Ahad, 16 Januari 2011

..kelongsong peluru..


..dan kerana memboikot, saya juga tidak minum Coca-cola kerana ianya milik Yahudi.

Jadi, oleh sebab saya memerlukan kaffein yang senang dibawa, saya perlu mencari minuman bergas yang lain.

Namun saya kecewa, kerana di cafe Leeds Medical School tiada dijual Pepsi dalam botol.

Akhirnya saya menjumpai alternatif lain. Ianya adalah minuman baru (baru bagi saya kerana tidak pernah merasa).

Ianya adalah minuman Dr Pepper.

Rasanya sedap, dan lain. Dan ia punya kaffein. Maka saya membelinya selalu.

Akhirnya tadi, saya terjumpa semula senarai barang yang perlu diboikot.

Dan amat mengejutkan saya, kerana Dr Pepper juga salah satu darinya.

Maka saya melihat botol-botol Dr Pepper itu di atas meja,



dan saya teringatkan kelongsong-kelongsong peluru artilleri yang digunakan untuk membunuh orang Palestine,


Sumber: Google 'artillery shell Israel'

Dan kemudian teringat pula gambar terkenal ini, gambar anak-anak Israel menandatangani peluru artilleri yang akan 'dihantar' ke Palestine.


Sumber: Google 'artillery shell Israel'

Oh tuhan, dah berapa peluru artilleri saya hantar untuk mengebom rakyat Palestine.

='(

Selasa, 4 Januari 2011

..harga sebuah kehidupan..

..dan saya memandang nota di atas meja itu. Nota 'dissection' yang ditulis rapi dengan tulisan tangan yang kira boleh dibaca dengan mudah, lengkap pula dengan lakaran 'highlighter' yang menandakan maklumat itu penting. Stiap soalan dalam buku latihan itu dijawab dengan penuh. Meski jawapan itu ringkasan daripada buku rujukan anatomi, tapi saya pasti ringkasan itu padat dan berisi dengan maklumat yang paling relevan dan tepat dan tidak bercabang-cabang menerawang. Buku soalan anatomi yang hanya setebal jari itu menjadi nota ringkasan daripada 2 buah buku anatomi yang secara totalnya hampir setebal sejengkal.

Menjimatkan masa untuk dibaca, tidak perlu menyelak setiap helaian buku-buku anatomi itu setiap kali hendak mengulangkaji, dan juga ringan untuk dibawa pabila masuk ke 'Dissection Room' untuk mengulangkaji anatomi. Tidak perlu difikirkan mana tempat untuk meletakkan nota yang ringan itu, boleh sahaja diletakkan di atas cadaver (mayat) sambil meneliti nota dan cadaver. Jika membawa buku ke dalam bilik itu, sukar untuk menyelak setiap helaian sambil meneliti urat-urat di spesimen kering itu.

Saya melihat buku kerja saya.

Masa masih berbaki 5 hari untuk peperiksaan anatomi, histologi dan embryologi atau 'Spot Test' terakhir sepanjang karier saya sebagai pelajar perubatan.

Masa yang diperuntukkan untuk modul ini adalah 5 minggu. Dan bagi modul anatomi kami diberikan sebuah buku kerja untuk disiapkan dalam masa 5 minggu seiring dengan berlangsungnya modul itu. Buku kerja itu merangkumi soalan berkaitan dengan anatomi dan merupakan garis panduan tentang apa yang wajib kami ketahui sebelum mengambil peperiksaan.

Dan sepertimana yang sudah biasa dengan saya semenjak saya di sekolah rendah lagi, buku kerja saya akan kosong dan bersih seolah-olah tidak pernah disentuh, termasuklah buku kerja ini.

Dan oleh kerana buku kerja itu kosong, maka dengan erti kata lain apa yang saya sepatutnya belajar dalam 5 minggu itu sebenarnya langsung tiada dalam kepala saya.

Atau, kosong.

Saya memandang nota kawan saya itu sekali lagi. Saya tahu, mereka ini semuanya baik-baik dan tidak kisah jika saya mahu meminjam nota mereka untuk menyalinnya. Saya juga tahu mereka tidak akan kisah langsung jika saya ingin mengambilnya untuk difotostat. Saya juga tahu sebagai rakan-rakan, memastikan semua orang pas dalam peperiksaan adalah penting sebagai satu tanda kerjasama.

Namun adakah tindakan saya jika saya menyalin nota orang itu tindakan yang betul?

Saya pulang ke rumah pada hari itu ditemani kesedaran lama saya, satu hukum dunia yang saya sering lupakan. Saya membuka buku-buku anatomi dan membacanya helaian demi helaian, sambil menjawab soalan di dalam buku soalan anatomi itu. Saya menghabiskan masa 3 hari untuk melengkapkan nota itu dengan berkurung dalam bilik, tanpa cukup tidur, dan tanpa hedonisma.

Ianya adalah harga yang saya terpaksa bayar. 3 hari seksaan untuk membayar balik 5 minggu bermain permainan komputer tanpa menyelak sehelai pun buku anatomi, histologi dan embryologi. 5 minggu makan, tidur, kuliah dan bermain permainan komputer.

*****

Semenjak saya di bangku sekolah, saya mula mempunyai tabiat untuk tidak membuat kerja rumah. Saya tidak ingat semenjak bila, mungkin semenjak darjah 3 atau 4, semenjak tumpuan kurang diberikan oleh ibu bapa kepada saya dalam soal pelajaran mungkin kerana saya mendapat keputusan yang agak baik dalam peperiksaan. Mungkin juga kerana pada umur itu saya telah mula pandai menipu ibu bapa dengan mengatakan bahawa kerja rumah telah siap (saya sedari saya pandai menipu semenjak sebelum tadika, namun tidak dengan ibu bapa sehingga darjah 3 atau 4).

Bagi saya, apa tujuan dan kebaikan membuat kerja rumah jika anda sudah tahu cara membuatnya dan dapat mengetahui jawapan soalan itu dengan hanya melihatnya sahaja? Contohnya apa tujuan kita untuk menjatuhkan sebuah pinggan jika kita sudah tahu ianya akan pecah, atau juga apa keperluan untuk kita menampar seseorang jika kita sudah tahu ianya akan membuatkan orang itu marah?

Apa keperluan kita untuk melakukan sesuatu apabila kita sudah tahu penghasilannya? Ianya langsung seperti perbuatan yang tidak logik dan tidak memenuhi salah satu prinsip hidup saya (hidup ini adalah sebuah eksperimen).

Melainkan kita memerlukan kepada hasilnya, contohnya kita memerlukan pinggan itu pecah supaya kita dapat menggunakan serpihannya, atau kita memerlukan orang itu marah supaya kita dapat bergaduh dengannya, kita tidak perlu sama sekali akan melakukan kerja rumah yang jawapannya memerlukan tenaga untuk ditulis atas kertas, namun langsung tidak membawa apa-apa kegunaan kepada kita.

Setiap pagi pabila tiba ke sekolah, saya akan membuka buku dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menyiapkan kesemua kerja rumah yang akan dikutip cikgu hari itu. Jika langsung tak sempat, saya akan terus menyalinnya dari kawan. Ianya sama sahaja, kerana saya sudah mengetahui cara membuatnya.

Sehingga saya sekolah menengah, tabiat ini berterusan. Apa yang diberikan oleh cikgu hanya akan menjadi bahan tiruan semata-mata. Kerja rumah yang paling saya ingat berupaya menyanggah tabiat buruk saya itu adalah membuat nota sejarah yang diarahkan Cikgu Ilyas semasa di tingkatan 2 dan 3. Kerana ianya memakan banyak masa, saya maksudkan betul-betul banyak.

Satu-satunya kerja rumah yang saya ingat saya buat dengan sendirinya adalah kerja Matematik Tambahan dan Fizik dari tingkatan 4 hingga 5. Saya membuatnya kerana subjek-subjek itu menarik, penuh misteri dan memerlukan pemikiran logik yang sungguh menakjubkan. Hanya kadang-kadang saya tahu cara membuatnya, dan setiap soalan dari subjek itu mengajar saya perkara yang baru. Cukup hanya dengan soalan dari buku teks mampu membuatkan otak saya segar dan panas dengan aliran darah. Itupun kedua-dua subjek itu kadang-kadang sahaja diberikan kerja rumahnya. 'Lab Report' Fizik, Kimia dan Biologi? Saya dan Huzai akan menirunya dari Thariq selepas prep malam.

Entah bagaimana dengan tabiat buruk itu saya dibenarkan tuhan untuk lulus dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu, dan seterusnya masuk ke Kolej MARA Banting membuat persedian dan akhirnya berada di sini.

Saya akur, meskipun saya lulus dalam semua peperiksaan di sekolah dan kolej itu, namun sebenarnya saya gagal mencapai matlamat utama institusi-institusi itu. Saya gagal membentuk disiplin. Dan tabiat buruk itu masih lagi saya kendong sehingga kini, tanpa disiplin yang cukup untuk bergelar seorang pelajar universiti, apatah lagi pelajar perubatan.

Namun saya faham, bahawasanya setiap sesuatu mempunyai harga tersendiri yang kita perlu bayar.

Ianya adalah hukum alam bagi saya.

Yakni setiap perkara itu mempunyai harga yang tersendiri yang setimpal dengannya. Tidak kurang, tidak lebih, ianya adalah setara.

Saya telah membayar harga 5 minggu bermain-main itu dengan 3 hari yang penuh penyeksaan mengulangkaji pelajaran. Dan Alhamdulillah, saya telah pas peperiksaan itu. 3 hari itu adalah yang sangat menyeksakan, tanpa tidur dan memerah otak dengan sehabisnya. Namun saya akur, kerana itulah harganya.

Saya telah membayar harga melayan kemalasan membuat kerja rumah semenjak sekolah rendah lagi dengan membuatkannya menjadi tabiat buruk saya sehingga kini. Bersenang lenang dahulu, dan kini saya sakit. Bermalasan dahulu, dan kini saya tak berdisiplin.

Jika kita lapar, kita perlukan makanan dan untuk itu kita perlu mencarinya.

Jika kita mahu makanan yang sedap-sedap, kita perlu membayar harga yang lebih mahal. Atau jika ianya sedap dan murah, ianya tak semestinya berkhasiat. Ayam dan kentang di sini yang di jual di kedai-kedai makanan berjenama 'kipas' adalah murah, namun yg ada di dalam makanan itu hanyalah sedikit protein di dalam ayam, karbohidrat dan minyak, tanpa sebarang zat lain. Jika saya hidup dengan makanan itu selama lima tahun di si sini, sudah tentu saya obes dengan lemak tanpa sebarang otot pun. Maka untuk mencari yang murah dan berkhasiat, memasak sendiri menjadi pilihan utama. Dan untuk harga makanan yang murah dan berkhasiat, harga yang perlu dibayar adalah memasak sendiri (yang boleh dikatakan memenatkan dan memakan masa).

Saya percaya kita mesti membeli semua benda di dalam dunia ini. Tiada apa-apa yang percuma. Setiap sesuatu yang enak mesti dibayar dengan harga kesakitan, dan setiap sesuatu yang menyeksakan kita akan datang bersamanya keuntungan berupa nikmat. Setiap sesuatu yang kita lakukan sedikit-sedikit itu sebenarnya tidak pernah dipersia-siakan, kerana yang sedikit-sedikit itu seperti pepatah Melayu akhirnya menjadi bukit. Yakni usaha kita yang sedikit-sedikit itu berupaya membelikan kita satu ganjaran berupa nikmat yang besar di penghujungnya.

Saya percaya kita mesti membeli semua benda di dunia ini. Tiada apa-apa yang datang kepada kita dengan sendirinya tanpa kita kehilangan sesuatu yang setimpal. Segalanya. Jika ada yang datang percuma, kita kehilangan sesuatu yang sangat berharga dari itu. Kita kehilangan 'pengalaman' daripada usaha untuk membeli pekara itu yang sepatutnya kita lakukan. Dan untuk pengalaman ini juga kita perlu membelinya dengan usaha.

Ramai orang berkata bahawasanya kasih sayang tidak dapat dibeli.

Namun saya tidak berpendapat begitu.

Bagi saya kita perlu membeli kasih sayang. Agak naif kiranya bagi saya orang yang berhujah sedemikian rupa. Seperti yang saya katakan teori adalah teori, manakala praktikal adalah praktikal. Dunia sebenarnya jauh dari kebenaran 'rock kapak', jauh sekali benar walaupun kita mengangguk tanda simpati dan sedih kepada ketulusan jejaka di dalam 'Bayangan Gurauan' oleh Mega, dan juga rintihan lelaki 'Tergamak Kau' nyanyian Ukays. Dunia bukanlah rock kapak.

Mungkin kerana ego manusia yang mahu dikenali dengan moral dan ketulusan diri, masing-masing daripada kita mengatakan cinta tidak boleh memandang kebendaan, dan juga harta. Kita mahu dipandang suci, dan dengan itu kita mahu dipandang sebagai ikhlas, dengan itu juga kita mahu dipandang sebagai tidak materialistik.

Namun teori adalah teori, dan realiti adalah realiti.

Kalau kutu tembok menggagah cinta anak penghulu, mahu dijamu apa perempuan itu pabila sudah bernikah? Jika seorang penagih dadah mahukan cinta seorang wanita berkerjaya, mahu diberi makan apa anak orang itu? Seorang lelaki perlu membeli cinta seorang wanita dengan wang, atau kata-kata cintanya hanyalah penipuan semata-mata untuk mencari keseronokan. Itu pendapat saya, mungkin benar, mungkin salah. Tapi cuba fikirkan jika ianya benar?

Dan juga kebahagiaan lain perlu kita beli. Kebahagiaan bersama orang tersayang, bersama keluarga, bersama anak-anak dan segala-galanya perlu kita beli.

Dan harga yang termahal untuk kita beli segala-galanya adalah sesuatu yang termahal dan paling berharga yang setiap manusia punya.

Yakni masa.

Mereka berkata masa itu emas. Dan sesungguhnya masa itu adalah lebih dari emas.

Dengan membayar menggunakan masa untuk mengulangkaji pelajaran, anda dapat membeli kejayaan di masa hadapan. Dengan membayar menggunakan masa untuk meluangkan dengan orang yang tersayang, anda membeli kebahagian hidup anda.

Dengan membayar menggunakan masa anda, anda dapat membeli hampir kesemua perkara di dunia ini. Untuk berjaya di dalam pelajaran, anda perlu meluangkan masa mengulangkaji pelajaran. Anda boleh sahaja menggunakan masa itu untuk bersuka-ria, namun adakah kejayaan yang akan anda peroleh darinya? Dengan meluangkan masa atau juga mencuri masa untuk bersama orang tersayang juga, anda dapat membeli kasih-sayang dan kebahagian yang anda mahukan. Tidak naif kiranya seorang wanita mengucapkan "Saya tidak mahukan wang anda, saya mahukan anda sentiasa bersama saya", kerana sebenarnya dia menjual kasih sayangnya dengan perkara yang paling berharga yang ada punyai, yakni masa anda. Satu kesilapan kiranya yang akan melanda masyarakat kita pabila timbunan kerja semakin berlambak di pejabat semata-mata mahu memastikan makanan sentiasa ada di atas meja keluarga mereka, namun pulang hampa pabila pasangan mereka sudah hilang pulang ke pangkuan keluarga.

Berbekalkan dengan 'masa' ini, kita sebenarnya telah lama menggunakannya sebagai mata wang dalam kehidupan kita. Sepertimana kita sentiasa meluangkan masa kita untuk bermain sukan, kita membeli kesihatan kita darinya, supaya pabila tua kita tidak cepat semput dan makan 20 biji pil sehari. Seseorang yang menggunakan masanya berlatih bermain piano atau alat musik akhirnya memperoleh kepakaran di dalamnya. Dan dengan masa ini juga sebenarnya kita membeli wang kita; kita menggunakan masa kita untuk bekerja dan memperoleh gaji.

Namun dengan hukum alam ini juga, kita sering lupa bahawa sesuatu yang bertentangan dengannya juga adalah benar.

Jika kita membayar untuk membeli sebuah nikmat dengan harga sebuah kepayahan, kita juga sebenarnya membayar harga sebuah kepayahan dengan nikmat.

Seperti yang saya ceritakan bahawasanya saya menghabiskan masa saya untuk bermain permainan komputer dengan akhirnya kesengsaraan mengulangkaji, saya sebenarnya membeli kesengsaraan saya di penghujung dengan nikmat di awal.

Seperti kita yang sering bermalasan kerana peperiksaan masih jauh, kita sebenarnya membeli kesengsaraan kita dengan sebuah kenikmatan, atau juga "bersenang-senang dahulu, bersusah-susah kemudian". Ianya adalah sesuatu yang setimpal, dan benar untuk keterbalikannya.

Harganya mestilah setimpal.

Dan suka untuk saya katakan di sini yag sering berlaku dalam masyarakat kita, anda membayar harga menggunakan 'kabel' dengan permulaan korupsi, yang akhirnya membuahkan kepada kemunduran negara dan kemudiannya megorbankan masa depan anak anda sendiri. Agak seronok di permulaan, namun akhirnya natijahnya jatuh menghempap anak cucu kita sendiri. Dan juga kita membayar harga menggunakan subsidi sebagai stimulasi ekonomi dengan kebergantungan rakyat terhadapnya. Akhirnya apa yang terjadi adalah tiadanya daya ekonomi yang bermula dengan semangat keusahawanan. Kita membayar segala kesenangan kita sekarang dengan kesusahan di masa hadapan. Walaupun perkara ini bersifat nasional dan rata-rata kita berpendapat 'Saya hanyalah insan kecil yang tidak signifikan dalam negara ini', atau 'satu undi saya tidak membawa apa-apa perubahan', namun seperti yang saya katakan 'sikit-sikit lama-lama jadi bukit', contoh ini sebenarnya merangkum kita semua.

Saya tidak percaya dengan wujudnya jalan pintas dan jalan mudah. Bagi saya dalam hidup ini tiada jalan mudah dan jalan pintas.

Jika terdapat dua jalan merentasi gunung, di mana satu jalan adalah jalan datar dan tidak mencabar, manakala satu lagi adalah jalan di lerengan bukit berbahaya dan mencabar. Kita boleh mengatakan jalan yang terbaik adalah jalan pertama kerana ianya mudah. Namun adakah jika kita mengambil jalan yang mudah itu, kita akan mendapat apa-apa pengalaman dari perjalanan kita? Adakah kita akan memperoleh ketahanan jiwa dalam menyelusuri kehidupan mencabar dengan mengambil jalan mudah setiap kali kita membuat keputusan? Kita akan membayar harga mengambil jalan mudah itu dengan memperoleh kekurangan berbanding jika kita mengambil jalan yang lebih mencabar, yang sudah pasti hasilnya lebih memuaskan berbanding sesuatu yang mudah dan senang dicapai.

Dan pula jika terdapat dua jalan, dimana jalan pertama mengambil masa yang singkat kerana lebih dekat atau lebih pintas dan jalan kedua pula adalah jalan yang lebih jauh dan lebih lama perjalanannya. Jika kita mengambil jalan pertama dan berjalan menyulusurinya, dengan masa yang singkat kita akan sampai dengan hanya sedikit kegiatan fizikal. Namun jika mengambil jalan kedua, kita mungkin akan tiba dengan lebih stamina dan lebih berotot atau kuat kerana stimulasi fizikal itu.

Bagi saya, segala-galanya di dalam hidup ini mestilah dibeli dengan sesuatu yang sama nilai dengannya.

Mungkin agak kedengaran seperti 'The Law of Equivalence Exchange' di dalam anime terkenal Fullmetal Alchemist, namun itulah realitinya.

Dan perkara yang paling berharga yang kita punyai adalah masa.

Dan dengan masa ini kita mampu membeli hampir kesemua perkara di dalam hidup ini, kecuali satu perkara, dan perkara itu adalah masa kita sendiri, yakni masa hidup kita.

Sebenarnya, apa yang benar-benar kita punyai dalam hidup kita, hanyalah masa kita.