Khamis, 25 Mac 2010

..otak sang manusia..

..dan semenjak itu saya semakin banyak berteori. Namun salah satu teori yang saya masih pegang hingga sekarang adalah manusia seperti graf taburan normal.

Pada saya, segala yang ada di dunia ini boleh dibandingkan dengan graf taburan normal. Segalanya, jika kita ambil bilangan manusia di dunia ini dan kita kira jumlah bilangan manusia dan dipadankan dengan perangai mereka yang telah diskalarkan, taburan itu membentuk satu graf taburan normal.

Contohnya perangai manusia. Jika kita bina satu skala untuk perangai manusia dari yang paling teramat jahat kepada paling teramat baik, kita akan dapati tak ramai orang yang berperangai sangai jahat, dan tak ramai juga yang berperangai sangat baik. Kebanyakannya adalah di tengah-tengah atau di 'mean' graf yang terbentuk.

Juga pada kekuatan fizikal manusia. Tak ramai orang saya rasakan sangat lemah sehingga tak mampu untuk berbuat apa-apa, dan tak ramai juga yang menjadi atlet sukan sehingga memegang rekod dunia. Jumlah teramai tetap pada 'mean' graf tersebut.

Dan yang paling terkenal tentang graf normal dan aplikasinya juga sudah tentulah IQ manusia. Dan seperti yang sering kita dengar, orang genius adalah orang yang mendapat markah dalam ujian IQ yang tinggi di mana hanya kira-kira 2 peratus sahaja manusia yang punya markah ujian IQ sepertinya. Kenapa 2 peratus? Kerana dalam taburan graf normal, 2 peratus ini, atau sebenarnya 2.1% dari populasi manusia mendapat markah ujian begini dan ianya merangkumi 3 'standard deviation' teratas dalam graf normal itu. Maka, jika ada 'upper limit' untuk graf normal itu, sudah tentulah punya kumpulan terbawah dalam skor IQ. Jika anda peminat Forrest Gump, mungkin anda sedar pabila Guru Besar di sekolah rendahnya menunjukkan graf IQ yang diterima untuk memasuki sekolah awam, di manakah Forrest Gump berada dalam graf itu dan apakah sifatnya.

Mungkin sesetengah orang yang kenal saya pernah mengetahui bahawa saya seorang yang kerap mengutuk Sains Sosial. Bidang-bidang 'soft sciences' ini saya selalu ibaratkan sebagai bidang bungkus belacan, di mana tesis mereka layak di buat bungkus belacan.

Ianya mungkin bermula dari latar belakang saya yang dibesarkan dengan suasana yang ditonjolkan oleh ayah saya. Oleh kerana ayah saya dahulunya seorang geologis, pernah menjadi jurutera dan akhirnya menjadi pensyarah kejuruteraan, saya dibesarkan dalam suasana 'hard sciences'. Abah selalu bercertia tentang perihal kejuruteraan, geologi dan mesin. Dan saya rasakan dalam kepala saya juga masih lekat beberapa nama batuan yang abah tunjukkan.

Dan pabila di dalam bidang 'hard sciences' ini yang melibatkan segala-galanya adalah sesuatu yang definit, jitu dan jelas, saya kerapa mengutuk bidang 'soft sciences'.

'Hard sciences' adalah bidang-bidang yang melibatkan banyak eksperimen yang melahirkan jawapan jitu dan berkait rapat dengan matematik serta perkara yang jelas, contohnya kejuruteraan, kimia, fizik, geologi, biologi. Jika kita melihat tesisnya, ianya banyak bergantung kepada jawapan yang berdasarkan eksperimen serta melibatkan matematik.

'Soft sciences' pula adalah bidang yang melibatkan perkara yang tak dapat dilihat, contohnya sosiologi, pengurusan. Ianya banyak bergantung pada pendapat manusia, dan jika dilihat tesisnya juga banyak berkait dengan pendapat yang kita sendiri boleh canggahkan, dan banyak juga 'quote' dari orang lain. Itulah kenapa saya kata tesis 'soft sciences' ini adalah tesis bungkus belacan, kerana apa yang ditulis mereka itu adalah petikan kata-kata atau pendapat orang lain. Bidang ini juga mendapat jolokan sains kerana mereka sedaya upaya cuba menunjukkan ke'sains'an mereka dengan membuat eksperimen menggunakan 'Scientific Method'.

Saya rasa anda akan lebih memahami apa yang saya katakan jika anda pernah belajar falsafah, atau paling kurang Theory of Knowledge. Untuk bekas pelajar KMB, anda mungkin pernah membca tentang Umbrelallogy, kan? Itulah apa yang saya fikir awalnya.

Dan sekarang, atau juga saya rasa kira-kira 5 tahun yang lepas, saya mula menyedari kesilapan saya berfikir begitu. Kerana 'soft sciences' ini juga sebenarnya juga adalah bidang sains yang berkait rapat dengan kemanusiaan dan sifat manusia. Ianya juga mengajar saya untuk berinteraksi dengan manusia. Saya masih ingat rasanya apa yang saya belajar dalam Business and Management di KMB. Setiap skil pengurusan, motivasi, kepimpinan itu begitu menarik apabila difikirkan. Sesungguhnya walaupun semua itu sebenarnya adalah skil semulajadi bagi sesetengah orang, bagi saya, ianya sesuatu yang menarik terutama pabila kebanyakannya disokong oleh eksperimen yang dibuat bagi menyokong teori-teori itu.

Dan salah satu minat saya sekarang juga mula berputik kepada neurologi. Oh, mungkin sejak dahulu lagi saya minat kepada bidang neurologi. Mungkin ini salah satu dari bidang yang mengaitkan cita-cita semasa kecil saya untuk membina anggota badan robotik, dengan bidang yang saya ceburi sekarang.

Neurologi secara umumnya berkisar tentang urat saraf dalam badan kita. Sistem kawalan dalam badan kita. Ianya terbahagi kepada banyak bidang, antaranya yang biasa kita dengar adalah berkait dengan otak, berkait dengan saraf tulang belakang, berkait dengan kawalan ke atas pergerakan otot. Bidang ini sangat berkait rapat dengan psikologi. Juga hormon, tindak balas badan dalam badan kita, perkembangan manusia.. kerana otak kita mengawal segala-galanya dalam badan, saya rasa neurologi berkait rapat dengan segalanya. Sudah tentulah, tiada yang berlaku dalam badan kita yang tiada kaitan dengan organ lain. Semuanya berkait rapat antara satu sama lain.

Dan kerana sekarang saya sedang membuat 'assigment' yang saya pilih dalam bidang neurologi, saya dapat rasakan betapa uniknya otak manusia ini.

Kalau dahulu saya mengetahui sel neuron adalah antara sel yang tak dapat diperbaharui dalam badan manusia, atau juga tak akan digantikan jika rosak, saya sering tertanya-tanya bagaimanakah seseorang itu belajar atau ingin menjadi pandai jika sel otaknya tak akan bertambah.

Mungkin ini kerana persoalan saya pada ketika itu hanyalah pada minda seorang budak tingkatan 2 atau 3 mungkin, tapi sekarang segala dogma yang saya pegang sedikit sebanyak telah dibetulkan.

Ini kerana otak sebenarnya adalah sesuatu struktur yang plastik, ianya berubah bentuk. Memang, sel neuron itu tak akan bercambah atau berganti, tak seperti sel-sel lain yang tumbuh semula jika rosak. Tetapi sel neuron punya akar-akar akson dan dendrit, yakni akar-akarnya yang menghubungkannya dengan sel neuron yang lain.

Jika anda inginkan apakah perumpaaan otak manusia itu, saya secara ringkas berikan perumpaan seperti papan litar berwarna hijau yang kita belajar semasa tingkatan tiga dalam Kemahiran Hidup.

