Isnin, 23 November 2009

..eksperimen 2..

..dan saya tertanya-tanya, kenapa perlu abah potong rambut saya, baru 3 bulan lepas abah potong. Setelah diamati maka saya membuat kesimpulan, bahawasanya seperti pokok taugeh yang saya selalu tanam (dengan menyemai kacang hijau atas kapas basah), rambut juga sebenarnya tumbuh!

Maka saya juga tertanya-tanya, jikalau rambut itu tumbuh, dan rambut itu seperti bulu, adakah berus lukisan juga tumbuh?

Abang punya berus lukisan yang bermacam-macam saiz, untuk mata pelajaran seninya di sekolah. Saya sering memerhatikan berus lukisan itu dan bermain-main dengannya, dan terdetik di hati saya adakah berus itu juga tumbuh seperti rambut.

Maka saya pun mencapai gunting, dan potong berus lukisan itu, bermula dengan berus paling kecil.

Selang seminggu, saya tengok kembali.

"Masih tidak tumbuh"

Maka saya memotong berus yang lain, iaitu bersaiz sederhana dan besar.

Dan malamnya saya mendengar abang dimarahi emak, tentang berus lukisan yang dipotong, dan abang menjawab tidak tahu, lalu emak mengatakan abang tidak pandai jaga dan biarkannya dipoting oleh kawan-kawannya yang mungkin dengki.

Dan sebulan pun berlalu.

Saya melihat dalam rak buku abang. Dan tepat pada sangkaan saya, bulu pada berus lukisan itu juga sama,

"Ianya tumbuh semula!"

Maka hati menjadi semakin ghairah. Lalu gunting dicapai sekali lagi, dan kali ini semua berus lukisan itu ditarah sehingga rapat!

Dan besok paginya semasa abang hendak ke sekolah, (dan saya hendak ke tadika mungkin), saya dengar abang saya mengomel-ngomel dan emak pula dengan suara yang marah.

Malam itu saya membuka rak buku abang, untuk melihat hasil eksperimen saya. Tetapi kali ini saya terkejut.

"Asalnya ada 3 berus, tapi sekarang kenapa pula 6? Dan siapa pula memotong berus yang lagi 3? Saya hanya potong 3 berus bulan lepas, dan memotongnya semula semalam"

Hati makin tertanya-tanya. Namun dibiarkan sahaja.

Akan tetapi persoalan 'tumbuh-menumbuh' itu tidak berakhir di situ sahaja.

Teori baru diformulakan, "Kalau macam itu, kalau kita potong tangan kita, bolehkah tangan kita tumbuh semula?". "Bagaimana pula dengan kaki?". Dan teori radikal dicapai oleh budak tadika "Kalau kita potong tangan orang, dan pabila dia mendapat anak kita potong tangan anaknya, dan pabila anaknya melahirkan cucunya dan kita potong tangan cucunya, maka lambat laun keturunnya akan dilahirkan tanpa tangan"

Dan persoalan itu melewar-lewar di kepala. Sehinggalah satu hari di rumah tok.

Abang dan kakak iza (Izza Hazirah) sedang membuat kerja sekolah. Saya dan adik bermain-main dengan kucing yang ada di rumah tok. Saya capai gunting abang. Persoalan itu semakin berat rasanya di tanggung oleh kepala dengan desakan untuk membuat eksperimen memuncak-muncak, namun pada siapa?

Lalu ketika adik tiada, saya mengangkat anak kucing yang ada di rumah tok.

"Kalau rambut boleh tumbuh semula, adakah tangan juga boleh? Dan adakah telinga juga boleh?"

Dan,

Zaaass

Saya meletakkan gunting ke dalam kotak pensel abang, dan saya letakkan anak kucing di luar rumah. Harap tiada siapa yang nampak eksperimen saya, biarlah saya sahaja.

Namun langit tak selalu cerah, hati tak mesti bebas gundah. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

"Sapa potong telinga kucing ni?"

Suara abah yang hingar sungguh bunyinya. Saya jadi takut.

"Matilah aku"

Lalu saya menjawab, "Wan kot"

Jaring dituding pada adik saya, kerana dia paling bongsu, dia paling kecil, dan umurnya hanya 4, tiada siapa yang akan marah padanya. Dan tepat pada sangkaan saya, tiada siapa yang marahkannya.

Dan setiap minggu ketika pulang ke kampung saya mencari anak kucing itu, hanya untuk menemui kekecewaan bahawasanya tak semua benda yang dipotong boleh tumbuh.

Tak semua yang patah boleh tumbuh, dan tak semua yang hilang boleh berganti.

Dari kiri: Izza Hazirah, Hazwan Adzfar, Faizul Adzfar, Hazrul Adzfar

4 ulasan:

  1. hoi berani kau potong telinga kucing!sian die

    BalasPadam
  2. its 'for the sake of science', same as when u kill a lab rat, or dissect a cadaver hoho

    BalasPadam
  3. takut gile.... ni confirm ke boleh jadi doctor ni?? kang pakai main poting je.. ahaha

    BalasPadam