Rabu, 12 Mei 2010

..kejoraku bersatu..

..dan saya memerhatikan langit pagi itu. Hampir matahari naik di ufuk timur, belum lagi nampak matahari.

Tapi taktala langit hitam itu mula mebiru, taktala bintang-bintang mula menghilang di balik matahari mendatang, di saat yang kelam itu mula kelihatan, muncul satu bintang yang istimewa di pagi hari itu.

Istimewa?

Ya, teristimewa.

Ketika langit pagi tiba dengan bintnag mula hilang, bintang yang satu itu muncul dan tidak mahu pula padam. Hanya pabila matahari mula mengintai di balik ufuk itu baharulah bintang yang satu itu mula redup, dan akhirnya tenggelam dibayangi cahaya terik mentari.

Saya selalu memerhatikan bintang itu, kadang-kadang ia muncul, kadang ia muncul. Hanya sesetengah pagi sahaja ia muncul. Tapi cukup mengisi masa saya menunggu van untuk ke sekolah.

Dan kira-kira beberapa tahun kemudian, saya sedar, ada juga bintang seperti itu yang muncul di kala matahari mula terbenam. Di kala bintang lain masih lagi belum upaya bercahaya melawan sinar akhir matahari waktu petang, bintang yang itu juga mula bersinar terang taktala matahari merangkak pulang.

Dan bersama dengan tenggelamnya matahari, bintang itu juga tenggelam.

Terang, dan mempersona.

Dan tak beberapa tahun kemudian saya sedar, ada satu lagi bintang yang lebih malap tetapi lebih dekat dengan matahari yang muncul juga kadang-kadang sewaktu matahari naik atau tenggelam.

Bintang berkembar, yang muncul di kala matahari naik atau tenggelam.

Tapi yang malap itu saya jarang nampak.

Saya tertanya-tanya, apakah bintang yang terang itu?

Hinggalah saya berada kira-kira darjah 4 atau 5, ada orang memberitahu saya bahawa bintang itu bernama bintang kejora. Muncul waktu pagi, atau petang.

Bintang Kejora, objek yang terang di langit selepas matahari dan bulan.

Saya semakin bersemangat sejak mengetahui nama bintang itu. Setiap kali saya nampak bintang itu di langit, saya tersenyum sendirian sambil berkata kecil dalam hati, kejora.

Namun hadiah buku sains di satu anugerah cemerlang itu betul-betul menggoncang pemahaman saya. Rajah sistem solar di dalam buku berbahasa Melayu itu mencelarukan pemikiran saya.

Saya mengingati nama planet dalam Inggeris; Mercury, Venus, Earth, Mars, Jupiter, Saturn, Uranus, Neptune dan Pluto. Saya juga hafal nama melayunya; Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto.

Namun dalam buku itu betul-betul membuat saya keliru, pabila tempat yang sepatutnya tertera 'Zuhrah' terdapat pula nama 'Kejora'.

Nah!

Bukankah Kejora itu bintang? Apa kaitan Kejora dengan Zuhrah?

Kemudian di setiap helaian itu penerangannya menggunakan perkataan Planet Kejora.

Saya keliru. Saya cuba baca lagi.

Dan akhirnya saya jumpa satu frasa yang saya masih ingat sampai sekarang saya masih ingat; 'Planet Zuhrah atau dikenali sebagai Bintang Kejora di waktu pagi dan petang'.

Dan itulah jawapannya. Saya tersenyum panjang dan lebar.

Kepala saya betul-betul seperti dipam angin yang buatkannya ringan.

Apa yang saya nampak selama ini bukanlah bintang, tetapi sebuah planet!

Ya, saya tak pernah menyangka bahawasanya kita boleh melihat planet dengan mata kasar!

Selama ini saya selalu membaca buku-buku tentang planet-planet di langit yang dilihat menggunakan teleskop, rupa-rupanya ada antara planet itu yang kita boleh lihat dengan mata kasar.

Dan apa yang saya selalu nantikan pada pagi dan petang itu bukan sebuah bintang, tetapi planet!

Saya semakin bersemangat mencuri peluang kiranya dapat menghabiskan waktu pagi atau senja untuk mengintai planet Zuhrah. Dan mengikut telahan saya bintang malap lagi satu mestilah planet Utarid, yang saya hanya pernah nampak beberapa kali sehinggalah kini. Sudah bertahun saya rasa tidak pernah nampak planet Utarid.

Semasa belajar Sains di darjah 5, sedikit sebanyak pemahaman yang diberikan tentang pantulan cahaya bulan meresapi pemikiran saya. Sedikit sebanyak pantulan cahaya bulan ke bumi yang mampu membolehkan kita melihat fasa bulan menyinari pemikiran saya tentang konsep melihat planet Zuhrah.

Jika di langit hanya bintang yang mampu mengeluarkan cahayanya sendiri, maka objek lain yang boleh kita nampak hanya boleh dilihat apabila ianya memantulkan cahaya matahari.

Masih ingat rajah di bawah?



Ianya adalah rajah yang kita belajar semasa di darjah 5 tentang pantulan bulan.

Ianya menerangkan secara ringkas mengapa kita dapat melihat fasa bulan.

Bulan memantulkan sinar matahari, dan prinsip ini berfungsi pada objek lain seperti planet-planet lain.

Namun, kerana ianya hanyalah cahaya pantulan, dan cahaya matahari jauh lebih terang dari cahaya bulan, maka jika pada waktu siang jika bulan berada dekat dengan matahari kita tidak dapat melihat bulan. Jikapun kita nampak ianya hanyalah malap-malap. Dan disebabkan cahaya matahari yang terang inilah kita tidak dapat melihat bintang pada siang.

Prinsip ini benar untuk planet-planet lain juga.

Oleh sebab planet Utarid dan Zuhrah mengorbit matahari lebih dekat dari bumi, maka jika anda melihat matahari pada waktu siang, seperti rajah di bawah,



Ketahuilah apa yang sedang lihat sebenarnya adalah tiga objek, seperti di bawah,



Jadi mengapa kita tidak dapat melihat planet Utarid dan Zuhrah pada siang? Kerana sebab yang sama kenapa bintang tak kelihatan pada siang hari.

Jika anda berdiri di bumi dan melihat matahari pada siang, perumpamaannya adalah begini,





Jadi bagaimana kita mahu melihat planet Utarid dan Zuhrah jika ianya dekat dengan matahari, dan pada waktu malam matahari terbenam dan sudah tiada di langit?

Jawapannya anda sudah boleh agak bukan,yakni dengan menunggu matahari mula terbenam dan kita berada pada waktu 'twilight' seperti di bawah.



Pabila matahari terbenam,



Dan matahari terbenam,







Ini meninggalkan dua bintang yang sebenarnya dua buah planet, planet Utarid dan Zuhrah. Ianya bukan bintang kerana pada waktu ini cahaya matahari masih lagi terang dan mampu menutup cahaya bintang, malahan lapisan atmosfera bumi yang sedikit tebal untuk dilintasi dari tepi tak memungkinkan cahaya bintang yang malap untuk tembus. Hal ini juga benar untuk planet Utarid, kerana selain dengan terlalu dekat dengan matahari, ianya jauh dari bumi dan cahayanya malap maka susah untuk dilihat. Saya hanya pernah melihat planet Utarid beberapa kali sahaja.

Menarik bukan pabila kita sebenarnya dapat melihat planet dengan mata kasar?

Jika anda sudah mula tertanya-tanya, adakah plane lain dapat dilihat dengan mata kasar?

Jawapannya ya, tapi tak semua.

Planet lain yang boleh dilihat adalah Marikh, Musytari dan Zuhal.

Uranus dan Neptune tak boleh dilihat dengan mata kasar kerana cahayanya yang terlalu malap, ianya memerlukan bantuan teleskop. In fact, Neptune dijumpai bukan melalui telescope seperti planet-planet lain, Neptune dijumpai dengan kiraan matematik tentang kepelikan orbit Uranus kerana orbit Uranus semasa dijumpai kelihatan tidak normal dan pelik, dan seolah-olah dipengaruhi oleh planet lain. Dan melalui pengiraan matematik, para astronomis dan physicist mengira kedudukan Neptune yang berakhir dengan penemuan planet baru apabila mereka menala teleskop mereka ke arah itu.

Berbalik kepada perihal planet lain tadi, prinsipnya sama dengan bulan dan planet Utarid dan Zuhrah yakni pantulan cahaya matahari.





Ini membolehkan mereka hanya boleh dilihat dengan mata kasar.

Mengikut pengalaman saya, Utarid berwarna putih dengan sedikit jingga, Zuhrah kebiruan, Marikh kemerahan (the red planet), Musytari sedikit kuning dan Zuhal juga putih kekuningan.

Planet adalah perkataan latin yang bermaksud 'wanderer', atau perantau.

Jika anda mencerap setiap hari dan melukis susunan bintang di langit (seperti orang dahulu lakukan)setiap hari, anda akan memperoleh peta bintang-bintang ini yang sama. Namun kadang-kadang akan anda bintang yang bergerak atau berubah kedudukan lokasi setiap hari dengan keterangannya yang juga berubah. Para astronomis zaman kuno menamakan bintang yang bergerak ini sebagai bintang yang merantau, atau wanderer sekaligus memberikannya nama planet.

Sehingga sekarang jika berkesempatan saya mencerap planet-planet di angkasa.

Semenjak saya punya laptop ketika masih di KMB, saya telah meng'install' program percuma yang saya peroleh dari internet. Software bernama 'Cartes Du Ciel' atau terjemahan dari Perancis ke Inggerisnya 'The Chart of Sky'. Saya jumpasoftware ini semasa mencari peta buruj di angkasa. Dan sehingga sekarang, setiap laptop yang saya pernah punya akan ada software ini, dan salah satu software uatama yang saya akan istall setiap kali meformat laptop adalah software ini.

Dan saya selalu mengintai-ngintai bila akan tiba masa saya boleh melihat planet-planet ini di angkasa. Setiap kali software Cartes Du Ciel menunjukkan magnitud (kecerahan objek dilangit) yang senang dilihat, saya akan melihatnya pada waktu malam.

Dan sekarang, semasa menuruni Gryphon Sports Centre menuju ke arah bawah bukit di kawasan tempat tinggal saya, seraya hampir masuk waktu Maghrib saya memandang kawasan perumahan di bawah yang nampak jelas dari atas bukit itu. Mata saya tertangkap dek kilauan yang sama yang mencuri mata dan minda saya kira-kira 15 tahun yang lepas. Nun jauh di sana, di kala matahari sudah hilang dengan hanya cahayanya berbaki kuning, cukup untuk meminjamkan photonnya untuk dipantulkan, Kejora masih lagi bersinar untuk saya semenjak saya kecil lagi, dan semenjak saya berada di Malaysia lagi sehingga kini.



"Dirimu persis bintang, terbit dari langit"

Search-Kejoraku Bersatu

Salah satu lagu yang saya minati.





Pada waktu sekarang bintang Kejora / Planet Zuhrah boleh dicerap di pada ketinggian kira-kira 25 darjah dari kaki langit, di antara Barat dan Barat Laut pada waktu senja/petang/Mahgrib (mula muncul kira-kira pada masa matahari terbenam). Atau juga anda hanya perlu memandang berdekatan kawasan matahari terbenam.

2 ulasan:

  1. Thanks bro..info berguna

    BalasPadam
  2. Terima kasih saudara bintang, nak share sedikit apa yg saya faham bintang kejora ni ada kaitan dgn Nabi pada zaman Nabi tersebut. Ada berkaitan juga dgn suatu Agama pada masa itu. Lagu kumpulan search Kejoraku Bersatu Salam maksudnya sekiranya kita faham perceritaan peradaban Manusia Dan Alam.

    Ok.. itu saja sekadar perkongsian. Kalau tersalah teguran dialu-alukan.
    Terima kasih atas info pasal bintang kejora.

    ps: peredaran bintang mengikut musim kalendar (hijrah&masihi). InshaAllah.. ada bahagian saudara pada bintang.

    BalasPadam