Litar itu punya lubang yang boleh kita pasang alat seperti transistor, atau mentol. Jika dalam otak, lubang itu adalah sel neuron. Dan setiap neuron itu berhubung dengan antara satu sama lain. Bebelirat dengan berjuta akson dan dendrit. Semasa bayi, atau tak jauh saya katakan semasa masih dalam kandungan, akson dan dendrit atau 'wayar ini belum atau kurang maka sel neuron belum berhubung sepenuhnya. Bermula dari kandungan dengan mendengar suara ibu atau dodoian mahupun bacaan al-Quran, wayar ini mula dibentuk oleh sel neuron menghubungkannya dengan sel neuron yang lain sehingga menjadi berbelirat seperti papan litar hijau itu.

Dan jika di papan hijau itu kita akan kuatkan aliran, atau perlahankan aliran dengan memasang dan memateri wayar atau memutuskan sedikit litar atau memasang perintang, begitulah juga dengan otak manusia. Jika dalam litar itu, kita akan memutuskan dengan memotong litar, jika dalam otak wayar itu akan 'diputuskan' menggunakan neurtransmitter yang meghalang laluan impulse. Kebanyakannya dari jenis GABA. Untuk kuatkan litar juga, otak gunakan neurotransmitter dari jenis glutamat. Sebenarnya masih banyak lagi neurotransmitter dalam otak, maka wayar dalam otak boleh diputus, dikurang, dikuatkan dengan berbagai tahap kekuatan.

Belum cukup dengan itu, jika papan hijau itu sekali litar diputuskan tak boleh disambungkan, dalam otak wayar yang 'putus' boleh disambung dengan yang membuang reseptor GABA yang membolehkan pesakit strok berjalan atau menggunakan anggota badan mereka semula!

Oh, belum cukup dengan itu. Jika papan hijau itu hanya selapis atau 2D, ketahuilah otak ciptaan tuhan itu sebenarnya dalam bentuk 3D. Sangat kompleks!

Dan semasa kita belajar, setiap apa yang kita simpan dalam memori, apa yang kita alami, pewayaran otak ini akan berubah. Inilah yang dinamakan plastisiti otak. Plastik merujuk kepada berubah bentuk.

Dan, seperti bezanya setiap komputer pada prosesornya, begitulah kita.

Apa yang kita fikir, bagaimana cara kita berfikir, bergantung kepada bagaimana otak kita diwayarkan. Dan bagaimanakah otak kita diwayarkan? Ianya bergantung pada bagaimanakah kita dibesarkan, dan bagaimanakah kita didik, dilatih, pengalaman, segala-galanya yang masuk dalam otak kita tanpa kita sedar atau tidak sedar.

Bagaimana kita berfikir, bergantung banyak pada pengalaman kita.

Namun selain dari faktor pengalaman terdapat juga pengaruh genetik dan perkembangan sel neuron itu sendiri pada mulanya. Sudah tentulah kerana genetik itulah yang membentuk diri kita, berapa banya sel neuron dan kecenderungan pengwayaran otak kita bergantung pada ekspresi protein dalam sel kita, dan ini bergantung pada genetik kita.

Tentang perkembangan sel neuron pula, boleh jadi semasa dalam kandungan ibu atau bayi, atau semasa dari zigot itu lagi, mungkin terdapat sedikit 'glitch', atau sesuatu yang sedikit tidak normal berlaku yang lain dari orang lain. Yang akhirnya mengakibatkan proses pewayaran otak itu terjadi lain sedikit dari populasi dunia majmuk. Maka mereka-mereka ini menjadi sedikit berlainan dari orang lain dari segi pemikiran.

Saya tak merasakan kanak-kanak autism itu sebenarnya mengalami masalah neurologikal, juga penghidap dyslexia. Seperti juga saya katakan manusia ini ibarat taburan graf normal, bagi saya mereka ini hanyalah segelintir dari 2% manusia yang punya pengwayaran otak mereka berbeza dari 98% otak mereka yang lain. Maka akibat sedikit kelainan ini kita memandang mereka sebagai orang yang kurang kemampuan. Saya mendengar berulang kali bahawa pesakit dyslexia punya masalah dalam penulisan dan pembacaan kerana mereka sering tertukar huruf 'b' dan 'd', 'p' dan 'q' dan lain-lain. Dan saya juga mendengar ini kerana mereka melihat dunia secar terbalik. Mungkin ini hanyalah kerana otak mereka diwayarkan sedikit berlainan. Maka tak hairanlah kebanyakan genius yang kita dengar seperti Albert Einstein, Leonardo Da Vinci, Mozart sebenarnya disleksik. Ini kerana mereka melihat apa yang kita tak dapat lihat.

Juga autism. Sifat telitian mereka dalam menyusun barang itu sebenarnya mengambarkan ketelitian mereka dalam membuat sesuatu. Dan tak jauh juga saya katakan sifat ketelitian ini sebenarnya sangat penting dalam bidang 'hard sciences', itupun jika mereka berjaya fikir seperti apa yang kita fikir.

Melihat kepada betapa kompleksnya plastisiti otak manusia, dan kompleksnya pengwayaran neuron dalam kepala, saya tahu setiap manusia itu berbeza.

Setiap manusia itu sememangnya sangat-sangat berbeza. Dari mula ovum disenyawakan sperma, sehingga otak berkembang dan dendrit serta akson menjalar, kemudian dalam pembelajaran semasa kecil hingga dewasa, setiap manusia itu pemikirannya berbeza.

Dari pengalaman, genetik, perkembangan otak, persekitaran, kita tak boleh harap seseorang itu berfikir seperti apa yang kita fikir. Kerana dasarnya memang kita berbeza.

Saya ingin menyentuh sedikit tentang genius. Saya lihat disekeliling saya banyak orang yang sedikit 'pelik' dan lain dari orang lain. Namun mereka ini punya keupayaan otak yang jauh melampui orang lain. Orang dari jenis yang tidak study tetapi masih lagi boleh cemerlang dalam peperiksaan, serta banyak lagi. Namun kerana mereka ini berbeza dan pelik, mereka sering dipinggirkan dari segi sosial kerana tidak mampu bergaul, atau juga kerana perangai mereka tidak dapat diterima orang lain.

Sangat sedih, pabila melihat mereka ini dari kalangan bangsa saya diketepikan. Bukan sahaja secara sosial, tapi juga kepada peringkat tertinggi hingga ke tahap kerajaan. Masih lagi belum mampu menyelamatkan mereka ini. Bagi saya, mereka ini secara neurologikalnya hanyalah seseorang daripada 2% populasi manusia yang otaknya diwayarkan sedikit berbeza.

Saya tahu banyak definisi tentang genius, tapi dalam konteks ini, definisi yang saya ingin gunakan adalah;

'a genius, is someone that can utilise his environment for his own survival'

Dan jika kita masih meminggirkan seseorang itu kerana dia pelik, sesungguhnya kita adalah bodoh kerana tidak mampu berinteraksi dengannya bagi kepentingan masa hadapan kita (walaupun berbuyi sedikit pentingkan diri sendiri)

Dan sekarang dengan lebih banyak mengetahui tentang neurologi, 'soft sciences' saya rasakan semakin menarik. Tentang bagaimana kompleksnya proses pewayaran otak manusia itu membina personaliti seseorang itu.

Mungkin anda pernah mendengar tentang bidang Psychoneuroendocrinlogy, atau juga anda tak pernak dengar sebelum ini seperti saya. Saya juga baru belajar tentang bidang ini semasa sesi Individu dan Populasi minggu lepas. Dari namanya yakni Psycho+Neuro+Endocrin, ianya adalah bidang yang menghubung hormon, otak dan kesannya kepada psikologi manusia. Dan juga ianya berkait rapat dengan sosiologi manusia amnya. Saya rasa bidang itu sepatutnya dinamakan Sociopsychoneuroendocrinology hah!

Ianya amat menarik sebenarnya, melihat kepelbagaian perangai manusia di dunia ini. Mungkin ada yang perangainya periang, ada yang pemalas, ada yang sangat rajin, ada yang suka mencari pasal, ada yang peramah. Seperti yang saya kata, perangai manusia ini ibarat graf normal.

Dan jika kita rasa perangai seseorang itu menjengkelkan kita kerana dalam graf jangkaan kita dia berada di skala paling bawah, ingatlah di skala sesetengah orang lain juga kita berada di paling bawah.

Kita boleh juga berfikir orang lain bodoh, tak berguna. Mungkin kerana kita sudah cukup hebat hingga tiada kecacatan tak salah untuk kita berfikir begitu. Dan jika pun kita sememangnya seorang yang sangat sempurna, memang tak salah untuk kita berfikir begitu. Kerana sesorang yang sudah sempurna punya hak untuk bercakap tentang ketidaksempurnaan, itulah pendapat saya. Tapi adakah semua orang sempurna?

Saya tidak tahu, mungkin kerana setelah melalui segala yang saya telah lalui dalam hidup saya semenjak saya dilahirkan maka otak saya telah diwayarkan sebegini rupa. Ataupun kerana secara genetiknya otak saya diwayarkan begini, atau juga semasa perkembangan otak saya memang begini, beginilah saya berfikir.

Dan, kerana plastisiti otak mungkin, semenjak 10 tahun kebelakangan ini saya dapat rasakan pengwayaran otak saya sedikit sebanyak telah berubah.

Tak ramai yang tahu saya asalnya panas baran, saya punya 'expectation' yang tinggi terhadap orang, dan saya mudah berang apabila seseorang itu melakukan apa yang dia tak patut saya lakukan. Mudah kata saya tidak suka kepada ketidaksempurnaan. Dan saya punya kecenderungan untuk beranggapan orang lain mesti mengikut fahaman dan falsafah saya.

Tapi, kerana apa yang telah saya hadapi atau mungkin sekali saya kata itu sebenarnya dalah proses pematangan dan pendewasaan saya, segalanya telah banyak berubah.

Sekarang, saya rasa saya lebih mudah menerima ketidaksempurnaan dan itu, dan juga mudah menerima apa yang saya jangkakan dari seseorang itu jauh sekali panggang dari baranya.

Bagi saya, segala apa yang ditonjolkan oleh perangai seseorang itu bergantung pada apa yang ada di dalam otaknya, bagaimana otaknya diwayarkan. Ianya agak unik kerana dengan setiap perangai manusia, kita dapat melihat betapa agungnya ciptaan tuhan.

Dan, sedikit sebanyak apabila berfikir begini, saya lebih tetarik dengan manusia serta sifatnya, serta kaitan mereka dengan otak mereka. Bagaimana pengalaman sesorang itu menyebabkan otaknya dibentuk sedemikian rupa sehingga perangainya menjadi begitu. Sebenarnya amat menarik untuk difikirkan. Dan daripada saya berasa sakit hati atau marah dengan seseorang, lebih baik saya berfikir begini. Tidakkah ini juga menambah pengetahuan saya?

Cubalah, manusia ini sebenarnya unik.

Agungnya ciptaan tuhan.

Subhanallah.

3 ulasan:

  1. dahsyat pemikiran org ni..
    bagus..

    BalasPadam
  2. subhanallah..

    Alhamdulillah..
    ak suka dengaq cara ang berfikir sekarang ni..
    persepsi ak terhadap ang byk berubah..=p

    yeah!
    semua manusia mempunyai cara berfikir yg berbeza..
    dan itu yg membuatkan manusia itu unik.

    dan ak sangat2 berminat dengan Psychoneuroendocrinlogy yg ang crita tu..
    sebenarnya lebeh kepada perbezaan sikap manusia kot..hehe
    jeles ampa ada blajaq bnda tu..
    kat tempat ak cam takdak ja..
    huhu

    "cubalah memahami cara org lain berfikir,
    jgn ingat smua org berfikir sama spt kita"

    wallahu'alam~
    ^^

    BalasPadam
  3. omg!

    aku sangat terkejut slps membaca ang puny artikel!

    seriously i mean it!

    camna hang dapat idea camni?

    u noe what, one day aku rasa hang akan jadi philosopher!
    seriously!

    n hang akan jd org malaysia pertama dapat nobel!

    well gud luck!

    ps:jangan lupa beli perfume kat aku!

    BalasPadam