Jumaat, 19 Februari 2010

..cicakboy..

..dan saya memerhatikan benda bulat 3 biji berwarna putih itu. Saiznya kecil sebesar kacang pea. Bujur. Saya tak pernah lihatnya sebelum ini.

Saya mengambilnya dari atas para rumah tok itu. Pegang di tangan. Tiba-tiba tok menyapa dari belakang,

"Jangan duk main teloq cicak tu"

Saya menjawab, 'curious'

"Awat tok?"

"Tak pernah orang buat main menda tu"

Dengan perasaan ingin tahu serta degil kepala ini, saya pegang juga, dan tidak melepaskannya. Tok memerhatikan sahaja, dan terus ke dapur.

Saya memegangnya dengan penuh ingin tahu. Saya suka bermain dengan cicak dahulu. Suka tengok ekornya yang meleting-leting pabila putus semasa saya cuba menangkapnya.

Penuh curiga.

Maka benarlah apa yang dikata,

'A child is like a scientist'

Fitrah rasanya sifat itu bagi semua manusia, tak kira kecil ataupun sudah bekerjaya, tak kira pengutip najis ataupun saintis.

Pabila melihat saya yang asyik dengan telur cicak itu, tok tanya saya,

"Nak buat apa teloq cicak tu?"

Saya menjawab penuh harapan,

"Nak tunggu sampai menetas"

Tok hampir ketawa mendengarnya. Namun kerana sayang cucunya, tok layan juga. Lantas tok ambil kapur dan meletakkan telur cicak itu di atas tangannya sambil menguli dengan kapur. Tok kata kapur panas, ini akan tolong telur itu menetas. Baru sekarang saya sedar, orang Melayu ini sebenarnya pandai dalam sains. Jadi memang tak ada alasan untuk dapat markah rendah dalam sains. Mungkin kerana belajar dalam bahasa yang lain dari bahasa pemikiran mereka, maka mereka dapat markah rendah dalam sains.

Balik kepada telur tadi, saya menguli telur itu dengan kapur. Agak panas rasanya tangan, tapi terus menguli penuh kesabaran. Sampai petang saya rasa saya uli benda itu. Tok kata bukannya sehari nak menetas, ambil masa juga. Maka petangnya dengan rasa berat hati, saya tinggalkan telur itu di rumah tok kerana ditegah abah.

Besoknya selepas tadika, saya datang lagi. Dan saya ulinya lagi. Dengan penuh sabar. Sampai kan tok meramas-ramas kuat tangan saya semasa basuh tangan untuk makan. Tok letak sabun dan tonyoh kuat-kuat tangan saya. Sakit. Geli baginya dengan telur cicak, saya rasa. Dan petang itu saya uli kembali telur itu. Dan saya pulang lagi dengan rasa kecil hati. Tambahan pula hari itu hari Khamis, maka besoknya saya tiada tadika, dan saya tak akan ke rumah tok lagi hinggalah hari Ahad.

Maka hati ni berasa sedikit susah. Tapi tak mengapa. Masih ada minggu depan.

Tidak sabar rasanya mahu menunggu lagi dua hari untuk melihat seekor anak cicak yang comel menetas di atas tangan saya.. Cicak dewasa tidak comel. Cicak dewasa lagi menarik dibuat panggang hidup-hidup atas api. Semakin tak keruan rasanya pabila membakar cicak itu menunggu-nunggu badannya kembung dan meletus. Jika semasa meletus itu masing-masing akan lari jauh, takut terpercik ke muka. Kalau air letusan itu meletus kena muka adik saya, saya akan ketawa berdekah-dekah sambil berguling atas lantai simen, kalau kena muka sendiri akan terkapai-kapai sambil lari menahan muntah mencari sinki, seperti raksasa di'fire' Ultraman.

Pulang di rumah ada kakak dan abang saya. Abang kadang-kadang bawa pulang gula-gula untuk saya dan adik Wan. Dan hari itu, syukur, abang bawa pulang gula-gula. Girang hati rasa.

Petang itu saya pegang gula-gula kecil itu dalam tangan sambil main dengan adik. Main atas katil dua tingkat bilik belakang. Satu persatu gula-gula kecil bulat itu dimasukkan ke dalam mulut. Sekarang baru saya tahu, rupanya 'coating' putih di luar gula-gula itu adalah gula serbuk. Patutlah rasa manis pabila masuk dalam mulut.

Saya rasa, kali pertama saya begitu berminat dengan Dinosaur adalah kerana cicak. Dan di bilik belakang itulah saya selalu membelek buku Dinosaur yang dibeli emak untuk abang. Di bilik belakang itu juga saya pernah terjumpa rangka seekor cicak yang mati, dan pabila melihat persamaan dengan tulang Dinosaur dalam buku itu, minat saya makin bercambah-cambah. Pada masa itu saya mungkin membayangkan Dinosaur itu masih hidup kerana ada tulangnya dalam bilik saya, walaupun saya terpaksa menidakkan pemikiran logik saya yang bertegas bahawasanya Dinosaur itu telah pupus 65 juta tahun yang lalu. Saya tak tahu mengapa. Mungkin kerana saya masih budak-budak, mudah sangat jatuh hati dengan sesuatu yang hanya hadir dalam bayangan kemahuan dan impian, walaupun ianya tidak logik di akal dan pemikiran.

Bilik belakang itu adalah bilik saya dan adik beradik. Saya selalu bermain di situ dengan adik. Ada katil dua tingkat di bilik itu. Katil atas kecil berbanding katil bawah. Kami akan menyusun kusyen di atas tangga katil tua tingkat itu, kemudian menutupi dengan cadar dan kemudian cuba menggelongsor atasnya seperti papan gelongsor. Kami juga akan melompat dari katil atas ke katil bawah, yang selalunya diakhiri dengan rotan dan sebatan abah atau di'ghetu' mak.

Pada hujung minggu itu, semasa saya memanjat katil itu, saya ternampak sesuatu yang pelik di atas tingkap. Tempat yang sama saya rasa saya jumpa tulang cicak.

Sambil berhati-hati menggengam erat gula-gula di tangan takut-takut terjatuh, saya berdiri di kati atas dan menginjut mahu lihat betul-betul benda itu.

Wah! Tanpa di duga, ianya adalah telur cicak!

Saya masih ingat, ketika itu saya betu-betul senyum lebar. Lalu tangan ini terus menggapai telur itu. Niat di hati mahu menetaskan seekor cicak hujung minggu ini pasti terjadi! Akhirnya.

Saya ambil telur itu. Sambil mengawal keseimbangan takut-takut terjatuh, saya genggam telur itu tidak terlalu kuat takut-takut pecah pula. Saya cuba turuni katil dua tingkat itu.

Semasa meniti tangga itu tanpa tangan memegang penghadang kerana kedua-dua tangan sudah penuh dengan 'hasil' yang mengujakan, ketika itulah saya hilang keseimbangan dan hampir jatuh.

Tetapi agak nasib baik saya kira. Tangan ini dengan cepat menggapai penghadang katil itu dan saya sempat kawal keseimbangan. Saya berjaya tangkap penghadang katil dengan satu tangan dan memegang erat. "Kata nak melekat kat syiling macam cicak". Kata saya bongkak.

Tapi malang, terdapat gula-gula yang jatuh ke atas katil bawah.

Tak mahu bazir, kerana ayah saya larang saya dari membazir. Tambahan pula hanya jatuh atas tilam, saya terus ambil gula-gula itu dan masukkan ke dalam mulut tanpa menelan.

Hasrat hati mahu mengulum perlahan-lahan, tapi gula-gula ini rasanya agak berlainan. Lalu saya cuba menyedut kuat-kuat gula itu. Belum lagi keluar manisnya. Agak bengang, saya pun mengigit gula-gula, dan ketika itulah saya melihat tangan saya yang memegang gula-gula sebelum ini masih penuh, dan tangan yang memegang telur cicak itu kosong.

Dan..

* * *
Hari itu, tok lihat saya pelik kerana tidak bermain dengan telur cicak itu. Saya tak minat. Baru saya sedar sekarang semasa menanti telur cicak itu menetas, tak semua penantian berakhir dengan kegembiraan.

Tok buang telur cicak itu.

Pabila menonton filem Cicakman, dan melihat Saiful Apek menelan air kopinya yang terjatuh cicak didalam itu, tiba-tiba rasa payau telur cicak yang pecah dalam mulut saya itu datang kembali. Entah kenapa, saya rasa, memori saya tentang cicak datang bersama rasa payau dan tawar, serta berlendir-lendir dengan sedikit krim.



Kemajuan teknologi kamera inframerah membolehkan kita mengambil gambar bersama 'belaan', terutama yang suka makan cicak

3 ulasan:

  1. Fak!
    Rasa macam telur ayam tak?
    Ha Ha

    AKu pernah tetaskan sekor cicak..
    kool ja rasa. rasa macam doc

    BalasPadam
  2. Haha

    Rasa macam putih telur ayam, cuma kena tambah serbuk cicak sikit dalam tu.

    Style kan dapat tetas telur cicak? Rasa macam ada kuasa pulak hah

    BalasPadam
  3. ... bdak2 len men digimon, digivice..
    hg men2 teloq cicak

    BalasPadam