Sabtu, 12 Jun 2010

..kudus..

..dan saya memerhatikan lelaki itu dari belakang. Mata saya meliar menunggu saat itu, saat yang saya tak lepaskan setiap kali saya berada di situ.

Saya telah memerhatikan lelaki itu dari jauh semenjak sebelum datang ke situ lagi.

Ketika dia mengayuh gerek hijaunya dengan berbaju Melayu biru dan berkain pelikat bersama serban putih, dia sering melintas di hadapan rumah saya setiap kali matahari sudah lesu di akhir hari.

Dengan kumis tebalnya serta kulit berwarna coklat yang tidak beberapa gelap, dia mengayuh gerek biru itu. Gerek itu saya kira untuk perempuan, kerana orang pernah berkata bahawa gerek untuk lelaki di antara handle dan seatnya tinggi, bukan rendah seperti itu.

Namun saya fikir sesuai baginya gerek itu. Bukan kerana kain pelikatnya, tetapi kerana kaki istimewanya.

Ada orang pernah bercerita pada saya, dia bekas tentera. Pernah menyertai beberapa misi di hutan, dan juga saya kira pada waktu-waktu aman begitu misi yang dia pernah sertai adalah misi pengaman ke luar negara. Mungkin itu telahan logik untuk menerangkan situasinya.

Seraya bilal iqamah di hadapan, dia bergerak ke saf hadapan dan kemudian duduk di kala orang lain berdiri dan bersedia mengangkat takbir.

Kemudian dia mengangkat sedikit kain pelikatnya, dan dia menanggalkan kakinya!

Kemudian lelakiitu duduk dan solat bersama-sama, dan saya di barisan saf kanak-kanak di surau taman perumahan itu ikut solat sama.

Minggu lepas di hospital untuk sesi History Taking, seorang pesakit telah dijemput untuk membantu kami dalam latihan mengambil maklumat dari pesakit.

Berbeda dari kami yang merupakan Student Doctor, dia diperkenalkan oleh doktor sebagai seorang Professional Patient. Dan sungguh, dia juga mempunyai kad nama NHS (seperti ID yang menunjukkan anda bekerja dengan hospital). Dia telah bertahun-tahun melibatkan diri menjadi simulated patient dalam membantu pelajar perubatan sehingga mendapat taraf Professional Patient.

Dan dia juga seorang pesakit.

Semasa dia memasuki bilik itu, doktor pengajar kami berseloroh "Somebody is going on a test drive", merujuk kepada kerusi roda elektriknya.

Pesakit itu kudung kedua-dua kakinya kerana masalah peredaran darah, atau vascular problem. Kakinya mengalami necrosis (sel-sel mati akibat tidak mendapat cukup nutrien) dan terpaksa dipotong. Dan dia sudah menggunakan kerusi roda selama hampir 10 tahun kini.

Dua manusia, dua negara berbeza, sebab yang jauh dari sama, namun natijahnya sekata.

Lelaki yang saya sering perhatikan semasa saya kecil itu diceritakan terpijak jerangkap samar. Sedikit langkah tersalah, kakinya meletus berkecai di udara. Periuk api, ironi namanya. Itu cerita orang, mungkin benar kerana saya pernah nampak dia dalam baju tentera. Dan dia meneruskan kelangsungan hidupnya di dalam kaki plastik itu untuk seumur hidupnya.

Dan pesakit itu pula, kakinya dipotong kerana masalah peredaran darah.

Penghujungnya sama, namun kisah mereka berdua berbeza.

Dua manusia.

Manusia yang pertama mencetuskan cita-cita saya, manusia yang kedua mengingatkan saya kembali kepada cita-cita saya.

Kadang-kadang apa yang mampu menggembirakan kita adalah pabila melihat orang lain gembira.

Dan kadang-kadang derita kita sekarang berbaloi pabila dipenghujungnya kita mampu melihat orang lain senyum, orang lain yang kita tahu pernah juga menderita bukan kerana itu yang dia mahu.

Sungguh, manusia tidak pernah memilih untuk menderita.

Tetapi manusia punya pilihan untuk bahagia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan