Ahad, 22 November 2009

..eksperimen 1..

..dan ketika itu dalam usia yang bertatih ke 6 tahun, saya mungkin seorang yang belum dikira mampu memikirkan segala-galanya. Mungkin pada ketika ini saya amat bersetuju dengan apa yang telah diajar dalam I&P, bahawasanya kanak-kanak adalah ibarat saintis kecil yang sentiasa tertanya, namun semuanya telah dan saya masih ingat lalui semasa saya kecil.

Pada kira-kira usia itu, obsesi saya adalah perkara yang sama dengan minat manusia pada masa sekarang: tenaga. Namun tenaga yang saya ketahui pada masa itu hanyalah satu, itulah api, yang saya kira juga adalah minat semua kanak-kanak semasa kecil tak kira zaman apa.

Saya menyalakan api menggunakan guruih (mancis dalam bahasa Kedah), satu persatu sambil mata terpaku akan butir-butir hitam itu mengeluarkan cahaya dan haba. Oh tidak lupa juga cahaya dan haba itu boleh berpindah dari bahan ke bahan! Dan bahan yang terkenal pada masa itu sudah tentulah kertas surat khabar.

Lalu kepala kaku sambil mata terpaku melihat kertas surat khabar terbakar dimamah api.

Oh tidak cukup dengan itu, saya ambil pula pembancuh simen (yang seperti rupa alat memasak burger) dan diletakkan atas nyalaan api, meniru rupa perkakas yang saya biasa lihat digunakan emak di suatu 'compartment' rumah bernama dapur. Ayah saya seorang geologis, dan juga seorang Civil Engineer, maka bahan-bahan untuk membuat rumah biasanya bertaburan di rumah saya. (Jadi jangan cuba gebang dan tipu saya pasal geologi dan civil, saya dibesarkan dengan cerita tanah dan batuan serta bangunan)

"Eh kenapa kertas terbakar, benda ini tidak?"

Lalu tangan ini gatal menyentuh besi pembancuh simen ini, seraya disertai lolongan yang membasahkan sel muka dengan darah yang mengalir rapi dalam kapilari.

Muka merah padam kerana sakit, mujur hanya sedikit.

Lalu hati terdetik kerana benda itu panas.

"Oh jikalau aku panas aku mandi"

Benar.

"Kerana air itu boleh sejukkan benda, mungkin"

Saya memikirkan perkara apa yang boleh dicuba untuk menguji kebenaran pernyataan itu. Setelah berfikir panjang dan sambil melihat sekeliling, lalu tangan ini mengambil semula pembancuh simen dan dilayurkan atas api.

Hampir cukup panas rasanya pembancuh simen itu, saya mengangkat dan membawanya masuk ke dalam rumah, mencari-cari kalau ada bahan yang berair untuk dicuba supaya pembancuh simen itu boleh sejuk.

Namun agak hampa kerana tidak dijumpa di ruang tamu. Berarak pula ke dapur.

"Oh sinki terlalu tinggi pula" Hati mengomel tidak berpuas hati kepada usia diri ini yang baru berangka 5 atau 6.

Lalu perarakan dengan pembancuh simen itu masih dihadapan diteruskan ke destinasi terakhir: tandas.

Ada bunyi air, mungkin abang sedang mandi.

Rupanya adalah betul, dan kebiasaan kami adalah mandi tidak bertutup pintu, atau tutup tidak berkunci, kerana dilarang keras oleh emak dan abah. Larangan itu juga berpunca dari salah saya yang suka main air. Obses saya bukan hanya pada api, malah juga air, sama seperti manusia lain.

Lalu tangan menolak pintu, dan nampaklah abang Pejon (Faizul Adzfar) sedang mandi. Dia tidak menghadap pintu, maka dia tidak sedar akan kehadiran adiknya ini.

Dan dari belakang saya nampak badannya yang sedang disimbahi air itu.

"Air, penyejuk"

Lalu tangan ini pun menekap pembancuh simen ke belakang abang Pejon, yang juga hadir dengan lolongan tajam, dan sudah tentulah wap (atau asap kulit terbakar?).



Abang Pejon (kiri) bersama kanak-kanak yang mak saya mengasuh.

2 ulasan: