Khamis, 12 November 2009

..merdekakah kita?..

Episod 14

..dan saya masih lagi mendengar suara2 mereka berkata begitu, walau bagai hendak naik radang cochlea ini diasak oleh ayat-ayat itu, ianya masih lagi berupaya meradangkan hati saya secara bahasanya.

Saya juga kadang-kadang berkata begitu, dan begitu kuat juga pernah menyokong teori-teori itu. Walau sekarang juga saya sedar banyak yang mengucap begitu, baik orang yang berada di bawah sedang bekerja bertungkus lumus mengais tanah mencari barang sebutir nasi, atau yang agak senang dapat menyewa rumah dan bekerja di kilang, mahupun yang di tengah dengan kereta dan rumah ansuran mereka, atau juga sedikit kelompok di atas yang memakai t-shirt polo yg dimasuk kemas dalam seluar bertali pinggang 'Lacoste'.

Semua masih berkata begitu, masih percaya begitu, kasihan, kepada diri saya juga.

Suara-suara begitu masih berkata, memang ini perangai bangsa mereka, bangsa kita, bangsa saya. Pemalas, kuat mengumpat, tikam belakang, dengki, buruk perangai, sombong, dan segala macam tahi yang biasa diucap oleh bangsa lain kepada bangsa lain. Namun ini, kepada diri sendiri.

Namun jauh di dalam hati saya, jika dilapah segala pemikiran dan racun-racun yang disuntik dalam minda saya oleh kata-kata begitu sejak kecil, akan terselak segala kesedaran yang saya baru sedar.

'seperti katak di bawah tempurung'

Itulah saya kira diri saya ini jadinya semasa saya berada di Malaysia. Penuh dengan idea-idea rakus tentang buruknya bangsa saya semasa di sana, disuap lagi dengan bukti-bukti sahih dan nyata di depan mata kepala, saya pernah percaya. Kemudian disogok pula oleh rujukan kepada kaum lain, saya makin diduga. Dibesarkan dalam komuniti yang percaya semua itu, dan melalui semua ini, saya yakin bahawa semuanya benar, pernah yakin.

Namun, saya kiranya saya sedar sekarang. Setelah keluar dari tempurung beribu negarakan Kuala Lumpur itu, saya mula melihat apa yang ditohmah kepada bangsa saya itu, sebenarnya sama sahaja dengan bangsa lain.

Tiada beza, tiada yang amat berbeda, hanya kerana kita percaya, hanya kerana kita melihatnya di depan mata, namun yang buruknya itu tampak di bangsa, walhal saya sedar sekarang ianya adalah hal dunia.

400 tahun kita dijajah sudah, perlu kita berfikir sekarang, merdekakah kita?

..bersambung..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan