Khamis, 21 Mei 2009

..karan..

..dan saya begitu teruja pertama kali saya pergi ke bandar Leeds. Bukan kerana pembangunan, bangunannya sama tinggi sahaja dengan bangunan di Alor Setar, malah saya kira Alor Setar lagi besar dari bandar Leeds (salah satu dari bandar terbesar di UK). Saya teruja kerana terdapat sesetengah tiang lampu jalannya yang istimewa, juga mana-mana tiang papan tanda kecil jalan yang perlu tenaga elektrik kecil untuk menyalakan lampu pada waktu malam. Kerana apa? Kerana ianya didakapi Solar Panel.

Agak mengejutkan. Sebuah negara yang pada musim sejuknya hanya kira-kira 8 jam siang, dan diawal musim panasnya masih lagi bersuhu 10 darjah celcius pada waktu malam, serta matahari masih lagi mengintai malu di balik awan siang pada waktu awal musim panas, negara ini masih lagi mampu memanfaatkan tenaga solar.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, siang 12 jam, suhu siangnya menggigit kulit sehinggakan 10 minit anda berdiri pada waktu tengah hari sudah cukup untuk 1 tahun 'tanning', serta sejam berdiri pula mampu menukarkan anda dari Caucasian ke African, tapi kita kurang pula menggunakan tenaga solar. Jika ada pun sedikit sahaja, itupun jenuh dipolitikkan untuk kroni-kroni memasang lampu jalan.

Usah beria-ia menuang dana ke dalam empangan Bakun, ataupun memberi penjelasan pada rakyat supaya jangan takut akan reaktor nuklear. Empangan merosakkan alam, empangan juga bergantung pada hujan, jika kemarau habislah. Nuklear pula 'takut' ditaram US, juga bahaya pada manusia.

Matahari sudah berada lama di situ. Sudah lama menyinari pokok-pokok. Pokok membesar dengan fotosintesis, dan kita pula makan tumbuhan, atau kita makan haiwan yang makan tumbuhan. Dan kita membesar dan beranak pinak pula dengan memakan tumbuhan dan haiwan itu.

Saya tidak kata salah untuk bina empangan dan reaktor, ianya bagus, banyak bagusnya. Tapi apa kata kita cuba terokai apa yang dekat dengan kita, yang percuma dan bertahan hampir selama-lamanya. Ianya adalah alternatif, lagi banyak sumber lagi bagus. Selain dari empangan hidro, ada sumber solar sebagai 'back up'.

Oleh kerana matahari menjadi sumber tenaga untuk tumbuhan, kemudiannya haiwan, dan manusia sekalian, saya rasa kita juga boleh menggunakan matahari sebagai sumber 'karan'.

p/s: 'karan' adalah istilah bahasa utara untuk elektrik yang berasal dari 'current'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan