Isnin, 15 Jun 2009

..syiling..

..dan saya pernah menyimpan duit syiling dahulu, bukan sebarang syiling, ianyalah hanyalah syiling-syiling yang saya rasa aneh dan belum pernah saya jumpa.

Dahulu syiling yang paling banyak pernah saya kumpul ialah syiling 50 dwilapis, atau saya panggil 5 kupang kembaq. Bagi yang kurang ingat atau tak pernah jumpa syiling ini, ianya ada syiling 50sen yang dihasilkan kira-kira sebelum tahun 1987, kerana saya tak pernah jumpa syiling ini yang dihasilkan selepas 1987. Bentuknya seperti biasa, tetapi jika kita lihat dari tepi ianya terdiri dari 3 lapisan seolah-olah lapisan burger. Tapi saya sudah hilang koleksi ini, mungkin kerana ada orang ambil untuk dibelanjakan.

Saya juga pernah simpan syiling yang bergambar naga, dari China mungkin. Bapa saya cakap dia jumpanya di bawah pokok pisang, atau tiang eletrik mungkin. Owh ya, saya sebenarnya meneruskan koleksi ayah saya. Dahulu banyak kepercayaan tahyul, contohnya menanam syiling bawah tiang, atau pokok pisang atau busut untuk membuat hajat. Mungkin ayah saya dan kawan-kawannya bermain dan terjumpa syiling ini. Tapi saya sudah tak ingat mana saya simpan syiling ini. Mungkin kerana saya terlalu banyak kali pindah rumah, maka ianya hilang begitu sahaja.

Tapi ada satu syiling yang saya betul-betul rasa kehilangannya. Kerana sekarang baru saya rasa nilainya. Ianya saya jumpa di rumah nenek saya. Syiling itu sudah berkarat dengan tompok kehijaun-hijauan, mungkin kerana kuprum karbonat yang terhasil apabila kuprum di dalamnya berkarat, biasalah dahulu kuprum masih menjadi bahan utama membuat syiling, hanya sekarang nikel digunakan bersama-sama kuprum untuk membuat syiling.

Walaupun terdapat tompok karat, saya masih boleh membaca sebahagian tulisan pada syiling itu, terutamanya dibahagian belakang. Tulisan yang saya masih ingat berbunyi "KING GEORGE VI", dan ditepi-tepinya terdapat tulisan "1948".

Saya yang masih kecil dahulu tahu ianya sudah lama, dibuat pada 1948. Namun apalah yang budak kecil arifkan sangat, melainkan teruja apabila mendapat sesuatu barang. Sekarang baru saya sedar, King George VI adalah raja yang memerintah England, atau empayar British sebelum Queen Elizabeth II, ratu England sekarang. Jika syiling itu masih ada, ianya akan berumur 61 tahun. Lagi tua dari negara kita.

Selepas masuk Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, syiling itu saya tinggalkan di rumah. Pada masa itulah kami banyak berpindah. Dan akhirnya sekarang, saya sudah tidah tahu dimana koleksi saya itu berada. Ada besar kemungkinannya di rumah nenek saya, kerana ada orang pernah beritahu yang bekas syiling itu dibawa ke rumah nenek saya semasa berpindah.

Mungkin. Kalau ianya benar, maksudnya ianya sudah pulang ke tempat asal saya menjumpainya, dan saya berharap ianya benar. Balik ini saya akan mencarinya semula.

1 ulasan: