Rabu, 30 Mac 2011

..pusat perubatan kampung..


..dan selepas itu saya ditempatkan pula di Hospital Airedale untuk rotasi pembedahan. Saya akan melihat pembedahan untuk 5 minggu di hospital ini sehinggalah ke hari peperiksaan saya.

Sebenarnya tiada kawasan bernama Airedale di sini. Hospital ini terletak di antara dua kampung, kampung Eastburn dan kampung Sutton, dan bandar tedekat adalah pekan Keighley dan pekan Skipton yang masing-masing berada 1 batu di utara dan selatan hospital ini.

Apa yang menarik tentang hospital ini?

Pertama, adalah bilik yang saya dapat.



Flat ini bertaraf 3 bintang (tak tahu bagaimana dan siapa yang memberi bintang itu). Bilik ini adalah en suite, ataupun bermaksud punya tandas persendirian di dalam bilik. Satu flat punya 4 bilik, dan setiap flat punya dapur yang dilengkapi pemasak eletrik, peti sejuk, mesin masuh, 'dishwasher' dan ruang tamu.

Berada di kampung, maka pemandangannya adalah pemandangan kampung. Contohnya dari dalam bilik saya, saya dapat melihat bukit dari tingkap.



Dan juga di belakang hospital ini, terdapat ladang kambing. Sebenarnya utara hospital ini adalah ladang kambing biri-biri manakala selatannya adalah rumah-rumah orang kampung.






Khas untuk budak-budak bandar yang tidak pernah dengar kambing mengembek, atau tidak pernah dengar langsung perkataan 'mengembek', ini bunyi-bunyi kambing itu.

video

Tidak jauh saya katakan bahawa hospital ini sebenarnya seperti hospital Jitra. Bangunannya pendek-pendek dan panjang, dan dikelilingi ladang atau sawah padi.

Namun berbeza dengan hospital Jitra, hospital ini jauh lebih kampung kerana tiada langsung kedai makanan di sekeliling.

Saya sedang kelaparan 3 jam sebelum ini kerana makanan sudah habis, dan tinggal hanyalah roti, susu dan cereal yang sudah naik muak saya menelannya. Nasib baik terdapat penghantaran makanan oleh kedai-kedai di pekan Keighley (seperti kedai mamak). Itu pun 'delivery boy' berbangsa kipas itu tidak tahu pun bahawa wujud hospital di sini.

Namun sekarang saya sudah kenyang.

Ok ini entri yang langsung tidak berfaedah, seolah-olah menulis diari pula untuk orang baca.

Manusia sekarang sudah tidak kenal malu. Diari pun mahu orang lain baca. Belum lagi yang suka membuat ayat-ayat emosi dan mencarut di Facebook.

Jumaat, 25 Mac 2011

..orbit (versi ringan)..

..dan ketika memerhatikan itulah saya teringat semula.

Betul, ianya tempat yang berbeza.

Teringat kembali kisah saya memerhatikan takwim waktu sembahyang dan tertanya-tanya kenapa waktu solat berubah-ubah.

Bilik yang menghadap matahari jatuh memungkinkan saya memerhatika matahari terbenam setiap hari.

Secara perlahan-lahan hari demi hari saya melihatnya terbenam di tempat berbeza beransur-ansur beranjak-anjak.

Matahari sudah berubah tempat terbenamnya berbanding musim sejuk yang lalu.

Perubahan membawa erti masa.

Dan masa sekarang, masa cuaca panas.

Musim bunga telah tiba.

Saya punya bermacam-macam pemikiran di dalam kepala.

Jika otak saya berupaya menukarkan impuls saraf itu kepada kod binari, sudah pasti setiap hari satu entri saya pos ke blog.

Cuma keadaan dan kesibukan tidak memberi peluang.

Kita sememangnya tidak pernah di beri peluang langsung.

Kita sendiri yang sepatutnya mencari peluang kita sendiri.

Kita sendiri juga sepatutny amencipta peluang kita sendiri.

Atau juga kita boleh sentiasa bersedia dan menunggu peluang itu datang, meski ianya mengambil lebih masa berbanding mencipta peluang itu sendiri.

Kita perlu sentiasa bersedia.

Sudah hampir 6 bulan pokok-pokok di sini bersedia dengan ramuan kimianya dan menunggu photon cahaya matahari yang cukup untuk memulakan tindak balas dan mengeluarkan dedaunan.

Sudah hampir 1 tahun pula pohon-pohon liar renek menunggu dengan ramuan kimia mereka.

Pabila matahari memancar untuk 12 jam sehari, mereka yang telah bersedia mengorak langkah dan mencuri photon-photon itu untuk dijadikan bahan akhir ramuan fotosintesis.

Fotosintesis menukar tenaga dalam bentuk photon elektromagnetik kepada tenaga kimia yang disimpan dalam tumbuhan.

Tenaga dalam ikatan kimia ini digunakan pula untuk membuat molekul baru.

Juga putik bunga baru.

Musim bunga telah tiba.

Rabu, 9 Mac 2011

..roda..

..dan matanya melopong semasa didukung masuk. Mulutnya ternganga sambil kepalanya menoleh ke kiri dan ke kanan. Seakan-akan bilik itu sebuah planet lain yang penuh dengan misteri. Atau adakah kerana poster-poster berwarna-warni di bilik itu yang menarik perhatiannya dengan gambar-gambar lukisan aneh yang dia tak pernah lihat sebelum ini?

Saya hanya memerhatikan dia.

Jururawat memandang saya dan berbisik,

"Kamu mahu mencuba?"

Saya teragak-agak.

Lalu saya berfikir jika teragak-agak dan tidak tahu, jangan lakukan kerana ini soal nyawa.

"Tak mengapa. Saya tak berapa biasa dengan bayi."

"OK. Tak sukar sebenarnya. Kamu berada di klinik vaksinasi kan semalam? Saya lihat kamu berikan banyak suntikan, secara asasnya ianya sama sahaja. Beritahu saya jika kamu mahu mencuba nanti. Kamu patut mencubanya."

Semasa ibunya mendukungnya mendekati kami, dengan mata bulatnya dan mulutnya yang masih terlopong itu dia merenung semua orang yang berada di dalam bilik itu.

Jururawat itu senyum padanya dan mengusiknya. Kemudian jururawat itu mengambil buku rekod kesihatnnya dari ibunya. Dia melihat setiap gerakan itu dengan penuh minat dan sempat menggapai buku rekod itu cuba mengambilnya dari tangan jururawat itu.

Saya memeriksa sekali lagi label vaksin dan integriti jarum suntikan serta vaksin itu. Saya memeriksa sekali lagi nombor siri vaksin itu.

Tanpa disedari sebenarnya dia sedang memandang saya.

Saya menoleh memandangnya dan mengucapkan hello sambil tersenyum lebar.

Dia masih memerhatikan saya semasa ibunya menanggalkan seluarnya.

Saya membuka mulut senyum lebar dan membuat mata juling padanya semasa jururawat dan ibunya tidak memandang saya.

Sebaik sahaja dia melihat saya berbuat begitu, dia ketawa.

Ibunya memandang saya dan berkata,

"Dia ketawakan kamu, dia sukakan kamu"

Saya tersenyum dan membalas,

"Dia seorang yang sangat comel"

Dia memandang saya seolah-olah menunggu saya membuat muka itu lagi.

Matanya bulat.

Penuh kesucian.

Matanya mencorakkan wajahnya yang penuh dengan kebersihan itu.

Masih lagi belum mengenal asam garam dunia ini. Masih lagi penuh dengan ketulusan, keikhlasan, tanpa prejudis, tanpa diskriminasi, tanpa perasaan takut kepada manusia lain. Penuh pengharapan dan kepercayaan kepada saya yang baru sahaja 3 minit dikenalinya.

Dia penuh dengan sifat positif seorang manusia, penuh dengan ciri positif yang dapat kita harap dari seorang manusia, dan pandangannya kepada manusia lain penuh dengan optimism dan kepercayaan.

Sifat yang ada pada kita sewaktu dilahirkan sebagai manusia.

Fitrah seorang manusia.

Dia baru sahaja beberapa bulan di dunia ini.

Pabila dia dewasa nanti, dia akan belajar dari dunia ini bahawa tidak semua manusia baik sepertinya. Maka kepercayaan kepada manusia akan hilang sedikit demi sedikit dan dia akan mula memilih siapa yang dia akan percayai. Kemudian pabila melihat manusia seperti itu juga, dia mungkin akan meniru sifat manusia itu kerana menyangkakan jika orang lain bersifat begitu, dia juga boleh bersifat begitu.

Pengalaman akan menyuntik sifat negatif dan pesimisma dalam dirinya.

Dan dia akan perlahan-lahan memilih semuanya.

Memilih siapa yang dia mahu percaya, memilih siapa yang dia mahu tolong, memilih apa yang dia mahu dengar, apa yang dia mahu beritahu, dan apa yang dia mahu percaya.

Tetapi buat masa sekarang, dia mempercayai semua orang baik dan tak akan mendatangkan kesakitan padanya.

Tidak akan pernah disangka olehnya bahawa ibu yang dia percayai sebenarnya membawanya untuk kesakitan di klinik vaksinasi hari ini.

Ibunya memeluknya dengan erat dan memegang kakinya kemas.

Jururawat sudah bersedia dengan jarum suntikan.

Dia masih memandang saya.

Semasa melihat jarum suntikan itu kira-kira 10cm dari pahanya, dan jururawat memberitahu ibunya supaya memegangnya kuat-kuat, saya menjelirkan lidah padanya dan menjulingkan mata.

Dia ketawa, untuk kali terakhir.

Saat jarum itu menembusi pahanya, matanya terus dipejam rapat dan dia terus meraung. Mukanya yang putih gebu itu terus merah padam tidak sampai satu saat. DIa menangis sambil memeluk ibunya.

Dia mengejangkan kakinya kerana kesakitan dan menggerak-gerakkannya. Jururawat itu dengan penuh kepakaran menggerakkan jarum itu mengikut rentakan kakinya.

Sebab itu saya tidak mahu buat, kerana memberi suntikan pada bayi yang bergerak-gerak adalah sesuatu yang menakutkan!

Setelah 3 suntikan diberikan ibunya menenangkannya. Ibunya membuka beg susunya dan mengambil sebuah beg plastik yang penuh dengan coklat.

Kemudian ibunya mendukungnya keluar dari bilik itu dan menunggu untuk berjumpa doktor bagi pemeriksaan kesihatan.

Saya pulang lewat petang itu.

Suasana sejuk musim sejuk yang masih lagi mampu menggigit tulang, ditambah dengan suasana yang sudah gelap mulai 5 petang membuatkan perjalanan pulang 2 jam ke rumah menjadi lebih sakit.

Mungkin secawan minuman coklat panas ketika cuaca sejuk adalah idea yang baik pabila sampai di rumah nanti.

*****

"Semua orang yang saya kenal sudah tiada."

Matanya sayu.

Dia membuka mulut dan menyambung cerita.

"Adik beradik saya sudah lama meninggal dunia. Adik lelaki saya meninggal kira-kira 5 tahun yang lalu akibat sakit tua. Abang saya meninggal dunia setahun sebelum itu, juga kerana sakit tua. Apabila tiba masanya, kita akan tahu."

Saya melihat matanya itu mula bergenang.

Dia memandang di kejauhan.

Saya terdiam dan hanya mendengar dia bercerita.

Modul 'Memujuk orang bersedih' belum diajar lagi setakat ini. Saya tidak tahu cara menghadapinya melainkan diam dan mendengar dan cuba menunjukkan empati.

Tetapi pada saat itu, dalam suasana yang penuh dengan emosi itu, empati saya hanyalah berdiam diri.

Dia sudah 5 minggu di ward itu.

Terdengar suara orang batuk di katil sebelah.

Dia menarik nafas dan menyambung,

"Saya bersyukur kerana dipanjangkan usia. Saya bersyukur kerana dapat menikmati satu lagi musim bunga, walaupun di dalam hospital"

Dia cuba senyum dan cuba berseloroh untuk menjernihkan emosinya kembali.

"Namun kadang-kadang saya sunyi. Kamu tahu, pabila hidup berseorangan begini. Saya masih mampu menguruskan diri tanpa bantuan jururawat di rumah. Saya masih mampu mengemas rumah, memasak dan membeli barang dapur. Sungguhpun semasa suami saya masih hidup, saya masih mampu menyediakan semuanya untuk dia dan saya."

Saya melihat nota pesakit itu. Terdapat catitan mengatakan dia mengalami sedikit depresi selepas suaminya meninggal dunia kira-kira tiga tahun lepas akibat sakit tua.

"Kamu tahu, pabila petang menjelma dan cuaca cerah sebegini, seronok jika dapat duduk di meja di luar rumah, di taman sambil minum teh bersama rakan-rakan saya"

Matanya kembali bergenang.

"Saya rindukan masa minum teh pada petang hari bersama suami saya."

Kali ini dia mengesat air matanya.

"Kamu tahu, selepas 60 tahun lebih hidup bersama, banyak benda dilakukan bersama..."

Dia mengesat air matanya dan menarik nafas panjang. Matanya masih lagi merenung jauh selepas dia mengesat air matanya.

Empati saya masih lagi membisik untuk saya berdiam diri dan mendengar sahaja semuanya.

"Sudah tentulah sekarang saya sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak saya, kerana mereka juga makan ubat yang sama seperti saya dan masuk hospital kerana penyakit yang sama!"

Dia berjenaka cuba menjernihkan lagi keadaan. Saya tergelak kecil kerana geli hati.

Anak-anaknya sudah berumur 60 hingga 70 tahun dan mereka juga sudah tua dan mereka juga mungkin menghidap penyakit yang sama dengannya yang sinonim dengan orang tua. Anda tahu, seperti kencing manis, sakit buah pinggang, sakit jantung, COPD, darah tinggi dan lain-lain.

Namun jenakanya agak mendalam.

"Saya betul-betul marah pada diri saya semalam. Kerana saya telah terfikir bertapa teruknya hidup saya sekarang ini. Keseorangan, tiada teman, tiada ahli keluarga terdekat. Saya telah terfikir bahawa lebih baik kiranya saya telah pun mati sekarang dan tidak perlu tinggal berseorangan. Namun saya sedar bahawa saya sebenarnya beruntung kerana diberikan umur yang panjang. Saya patut berterima kasih pada tuhan kerana itu"

Dia seorang yang berfikiran sangat positif.

Agak menakjubkan pada usia lewat 90-an ini dia masih lagi mampu berfikir dengan waras dan teratur.

"Saya tidak tahu bila akan tibanya masa saya."

Selepas mengambil 'history' pesakit, saya menyambung dengan membuat pemeriksaan ringkas pesakit itu. Saya mendengar murmur aortic stenosis seperti yang diberitahu oleh doktor. Aortic stenosis adalah istilah yang diberikan pabila injap aorta jantung mengeras dan tidak dapat membuka dengan penuh, dan juga tertutup rapat. Maka pabila darah dipam keluar dari ventrikel kiri jalan, bukaan yang kecil menyebabkan tekanan tinggi di ventrikel kiri dan darah memancut keluar melalui injap yang kecil itu. Darah dari aorta juga masuk semula ke ventrikel melalu injap yang tertutup tidak rapat.

Saya mengucapkan terima kasih padanya. Sebelum keluar dari bay itu, saya memandang katil sebelahnya.

Kenapa kosong dan tidak bercadar? Baru sahaja mahu bercakap dengan pesakit di katil itu yang baru sampai minggu lepas. Tak lengkap rasanya 'history' yang saya ambil dari pesakit itu semalam.

Saya masuk ke bilik doktor untuk bertanya ke mana pesakit yang saya temui semalam. Tiada doktor, lalu saya melihat troli fail dan mencari failnya.

Tiada.

Saya terpandang senarai katil dan pesakit dan melihat di sebelah nama pesakit itu tertulis 'R.I.P'.

Saya meninggalkan wad geriatric hari itu awal.

Secawan teh pabila pulang nanti mungkin idea yang bagus sebenarnya.

Isnin, 7 Mac 2011

..matematik itu cinta..

..dan di celahan-celahan jari saya itu. Setelah saya urut, saya 'meletupkan' jari-jari jemari saya itu kerana kelenguhan. Masakan tidak, baru siapkan kerja sekolah matematik yang akan dikutip tengah hari nanti. Meskipun hanya mengambil masa 5 minit untuk disiapkan, namun akibat arahan cikgu yang mahu jalan kira ditunjuk keseluruhan membuatkan kerja yang sedikit menjadi banyak. Sebab itu saya suka latihan congak. Tak perlu menulis jalan kira atas kertas.

Saya suka matematik.

Saya suka matematik semenjak bila saya tidak ingat. Mungkin sebelum tadika semasa mendengar abah menyruh kakak dan abang menghafal sifir, mungkin juga semasa tadika semasa emak mengajar abang cara menambah dan menolak pecahan.

Dan semasa darjah tiga itu matematik kiranya masih lagi mudah kerana hanya melibatkan asas.

Walaupun saya tidak menyukai kerja sekolah matematik yang selalunya bertimbun dengan semua jalan kira perlu ditulis meskipun saya mampu mencongaknya, cinta saya kepada matematik tidak pernah luntur dek kekangan itu.

Sekolah sesi petang. Pukul 12 nanti akan naik van ke sekolah. Saya memasak nasi dan menunggu emak membawa pulang lauk untuk makan tengah hari sebelum pergi sekolah.

Saya melihat jadual kelas dan memasukkan buku subjek hari itu ke dalam beg dan mengeluarkan buku yang tidak dipakai. Bau crayon pecah di dalam beg semasa mengelas buku-buku itu saya masih ingat sehinnga kini.

*****

Saya membuka buku latihan matematik dua dan menyalin soalan di papan hitam. Lenguh jari pagi tadi semasa pedo tulisan latihan matematik masih belum hilang, dan kini ditambah lagi.

Saya tekun menyiapkan latihan matematik itu sambil berlumba dengan kawan saya siapa dapat siapkan dahulu apabila tiba-tiba,

"Hazrul!!!"

Suara Cikgu Salmah memecah kelas 3 Cermerlang itu.

Saya terkejut mendengar nama saya dipanggil oleh cigu yang mukanya seperti sangat bengis.

Dalam masa 1 saat itu saya rasakan seperti satu jam apabila saya cuba sedaya-upaya mengingati apa yang saya telah buat salah dalam kelas itu.

Adakah saya tergelak dengan kuat? Adakah saya tanpa sengaja mengacau pelajar lain? Atau adakah saya tersalah hantar buku latihan matematik tiga sedangkan apa yang cikgu pinta adalah buku latihan matematik satu?

Dan tiba-tiba Cikgu Salmah melayangkan sesuatu ke luar kelas. Sesuatu itu kelihatan seperti buku melungsur di udara dan jatuh di luar pintu kelas.

Satu kelas terkejut dan memandang objek itu.

Cikgu Salmah menjerkah lagi,

"Ambil buku kamu tu dan buat semula latihan hari itu"

Kaki saya menggeletar.

Di hemisfera kanan otak saya hanya terdapat perkataan 'takut'. Dan di hemisfera kiri otak saya terdapat perkataan 'malu'. Segala yang lain seperti sudah seolah-olah tiada dalam 5 minit itu.

Saya berjalan perlahan-lahan ke luar kelas dan mengutip buku latihan matematik saya itu.

"Kalau kamu malas dan tak suka matematik, buat kerja sekolah halai balai, jangan datang ke sekolah!". Cikgu Salmah menyambung.

Saya duduk terdiam di bangku.

Mata saya bergenang.

Bukan kerana malu.

Bagaimana sesuatu yang saya lakukan dengan sepenuh hati, sesuatu yang saya cintai dan jaganya dengan rapi, itu dikatakan sebagai hasil yang cincai dan halai balai?