Khamis, 27 Mei 2010

..ironi..

"Racun rumput itu, kalau guna tak cukup pekat, akan buatkan rumput tumbuh dengan lagi cepat. Juga kalau lepas racun rumput, tak letak racun benih, lepas rumput-rumput mati akibat kena racun, benih yang tertinggal akan bercambah dengan lebih cepat dari biasa. Sama seperti ubat, sedikit ianya penawar, banyak ianya racun"


-Ayah saya-



..dan saya memandang langit pagi yang dingin itu dengan perasaan keanehan. Taktala biru gemilang langit itu diselangi dengan coretan awan kumulus yang berarak menyulam, saya rasa semacam keanehan di pagi hari itu.

Ya, ianya adalah keanehan.

Kerana itu adalah kali pertama saya memandang ke langit tika dan saat itu yang mana pada hari-hari lain saya akan berada di kelas untuk belajar. Selama saya kira 2 tahun saya sudah bersekolah di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu, itu kali pertama saya kira saya memandang ke langit pada waktu seperti itu. Pada hari lain saya akan sudah berada di kelas. Ataupun ketika hari cuti minggu, pada waktu itu saya masih diulit mimpi bersama urutan angin Behor Pulai. Nyaman.

Juga pagi itu, nyaman.

Dan kosong.

Selalunya jika saya berada di asrama, ianya akan dipenuhi dengan penghuni asrama. Suasana akan jadi kecoh serta bingit, bagai lolongan-lolongan tarzan di hutan yang serba pekat dan lebat dengan gantungan baju yang baru dibasuh tangan di tingkap-tingkap dan pintu. Kemudian akan muncul kepala-kepala harimau dahan bernama senior lepas dari tepi koridor mencari-cari haiwan buruan bernama Form 2 untuk dijadikan mangsa suruhan mengambil air water cooler, atau membasuh baju, atau pergi beli makanan, atau tuhan saja yang tahu.

Tapi itu pada ketika lain.

Pada ketika ini ianya kosong, dan tenang.

Sesekali angin segar bertiup mententeramkan hidung, namun acap kali juga disepuk oleh bau hapak tuala yang disidai di korodor. Namun angin yang segar itu sudah cukup untuk mententeramkan jiwa spesis 'mangsa suruhan' di hutan lara bernama Aspura itu.

Dan pagi itu angin Behor Pulai bertiup segar dan sejuk seperti biasa. Membelai-belai dan mengurut wajah dengan satu macam keselesaan yang saya sentiasa rindukan pada waktu pagi sehingga kini.

Taktala saya melihat langit pagi itu dari himpitan blok A dan blok B, saya rasakan ianya semacam satu ironi. Pemandangan yang indah itu dihimpit oleh dua buah bangunan yang serba buruk dan serba kusam. Namun yang serba buruk dan kusam itulah tempat saya hidup selama lima tahun, dan yang serba indah itulah yang saya pujakan sehingga sekarang.

Saya sedang menunggu makcik matron datang dan membuka bilik sakit pada ketika itu.

Saya sedang mengalami demam sejak dua hari lepas. Pelajar yang tidak sihat dilarang untuk tinggal di asrama sebaliknya mestilah berada di bilik sakit bersebelahan dengan surau.

Saya sedang duduk di atas kerusi di atas gelanggang sepak takraw di antara blok A dan blok B sambil menunggu bilik sakit dibuka. Di tangan saya apit selimut, air kosong, air berwarna hijau penawar yang diberikan Cikgu Nizar, dan sepapan panadol.

Kepala saya berdenyut-denyut sakit dek kerana panasnya badan saya. Sakit yang dirasakan sangat-sangat menjengkelkan kerana setiap kali saya mengubah posisi kepala saya ianya akan berdenyut-denyut seperti ada sesuatu yang memecahkan tengkorak saya dari dalam. Sakit kepala yang amat sangat.

Saya melihat sekeliling. Tiada orang di situ pada waktu itu. Pelik juga kerana selalunya pada waktu begitu akan ada tukang kebun sekolah yang membersihkan kawasan itu, atau juga memotong rumput atau juga menyapu sampah. Kadang-kadang mereka akan menaburkan serbuk klorin ke dalam longkang yang menusuk hidung, kadang-kadang mereka akan membasuh kawasan itu dengan sabun, kadang-kadang mereka akan menyapu.

Tapi tidak pada hari itu.

Mungkin mereka mula kerja lewat sikit hari itu.

Oh saya tiada masa utuk fikir dengan kepala yang sakit dan berpinar-pinar itu.

Walaupun sudah memakan Panadol pagi itu semasa subuh, kepala saya masih sakit dan badan saya kembali panas.

Oleh sebab kerusi itu tiada tempat sandar, maka saya memutuskan untuk masuk dan bersandar di dalam surau. Saya angkut semua barang yang saya bawa dan mengendongnya ke dalam surau.

Taktala sampai ke pintu surau, saya lihat kipas terbuka. Saya matikan kipas kerana kesejukannya yang mengigit tulang saya. Kesejukan yang bisa menambahkan tahap demam saya.

Saya bersandar di dinding dengan kepala berkerut menahan sakit. Sakit yang amat sangat ditambah dengan badan yang sudah panas macam musim kering Perlis. Saya cuba pejamkan mata dengan harapan sakit itu akan kurang.

Namun tidak berhasil.

Tiada bunyi pintu bilik sakit sudah dibuka. Makcik matron belum tiba.

Saya perlukan penawar untuk sakit ini, saya perlu berbaring. Tapi tidak pada lantai surau yang serba sejuk itu.

Sakit kepala yang amat sangat.

Panas badan yang amat.

Dengan kepala yang berpinar-pinar pening itu fikiran saya mula celaru.

Pabila panas badan saya itu saya rasakan sudah sampai ke telinga dan kepala serta muka, saya memutuskan untuk memakan lagi panadol dengan harapan sakit itu berkurang.

Saya memegang pek panadol itu dan melihatnya. Dalam satu kepingan yang dipanggil 'papan' itu ada 8 biji panadol, dan di belakngnya tertera tulisan 'KKM', bererti Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya tak tahu apa sejarah panadol, bagaimana ianya boleh tercipta atau bila ianya boleh tercipta. Tapi saya tahu ianya cukup popular untuk melegakan demam dan sakit kepala. Panadol sebenarnya adalah 'brand name' untuk ubat jenis paracetamol. Syarikat GlaxoSmithKliene (pengeluar air Ribenna) dikatakan sebagai syarikat pertama yang menjumpai formula paracetamol lalu mempatenkannya sebagai Panadol. Namun kini setelah tempoh paten itu tamat, syarikat lain bebas mengelurkan paracetamol dan menjualnya dengan berbagai-bagai jenama generik lain. Dan peluang ini diambil oleh kerajaan bagi menjimatkan kos ubat-ubatan dengan mengeluarkan sendiri tablet paracetamol dibawah syarikat farmasi GLC dan dicop KKM.

Semasa saya kecil emak dan abah tidak menggalakkan kami adik-beradik memakan panadol. Bagi mereka ubat-ubatan konvensional ini tidak melegakan penyakit, tetapi sebenarnya hanya menghilangkan sakit. Maka pabila saya demam dan sakit kepala di rumah emak selalunya akan meletakkan tuala basah di dahi bagi mengurangkan panas sambil memicit kepala saya bagi menghilangkan sakit kepala. Jika pun ada ubat yang saya makan, itupun adalah ubat homeopathi yang ayah saya bawa saya berjumpa dengan seorang doktor pakar homeopathi dan iridologi di Tanah Merah.

Tapi itu di rumah, di mana ada orang boleh jaga. Tidak di asrama.

Setelah tidak dapat menahan sakit kepala yang teramat sangat dan di'perkenal'kan dengan tabiat panadol oleh rakan-rakan asrama, dan juga guru-guru warden serta doktor-doktor di Klinik Kesihatan Kangar, saya menjadi semakin terbiasa dengan panadol.

Termasuklah kali ini.

Lalu saya memecahkan pek panadol itu ke atas tangan dua biji, membuka air botol, meletakkan panadol atas lidah, meminum air dan menelan dua biji panadol itu sekaligus.

Dan saya kira beberapa saat selepas itu adalah masa yang paling saya ingat dalam hidup saya dan memberi impak yang sangat besar dalam hidup saya.



****



Saya terhenti seketika.

Saya kira pada masa itu juga mata saya terbeliak dengan terbeliaknya.

Lidah dan kerongkong saya yang mengalun menelan air dari botol air itu juga terhenti bersama tangan saya yang secara automatik menolak botol itu. Saya meletakkan botol air itu.

Mata saya memandang ke infiniti.

Ada sesuatu di tekak saya.

Dan sesuatu itu menghalang angin dari hidung saya masuk ke peparu saya.

Saya cuba menarik nafas.

Ianya tersekat di kerongkong saya.

Panadol, panadol itu. Panadol itu semestinya telah terlekat di kerongkong saya.

Saya menelan-nelan air liur yang sudah sedia kering akibat telah berulang kali diasak masuk ke tekak saya untuk membawa bersama panadol itu ke dalam perut. Satu refleks yang saya kira keajaiban badan kita untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Namun ianya tidak berjaya.

Saya tidak dapat menarik nafas.

Saya menjadi panik kerana tidak dapat menarik nafas masuk ke dalam kerongkong saya. Setiap kali nafas ditarik, ianya menjadi tersekat seraya saya rasakan jadi satu macam vakum yang mengecutkan kerongkong lembut saya. Satu perasaan yang sukar digambarkan, seolah-olah tekak saya telah digam dengan gam gajah dan dibiarkan kering sehingga keras kemudian ditambah pula dengan gam kayu sehingga menyesakkan nafas. Saya menjadi semakin kaget.

Saya menelan air liur yang sudah sedia kering.

Lalu secara automatiknya badan saya cuba membatukkan 'ubat' itu keluar, satu lagi refleks badan manusia untuk hidup. Dada dikecutkan dengan pantas dan kasar untuk menolak tablet itu keluar melalui mulut saya yang sudah sekian lama sejak tadi terlopong luas bagi menarik nafas dan menyedut udara, udara yang tampak seperti kepulan emas berterbangan di langit.

Taktala saya terbatuk dan angin dari peparu saya keluar, ianya berjaya melepasi tablet itu. Akan tetapi seperti satu kecelakaan rasanya pabila angin itu hanya keluar tanpa menolak tablet itu, dan angin baru tidak dapat masuk ke dalam peparu dan masih tersekat!

Semakin parah rasanya. Semasa rongga toraks saya mengecil dan menolak angin keluar, ianya menjadi semampatnya sehingga saya rasa peparu saya tidak sudah berongga lagi . Namun kini angin tidak dapat masuk kerana masih tersekat di kerongkong. Saya rasakan seperti satu bala tuhan yang sedang memeluk dan menghempap dada saya dari segenap penjuru, menghimpit-himpit dan membelit-belit dari segala macam jeurtan yang tersangat kuat di bahagian dada.

Dunia saya rasakan ketika itu seungguh sempit, sangat sempit. Dan berat, seberat-beratnya.

Lalu tanpa saya sedari tangan saya menggengam penumbuk dan menumbuk-numbuk dada saya sendiri sekeras-kerasnya dengan harapan menggunung agar tablet itu akan terkeluar, dengan permintaan mengawan supaya ada sekelumit atau senipis-nipis udara berjaya masuk ke dalam peparu saya, dan dengan doa semoga ada secebis rahmat dari tuhan yang akan menyelamatkan saya dari pembunuh sebesar biji asam itu.

Tumbukan 'self harm' (atau self defense?) saya itu gagal. Tablet itu tak dapat dikeluarkan.

Saya menjadi semakin panik. Saya hanya berseorangan di situ dan saya mesti mendapatkan pertolongan orang lain. Di dalam surau yang penuh barakah itu saya sedang berseorangan dan hanya mungkin ditemani malaikat maut.

Lalu dengan rasa demam dan sakit kepala yang saya sudah tidak rasakan lagi dek kerana kesialan benda alah itu, saya mengorak langkah keluar dari surau dan memandang kiri dan kanan kalau-kalau ada orang di situ. Makcik matron, tukang kebun, warden, budak sakit perut pulang ke asrama, senior ponteng kelas, senior bangun tidur lambat, siapa-siapa sahajalah asalkan ada orang lain di situ yang saya boleh minta tolong.

Sudah kira-kira 20 saat semenjak saya menelan panadol itu.

Saya melihat sekeliling dan tidak nampak sesiapa pun. Lalu saya berjalan di sepanjang koridor menuju ke tempat basuh baju kalau-kalau ada pakcik tukang kebun disitu.

Ianya mengecewakan, tiada.

Hanya baru beberapa saat saya tercekik, namun masanya sudah dirasakan berdekad tidak bernafas. Saya semakin panik pabila menyedari tiada sesiapa di situ dan saya berseorangan. Saya semakin berasa lemas dan tidak dapat berfikir lagi. Oksigen di otak saya sudah berkurangan. Saya rasakan dunia saya kelam seperti malam pekat berawan tidak berbintang apatah lagi berbulan, sekelam-kelamnya sehingga tiada seekor unggas atau cengerik pun berbunyi-bunyi. Seperti yang tinggal hanyalah deruman angin yang membalut malam bersama pancaindera mata yang sudah seperti tidak berfungsi lagi dek kerana gelapnya malam. Itulah yang saya rasakan tika itu, bagaikan deruman dingin angin Behor Pulai di pagi yang mengusap sejuk tubuh saya yang tidak beroksigen dan pucat, bersama paru-paru saya yang sudah seperti tidak berfungsi kerana tercekik di kerongkong.

Saya semakin panik.

Seluruh badan saya rasakan sejuk dan meremang kerana lemas tidak dapat menarik nafas.

Saya semakin kaget. Tanpa saya kehendaki, saya dapati langkah saya semakin laju dan akhirnya saya berlari-lari dengan harapan dapat mencari seseorang yang boleh membantu saya. Saya berlari-lari lintas tangga bertentangan dengan tempat basuh baju itu, saya berlari-lari ke water cooler di laluan ke kelas itu dan akhirnya saya berlari ke tengah gelanggang sepak takraw dengan harapan kalau ada sesiapa di situ, mereka akan nampak saya. Saya cuba menjerit. Dengan hanya nafas yang sudah tidak berbaki lagi saya cuba menjerit meminta tolong, namun yang keluar hanyalah bunyi derusan tajam seperti lembu yang disembelih.

Kepala saya semakin berpinar-pinar dan pening. Lutut saya rebah ke tanah secara tiba-tiba, longlai tidak berudara dan tidak bernyawa. Mata saya ligat memandang keliling, ke atas koridor, ke bilik sakit, ke surau, dan akhirnya ke langit. Di saat itulah saya rebah longlai dengan semacam kepeningan di kepala dan kepenatan yang teramat sangat kerana berlari-lari tanpa bernafas tadi. Saya memandang ke langit biru itu dan berfikir "Adakah ini penghujungnya?"

Lalu pemikiran saya melayang seraya mata saya mula kelabu dan kelam. Saya dengar suara emak dan abah di telinga, suara kakak, abang dan adik saya. Di antara kabur-kabur itu saya dapat melihat suasana di rumah. Adakah keluarga saya ketahui apa yang saya sedang lalui? Saya mahu berjumpa mereka sekarang dan perasaan itu memuncak-muncak. Tiba-tiba saya rasakan saya tidak mahu lalui saat itu berseorangan. Dan sedetik demi sedetik ingatan saya tentang semasa berada di rumah dan kegembiraan berada di rumah datang kembali (walaupun pada masa itu di rumah saya sudah tidak begitu). Saya teringat hilai tawa kami adik beradik dan semasa kami bermain bersama-sama.

Wajah saya yang sejak tadi sejuk saya rasakan kini disulami dengan rasa kepanasan, kebas, dan semut-semut. Dan kemudian saya sedari bahawasanya seluruh badan saya berasa begitu. Sejuk, meremang, panas, semut-semut, otot menegang.

Saya mengalah pada penyabungan itu, dan menerima kekalahan saya kepada sang paracetamol. Namun hati ini berasa sedikit kecewa dan pilu kerana tidak bersama keluarga saya.

Mata saya melihat pemandangan terakhir langit biru berawan itu. Bersama sapaan selamat tinggal dari bayu Behor Pulai.

Lalu saya mengucapkan dua kalimah syahadah dalam hati.

Dan ketika itulah saya mendengar satu suara asing bercakap dengan nada yang tidak jelas.

Saya merasakan ada sesuatu yang keras memegang bahu saya dari belakang, sesuatu seperti tangan.

Saya sudah tidak kisah.

Saya hampir dapat melihat sesuatu itu, ianya seperti tangan besar berotot berwarna gelap. Ianya berbulu dan nampak kasar. Ianya memegang bahu saya dan tekak saya.

Saya tak kisah sama ada ianya adalah pengambil nyawa saya. Saya sudah menyerah.

Dan saya merasakan badan saya yang dari terlentang itu diangkat. Saya berfikir, adakah nyawa saya sudah keluar dari badan saya?

Saya dapat merasakan tangan itu merangkul dibahu saya, seraya dentuman keras hinggap di belakang saya,

Buuukkk! Buuuukk!

Saya terbatuk.

Buuukkkkk!!!

Dentuman kedua di belakang saya itu itu menyebabkan saya terbatuk panjang.

Dan suara lengan hitam itu menjadi jelas.

"Ni tercekik kot ni"

Tiba-tiba saya rasakan saya dapat menyedut sedikit nafas. Dan saya menarik nafas panjang, sangat panjang.

"Ni tercekik rasanya ni, kena bagi makan pisang ni kalau tidak"

Saya tidak ambil kisah dengan suara kedua itu, saya hanya mahu mengambil nafas panjang dan dalam, sepanjang dan sedalam-dalamnya.

Tangan itu mengurut belakang saya seraya saya merasakan lohong angin di tekak saya mula terbuka dan akhirnya terbuka seperti biasa.

Tangan hitam yang masih berada di atas bahu saya itu rupanya berbau tembakau kuat!

Tapi saya tak kisah.

Saya mengambil nafas panjang sepuas-puasnya. Saya dapat merasakan udara yang kita nafas itu sebenarnya punya rasa. Ianya berasa kenikmatan dan ianya juga tebal dan dapat dikunyah dan berasa sungguh enak!

Badan saya kembali panas.

Setelah 5 minit bernafas, saya dapat lihat makcik matron datang. Pemilik tangan hitam itu sebenarnya adalah tukang kebun sekolah, dan lagi seorang itu juga tukang kebun sekolah. Dia memberitahu mak cik matron saya tercekik kemudian mereka bercakap-cakap sesuatu yang saya sudah tidak ingat (mungkinkah kerana memori saya terhakis oleh sebab otak kekurangan oksigen?)

Kemudian setelah hampir 10 init, mak cik matron memapah saya masuk ke bilik sakit.

Dan saya tidak memakan panadol selepas itu, selama kira-kira 2 tahun sehingga tingkatan 5.

*****

Setelah peristiwa itu, saya menjadi fobia untuk makan panadol, Saya mula makan semula jika sakit bermula di tingkatan 5.

Itupun saya pecahkan dahulu panadol itu sebelum dimasukkan ke dalam mulut.

Dan tabiat itu kekal sehingga kini. Sehingga kini jika saya memakan ubat tablet, saya akan mengunyah dahulu tablet itu sebelum dimasukkan ke dalam mulut, lebih selamat rasanya begitu.

Setelah peristiwa itu, baru saya terfikir. Ketika saya mencari orang untuk meminta tolong, saya tidak melihat sesiapa pun di sekeliling. Namun semasa tukang kebun itu menepuk belakang saya, saya dapat mendengar dia mengatakan yang saya ini tercekik sedangkan pada ketika itu saya sudahpun terlentang longlai hampir mati. Saya masih rasakan ianya sebagai misteri tentang bagaimana pak cik tukang kebuh itu tahu saya sedang tercekik.

Kisah ini saya masukkan semasa menulis Personal Statement saya semasa memohon ke universiti di sini. Saya ceritakannya sebagai sebab kenapa saya memilih profession dalam bidang perubatan sebagai profession pilihan saya.

Dan sungguh, pabila memikirkan tentang pengalaman saya yang hampir menemui kematian membuatkan saya mula kisah tentang orang lain yang sedang sakit. Ini mendorong saya pada mulanya untuk menyertai PBSM tetapi kemudian saya menyertai Kadet Bomba dan Penyelamat. Ini juga sebenarnya mendorong saya pada mulanya untuk bekerja dalam bidang ini walaupun ketika itu subjek markah terendah saya adalah Biologi.

Pengalaman tercekik ini berlaku dalam hanya beberapa saat. Namun ianya adalah saat yang mengubah hidup saya. Beberapa saya yang membuatkan saya mula sedar tentang kehidupan ini, dan mengajar saya supaya menghargai setiap detik dan setiap benda di sekeliling kita. Saya masih lagi ingat bagaimana rupa langit ketika itu yang diapit Blok A dan Blok B aspura. Dan angin Behor Pulai pagi itu yang sejuk dihirup, beberapa saat sebelum nikmat itu ditarik.

Saya teringat kisah ini ketika saya demam dan sakit kepala tempoh hari. Semasa mengunyah tablet Panadol yang dipeknya tertera 'The Original Panadol' bagi menghilangkan sakit kepala saya, saya teringat bagaimana satu ketika dahulu juga ianya adalah perkara yang sama yang saya buat semasa sakit kepala. In fact, setiap kali hendak memakan panadol inilah peristiwa yang berlegar dalam kepala saya.

Saya menulis kerana saya rasakan kisah ini sungguh ironik.

Ironik.

Panadol yang sepatutnya menyelamatkan nyawa saya itu hampir membunuh saya.

Ironik.

Sebesar-besar badan saya ini hampir dibunuh oleh dua biji tablet yang besarnya tidak sampai anak jari kelingking saya.

Dan sekarang baru saya terfikir.

Ironik.

Kalaupun saya sedang belajar bermati-matian dalam kos ini, memerah seluruh akal saya untuk menghafal dan menguasai semua yang saya sedang pelajari. Kalaupun dalam Malaysia itu saya diistilahkan sebagai 'cream of the crop' dan dipilih di antara yang terpilih untuk menjadi seorang doktor dan datang belajar di sini. Kalaupun nanti saya akan menjadi doktor dan bergaji beribu-ribu sebulan. Kalaupun nanti saya akan bekerja di dalam bilik beraircond tanpa setitik peluh pun yang keluar. Dan kalaupun nanti saya akan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Saya masih berhutang nyawa dengan seorang tukang kebun sekolah.

1 ulasan: