagaimana pula jika kita ini salah?

Maka perkara blog-blog ini yang bersifat boleh dikategorikan sebagai berat sebelah kerana sentiasa berkongsi keburukan sebenarnya menarik minat saya.

Ini kerana agak mengujakan sebenarnya melihat cara manusia berfikir dari blog-blog ini, dan kemudian cara manusia yang berkongsi blog-blog ini pula berfikir. Bagaimana mereka mebina logik mereka, bagaimana mereka menjustifikasikan logik mereka, bagaimana pula mereka mempertahankan justifikasi mereka.

Juga orang yang berkongsi blog ini. Bagaimana proses yang sama diulang.

Tapi saya telah mengesan satu trend tidak sihat di dalam perkongsian blog-blog ini.

Trend pemikiran.

Ini adalah kerana blog-blog ini selalunya akan membina logik dari cerita-cerita yang mereka dapat, yang mana ini adalah benar bagi mereka dan mereka melakukan perkara yang sihat kerana mereka berfikir dan membina logik.

Namun trend yang saya kesalkan adalah apabila orang berkongsi blog-blog ini dan mereka menggunakan logik-logik di dalam blog ini sebagai logik mereka. Mereka menyangkakan bahawa otak dan minda mereka terbuka dan menjadi lebih pandai pabila membaca logik yang dibina dari blog-blog ini. Mereka menyangka mereka pandai dan mampu berfikir, sedangkan apa yang ada di dalam minda mereka hanyalah peniruan sebiji-sebiji dan bulat-bulat pendapat penulis blog itu.

Trend ini bahaya kerana mereka menyangkakan bahawa mereka sebenarnya berfikir dan berhujah, mereka menyangkakan bahawa mereka membina logik mereka dan membina kebenaran, namun apa yang sebenarnya mereka lakukan adalah mempercayai dan menyebarkan kebenaran yang orang lain sampaikan.

Mereka tidak berfikir apabila menerima kebenaran dari orang lain, mereka tidak mengoncang pemikiran sendiri apabila menerima kebenaran dari orang lain.

Mereka merasakan itu adalah kebenaran yang mereka fikirkan sendiri, namun itu sebenarnya adalah kebenaran yang orang lain fikirkan.

Ini semua hanyalah ilusi kepada kebenaran.





"The greatest enemy of knowledge is not ignorance; it is the illusion of knowledge."
Stephen Hawking

"Musuh terbesar ilmu bukanlah kejahilan; tetapi ilusi kepada ilmu"
Stephen Hawking





Nota: Atas unsur-unsur skeptisma kuat ini, falsafah barat seperti ini menerima banyak halangan dari ulama semasa zaman pemindahan ilmu dari barat ke tamadun agung Islam. Ini kerana falsafah ini mungkin boleh menggugat keimanan jika skeptisma digunakan bagi mempersoalkan agama. Contohnya, bagaimana kita tahu tuhan itu wujud? Di dalam logik barat, hanya logik deduktif yang diterima sebagai bukti kukuh, dan jawapan seperti 'kerana alam ini wujud akibat ciptaan tuhan' tidak diterima kerana ianya satu contoh 'fallacy' dan merupakan logik induktif. Perbuatan membayangkan meyakinkan minda bahawa 'tuhan itu tiada' sebagai usaha 'goncangan' ini juga boleh menyebabkan kita terkeluar dari agama.

Sabtu, 16 April 2011

..tiub..


..dan kaki kanan pula kemudiannya mula lenguh kembali. Saya mengurut betis anjing kaki kanan saya menggunakan tulang kering kaki kiri pula.

Sudah 3 jam saya melakukan begitu rasanya.

Saya melihat jam di dinding.

Pukul 12 tengah hari. Sudah hampir masa untuk makan tengah hari. Akhirnya saya akan dapat duduk sebentar untuk makan tengah hari.

Berdiri selama 3 jam lain rasanya berbanding berjalan kaki 3 jam. Berdiri 3 jam membuatkan kaki saya sakit-sakit, namun tidak pula jika saya perlu berjalan selama 3 jam.

Saya memerhatikan Surgeon itu, tutor saya menarik keluar pemecah batu karang keluar dari zakar pesakit itu, dan kemudiannya dia memasukkan pula alat koagulasi ke dalam zakar pesakit terus ke dalam pundi kencing. Melalui skrin, kami dapat melihat apa yang sedang berlaku di dalam pundi kencing itu menggunakan kamera pada hujung alat koagulasi itu.

Pesakit itu punya batu karang di dalam pundi kencingnya. Kadang-kadang batu karang terbentuk dalam buah pinggang, yang amat menyakitkan jika ianya turun melalui ureter, dan kadang-kadang pula ianya terbentuk dalam pundi kencing yang amat menyakitkan jika ianya tersangkut dalam urethra, atau lebih mudah disebut saluran kencing di dalam zakar.

Surgeon itu mulanya memasukkan kamera 'cystoscopy', yakni kamera kecil yang dimasukkan ke dalam zakar terus ke dalam pundi kencing. Batu karang yang besar ditemui, maka surgeon itu memasukkan pemecah batu karang dan mula memecahkan batu karang itu dan mengeluarkannya. Akibat proses itu yang kadang kala menyebabkan pendarahan kerana geseran alat itu dengan dinding saluran kencing, atau juga batu karang yang menghiris dinding, maka kadang-kadang terjadi luka. Untuk menutup luka itu, alat koagulasi digunakan. Ianya hanyalah kamera cystoscopi yang dilengkapi besi di hujungnya yang mengalirkan elektrik. Pabila elektrik dihidupkan, ianya akan membakar luka-luka dan salur darah itu sekaligus menutup pendarahan.

Jam pukul 12.30 tengah hari.

3 jam berdiri sahaja di dalam 'Operation Theater' atau OT lebih perit berbanding berjalan-jalan di dalam ward mengikut doktor dan menguruskan pesakit.

Darah banyak terkumpul di kaki dan cepat lenguh jadinya.

Pesakit itu disorong keluar.

Saya melihat senarai pesakit yang akan ke bilik bedah itu.

Pesakit seterusnya, seorang budak lelaki yang datang untuk 'hydrocoele repair'. Hydrocoele adalah keadaan di mana terjadi pengumpulan cecair di dalam skrotum, Cecair ini datang dari abdomen, yakni kaviti peritoneum. Semasa penumbuhan bayi, testis terbentuk di dalam abdomen, yakni kawasan perut (bukan perut, stomach). Sebelum dilahirkan, testis ini akan turun ke dalam kantung skrotum (yakni kantung buah zakar). Kadang kala laluan antara testis dan abdomen ini tidak tertutup rapat menyebabkan cecair di dalam abdomen mengalir ke kantung zakar ini menyebabkan hydrocoele.

Budak lelaki itu berumur 8 tahun. Dia masuk ditemani ibunya dan jururawat.

Raut wajahnya seolah-olah tenang. Dia tahu pada umur begitu dia tidak sepatutnya menangis kerana ketakutan, meski di dalam genangan matanya jelas terpampang ketakutan. Entah siapa yang memberitahu padanya yang dia tidak boleh takut atau tidak boleh menangis. Saya pasti tidak ada sesiapa pun yang memberitahukannya. Ianya adalahsesuatu yang dia belajar sendiri mungkin. Mungkin egonya sudah mula mengongkol ekspresinya.

Dari pandangan wajahnya saya tahu dia takut. Namun dia cuba berlagak 'cool'.

Siapa tidak takut melihat semua manusia asing, memakai baju biru yang sinonim dengan cerita pembedahan, dengan rak-rak di sekelilingnya penuh dengan jarum suntikan.

Saya melihatnya. Dia seolah-olah cuba membiasakan diri. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya. Jururwat menyuruhnya berbaring di atas katil itu. Terdapat mesin pelik berupa pam di kirinya, dan troli pelik berisi picagari di kanannya. Di siling terdapat lampu pendaflour yang mungkin sedikit terang.

Juru bius berkata pada budak lelaki itu yang dia akan memasukkan cannula, atau tiub kedalam salur darahnya. Jururawat memegang lengan kiri budak lelaki itu seperti satu torniquet, dan juru bius itu memasukkan jarum cannula itu ke dalam salur darah di hujung tangan budak itu. Raut wajahnya sedikit berubah kerana kesakitan. Mujur juru bius itu pakar, sekejap sahaja proses itu. Tak sampai 1 minit. Kalau saya yang buat, pasti 10 minit budak itu akan menderita.

Ibunya keluar dari bilik bius itu. Dan dia keseorangan. Saya dapat melihat dia sedikit gelabah.

Jururawat bertanya jika dia mahu membaca buku cerita yang disediakan di situ. Dia ketawa kecil dan berkata, zaman sekarang tiada siapa membaca buku cerita begitu. Saya masak benar dengan budak-budak zaman sekarang. Paling lekeh di poket mereka Nintendo DS satu. Paling lekeh.

Juru bius itu memasukkan satu persatu cecair ke dalam cannula di tangannya menggunakan picagari.

Mukanya yang asalnya kelihatan gelabah mula berubah.

Dia kelihatan sedikit ceria dan tersenyum sekarang.

Juru bius memasukkan lagi cecair-cecair bius itu.

Budak itu kini mukanya seolah-olah dia sedang menikmati sesuatu. Kelopak matanya separuh tertutup.

Juru bius itu bertanya,

"What are you feeling now?"

Dia menjawab sambil senyum, "I feel good, real good".

Juru bius memasukkan lagi cecair itu dan dia berkata lagi,

"Owh, that thing sure made me feels good"

Kami ketawa di dalam bilik bius itu.

Juru bius memakaikan topeng oksigen padanya.

Juru bius itu kemudian berkata,

"Ok, now think of something real nice, somewhere that you really want to go to, somewhere warm, a beach maybe"

sambil tangannya memasukkan satu lagi cecair ke dalam cannula itu.

Seraya dengan itu, mata budak itu terus terpejam dalam senyumannya.

Dia sudah tidur.

Sambil memegang topeng oksigen budak itu, juru bius itu memberi isyarat kepada saya.

Say membersihkan tangan dan memakai sarung tangan. Saya mengambil tiub laringiotomy, ataupun tiub pernafasan dari mulut ke tekak dan mendongakkan kepala budak itu. Jururawat menolong menarik rahangnya sementara saya memasukkan tiub pernafasan itu ke dalam mulutnya dan terus ke tekaknya. Ianya akan menghalang lidahnya dari menutupi tekaknya nanti.

Seterusnya wayar ECG dan saturasi oksigen dicabut, dan dia disorong ke bilik pembedahan.

Entah mengapa saya faham perasaan budak itu semasa di dalam bilik bius itu. Saya faham bagaimana rasanya pabila jururawat bercakap-cakap untuk menenangkannya sambil budak itu berfikir, 'lame' sungguh taktik jururawat itu. Saya faham rasanya di'cannula'. Saya faham rasanya pabila dipakaikan topeng oksigen di muka. Saya juga faham rasanya pabila cecair-cecair itu dimasukkan ke dalam badan.

Dan saya masih ingat lagi, ketika saya berumur 6 tahun itu, bagaimana lampu terang bilik pembedahan itu menjadi perkara terakhir yang saya lihat sebelum saya tidur tidak sedarkan diri.

Saya membasuh tangan mula 'scrub', atau memakai baju bilik pembedahan. Kali ini mungkin dapat membuat potongan atau koagulasi, atau juga menolong membuat sutur seperti minggu lepas.