Ahad, 20 Jun 2010

..solstice..

..dan diceritakan pula, bahawa setiap sesuatu yang bermula akan ada pengakhirnya. Dan di antara permulaan dan pengakhirannya, akan ada titik tengah kepada setiap sesuatu.

Pada waktu kini, di Leeds waktu sembahyang Isyak di jama'kan bersama waktu maghrib dan waktu subuh pula dibenarkan untuk dilakukan pada kira-kira pukul 2 pagi.

Namun sebenarnya, mengikut apa yang di ajar di sekolah, waktu Isyak dan subuh sebenarnya sudah 'hilang' atau 'tiada'.

Kenapa?

Kerana penanda waktu Isyak, yakni hilang cahaya kemerahan di langit sudah tiada dan langit sudah tidak gelap. Langit berkeadaan Maghrib sehingga ke pagi berikutnya. Dan oleh kerana langit tidak pernah gelap, dan cahaya matahari sentiasa ada, maka waktu subuh tidak pernah bermula namun punya penghabisannya.

Dan kemuncak langit malam yang seperti Maghrib atau senja itu dengan di ufuk masih lagi kelihatan cahaya mentari adalah pada 21 Jun ini. Ianya dikenali sebagai soltis musim panas. Ianya adalah pertengahan kepada musim panas.

Pada hari itu, ianya akan mengalami siang terpanjang pada tahun ini. Dan selepas itu malam akan mulai bertambah panjang kembali, sehinggalah ke equinoks, di mana malam dan siang kembali sama panjang.

Jika anda tidak punya apa-apa untuk dilakukan, lihatlah langit malam pada pukul 12 malam 21 Jun ini. Di sana anda akan dapat melihat cahaya mentari dengan langit di ufuk masih lagi kekuningan. Dan juga, bermula waktu maghrib hingga pukul 12 itu anda akan dapat melihat bintang Kejora (atau planet Zuhrah).

Selamat mencerap!

1 ulasan: