..dan bangau itu pun terbang beribu-ribu kilometer ke selatan, mahu melarikan diri dari cuaca sejuk kutub utara. Dia perlu cepat, dia perlu ligat, kerana barang lambat seminggu pun akan membiarkan badannya dibaham angin sejuk itu, dan sejuknya itu akan mengejangkan ototnya.
Dia perlu cepat, jadi sukar untuknya berhenti rehat untuk makan, kerana di angin tiada R&R yang jual makan, di angin semuanya perlu di cari di darat, dan di cari itu makna perlu di kais; kaisnya pagi berjaya, kenyanglah dia pagi itu, kaisnya petang hampa, maka bergerutlah perutnya semalaman.
Maka dia singgah di paya, kerana cuacanya panas sedikit, tapi terlalu panas untuknya bertelur dan hidup, bulunya bulu putih, paruhnya paruh mancung, tak seperti burung 'local' yang koko dan berparuh penyek.
Maka tibanya di paya itu, badannya sudahpun kurus kerana sudah berharian tidak makan. Maka diseluknya paruh ke dalam air, cuba-cuba mencari akan ikan.
Tapi hampa, kerana tidak berpengalaman mungkin, tidak bisa dia hidup di kawasan semak seperti itu. Oh tidak, bukan dia yang cetek pemikiran, ikan ini yang bodoh tak mahu timbul untuk dimakannya!
Maka ikan berlari-lari seraya nampak bangau.
"Bodohlah aku mahu masuk ke perutmu, sama bodoh dengan kau yang bulu putih berdiri celah rumput koko, tak belajar penyamaran langsung!"
Desir hati ikan, sambil ketawa, tentulah.
Lalu ikan mengejek bangau dari jauh. "Bodohlah akan kamu kerana di sini rumputnya panjang-panjang, mana mungkin aku timbul!"
Bangau bengang. "Bengap punya ikan"
"Aduh! Aduh! Sakitnya perutku!"
Suara dari jauh kedengaran. "Inilah akibatnya tidak makan makanan aku, inilah akibatnya makan makanan orang". Kerbau merintih. Perutnya sakit. Dalam kepalanya berfikir ini mesti kerja nasi mentah yang dia jumpa di sebelah reban ayam. Malasnya kerbau untuk berjalan sedikit ke tepi paya untuk makan rumput, dikekahnya nasi yang dia jumpa dekat dengan rumah tuannya, malasnya kerbau.
Nasi mentah ketawa terkekeh. Nasibnya baik, fikirnya. "Ambik kau, dulu kepung aku, sekarang dah jadi sekam!" Nasi mentah ketawa, fikirnya manusia tidak akan apa-apakannya, manusia hanya mahu kulit beras untuk dibuat sekam dan dibakar, dan dibuat baja. Tapi dia tidak tahu selamatnya dia kerana mentah, sudahlah bodoh, dirasakan nasibnya itu senantiasa baik pula.
Lalu kayu api berteriak "Apa yang kau sukakan sangat?" Bengang. Dia menyambung "Selamatnya kau sebab aku!"
Nasi berang.
"Eh apa kau tahu kayu, kau tu dah la dilonggok orang, mahu dibakar pula!"
Malam itu masa nasi ditanak, menangis-nangis dia (yang nama asalnya beras). Tak mahu direbus hidup-hidup. Kayu pula meratap-ratap, tambah pula dilihatnya abu dan arang ketawa padanya. "Aku tak mahu jadi hitam". Oh kayu, macam la kau itu putih sangat. Bangau hanya sengih. "Amatur"
Namun selamatnya mereka berdua kerana hujan. Air sedang bersuka ria pabila dipanggil turun. "Bodohnya, siapa yang ganggu daku dikala aku tinggi di puncak?" Fikirnya air dia akan sentiasa tinggi dari orang, dia sentiasa lebih dari orang. Oh air yang tidak matang, kalaupun kau turun jadi air longkang, lambat laun akan disejat balik jadi awan. Itupun kalau kau mahu berusaha timbul ke permukaan air, itupun kalau kau sedar.
Air turun, jadi hujan, sambil marah. Dalam marahnya dia langgar kayu api, dalam marahnya sambil mencari. "Siapa bahalul yang menarik ku turun dari awan?"
Lalu dijumpanya katak. "Oi bodoh!, kenapa panggil aku? Aku tidak hutang apa-apa padamu"
Katak dengan cemasnya 'Tolong daku, tolong daku"
"Apa yang kau mahu? Aku tidak bisa menolongmu, bukannya bawa apa-apa faedah padaku. Kau hodoh, lembik, eeuu geli"
"Tolong daku, tolong daku, ular mahu makan aku!"
"Aaah apa aku peduli, bukan masalah aku!"
Ngggaaaapppp!!!
. . .
Bllluuuurrrrppppp!
"Hmmm, sudahlah untuk harini, tak boleh tamak, lepas ini puasa, tiga hari pula keluar cari makanan. Biarpun katak itu hodoh, bergerutu, lendir, tidak sesedap ikan mahu nasi, atau serangup rumput yang aku tahu bukan makanan aku, aku terima nasibku, aku terima katak itu makanan aku. "Alhamdulillah" Ular beredar, sambil tersenyum perli.
. . .
Dan bangau terbang semula, hampa.
"Panjang punya cerita, cakap sikit punya banyak, last2 aku lapar jugak"
Sabtu, 14 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan