Sabtu, 23 Mei 2009

..kisah botol roket 3..

..dan hari itu seperti biasa eksperimen dihabiskan cepat-cepat. Habis eksperimen rasmi awal, supaya eksperimen peribadi dilaksana.

Kali ini seperti sebelumnya, tabung didih dan pemalam getah diculik terlebih dahulu. Lebih mudah rasanya, kerana tak mungkin Cikgu Yaman syak apa-apa.

Uj mengambil buku dan diselak-selak, cuba-cuba mencari sesuatu. Dia ambil buku dan bawa ke meja cikgu, dan menanyakan sesuatu. Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu. Ianya hanyalah helah untuk 'distract' cikgu dari saya. Saya menggapai botol etanol, tuang dalam tabung didih. Thariq dan Izwan hanya geleng-geleng kepala melihat. "Gila" mungkin didalam hati mereka berkata.

Sekali lagi, kotak pensel Uj yang besar itu, warna kelabu dengan slogan 'Be Ready'menjadi ibu tumpang untuk tabung didih. Mungkin kerana sudah pro untuk kali kedua, tiada masalah melepasi pintu makmal sesudah tamat sesi makmal.

Pulang ke B208, petang itu juga dimulakan. Tapi mestilah selepas bermain Royal, selepas menyakat Redza atau sembang-sembang kosong dengan Mat Rod atau Banat, atau juga pau discman sony Bad.

Bekas minggu lepas yang masih berisi asid nitrik dan toluene dikeluarkan. Dicampur etanol, dan dikacau. Saya dan Uj melihat.

Kami mengacau lagi.

Dan melihat.

Kacau.

Lihat.

Kacau.

Lihat.

Kecewa.

Tiada cecair 'creamy' terbentuk.

Maka eksperimen ini juga gagal? Kami belum putus asa. Masing-masing memerah kepala yang sudah tepu rasanya. Cuba mengimbas kelas Cikgu Yaman, dan buku-buku kimia, mana tahu ada lagi benda belum lengkap.

..setelah beberapa ketika..

Masih tiada apa-apa yang terjadi. Keadaan masih diam. Masing-masing masih menunggu. Angin petang meniup-niup dan menghempas loker, dan bunyinya bagai mentertwakan kami yang gagal ini. Adakah ianya sudah gagal?

Ya. Kali ini juga.

Saya mencari apa lagi yang belum cukup. Nak kata tak baca bismilah, sudah.

Dan saya cuba meneliti kembali bahan-bahan yang kami ambil itu. Toluene adalah 100% toluene, tak mungkin ianya ada bendasing. Alkohol juga saya ambil yang tulen (selalunya dalam makmal yang tulen adalah 98% alkohol). Dan jari sekarang dituding ke arah asid nitrik.

Ya. Asid nitrik itu. 13M kami rasakan sudah pekat. Tapi entah di mana saya dengar, dalam kategori industri 13M itu adalah cair. Maka air dalamnya juga melarutkan alkohol. Nah, itulah jawapannya!

Maka asid nitrik itu perlu dipekatkan. Tapi bagaimana ya asid nitrik itu boleh dipekatkan? Saya hanya belajar cara melarutkannya, tapi tidak sebaliknya!

Maka satu proses membuang air perlu dilakukan. Ianya tak boleh didihkan, kerana asid nitrik mudah meruap (sebab kenapa botolnya diletak dalam kebuk wasap). Jika didihkan, perlu dalam ruang tertutup seperti radas penyulingan supaya asid nitrik yang meruap itu terkondensasi semula dan dikutip.

Maka apa lagi yang boleh digunakan untuk membuang air dari larutan? Peyejatan? Tak boleh. HNO3 itu juga akan meruap.

Dan dalam angin petang yang menderu itu tiba-tiba saya teringat akan satu proses. Iaitu fakta asas kimia SPM: elektrolisis asid adalah proses elektrolisis air yang memisahkan Hidrogen dan Oksigen dari air.

Jika saya elektrolisis asid nitrik ini, air semua akan keluar menjadi hidrogen dan oksigen, dan asid ini akan pekat!

Ya itulah jawapannya! Tahniah Hazrul dan Huzaifah. Saya pandang keliling. Nampak berpuluh-puluh biji bateri yang saya guna untuk walkman saya. Saya kira jika disambung jadi litar siri akan hasilkan voltan yang tinggi. Tapi masih ada yang belum cukup; elektrod dan wayar.

Oleh kerana ianya asid, maka elektrod karbon perlu digunakan kerana ianya tidak reaktif.

Maka barang yang perlu 'dipinjam' seterusnya adalah wayar dan elektrod karbon.

..bersambung..

2 ulasan: