Isnin, 19 Julai 2010

..bingkai..

..dan kemudiannya saya merasakan suara di luar tingkap itu membisik semakin kuat. Ianya membisik-bisik semakin jelas sehingga suara yang asalnya sayup-sayup itu sudah mula kedengaran butirannya.

Dan suara itu sebenarnya memanggil nama saya.

"Oun, Oun, Oun"

Saya mula berpeluh cemas dan takut. Masakan tidak, mendengar suara wanita di luar tingkap bangunan tingkat dua itu bukanlah sesuatu yang boleh dikira normal. Apatah lagi bunyi suara itu datang dari pohon besar disebelah bangunan itu. Saya dapat menangkap jelas arah suara itu. Ya, ia memang dari celahan pohon itu.

Saya mula berpeluh ketakutan, dan nafas mula sesak.

Lalu muka saya yang dipekup semenjak dari tadi di atas meja itu saya angkat perlahan-lahan.

Dan kemudian saya menoleh perlahan-lahan ke luar tingkap kelas, memandang tepat ke arah pohon itu.

Dan dari jarak 5 meter pohon itulah, di antara dua cabang besarnya dan dalam kepekatan malam itu saya dapat melihat tubuh seorang wanita berpakaian kain serba buruk berwarna putih, betenggek dengan rambut mengerbang sambil merenung tepat ke arah saya dengan matanya yang berwarna putih terbeliak.

"Oouunn"

Jantung saya tersentap.

Benda itu terapung menghampiri tingkap.

Lalu saya cuba membuka mulut saya.

Perlahan-lahan saya mengucapkan,

"Bismillahirrahmanirrahim"

Saya dapati lidah saya menjadi sangat susah utnuk digerakkan dan bibir saya menjadi ketat. Nafas saya tiba-tiba sukar ditarik dan saya menjadi seakan-akan lemas. Dan pabila saya mahu menyambung ayat seterusnya,

"Allahulailahailla huwal haiyulqhaiyyum, laa...."

Nafas saya tersekat di kerongkong dan suara saya tiba-tida tidak terkeluar lagi.

Saya menjadi lemas dan ketakutan apabila memandang benda itu terbang dekat ke arah tingkap sambil memandang saya. Benda itu memanggil-manggil nama saya,

"Oun, Oun"

Saya memejamkan mata. Namun seakan-akan dipaksa untuk dibuka, mata saya terbuka semula.

Dalam sekelip mata, kini benda itu sudah berada di dalam kelas dihadapan saya. Jaraknya dengan saya hanyalah kira-kira satu jengkal dihadapan muka saya.

Saya ketakutan dan menjerit.

Dan ketika itulah suara saya tiba-tiba terkeluar, "Arrghh!"

Saya tersentak. Saya membuka mata saya. Saya mengangkat muka saya yang dipekup di atas meja baru sahaja tadi. Saya cemas dan memandang di sekeliling. Benda itu tiada. Saya masih berada di dalam kelas 4 Delima.

Oh, mimpi rupanya.

Patutlah, benda itu memanggil saya 'Oun', nama panggilan saya di rumah. Di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu, tiada siapa pun yang memanggil saya dengan nama itu. Hanya keluarga saya dan rakan-rakan sekolah rendah saya yang memanggil saya dengan nama itu.

Saya selalu tertidur di dalam kelas semasa waktu prep malam. Bukan kerana kerja tak ada, tapi terasa malas melakukannya.

Meja saya di tepi tingkap. Tempat wajib saya. Dan di sebelah tingkap itu di antara kelas 4 Delima dan 4 Nilam (mungkin), ada pokok besar. Sebenarnya tak lah berapa besar sangat, namun kadang-kadang jika diperhatikan pada waktu malam, ianya boleh kata menimbulkan sedikit perasaan aneh.

Saya memandang ke laur tingkap, ke arah pohon itu.

Tiada apa-apa di situ.

Saya mengalihkan pandangan ke koperasi. Tiba-tiba saya menyedari, di bawah pokok sebelah kelas saya itu tadi, ada sesuatu yang bergantung. Saya memandang benda itu. Ianya adalah sejalur kain putih yang tergantung dari atas pokok.

Tiba-tiba hati saya cemas. Mata saya melirik mengkit kain itu ke atas pokok.

Dan ketika itulah saya nampak, benda yang berpakaian kain serba buruk berwarna putih. rambutnya mengirai mengerbang dan kusut. Ianya bertinggung di batang pokok itu dengan tangannya memegang batang di atasnya seperti bergayut. Dengan matanya terbeliak berwarna putih, ianya memanggil saya,

"Hazrul, Hazrul, Hazrul....."

Saya menjerit sekuat hati,

"Aarrgghh!"

Saya tersentak!

Muka saya masih lagi dipekup di atas meja.

Ianya,

adalah sebuah mimpi?

Saya takut untuk mengangkat muka saya. Adakah kali ini ianya masih juga mimpi?

Tiba-tiba saya terdengar suara di telinga saya,

"Hazrul, Hazrul"

Saya memejam mata ketakutan, dan mulut ini terkumat-kamit membaca ayat qursi.

"Hazrul, mangkit oi. Orang dah balik prep ni. Jom balik makan kat dewan makan"

Ianya adalah suara yang saya kenal. Suara 'dalam' Thariq. Saya mengangkat kepala dan memerhatikan sekeliling. Kali ini bukan mimpi. Saya bangun mengikuti mereka pulang prep malam. Sebelum beredar saya melihat pokok itu. Tiada apa-apa di situ. Tiada apa-apa di situ.

*****

Saya teringat kisah ini, selepas menonton filem Inception semalam. Filem yang mengisahkan tentang cubaan mempengaruhi atau mencuri maklumat seseorang di dalam mimpi. Walaupun agak mengarut, ianya agak menarik untuk ditonton.

Jika anda peminat filem The Matrix berserta falsafahnya, cerita ini memang menarik untuk ditonton. Dan juga bagi yang sedang mendalami ilmu TOK, selain filem The Matrix, filem ini saya cadangkan untuk anda.

Pabila menonton filem ini, ianya mengingatkan sya tentang pelbagai perkara. Contohnya penggunaan Totem. Di dalam filem ini, totem adalah sesuatu objek yang kita simpan yang mana tiada orang lain tahu tentang perihalnya. Jadi apabila kita memasuki mimpi, dan kita mahu mengetahui sama ada mimpi itu adalah mimpi atau realiti, kita akan merujuk kepada Totem itu. Seperti dalam mimpi saya di atas, walaupun tidak menyedari pada mulanya, akhirnya saya menyedari bahawa di sekolah menengah tiada yang memanggil saya dengan nama 'Oun'. Maka itu sebenarnya boleh memberitahu saya bahawa itu sebenarnya sebuah mimpi.

Dan seterusnya penggunaan konsem 'drem in a dream', atau dalam bahasa Melayunya 'mimpi berbingkai'. Jika anda hanya di dalam satu mimpi, mungkin mudah untuk menyedari jika anda terjaga bahawa segalanya adalah mimpi. Namun bagaimana pula jika anda bermimpi, dan di dalam mimpi itu anda bermimpi. Dan apabila anda terjaga dan menyangka bahawa segalanya adalah realiti, tapi sesungguhnya ianya masih lagi ilusi.

Seperti dalam The Matrix,

"How do you know what is real?"

Ianya berkait rapat dengan konsep yang pada mulanya dipelopori Rene Descartes tentang konsep sesuatu yang nyata.

'If real is define as something that you can touch, that you can hear or feel, than real is simply the impulse from your neuron to your brain'

Sekian,

Bagaimana anda tahu bahawa sebenarnya sekarang anda bukan sedang bermimpi?


Selasa, 6 Julai 2010

..pohon tua..

..dan mungkin juga, beza antara tumbuhan dan haiwan itu sungguh banyak sekali meski kita tak pernah menyedari atau terfikir tentangnya.

Walau kedua-duanya benda hidup dan kedua-duanya adalah organisma multisel, namun seni reka antara kedua-duanya amat jauh sekali.

Tak dapat disangkalkan bahawasanya kedua-duanya diatur oleh blok-blok yang sama bernama sel, dan hanya dengan kehadiran kloropas di dalam sel tumbuhan itu sudah membawa sejuta perbezaan kepada binaan yang terhasil.

Tumbuhan itu ibaratnya bangunan-bangunan yang dibina. Ianya berdinding-dinding keras dari batu bata tebal, di bina untuk menerjah angkasa. Lohong kosong pengangkutan di dalam tumbuhan itu ibaratnya seperti ruang-ruang dalam bangunan dengan segala paip-paip air dan aircond itu sama juga dengan floem dan xoelem dalam tumbuhan.

Kenderaan pula, sama seperti bangunan binaan manusia, adalah sesuatu yang dibina untuk bergerak. Ianya sama seperti haiwan, dibina untuk bergerak ke sini ke sana. Dan segala yang bergerak itu mestilah ringan, mestilah kecil dan mestilah mampu membakar tenaga dengan lebih pantas dari segala yang statik.

Maka kita lihat haiwan itu jika dibandingkan dengan kayu-kayu di hutan bersaiz kecil. dan haiwan itu pula membakar tenaga lebih cepat dari tumbuhan untuk pergerakan. Jika dibandingkan dengan kayu balak yang beratnya bertan-tan itu, haiwan hanyalah sesuatu yang ringan.

Mungkin, ada juga sesekali haiwan seperti paus dan gajah yang besar saiznya. Namun nampakkah kita kepada kurangnya kelincahan mereka berbanding haiwan kecil? Kurangnya lincah mereka itu sehingga mungkin menjadi sama perlahannya dengan pokok-pokok balak yang besar itu.

Dan seperti juga sesuatu yang perlahan itu dan tidak bergerak itu, segala yang terkumpul bisa dikeluarkan dari dalamnya dengan lebih cepat. Seperti udara-udara tengik dalam sebuah bangunan itu dikeluarkan melalui sistem penyaman udara dengan jayanya sekali.

Namun bagi kereta, yang bergerak laju dan membakar lebih banyak petrol, maka ekzos yang besar dimestikan agar kesemua asap itu dapat dikeluarkan, atau asap-asap itu akan meracun kembali enjin kereta itu.

Namun hakikatnya bagi sesuatu yang bergerak seperti haiwan, segalanya tak dapat dibesarkan dengan sesuka hati seperti sebuah ekzos. Ataupun jika hendak dibesarkan memakan masa berjuta tahun dalam evolusi.

Dan sementara itu pula tumbuhan-tumbuhan di hutan perlahan-lahan mengosongkan racun-racun dan toksin yang dihasilkannya melalui daun-daun yang gugur, dan juga perlahan-lahan menghantarnya ke luar dari badannya. Maka secara perlahan-lahan tetapi lebih menyeluruh dan jitu itu, tumbuhan berjaya mengeluarkan segala toksin dari badan mereka.

Tetapi kurang berjaya bagi haiwan.

Maka toksin-toksin itu berkumpul dan meracuni haiwan perlahan-lahan.

Dan akhirnya, hanya seekor sahaja haiwan yang kita tahu hidup mencapai lebih dari 100 ke 200 tahun yakni kura-kura.

Manakala tumbuhan balak itu rata-rata sudah diketahui hidup beratus-ratus tahun hinggakan ada yang berumur ribuan tahun.

Dan tanda-tanda penuaan itu pada grafnya adalah pabila kita melihat tubuh-tubuh menjadi semakin kecil dan rendah.

Tinggi di passport (3 tahun dahulu) = 170cm
Tinggi setahun dahulu = 169cm
Tinggi sekarang = 168cm

Menyedari bahawa anda sedang menua membuatkan anda merasakan apa yang digilai remaja-remaja dan manusia sekarang sudah tidak menarik lagi.

Jumaat, 25 Jun 2010

..kapai tghebang..

..dan terdetik untuk berkata,

"Mak, nak nek kapai tghebang!"

"Eh Oun dah penah nek dah dulu"

"Bila? Tak ingat pun"

"Masa Oun kecik-kecik dulu, Oun baby lagi masa tu. Abang ngan kak pun nek skali"

"Wan nek dak?"

"Wan soghang ja tak penah nek lagi. Dia bghanak kat Kedah masa kita semua dah pindah mai sini. Oun apa semua bghanak kat KL, penah balik nek kapai tghebang"

Dan saya memerhatikan dari tepi pagar Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim itu sebuah kapal terbang sedia untuk ber'nafas'.

Angin panas dapat dirasa di muka, dengan pemandangan di atas tar di belakang kapal terbang itu mula mengombak, logamaya kerana udara panasnya.

Dan seketika kipas enjinnya menderu deras, berdentum bagaikan guruh di langit yang menghambur dengan segala macam ngauman singa.

Dan telinga menjadi bingit seraya sudah tidak dapat mendengar apa lagi bait yang dibualkan oleh ayah dan ibu saya.

Dan kapal terbang itu menghamburkan angin panasnya, memecut di landasan dan terbang dari landasan.

Ianya menyapa sang awan sebelum hilang dari pandangan.

Ahad, 20 Jun 2010

..solstice..

..dan diceritakan pula, bahawa setiap sesuatu yang bermula akan ada pengakhirnya. Dan di antara permulaan dan pengakhirannya, akan ada titik tengah kepada setiap sesuatu.

Pada waktu kini, di Leeds waktu sembahyang Isyak di jama'kan bersama waktu maghrib dan waktu subuh pula dibenarkan untuk dilakukan pada kira-kira pukul 2 pagi.

Namun sebenarnya, mengikut apa yang di ajar di sekolah, waktu Isyak dan subuh sebenarnya sudah 'hilang' atau 'tiada'.

Kenapa?

Kerana penanda waktu Isyak, yakni hilang cahaya kemerahan di langit sudah tiada dan langit sudah tidak gelap. Langit berkeadaan Maghrib sehingga ke pagi berikutnya. Dan oleh kerana langit tidak pernah gelap, dan cahaya matahari sentiasa ada, maka waktu subuh tidak pernah bermula namun punya penghabisannya.

Dan kemuncak langit malam yang seperti Maghrib atau senja itu dengan di ufuk masih lagi kelihatan cahaya mentari adalah pada 21 Jun ini. Ianya dikenali sebagai soltis musim panas. Ianya adalah pertengahan kepada musim panas.

Pada hari itu, ianya akan mengalami siang terpanjang pada tahun ini. Dan selepas itu malam akan mulai bertambah panjang kembali, sehinggalah ke equinoks, di mana malam dan siang kembali sama panjang.

Jika anda tidak punya apa-apa untuk dilakukan, lihatlah langit malam pada pukul 12 malam 21 Jun ini. Di sana anda akan dapat melihat cahaya mentari dengan langit di ufuk masih lagi kekuningan. Dan juga, bermula waktu maghrib hingga pukul 12 itu anda akan dapat melihat bintang Kejora (atau planet Zuhrah).

Selamat mencerap!

Isnin, 14 Jun 2010

..kertas..

..dan Abu masuk dalam lubang tanah itu mecari-cari kalau ada seekor lipan boleh dibuat cicah air asam. Abu kecewa kerana yang ada hanyalah telur-telur memerang yang sengaja ditinggalkan kerana memerang-memerang yang ada di situ hanyalah bapuk-bapuk belaka.

Sementelaah pula Dol dan Kasparov menumpang sebuah kereta yang lalu lalang di jalan Johor-Sarawak itu. Arakaian pula semasa Kasparov melibas tangannya mahu menghentikan kereta, Barrack Obama sedang memakan burger McD sambil menghirup air lengkong yang dia beli tepi jalan kerana sangat haus. Tidak pula si Obama tahu semasa dia memaki budak jual air lengkong itu, budak itu telah memasukkan sedikit sputumnya ke dalam air lengkong. Obama lalu menghirup dengan sekali nafas kesemua air dalam plastik itu.

Slluuurrpp!

"Memang sedap air ni"

Obama berkata gembira. Tidak sia-sia dia marah budak air lengkong itu kerana malas bekerja. Fikirnya Mat Rempit sekarang lebih layak menjadi cadaver daripada menjual air lengkong.

"Otot mereka besar-besar, mereka muda-muda dan tak kerepot. Otot mereka lebih jelas dan tak menyusahkan pelajar perubatan"

Namun pabila tiba-tiba Kasparov berguling dihadapan kereta Obama, Obama panik lalu menekan brek kecemasan dan keretanya hampir terbabas.

Dengan marah dia tak mampu mengawal perasaan dan memaki Kasparov dan Dol, "Gapo mu ni, nate sunggoh!"

Pat Harkin yang sedang bermain PS3 di dalam bonet kereta tersentak lalu berkata memujuk, "Sabo Obama, aok jange marah"

Kasparov yang sedang terlentang di atas tar itu seraya buat-buat mati. Pabila Obama dan Pat keluar hendak memijak perutnya, Dol cepat-cepat masuk ke dalam kereta dan menekan pedal minyak sekuatnya dan melarikan diri.

Kasparov tercengang dengan kebengapan Dol yang meninggalkannya terkapai-kapai dalam arus kedinginan itu, namun dia tak sempat memaki kerana Pat telah pun memijak-mijak perutnya sehingga dia hampir mengalami papiloedema akibat CSF fluid dalam tulang belakangnya backflow ke dalam otak, sambil Obama pula menekan punat 'Record' di iPhone 4 nya.

Dol membuka sunroof kereta itu danmelambaikan jari tengahnya sambil berkata, "So looong sucker!"

Namun dia berhenti seketika dan menggetus "Ooo" pabila menjumpai majalah Maria Ozawa dalam suit tangan Barack Obama.

Setibanya dia di tebing sungai, dia menggoyang-goyangkan hip bone nya from side to side untuk mengaktifkan kuasa 500 petala langit kereta Bugati Veyron itu. Setelah itu guruh sabung menyabung dan burung terbang ketakutan seraya langit mulai gelap dan menjadi tornado yang sangat besar. Dan ketika itulah seekor Buri Buri Zaemon datang terbang turun dari langit dan menghulurkan pendayung kepada Dol. Dol mengambil pendayung itu dan mendayunglah ia kereta itu disepanjang sungai.

Pabila dia sampai kepada Abu, dia memekik ke dalam lubang di dalam pondok 4 hasta X 4 hasta X 10 kaki itu "What are you doing Abu? Come out of that s**t and lets go and eat"

Abu mengendong bersama di dalam seluarnya lipan-lipan bara berserta 3 biji telur memerang itu. Telur memerang yang sepatutnya dalam ganda dua itu kurang satu kerana seekor memerang bapuk telah menetaskannya.

Lalu Dol dan Abu duduk bersila menjamah hidangan mereka bercicah air asam sambil menonton YouTube channel Barrack Obama.

Dan semua mereka pulang sihat-sihat sahaja.



Ini bukan Pat Harkin, Ini seekor Buri Buri Zaemon.





Selamat menduduki peperiksaan kepada pelajar perubatan tahun dua University of Leeds. Harap anda semua masih lagi waras kehendaknya.

Sabtu, 12 Jun 2010

..kudus..

..dan saya memerhatikan lelaki itu dari belakang. Mata saya meliar menunggu saat itu, saat yang saya tak lepaskan setiap kali saya berada di situ.

Saya telah memerhatikan lelaki itu dari jauh semenjak sebelum datang ke situ lagi.

Ketika dia mengayuh gerek hijaunya dengan berbaju Melayu biru dan berkain pelikat bersama serban putih, dia sering melintas di hadapan rumah saya setiap kali matahari sudah lesu di akhir hari.

Dengan kumis tebalnya serta kulit berwarna coklat yang tidak beberapa gelap, dia mengayuh gerek biru itu. Gerek itu saya kira untuk perempuan, kerana orang pernah berkata bahawa gerek untuk lelaki di antara handle dan seatnya tinggi, bukan rendah seperti itu.

Namun saya fikir sesuai baginya gerek itu. Bukan kerana kain pelikatnya, tetapi kerana kaki istimewanya.

Ada orang pernah bercerita pada saya, dia bekas tentera. Pernah menyertai beberapa misi di hutan, dan juga saya kira pada waktu-waktu aman begitu misi yang dia pernah sertai adalah misi pengaman ke luar negara. Mungkin itu telahan logik untuk menerangkan situasinya.

Seraya bilal iqamah di hadapan, dia bergerak ke saf hadapan dan kemudian duduk di kala orang lain berdiri dan bersedia mengangkat takbir.

Kemudian dia mengangkat sedikit kain pelikatnya, dan dia menanggalkan kakinya!

Kemudian lelakiitu duduk dan solat bersama-sama, dan saya di barisan saf kanak-kanak di surau taman perumahan itu ikut solat sama.

Minggu lepas di hospital untuk sesi History Taking, seorang pesakit telah dijemput untuk membantu kami dalam latihan mengambil maklumat dari pesakit.

Berbeda dari kami yang merupakan Student Doctor, dia diperkenalkan oleh doktor sebagai seorang Professional Patient. Dan sungguh, dia juga mempunyai kad nama NHS (seperti ID yang menunjukkan anda bekerja dengan hospital). Dia telah bertahun-tahun melibatkan diri menjadi simulated patient dalam membantu pelajar perubatan sehingga mendapat taraf Professional Patient.

Dan dia juga seorang pesakit.

Semasa dia memasuki bilik itu, doktor pengajar kami berseloroh "Somebody is going on a test drive", merujuk kepada kerusi roda elektriknya.

Pesakit itu kudung kedua-dua kakinya kerana masalah peredaran darah, atau vascular problem. Kakinya mengalami necrosis (sel-sel mati akibat tidak mendapat cukup nutrien) dan terpaksa dipotong. Dan dia sudah menggunakan kerusi roda selama hampir 10 tahun kini.

Dua manusia, dua negara berbeza, sebab yang jauh dari sama, namun natijahnya sekata.

Lelaki yang saya sering perhatikan semasa saya kecil itu diceritakan terpijak jerangkap samar. Sedikit langkah tersalah, kakinya meletus berkecai di udara. Periuk api, ironi namanya. Itu cerita orang, mungkin benar kerana saya pernah nampak dia dalam baju tentera. Dan dia meneruskan kelangsungan hidupnya di dalam kaki plastik itu untuk seumur hidupnya.

Dan pesakit itu pula, kakinya dipotong kerana masalah peredaran darah.

Penghujungnya sama, namun kisah mereka berdua berbeza.

Dua manusia.

Manusia yang pertama mencetuskan cita-cita saya, manusia yang kedua mengingatkan saya kembali kepada cita-cita saya.

Kadang-kadang apa yang mampu menggembirakan kita adalah pabila melihat orang lain gembira.

Dan kadang-kadang derita kita sekarang berbaloi pabila dipenghujungnya kita mampu melihat orang lain senyum, orang lain yang kita tahu pernah juga menderita bukan kerana itu yang dia mahu.

Sungguh, manusia tidak pernah memilih untuk menderita.

Tetapi manusia punya pilihan untuk bahagia.

Rabu, 9 Jun 2010

..home..

..and when your own country became your ultimate motivation,

that is when you didn't have enough sleep,

simply because when you close your eyes and about to sleep,

the only thing that you see is your family,

with the green grass behind,

and the warm sweet smell of air in between,

and everything from your home forces into your mind,

and you opened up your eyes again,

while saying,

I can't sleep,

I just want to go home,

I just want to go home,

There are still lots more that I don't know,

I need to revise and keep studying,

Because I just want to go,

home..

Coldplay-Clocks



"home, home, where I wanted to go"