Ahad, 24 Januari 2010

..lohong kosong dalam dirinya..

Amaran: Cerpen rekaan semata-mata

..dan dia menatap wajah dalam sekeping gambar yang dia peroleh dari temannya itu.

"Kacak"

Getus hatinya. Geram rasanya berjumpa lelaki sekacak itu.

Terngiang-ngiang dalam telinganya lagi bibit ucapan mereka berdua semasa berjumpa seminggu yang lalu. Ketika pertama kali berjumpa dengan Zul, dia sudahpun terpaku sebentar melihat kekacakan wajah Zul itu. Terhenti seketika degup jantungnya untuk beberapa saat, kakinya terpasak ke tanah pabila Zul semakin dekat. Kelu lidahnya. Dia terasa seperti lupa untuk bernafas biarpun ketika itu bayu malam begitu lembut membelai pipinya bak memukau "Inilah takdir engkau".

"Assalamualaikum, saya Zul" Zul lembut menyapa.

Dia terkaku lagi, kali ini terpesona pula dengan suara Zul yang dirasanya sampai terus ke hati.

"Mmm. Mmm,....." Dia gugup seketika, bagai tak mampu melafaz bicara.

Malam itu, di majlis penutupan program kolejnya itu dia merasakan itulah saat paling bahagia dalam dirinya. Zul dirasakan dirinya lelaki paling sempurna. Zul mampu mengisi kekosongan dalam jiwanya. Zul lah cahaya malamnya. Zul lah segala-galanya.

Besoknya dia mencari-cari Zul ketika dia ke Kafe semasa makan tengah hari. Terjengah-jengah lehernya panjang mencari-cari dikalangan orang yang beratur itu kalau-kalau Zul ada. Hasrat di hati hanyalah mahu menatap wajah Zul. Harinya tak lengkap tanpa Zul.

"Hai, apa yang kau nampak gelisah sangat ni ha?". Temannya Siti menyapa semasa dia mengacau-ngacau mee karinya. Sangat jelas hingga dia tak sedar kerana teman-temannya sudahpun habis menyantap.

Dia jadi gelabah. Takut-takut dihidu temannya. Dia menarik lehernya bagai kura-kura kembali, sambil meninggikan bahunya malu. Tanpa tersedar dia sedang tersenyum.

"Eh tiada apa-apa" Dia membalas cuba buat bersahaja.

"Tersengih-sengih macam kerang busuk, engkau ni aku tengok sudah macam kena rasuk hantu" Kawannya membalas.

"Eh ada-ada saja engkau ni" Dia menyangkal, tanpa disedari dia tersenyum lagi. Memang dia dirasuk, dia dirasuk oleh sesuatu yang dinamakan kesempurnaan, sesuatu itu adalah insan bernama Zul.

"Hoi gemuk! Petang ni kita kelas apa ha?!" Suara keras dari seorang lelaki yang paling tak digemarinya hinggap di cuping telinganya, terasa bagai kepalanya itu telah dilibas oleh bilah tingkap yang jatuh dari siling. "Cis mamat ni memang potong stim". Hatinya berbisik benci.

"Tengoklah jadual sendiri bodoh!" Dia membalas kembali deras. Prinsipnya kini membalas sama hebat. Biar buku bertemu ruas, biar gerutu di balas keras!

"Malas" Syamsul membalas sambil mebuat bodoh.

"Hiii.. pemalas. Datang habiskan duit mak bapak. Lepas ini Perdagangan Antarabangsa. Dah, berambus kau setan!" Dia betul-betul meradang.

Syamsul beredar seraya ketawa.

Dia kembali mencari-cari Zul di dalam keasakan Kafe itu. Ah, sudah jumpa. Zul duduk betul-betul dihadapannya. Peluang cerah baginya mengintai Zul, peluang cerah juga bagi Zul nampak dirinya, peluang cerah juga bagi hati mereka terpaut, peluang cerah bagi impiannya jadi nyata.

Tapi sayang, rupa-rupanya Zul sudahpun habis makan. Zul bangun, basuh tangan dan beredar bersama kawan-kawannya. Sedikit pun tak sedar akan dirinya.

"Cis, kalau tak kerana Syamsul Binatang yang menggangu tadi, sudah tentu aku punya lebih masa melihat Zul" Hatinya meneran geram. Sialan.


*****


3 bulan selepas itu.

"Sayang sayang, sayang sayang sayang? Sayang saaaayang sayang"

"Tentulah sayang, sayang sayang sayang tau"

"Hihi, sayang tahu, saja nak sayang ulang dan ulang lagi dan ulang"

"Eh sayang ni, ada-ada saja tau"

Malam itu sambil memegang gambar Zul itu, sambil memandang ke langit malam, sambilnya mulutnya berkata-kata sipu, dia merasa dirinya gembira bukan kepalang. Jika Zul ibarat langit, dia mahu jadi bumi, jika dia menjadi aur, Zul berjanji meneman sebagai tebing, andai kata dia menjadi awan, Zul berbisik setia hembus angin, janji dia dan Zul malam itu supaya mereka ibarat bulan dan bintang. Setia. Sampai bila-bila.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Bingit telinganya yang asyik mendengar sabda Zul. Ada panggilan luar lain masuk. Kacau sungguh. Dia berkata pada Zul supaya menunggu seketika kerana ingin melihat panggilan siapa.

Namun hatinya berang pabila terpandang nama di skrinnya itu adalah Syamsul Binatang.

"Bodoh, mamat ni memang nak aku lempang"

Dia buat tak tahu pada panggilan Syamsul.

Dia sambung kembali berbual dengan Zul.

Dia beri kembali hatinya pada Zul.


*****


Setahun sebelum 3 bulan selepas itu.


"Sayang sayang, sayang sayang sayang? Sayang saaaayang sayang"

"Tentulah sayang, sayang sayang sayang tau"

"Hihi, sayang tahu, saja nak sayang ulang dan ulang lagi dan ulang"

"Eh sayang ni, ada-ada saja tau"

Dia terasa bahagia ketika saat dan waktu itu. Dia terasa bagai dunia ini dia yang punya. Dia terasa bagai di atas awan mengeliling buana. Oh, biarpun saat itu dia tahu fana, dia tetap merasakan perasaannya sudah pun sempurna.

"Man sayang, jangan nakal-nakal tau. Jangan pandang perempuan lain tau? Kalau I tahu, siap u sayang!"

"Tentulah tak sayang. I janji I setia pada U seorang saja. I janji I tak akan kecewakan U. U lah satu-satunya wanita dalam hidup I. U adalah pelengkap hidup I" Rahman meyakinkannya. Dia percaya Rahman akan setia.

Besoknya dia keluar dengan Rahman ke ibu kota. Rahman bawanya jalan-jalan sekitar kota. Belum pernah lagi dia menjadi serapat ini dengan mana-mana lelaki. Dia hanya keluar bersama Rahman, kerana hatinya sudah jadi milik Rahman. Rahman bawa dia bersiar-siar, Rahman bawa dia keluar makan, Rahman belanjanya ke wayang. Rahman pandai pujuk dirinya dikala dia merajuk. Rahman tahu bila dia sedang 'tension' dengan peperiksaan.

Jika dia merasa sedih, Rahman akan tahu. Rahman akan cepat-cepat pujuk hatinya itu. Kadang-kadang dia tak sedih pun, dia hanya mahu dengar Rahman memujuk rayu.

Dia tahu, Rahman lah penawar dukanya. Rahman sentiasa ada di kala dia sedang nestapa.

Rahman adalah hatinya.

Dia mahu bersama Rahman hingga ke hujung dunia.

Dia mahu bersama Rahman sampai akhir nyawa.


*****


3 bulan selepas setahun sebelum 3 bulan selepas itu.

Jiwanya sekarang dirasakan sudah parah. Dia sudah angau sama Rahman. Dia juga dapat rasa jauh dalam pangkal hatinya itu, bahawasanya Rahman juga sentiasa memikirkannya. Kali ini dia yakin, dan seyakin-yakinnya, Rahman sudahpun mengubati luka lama di hatinya itu.

Rahman sudah lama mengisi dadanya itu. Dia tahu hal itu, dia tahu semenjak pertama kali dia jumpa Rahman. Dia tahu satu hari nanti Rahman akan menjadi penawar dukanya itu. Saat Rahman mem'backup' dirinya yang sedang dimarahi Syamsul, dia tahu Rahmanlah penyelamat, Rahmanlah penolong. Semua dia tahu, semua dia rasa, dari mula lagi sejak pertama kali dia lihat wajah Rahman.

Wajah Rahman sentiasa di hatinya.

"Sayang, mana U pergi tadi?"

"Owh sori sayang, I dekat toilet tadi. Takkan lah I nak bawa handphone dalam toilet sayang. Nanti orang kata bercakap dengan tahi pula."

"Hikhik, U ni kelakarlah sayang. I sayang U tau"

"I sayang U juga. Eh besok I ada hal dengan kawan I"

"Owh. Ok. Kena keluar ke?"

"Yup. Tapi....."

"Owh ye ke. Tak pe, nanti bila-bila pun kita boleh keluar lagi. I tak pe, U pergilah dengan kawan-kawan U"

"Betul ni sayang? Sedih tau I tak dapat bawa U keluar minggu ni"

"Tak pe sayang. Minggu lain boleh keluar. Yang penting U ingat kat I tau?"

"Tentulah I ingat kat U sayang. Thanks tau sebab memahami. Sebab ni lah I sayang sangat kat U tau."

"Tak pe sayang. I love U"

"I love U too sayang."


*****


4 bulan selepas 3 bulan selepas setahun sebelum 3 bulan selepas itu.

"Sayang, siapa Hayati sebenarnya?" Dia meninggikan suara bengang. Dia tak mahu orang berselindung lagi dengan dirinya. Dia tak suka ditipu. Dia tak suka diperdaya selepas dia memberikan jiwanya kepada orang itu. Rahman dirasakan sedang bermain udang dan batu dengannya. Rahman sedang menyembunyikan sesuatu darinya.

"I ada sesuatu nak cakap dengan U. I rasa, kita tak sepadan. U ni degil sangat. U bukanlah apa yang I nak. Kenapa kita lain dari pasangan lain? U ni kuat sangat memberontak. I rasa sampai sini sahaja hubungan kita" Rahman membunyikan suaranya kali terakhir, suaranya yang penghujung dalam memorinya tentang Rahman.

Setelah memberikan seluruh kalbunya kepada Rahman, kini dia rasa dunianya kelam. Awalnya Rahman ibarat benih yang singgah di hatinya. Hatinya sedia subur menerima Rahman untuk disemai girang, untuk dibaja dengan alunan kasih sayang, untuk disiram dengan bait-bait kata indah menyulam, untuk digembur dengan seloka riang, dan untuk dirawat dengan pujukan tenang.

Dan pohon cinta Rahman itu tumbuh subur dalam dirinya.

Subur, dan besar, dan berakar tunjang jauh menyelinap ke setiap penjuru hatinya. Penjuru yang belum lagi pernah diteroka. Setiap genap hatinya dihuni Rahman.

Dia biarkan pohon cinta Rahman menyelinap dan bersemi dalam hatinya. Dia biarkan hatinya diseluruhi akar kasih Rahman, dia biarkan hidupnya dihujani embun sayang Rahman.

Dia biarkan hatinya dipunyai Rahman.

Tanpa disangka.

Rahman meragut keras kembali pohon itu. Rahman dengan kejam mencabut pohon itu dalam sekelip mata. Dengan ganas, tanpa belas. Rahman ragut jiwanya.

Dan dia menangis. menangis. Dan terus menangis.

Hingga air matanya sudah kering. Kering hingga dirasakan sudah getir. Hatinya genting, dia rasa seperti mahu mati.

Setelah pohon cinta Rahman dicantas, akarnya mati.

Bekas akar itu meninggalkan lohong-lohong kosong.

Sebelum ini lohong itu terisi sesuatu. Ianya padu. Pabila akar pohon Rahman tumbuh, ianya membuka ruang itu. Dan kini, pabila akar itu layu, yang ada hanyalah lubang sayu.

Lubang itu mencipta kekosongan dalam jiwanya. Lohong itu memaksa dia menjadi gila. Lubang itu mesti di isi, lohong itu mesti dimasuki penganti.

Dia menangis lagi. Sebelum bersama Rahman, dia mampu ketawa semula dengan sendirinya. Kali ini tiada lagi Rahman untuk memujuk. Rahman selalu memujuknya dikala dia berduka. Rahman menyelinapkan akar dalam hatinya, kini Rahman mencipta lohong kosong dalam dirinya.

Dan lohong itu perlu diisi.

"Haha, tengok perempuan bodoh ini menangis sebab lelaki" Syamsul tiba-tiba dari belakang mengherdik.

Dia geram seraya menjerit kembali "Bab*!"

Syamsul ke belakang seolah-olah pening. Syamsul tahu kali ini dia memang naik angin.


*****


11 bulan selepas 4 bulan selepas 3 bulan selepas setahun sebelum 3 bulan selepas itu.

Zul memandang tepat pada matanya.

Dia renung jitu mata Zul.

Mulut mereka sama-sama tersenyum.

Hati mereka sama-sama terangkul.

Dia sayangkan Zul, dia kasihkan Zul. Begitu juga Zul padanya. Zul cintakannya, Zul belai jiwanya.

"Zul, Zul betul-betul sayangkan saya ke?"

"Tentulah, saya betul-betul sayangkan awak. Ok?"

"Tipu" Dia menjuih mulut muncung, mengerutkan dahi.

"Betul sayang, saya betul-betul sayangkan awak tau. Saya sanggup bersama awak tak kira apa jua berlaku. Saya sentiasa doakan kita supaya sama-sama tau. Saya sayangkan awak sangat-sangat tau"

Dia tersenyum. Hasratnya mahu Zul kembali ulang ayat itu tercapai, dan tanpa disangka Zul juga mengulang sumpah setia. Dia gembira. Dia sayangkan Zul.

Kini dia rasakan sesuatu telah terjadi, sesuatu di dalam diri, sesuatu di lubuk hati.

Dia rasa dia menemui pengganti. Akar itu sudah kembali. Lubang dalam hatinya sudah dihuni, lohong itu sedang digenangi.

Zul telah berjaya menembusi jiwanya. Kini, Zul lah pemilik cintanya.

Dia terasa dirinya kembali bernyawa. Zul telah hadir dalam dirinya, dia tahu sejak pertama kali dia melihat Zul dan menatap wajah Zul yang penuh dengan kesempurnaan itu, kesempurnaan yang memberi isyarat pada jantungnya supaya berhenti berdegup dan pada masa yang sama berdegup kencang, sekencang-kencang angin taufan, sederas-deras tsunami, sekuat-kuat gempa bumi di Haiti.

Zul mengisi lohong kosong dalam dirinya.

Dia menjadi gembira kembali.


*****


4 bulan selepas 11 bulan selepas 4 bulan selepas 3 bulan selepas setahun sebelum 3 bulan selepas itu.

Semenjak semalam dia menangis.

Kali ini hatinya betul-betul terasa. Kegembiraan. Zul akan menyambung ijazah ke luar negara kerana berjaya dalam permohonan program berkembar dengan universiti luar negara. Zul akan bertolak dalam masa 3 bulan lagi. Ini bermakna dia punya masa 3 bulan lagi dengan Zul

"Akan aku penuhi masa ini bersama-sama dengan Zul"

Tapi kegembiraan itu juga datang dengan kesedihan. Kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan Zul. Dan sebenarnya kesedihan itu lebih besar dari kegembiraan. Sangat besar sehinggakan gundah hatinya memikirkan tentang pemergian Zul dalam masa 3 bulan lagi. Dia rungsing, bingung, dan keliru. Entah apa yang dia fikir, kusut. Tak tahu hendak buat apa.

"Apa aku perlu buat?"

Dia betul-betul hampir gila. Biarpun Zul sudah berjanji setia dengannya, dia masih lagi risau. Entah apa yang dirisaukan pun dia sendiri tidak tahu. Terlalu serabut.

Zul menelefonnya setiap malam bagi menenangkan hatinya. Zul memujuknya supaya kembali gembira. Zul merayunya supaya memahami dan bersedia. Zul juga berulang kali menyebut 'Cinta'.

Hatinya masih gundah. Jiwanya masih gulana. Berderau-derau darahnya di saat dia melihat kalendar dan menghitung hari ke masa yang hanya bersisa beberapa minggu itu lagu. Jantungnya berdegup mengikut rentak saat jam kiraannya, jam hatinya yang menghisab baki masa Zul bersamanya.

Dan pada hari itu, sekian bersama lepasnya Zul melintasi pengawal passport, air matanya tumpah selama satu hari satu malam.


*****


7 bulan selepas 4 bulan selepas 11 bulan selepas 4 bulan selepas 3 bulan selepas setahun sebelum 3 bulan selepas itu.

Dia log-on, dan log-out kembali Skype.

Cuba-cuba mengintai kalau-kalau Zul online.

Zul janji mahu berbicara dengannya malam itu. Zul sudah berjanji. Dia akan setia menunggu. Dia akan senantiasa menanti.

"Hoi tembam, apa kerja kita besok?" Tiba-tiba sapaan Yahoo Messengger dari Syamsul Binatang itu melenyapkan rasa rindu. Terus diganti dengan perkataan mencarut.

"Bodoh, salinlah sendiri lain kali" Dia membalas pendek, dan terus tekan butang 'invisible'.

"Hekeleh, invi plak. Owh, nak pandai, pandai sorang-sorang. Selfish" Syamsul membalas.

Hatinya menyumpah berkata "Bodoh punya budak. Dah la gelap, muka buruk, pemalas. Mulut macam sial. Perangai memang tak layak hidup kat dunia. Mati pun kena tendang keluar neraka. Orang macam kau layak jadi sperma yang terbuang dalam lubang tandas sahaja. Bodoh. Kecik-kecik tak nak mampus. Besar-besar menyusahkan orang. Entah macam mana la awek engkau boleh tahan dengan perangai engkau yang macam jembalang nih. Mesti engkau pakai minyak guna-guna" Ayat biasa sumpahannya.

Dan malam itu, bersama bingit hatinya bengang pada Syamsul, hatinya sayu berakhir kecewa dengan Zul.

"Mungkin dia sibuk"


*****


4 bulan selepas 7 bulan selepas 4 bulan selepas 11 bulan selepas 4 bulan selepas 3 bulan selepas setahun sebelum 3 bulan selepas itu.
Kelu.

Tidak mampu berkata apa-apa. Hatinya kosong tidak berirama. Zul sudah mengecewakanya. Dia menghabiskan beratus ringgit menelefon ke luar negara. Membuat panggilan kepada Zul yang sudah tidak sudi melayannya.

Dia sekali lagi kecewa.

Zul memberi kata pemutus baginya. Zul meninggalkannya kerana sudah menemui seseorang di sana. Zul mengatakan bahawasanya dia tidak akan paham keadaan di sana. Dia jauh dari Zul, tidak dapat berkata-kata dengan dekat lagi. Dia di sini, Zul di sana. Hatinya kembali sunyi, Zul tetap gembira.

Rimba kasih sayang yang Zul semai dalam dirinya kembali ditarah.

Ditarah sehingga tiada secebis pun pohon yang tinggal.

Rimba cinta Zul lebih banyak akarnya dari pohon cinta Rahman.

Dan kini, derita yang Zul tinggalkan lebih besar dari duka Rahman.

Akar rimba Zul layu, mati. Kering, reput. Luluh, ditiup. Akhirnya angin menerbangkan sisa-sisa debu Zul dalam dirinya. Dan kini, lohong itu kembali merajai. Lohong kosong yang mebuka hatinya lebih besar, mengoyak jiwanya lebih kasar, dan mencarik-carikkan kembali perasaan sayangnya pada dirinya yang kembali semula semenjak kali pertama Zul memberi salam di malam itu.

Dirinya kosong.

Layu tidak bermakna, kosong tidak bernyawa, lohong tidak bercinta.

Dia kembali pada dirinya yang lalu. Oh tidak, bukan pada dirinya yang dilahirkan, dia kembali pada dirinya semenjak kali pertama putus cinta.

"Hoi, kau ni apasal muka macam teran berak je?" Syamsul berkata semasa melintasi sebelahnya.

Cis, bedebah itu kembali. Tak habis-habis mahu cuba membunuh jiwanya lagi. Biarpun emping jiwanya itu sudahpun hampir lunyai dilanyak-lanyak ayat-ayat pedas si Syamsul, dia kira sabar di dadanya masih kira mampu ditahan. Masih belum jadi Krakatoa.

"Apa kau mahu lagi, ha bangang?" Tanyanya.

"Tiada apa-apa, salahkah aku melintas dijalan ini? Ada ini jalan bapak engkau yang punya, perempuan jembalang?" Syamsul membalas, kencang.

Aduh, sudah parah kejahatan si Syamsul Binatang itu.

Dia mencebik muka masam. Malas melayan.

Syamsul ketawa sebentar. Kemudian dia beredar, puas mungkin pabila orang mencemuh dirinya.


*****


9 jam selepas 4 bulan selepas 7 bulan selepas 4 bulan selepas 11 bulan selepas 4 bulan selepas 3 bulan selepas setahun sebelum 3 bulan selepas itu.

"Hoi perempuan berwajah buruk, mana kau download jadual tu?"

"Hoi-hoi ape ah bangsat? Botol kicap pun ada nama tau!"

"Amboi sombong, tak padan dengan hodoh nak sombong-sombong. Kedekut"

"Biar lah kat aku. Kau tu dah la lembik, perangai macam jin. Tengok kau ni pun da menyedihkan, ada hati nak kutuk aku"

"Thanks. Rilek-rilek sudah. So mana kau download jadual tu hah nenek kebayan?"

"Hoi binatang, cari sendirik la!"

Syamsul membuat darahnya menyirap. Kali ini betul-betul. Darahnya yang merah pekat dan likat itu menjadi cair dan mengalir laju seperti air sirap oleh kegampangan mulut Syamsul itu.

Malam itu puas hatinya memaki hamun Syamsul.

Namun setelah gembira kerana berjaya memaki hamun Syamsul, dia terfikir. Tiap-tiap malam selepas memaki hamun Syamsul, dia tersenyum puas.

Dia terfikir akan Syamsul.

Beza Syamsul dengan orang lain adalah kerana Syamsul itu kerap menyakiti hatinya. Benar, Syamsul itu sangat menjengkelkan hatinya.

Namun tak seperti orang lain yang suka bercakap manis dengannya, yang selalu berakhir dengan kekecewaan.

Mereka menanam benih kepalsuan dalam dirinya. Dan bila benih itu bercambah dan mencengkam kuat hatinya, mereka meragutnya dengan penafian. Segalanya bermula dengan kegembiraan dan berakhir dengan kekecewaan. Segalanya bermula dengan janji kesetian dan berakhir dengan kedustaan.

Akan tetapi Syamsul selalu menyakiti hatinya, tetapi juga pabila dia mencemuh kembali Syamsul dia berasa puas hati. Puas kiranya kerana dapat melepaskan tekanan hidup pada seseorang. Kiranya kalau dia berasa tak puas hati tentang sesuatu, berasa tertekan dengan sesuatu ianya akan terlepas pabila dia mencemuh Syamsul.

Biarpun tekanan dan kegeraman itu senantiasa dilembutkan dengan pujukan teman lakinya, baru dia sedar bahawasanya itu sebenarnya masih belum cukup memuaskan hatinya.

Mungkin, kerana bukan sahaja ianya baru bermula. Mungkin kerana sudah lama lagi prinsipnya dibina. Mungkin kerana dari awal lagi, prinsipnya begitu.

Biar buku bertemu ruas, biar gerutu di balas keras.

Dan sedikit sebanyak dengan gangguan Syamsul itu, hatinya tenang.

Mungkin selama ini segala yang bermula dengan kegembiraan itu berakhir dengan kekecewaan. Dan mungkin juga, segala yang bermula dengan kebencian itu akan berakhir dengan kasih sayang.

Dia sudah menemui isi untuk lohong kosong dalam dirinya itu.

Bermula malam itu, baru dia sedar. Nama lelaki itu di hatinya bukan lagi Binatang malang, tetapi sudahpun menjadi Bintang malam.





Amaran: Cerpen rekaan semata-mata. Tiada kena mengena antara hidup dan mati. Diinspirasikan dari kisah kucing penulis bernama Jojo yang kerap syok sendiri.

2 ulasan:

  1. cerita pendek yg panjang...
    tp aku suka...
    wat lg wei...hehe
    kisah fitri kepala besaq ka...hehe

    BalasPadam
  2. wah jiwangs hehe. btw saya tulis cm laki? i hope thats a good thing then hehe :)

    BalasPadam