AMARAN: PENULISAN INI MENGANDUNGI PERKARA YANG DIKIRA BERAT
..dan Seman pun berkata, "taukeh, masuk buku ya, ujung bulan nanti tolak duit padi". Semua barang dicatat dalam buku log, tetapi bukan buku 555, hutang beribu tidak wajar diletak dalam buku 555, hutang 4 angka tidak muat dalam buku 3 angka itu.
Seman angkut barang itu; racun rumpai, baja. Baja dacing hanya sampai sikit, dia bukan orang kuat kerajaan. Maka dia perlu cari baja yang lebih kualiti. Benih padi nanti sampai. Motorsikal Honda petaknya hampir bergoyang-goyang dek terlampau berat oleh botol racun dan baja itu.
Bulan ini hutang lagi, sama seperti bulan lepas, tahun lepas, semenjak hari itu. Hari di mana dia tak kenal apa itu makna 'korporat', makna apa itu 'saham', apatah lagi 'GLC'. Mahu naik tergeliat lidah utaranya untuk sebut perkataan itu, apatah lagi otaknya yang naik berbelirat pabila memikirkannya.
Beberapa tahun sebelum itu, ada orang datang beritahu projek kerajaan. Nama Bernas. Seman mula tidak percaya. Namun kemudian dia tersenyum gembira. Bernas beli padi orang kampung, bayar harga tinggi. Timbang cukup, bayar cukup. Buat beberapa tahun Seman mampu senyum. Duit Bernas itu Seman guna beli kubota, tidak lagi guna kerbau. Masa itu masa dia muda.
Tapi itu cerita dulu. Kemudian dia dengar khabar Bernas hanya mahu beli beras gred tinggi. Berasnya tidak cukup satu gred lagi. "Apa kejadahnya? Bukannya beras aku tak boleh dimakan?"
Dia terpaksa naik belanja untuk bela padinya. Semuanya makan duit. Kadang-kadang ribut datang, ketam datang, siput datang. Semua bencana. Maka hidup Seman mula susah dek kerana malapetaka yang saling tumpah bagai dirinya itu lesung batu untuk ditumbuk-tumbuk antan bernama derita itu. Dia mula hutang.
Kemudian hidupnya mula sengsara.
Dia tak tahu hendak buat macam mana.
Dia fikir hendak buat pinjaman Bank Pertanian, macam masa dia beli kubota dulu.
"Tapi Abang Lang bank pun dah tak macam dulu. Dulu tak mintak cagaran, sekarang minta cagaran. Kalau kita cagar tanah padi tu, kalau tak habis bayar hilang la tanah kita tu. Nak bagi anak bini makan apa Abang Lang? Tanah? Selut? Ketam batu?" Adiknya Tajudin bersuara lantang, tidak setuju.
Seman termenung seketika. Dia pandang luar tingkap. Lihat tanah sekangkang keranya yang dia dapat dari orang tuanya, sesudah dibahagikan kepada 14 bahagian, besar itulah yang dia dapat. Mujur ayahnya rajin memugar tanah dahulu, mujurlah.
Lalu datang Mat Paya, dua pupunya yang tinggal di hujung kampung. Dia saudara Seman. Dia darah daging Seman. Mat Paya datang bawa berita gembira. Datang dengan kereta Datsun, gagah nampak dia berkereta. "Aku juga boleh beli kereta" Seman berkata. "Dah tentulah Abang Lang" Mat Paya sahut beriya.
Mat Paya cakap jangan risau. Dia kenal taukeh kilang padi dekat mukim seberang tu. Dah ramai orang buat macam ini.
"Abang Lang jangan risau. Besok kita pergi. Tak payah cagar apa-apa. Boleh pinjam terus, dengan syarat padi Abang Lang kena jual dekat dia lah."
Seman melirik senyum lebar. Kalaulah cuping telinganya tiada, dah tentu senyumnya bertemu di belakang kepala.
Dalam kepalanya fikir, segala masalahnya sudah berakhir. Dapat pinjaman, boleh beli baja, recun, benih, tak perlu cagar apa-apa. Sudah tidak perlu pada Bank Pertanian. Syaratnya hanya perlu jual padi pada taukeh. "Oh itu sudah cukup bagus! Kalau Bernas tak mahu ambil padiku, pergi mampus lah dengan dia!" Dia mencemuh angkuh.
Besoknya dia dapat duit, dengan ditemani Mat Paya yang kuat bertengking dengan taukeh itu kerana meminta duit lebih untuk dua pupunya itu. Mat Paya bagai wira padanya, bagai gaduh besar dia lihat Mat Paya bermati-matian memperjuangkannya. "Oh inilah gunanya saudara" ucapnya syukur dalam kepala.
Alang-alang sudah di kilang itu, dengan segala racun rumpai dan baja juga di jual, dia terus sahaja beli di kilang itu. Sekali lagi Mat Paya menyabung tenaga, meminta harga barang itu dikurangkan. Dia betul-betul gembira bukan kepalang hari itu. Dia gembira.
Seman guna duit beli baju sekolah baru untuk anak. Juga beli buku latihan untuk anaknya ambil peperiksaan. Mujur buku teks dapat pinjaman, sekarang yang tinggal hanya buku latihan yang pihak sekolah wajibkan. Mahal, tetapi Seman akur, dia tak mahu anaknya hidup derita sepertinya.
Seman cadangkan pada Tajudin untuk jumpa taukeh itu juga. Dia ingin bawa Tajudin sendiri pergi jumpa taukeh, dia yakin mampu perjuangkan adiknya sepertimana Mat Paya berbakti padanya. Dia pergi dengan Tajudin ke kilang itu naik motosikal honda petaknya yang berasap-asap kepul putih dan hitam, sama seperti hatinya dahulu, tapi itu dahulu. Mungkinkah?
Sampai di kilang dia lihat kereta Datsun sudah ada di situ. "Oh Mat Paya sudah ada di sini. Maka kerja jadi mudah"
Mat Paya keluar dar pejabat taukeh sambil memasukkan dompet ke dalam seluar. Dia bagai terkejut beruk lihat mereka berdua di situ. Tak tahu kenapa dia menggelabah, tapi dia berpura-pura sapa Seman dan Tajudin. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang, dia tersenyum. Padanya mereka rezeki, pada Seman dan Tajudin, Mat Paya penyelamat yang di nanti.
Genap 5 bulan, Mat Paya datang lagi. Kali ini dengan tawaran sewa lori dan mesin padi untuk tuai dan angkut padi Seman ke kilang. "Taukeh bagi, harga boleh dirunding". Bagai dinanti-nanti, Mat Paya memang saudara sejati!
Dia lihat mata penimbang itu. Kira-kira 50 tan. "Mungkin hasil tahun ini tidak menjadi". Getus hatinya. dia gembira, syukur, sekurang-kurangnya dia dapat pinjaman dan dapat jual padi. Walaupun tahun ini kurang 5 tan dari tahun lepas-lepas, dia tetap syukur. Dia perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang dia dapat, itu ajaran datuk nenek moyangnya, tidak boleh dibahas.
Dia lihat Mat Paya sedang bertekak dengan taukeh, tentang harga padi. Naik gerun dia dengar harga yang Mat Paya mintak dari taukeh, tak pernah dia jual padi semahal itu. Mat Paya memang saudara sejati. Dia terfikir-fikir mahu jodohkan anak perempuannya yang sedang sekolah menengah dengan anak lelaki Mat Paya yang kerja kilang di pekan. Sopan santun budak itu dia lihat. Rajin sungguh dia bekerja hingga pulang ke rumah waktu embun jantan mula menguak jernih di daun-daun pucuk jamu. Rajin sungguh.
Dia dapat duit. Sebagai tanda terima kasih dia bagi RM100 pada Mat Paya. Duit yang dia dapat dia bayar semula taukeh. Ada baki lagi RM2000. Sudah cukup banyak berbanding tiada apa-apa. Dia bersyukur lagi. Malam itu Seman beli buah epal, riuh rumahnya dengan suara anak-anaknya gembira. Seman juga gembira, Seman gembira.
Seman bahagi duit itu; untuk belanja, dan juga untuk modal padi musim berikutnya.
Seman bajak bendang, Seman semai benih, Seman tabur baja, Seman juga meracun rumpai petaknya. Semua Seman buat.
Namun sampai tengah musim duitnya habis. Dia pun jumpa Mat Paya, dan jumpa taukeh, dan pinjam lagi.
Habis tuai, Seman dapat duit. Tapi kali ini susut sedikit, hanya RM1500. Tak mengapa, fikir Seman, dia perlu bersyukur.
Sampai tengah musim berikutnya Seman pinjam lagi. Dan lagi, dan lagi. Selepas kira-kira 3 tahun, Seman perlu pinjam awal musim. Dia berasa malu untuk berjumpa dengan Mat Paya untuk minta tolong dengannya. Siapalah dia. Mat Paya sudah pakai kereta Proton Wira sekarang, dia masih lagi dengan Honda petaknya. Dia terpaksa tebal muka walau untuk berjumpa saudaranya.
Syukur Mat Paya ada untuk membantunya tadi.
Seman letak barang-barangnya ke tanah. Anak daranya sampai tepat sekali dengannya dengan menaiki van biru, seperti biasa.
"Sudah boleh menikah anak ku ini", fikirnya.
Nanti kalau ada orang masuk meminang, dia akan pinjam duit untuk buat belanja kahwin, pada taukeh. Mesti tumbang seekor lembu. Harap Mat Paya membantunya.
Isnin, 16 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
slm.mantap betul gaya bhs cerpen.teruskan menulis.gaye penulisan mcm student education,bhs mlayu yg mnulis.tahniah..
BalasPadamterer la
BalasPadamsedih aku baca cita ni..
BalasPadammcm nk wat kilang padi ja...
Terima kasih kepada sokongan..
BalasPadamCerita ini hanya rekaan, namun situasinya adalah benar-benar belaka dan pada waktu ini sedang terjadi di kampung-kampung. Bahkan saya pernah mendengar cerita tentang penimbang yang 'short' sebanyak 20 tan! (dalam cerita ini hanya 5 tan)
Saya juga bercita-cita membuka kilang padi pabila mengetahui hakikat ini. Tapi hanya pada cita-cita.
Wakil rakyat hanya datang 5 tahun sekali, beri duit pada Mat Paya untuk buat kenduri hari mengundi, beri payung, kipas, beras Siam pada orang kampung, kemudian hilang menyendiri.