Khamis, 30 Disember 2010

..wannabe..

..dan kedengaran di hujung talian, seorang lelaki menjawab panggilan saya. Dari awal mula percakapannya, saya sudah tahu dia bukan seorang 'local', mahupun seorang berkulit putih tetapi dia besar kemungkinan berbangsa Asia Selatan, secara lebih tepatnya dia berbangsa 'kipas'. Istilah 'kipas' digunakan oleh pelajar luar bagi merujuk kepada sebuah bangsa yang menetap di sini, dan merupakan keterbalikan suku kata dari perkataan asal itu. Saya tidak mahu dilabel racist di sini, tapi anda boleh agak bangsa apakah yang saya maksudkan itu.

Saya memberitahunya bahawa saya mahu teksi dari stesyen bas ke rumah saya. Kemudian dia berkata sesuatu pada akhir percakapannya yang berbunyi "ya ni mm gg tummekkab bing ngo", dan berbunyi sangat menjengkelkan dan langsung tidak boleh difahami. Saya menyuruhnya mengulangnya kembali kerana saya tidak dengar, lalu dia mengulangi perkataan yang sama.

Akhirnya saya berkata, "Sorry I can't understand what you are talking about", lalu dia membalas, "Do you understand English?".

Saya membalas, "Yes, but I can't hear what are you talking about",

"Well If you can't understand English, I can't send you a cab",

Dia meletak gagang.

Saya hampir berang, bukan kerana dia kurang ajar, tapi kerana dia merendahkan saya dengan berkata saya tidak faham bahasa Inggeris (tipikal orang Melayu, pantang diperlecehkan).

Pernah satu ketika dahulu, saya mengeluarkan post tentang loghat negeri Kedah. Dan juga semua orang maklum bahawa Bahasa Malaysia punya banyak loghat. Saya pernah berkata kepada rakan saya, dan mungkin di dalam entri blog ini bahawasanya pabila orang luar cuba bercakap loghat Kedah, kebanyakan orang Kedah akan ketawa di dalam hati mendengar bunyi sumbang mereka itu. Tapi tak mengapa, asalkan kita faham apa yang disampaikan selagi ianya jelas, maka kita sedia mendengar dan memahami.

Setelah lelaki operator teksi itu meletakkan gagangnya, walaupun dalam kemarahan, saya sebenarnya sedikit geli hati melihat bangsa itu. Sekali lagi saya tekankan saya tidak mahu berbunyi perkauman, namun itulah sebenarnya yang melanda bangsa itu.

Mereka datang mungkin kerana datuk nenek mereka pernah berkhidmat sebagai tentera British dan meluaskan empayar penjajah itu, dan akhirnya datuk mereka diberikan kewarganegaraan sini. Dan mereka beranak pinak dan berasimilasi bersama penduduk tempatan. Bergantung kepada kawasan mereka membesar, selalunya bangsa ini akan bercakap loghat kawasan itu.

Namun masalah timbul, pabila bangsa berkulit coklat ini cuba meniru bangsa asal kulit putih. Bukan hanya pemakaian, cara hidup dan percakapannya yang mahu ditiru, malah semua perkara itu ditiru dan dilebih-lebihkan oleh mereka sehingga melampau-lampau berbanding penduduk asal. Cara hidup anak muda bangsa itu lebih dahsyat dari cara hidup anak mat saleh, pemakaian mereka kadang-kadang lebih buruk dari mat saleh dan mloghat mereka lebih pekat dari loghat mat saleh.

Seperti orang KL yang cuba bercakap loghat Kedah sehingga melampau-lampau menukarkan semua akhiran 'r' kepada 'q' sehingga 'acar' sebuah makanan menjadi 'acaq' air longkang, begitulah jadinya bangsa ini. Mereka cuba meniru-niru loghat local sehingga berbunyi sumbang, namun merngganggap diri mereka 'cool'.

Saya pasti, lelaki yang menjawab panggilan saya tadi adalah lelaki kipas yang cuba bercakap loghat West Yorkshire (daerah tempat tinggal saya). Dan bunyinya sungguh sumbang dan tidak dapat difahami.

Setelah dia meletakkan gagang, saya menelefon teksi itu lagi sekali kerana selalunya akan ada operator lain yang menjawab.

Tekaan saya tepat kerana suara operator yang mengangkat itu adalah suara seorang lelaki putih. Dia bercakap loghat West Yorkshire, loghat yang saya sudah biasa di sini. Dan lelaki itu berkata kepada saya, "You need to go to Mekka Bingo". (Mekka Bingo adalah kawasan belakang stesyen bas).

Saya tersenyum, ini rupanya yang disampaikan lelaki kipas tadi, mahu seperti bunyi loghat namun berbunyi sumbang.

Tiba-tiba saya teringat negara kesayangan kita.

Saya tersenyum lagi. Saya kira, kita juga punya masalah yang sama.

Saya sering melihat orang kita memakai snow cap di Malaysia. Saya juga sering melihat orang kita memakai jaket ketika waktu siang (pengecualian kepada orang menaiki motor, itu praktikal). Mungkin saya buta fesyen, tapi banyak yang saya tidak faham tentang sifat dan kelakuan manusia.

Di Malaysia, saya biasanya hanya memakai t-shirt, jeans dan sandal ataupun selipar. Ianya sesuai dengan cuaca sana, panas. Bagi saya cuaca kita tidak buatkan ianya praktikal untuk memakai kasut berstokin semasa keluar berjalan (pengecualian lagi kepada orang yang menaiki motorsikal). Itu pendapat saya, seorang yang buta fesyen dan mementingkan keselesaan.

Saya juga sering memerhatikan rancangan di televisyen. Zaman sekarang sudah banyak rancangan realiti televisyen. Bermula dari Akademi Fantasia hinggakan pencarian Imam Muda, bermula dari pencarian seorang artis sehingga ke seorang imam, walaupun ironi di situ, semuanya menggunakan televisyen realiti. Mungkinkah semuanya bermula dengan rancangan American Idol di Amerika?

Saya lihat banyak lagi perkara yang ditiru-tiru dari barat bulat-bulat dan buta-buta. Adakah orang yang meniru ini menanggap perbuatan itu 'cool' semuanya? Mahu saja saya buat spekulai di sini, tapi biarlah lama lagi kerana saya kesuntukan masa sekarang.

Saya sering tertanya-tanya semenjak dari bangku sekolah lagi tentang perkara-perkara seperti ini.

Mungkin, mungkin kerana saya dilahirkan pelik kerana kurang meminati perkara yang orang lain minati. Mungkin kerana di sekolah rendah saya lebih cenderung meminati angkasa serta sains dan matematik dan menyukai sekolah di saat rakan-rakan lain lebih cenderung ke arah bermain waktu petang. Mungkin juga kerana saya sangat menyukai subjek matematik di saat orang Melayu lain membenci subjek itu. Mungkin kerana di sekolah rendah saya gagal memahami mengapa kanak-kanak ketika itu menyukai Digimon sehinggakan saya sendiri membelinya namun tidak pula menikmatinya.

Mungkin kerana saya dilahirkan dengan pemikiran untuk lain dari yang lain.

Mungkin sebab itulah saya gagal memahami fesyen dan ikutan orang.

Baru-baru ini saya lihat semakin banyak fesyen memakai cardigan, satu jenis pakaian negara 4 musim yang sesuai di musim bunga atau luruh kerana sejuk. Tak panas ka?

Saya masih lagi gagal memahami mengapa kita suka mengikut barat seperti hedonisme televisyen dengan realiti televisyennya, atau fesyen memakai jaket dan kasut di Malaysia yang nampak konon 'style' padahal panasnya berkuap, atau juga mamat kipas di atas yang cuba bercakap loghat West Yorkshire.

Saya kadang-kadang suka melihat orang memperbodohkan diri mereka sendiri dengan mengikut fesyen-fesyen yang langsung tak praktikal, atau juga meniru habis semua apa yang orang putih buat kerana mereka rasakan ianya 'cool', namun jauh di sudut hati saya sebenarnya saya sangat sedih pabila anak bangsa saya berlumba-lumba meperbodohkan diri masing-masing.

Selasa, 21 Disember 2010

..fitrah..

..dan saya mengenali penulisan Sigmund Freud bermula di Kolej Mara Banting dari pelajaran Theory Of Knowledge. Subjek ini mengajar cara berfikir secara kritis, logik dan asas dan mengenali proses pengetahuan atau ilmu ini diperolehi. Theory of Knowledge adalah salah satu cabang dari ilmu falsafah. Salah satu cara mengetahui bagaimana ilmu dan pengetahun diperolehi sudah tentulah dengan mengkaji minda penerima ilmu, yakni minda manusia.

Sigmund Freud adalah seorang tokoh besar dalah psikologi dan banyak menulis tentang subjek psikologi dan juga falsafah. Mungkin kerana psikologi merupakan sesuatu yang berkaitan dengan minda manusia, dan falsafah juga terdapat di dalam pemikiran manusia, maka Freud juga menulis tentang falsafah pemikiran manusia.

Semasa di Kolej Mara Banting, hanya sedikit yang saya peroleh tentang penulisan Freud. Baru-baru ini saya telah berpeluang membaca dengan sedikit lebih mendalam tentang penulisan beliau. Tentang bagaimana beliau membuat telahan tentang cara manusia berfikir dan hidup di dunia.

Namun terdapat satu topik yang menarik perhatian saya tentang penulisan Freud. Dari hasil kajiannya, beliau menerangkan perilaku manusia dengan membahagikan minda manusia kepada 3 komponen- Id, Ego dan Super-Ego. Pembahagian ini digunakan beliau bagi menerangkan ekspresi dan perilaku manusia di dunia ini dan kenapa mereka melakukannya.

Komponen yang pertama adalah Id. Id dalam minda seorang manusia adalah satu keperluan yang tanpa kita sedari mengawal kita. Id berfungsi mendorong kita, memaksa kita mahupun mengarah kita melakukan sesuatu untuk kita meneruskan kelangsungan kehidupan.

Id adalah pemikiran kita yang menjurus kepada mencari keseronokan dan mengelak kesusahan.

Jika sebuah kereta perlukan minyak untuk bergerak, maka minyak itu adalah salah satu keperluan yang dikira sebagai Id kepada kereta itu. Id di dalam manusia adalah sebuah dorongan untuk kita makan, tidur, menjaga diri kita, seks, keselamatan, mencari harta untuk kita dan segala-galanya yang membolehkan kita untuk terus hidup. Id ini juga tidak jauh dari keperluan sesebuah spesis untuk meneruskan kemandirian spesis itu dalam teori evolusi. Id ini mengawal kit tanpa kita sedari. Ianya memaksa kita mematuhinya. Sebagaimana kita merasa risau jika kocek semakin kosong di hujung bulan, kita sebenarnya gundah kerana tanpa kita sedari kita memerlukan makanan dan ianya mungkin sesak di hujung bulan. Sebagaimana kita cuba pulang awal setiap hari supaya tak perlu pulang lewat malam, ianya sebenarnya adalah komponen Id kita yang mengawal diri kita kerana keselamatan kita untuk hidup diutamakan.

Dan Id ini jugalah komponen binatang di dalam seorang manusia.

Keperluan kepada makanan sebenarnya mendorong kita untuk membuat apa sahaja untuk mendapatkan makanan, termasuklah mencuri, memukul atau segalanya. Keperluan untuk seks juga membuatkan kita sebenarnya seorang yang sanggup melakukan apa sahaja, termasuk merogol untuknya. Dan yang paling jijik, keperluan untuk hidup membuatkan kita sebenarnya memandang orang lain sebagai ancaman kepada diri kita. Rasa cemburu, benci, dan sebagainya terhadap seseorang yang lebih berjaya dari kita adalah sebenarnya komponen Id dalam diri kita. Kerana seseorang yang lebih berjaya dari kita akan lebih berpeluang untuk mendapat kerja lebih baik dari kita, maka lebih berkuasa mendapatkan pasangan dari kita, dan seterusnya mendapat lebih zuriat dari kita, dan seterusnya keturunan atau 'spesisnya' lebih banyak dan melebihi dan seterusnya lebih berpeluang 'menghapuskan' spesis kita. Maka komponen Id yang berfungsi 'meneruskan kehidupan' inilah yang mendorong kita melakukan sesuatu yang kejam, yakni membunuh.

Id, mendorong kita untuk menghapuskan orang lain stiap masa.

Namun mengapa kita tidak membunuh sesiapa?

Mahupun memukul atau menampar sesiapa yang kita tidak sukai?

Ianya adalah komponen ketiga minda kita, Super-Ego.

Super-Ego adalah pemikiran tanpa sedar kita yang menjurus kepada pemikiran ideal dan teoritikal, serta pemikiran yang penuh dengan ideologi serta bersikap moral. Super-Ego adalah komponen pemikiran kita yang membuatkan kita seorang yang idealistik dan berpegang kepada prinsip. Jika anda suka, anda juga boleh mengatakan Super-Ego adalah lawan kepada pemikiran Id. Jika semasamembuat perancangan percutian ke negara Eropah, komponen Id anda akan tanpa sedar membuatkan anda terfikir tentang bagaimana mencari makanan, komponen Super-Ego akan membalasnya dengan membuatkan anda terfikir, "Ada tak kedai makanan Halal kat sini?". Ianya adalah pemikiran yang membuatkan minda anda dipenuhi dengan perkataan 'sepatutnya'. Seakan-akan semua yang di dunia ini sebenarnya tidak kena pada tempatnya. "Mereka sepatutnya membuat begini dan bukan begitu", "US sepatutnya menghentikan peperangan", "Kalau orang tak nak ajak aku lepak dengan emreka, aku pun tak hingin", "Aku hendakkan seseorang begini, begitu untuk calon pasangan seumur hidupku dan bukannya begini dan begitu". Super-Ego adalah juga komponen ideologi anda.

Dan, Super-Ego juga adalah komponen moral kita. Kenapa kita tidak merogol atau melakukan seks bebas jika kita memerlukan seks? Ianya adalah kerana secara moralnya ianya salah. Kenapa kita tidak mencuri ketika kita memerlukan wang? Kerana ianya salah. Kenapa kita tidak mencuri makanan dari kedai makan ketika kita lapar? Kerana ianya adalah salah. Siapa sebenarnya mengatakan ini semua adalah salah? Ianya adalah seperti analogi kentut, siapa sebenarnya mengatakan kentut itu salah?

Jika kita mengatakan bahawa mencuri, merompak, memukul itu salah, apakah alasannya? Apakah kerana kita merasa sedih jika kita menjadi mangsa curi, rompak dan pukul itu, maka kita juga mengatakan perbuatan itu salah. Adakah kerana takut menjadi mangsa, membuatkan kita mengkategorikan perbuatan yang memberikan kemungkinan kita menjadi mangsa itu sebagai salah, lalu menghalang diri kita melakukan perkara yang sama? ADakah dengan empati ini memberi jawapan dalam menentukan apa yang benar dan salah dalam minda kita? Komponen Super-Ego ini menentukan apa yang kita rasakan salah tanpa kita sedari.

Dan komponen Super-Ego inilah yang menghalang kita dari memukul, menyakiti dan membunuh orang lain semata-mata kerana kita tidak suka. Ianya membuatkan kita berfikir secara moral bahawa semua perkara ini adalah salah. Jika anda berbadan sasa, dan ada seseorang yang berbadan lebih kecil mengutuk-ngutuk anda, apakah yang menghalang anda dari memukulnya? Komponen Super-Ego inilah yang membuatkan anda secara moralnya mengatakan meskipun kita mampu melakukannya, ianya adalah tidak betul.

Komponen Super-Ego ini menghalang kita melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada kita, yang kita mampu dengan menentukan ianya adalah salah atau benar.

Komponen pertama dan ketiga, Id dan Super-Ego saling berlawanan setiap masa. Berperang di dalam minda kita tanpa kita sedari. Di dalam pemikiran, dan di dalam kehidupan dan setiap keputusan kita. Setiap masa, setiap ketika, tanpa kita sedari.

Komponen kedua adalah Ego. Ianya mudah.

Ego adalah rasional dan realistik. Ego adalah keseimbangan antara Id dan Super-Ego, equilibria antara binatang dan bintang, titik tengah antara kemahuan dan keperluan. Ego mempengaruhi kita dengan mencari jawapan realistik kepada tuntutan Id dan Super-Ego. Jika Id berkata kita perlukan makanan dan Super-Ego menafsirkan makanan itu sebagai nasi berlauk daging dan sayur, Ego secara realistiknya berkata memadai dengan hanya sandwich ketika posting di hospital setiap hari. Jika Id berkata kita perlukan kereta dan Super-Ego menafsirkan kereta sebagai berbentuk sedan dan berjenama luar negara, Ego mencelah memadai dengan kereta mini buatan tempatan kerana kita tidak cukup wang. Jika kita terasa mahu membunuh orang mengikut Id dan Super-Ego berkata salha membunuh, Ego berkata memadai dengan hanya menontotn cerita wayang yang punya adega bunuh-membunuh.

Ego adalah penentu diri kita. Di mana kita sebenarnya di dalam perbuatan kita.

Bagaimana kita melakukan sesuatu bergantung kepada nilai ego kita. Jika seseorang menyakiti kita dengan mengutuk kita, adakah kita akan mengutuknya semula, membuat tidak tahu, atau menasihatinya? Jika kita sedang berjalan dan tibda-tiba seseorang datang menumbuk kita, apakah perilaku automatik kita? Mengikut Id kita dan menumbuknya semula? Menyuruhnya berhenti? Adakah kita menumbuknya kerana serta merta berpendapat dia adalah seorang yang jahat? Atau kita serta merta berfikiran dia tersalah orang, yakni bersangka baik dan menuruk moral Super-Ego? Ataupun pernahkah terlintas di fikiran kita saat ketika ditumbuk itu juga bahawa dia sebenarnya gila?

Di antara Id di sebelah kiri pemikiran manusia dan Super-Ego di sebelah kanan pemikiran, adakah anda dapat menentukan, berdasarkan keputusan yang pernah anda lakukan selama ini, Ego anda berat di sebelah mana? Adakah Ego anda menjurus kepada Id? Atau Ego anda menjurus kepada Super-Ego?

Mengikut Freud, kita dilahirkan dengan hanya satu pemikiran, yakni Id. Dorongan kita untuk mencari makanan yang lantas membuatkan kita menyusu dan menangis pabila lapar, menangis pabila orang lain selain ibu kita mendorong kita kerana 'berasa' tidak selamat, gembira pabila terdapat orang memberikan gula-gula kepada kita dan sebagainya. Namun dengan pembesaran kita dan akibat asuhan sosial, kita akhirnya membentuk moral dan ideologi yakni Super-Ego di dalam minda kita. Dan semakin dewasa, Super-Ego ini semakin membesar.

Walaupun Sigmund Freud adalah penulis tersohor dalam bidang falsafah dan psikologi dan teorinya banyak diterima pakai sehingga sekarang dan menjadi rujukan agung dan juga dinobatkan sebagai ahi psikatri terkemuka, saya sebenarnya kurang dapat menerima konsep Id, Ego dan Super-Ego ini.

Ini adalah kerana saya percaya dengan 'fitrah'.

Fitrah, bahawasanya semua manusia itu inginkan kebaikan jauh di sudut hatinya, secara natural.

Yakni kita bukan dilahirkan secara Id, namun kita dilahirkan sebagai Super-Ego.

Kita dilahirkan dengan moral.

Dan itu membuatkan kita dilahirkan dengan fitrah sebagai seorang manusia.


Rabu, 15 Disember 2010

..drama Jepun..

..dan pulang pada waktu petang. Kemudian jika tidak letih, saya akan menonton sebuah drama Jepun. Saya tidak ingat lagi tajuknya, tapi saya masih ingat lagu temanya.

Dreams Come True: Love Love Love



Adakah anda pernah melihat drama ini?

Ianya adalah kisah tentang seorang lelaki yang bisu dan pekak dan bekerja sebagai seorang artis kerana berbakat dalam melukis. Oleh sebab lelaki itu bisu, dia tidak mampu meluahkan kata-kata cinta kepada wanita yang dicintainya dan hanya mampu menunjukkan kasih sayangnya kepada wanita itu.

Akhirnya dia telah ditinggalkan oleh wanita itu, hanya kerana dia tidak mampu memujuknya dengan kata-kata seperti lelaki biasa meskipun dia telah berkorban segalanya untuk wanita itu.

Mungkin saya telah lupa banyak tentang drama ini, tapi mungkin apa yang ingin ditonjolkan di sini adalah pentingnya sebuah komunikasi yang berkesan dan efektif dalam perhubungan kita sesama manusia.

Orang selalu berkata, adakah cukup dengan berkata 'aku cinta padamu' (Dalam bahasa Jepun=Aishiteru) tanpa sebarang pengorbanan?

Namun kita sering terlupa, adakah cukup tanda cinta kita hanya dengan pengorbanan, tanpa berkata 'Aishiteru'?

Jumaat, 10 Disember 2010

..tragedi Disember..

..dan sejuk namun saya redahi malam itu pulang. Jam baru pukul 6 petang, tapi suasana gelap, dan sejuk.

Tarikh hari ini adalah 10 Disember 2009, hari Khamis. Kira-kira dua minggu lagi untuk soltis musim sejuk, yakni waktu maam terpanjang untuk tahun ini. Sebelum waktu siang mulai memanjang.

Malam masih lagi panjang ketika ini. Subuh tamat kira-kira pukul 7.50 pagi, dan Maghrib pukul 3.50 malam. Kira-kira 8 jam siang, dan 16 jam malam.

Maka pukul 6 petang sudahpun gelap segelap tengah malam. Pada waktu ini juga keadaan mendung serta 'gloomy'. Tidak ramai orang berada di luar rumah dan berjalan-jalan. Salji juga masih tebal. Tiada siapa yang mahu berada di luar rumah ketika ini. Sejuk , gelap, basah.

Saya cuba mengingati kembalik frasa-frasa Bahasa German yang baru saya belajar tadi sambil berjalan pulang ke rumah. Baru 4 hari belajar dan saya dapat rasakan otak saya sedang berkembang dan wayar-wayar baru sedang terbina di dalam litar otak saya. BElajar bahasa baru adalah antara gabungan terbaik rasanya untuk pengembangan otak. BAgaimana proses menghafal perkataan baru, peraturan tatabahasa dan menggerakkan motor mulut untuk menuturkannya pada masa yang sama. Kerja yang sangat kompleks!

Saya dapat merasakan seperti otak saya seperti otak seorang kana-kanak yang sedang bermain lego sambil berimiginasi lego yang dibinanya dalah sebuah kapal angkasa yang terbang di sekeliling Ultraman yang bersedia menembak raksasa, dan pemandu kapal angkasa penuh gaya itu adalah kanak-kanak itu sendiri.

Setibanya di rumah, saya membuka pintu rumah, membuka kasut dan meletakkanya di rak.

Saya menuju ke bilik dan membuka pintu bilik.

Pabila terbuka, satu sapaan angin sejuk menimpa ke muka. Aneh rasanya, kerana angin sejuk segar itu tidak mungkin bertiup di dalam bilik.

Pabila saya melihat di atas meja saya dan mendapati laptop saya tiada, dan melihat tingkap yang asalnya terkunci kini terbuka, hati saya merudum.

Seseorang telah memecah masuk ke rumah saya dan melarikan laptop saya.

Fikiran saya terkosong.



*****

Saya berbaring di atas sofa di ruang tamu itu sambil badan diselimuti 'sleeping bag'.

Otak saya bercelaru dan pada masa yang sama kosong.

Pegawai polis itu tiba selepas 1 jam saya menelefon polis, walaupun balai polis sebenarnya hanyalah 30 langkah dari rumah saya!

Dia seorang wanita. Tipikal bagi pegawai polis di sini, mereka berbadan besar. 'Boot' yang dipakainya juga nampak berat. Ini belum tentera mereka lagi. Tentera simpanan mereka, atau juga seperti tentera wataniah kita, lengan tentera wanita mereka lebih besar dari paha saya. Memang perang kita tentu akan kalah dahulu.

Tapi sayang. Jikalau encuri itu masih berada di dalam rumah saya, dan saya menelefon mereka untuk menangkapnya, tentu sempat dahulu pencuri itu melarikan diri kerana masa sejam yang diambil untuk datang. Harap-harap polis berkuda itu lajulah sikit mungkin.

Polis itu datang memeriksa dan memberi nasihat. Dia memeriksa tingkap di mana pencuri itu masuk. Tingkap itu telah dikopek dari luar menggunakan penyodok atau 'shovel' yang entah dari mana datangnya.

Polis itu bertanya kalau-kalau saya terlupa mengunci tingkap itu. Soalan itu membuatkan darah saya membuak-buak, kerana tingkap itu langsung saya tidak pernah buka. Kerana ia berkunci. Dan syarikat tuan rumah itu langsung tidak pernah memberi kuncinya.

Sayarikat itu adalah Samara.

Memang syarikat celaka.

Oleh sebab tingkap itu ketat dan tak dapat ditutup, maka polis itu menelefon Sama supaya menghantar juruteknik untuk datang menutup tingkap itu.

Bagaimana hendak menutup sedangkan tingkap itu langsung tidak boleh dibuka sebelum ini?

Polis itu menghubungi forensik bagi mendapatkan bahan bukti. Namun amat malang kerana forensik tidak dapat datang malam itu kerana sibuk katanya. Dan dia perlu datang besoknya.

Polis itu melarang saya tidur di dalam bilik itu, kerana tidak mahu menggangu bahan bukti. Malahan ianya sangat sejuk kerana tingkap tidak tertutup.

Saya tidur di atas sofa, sambil memikirkan tentang laptop saya, segala fail yang telah saya simpan semenjak 3 tahun dahulu yang dipindahkan dari laptop lama, dan juga tugasan yang perlu saya siapkan.

Entah bagaimana saya tertidur di dalam keributan itu. Mungkin, kerana kecenderungan saya untuk tidur setiap kali berasa tertekan. Atau mungkin, mungkin kerana saya sudah tidak mahu peduli.

Besoknya pegawai forensik datang. Membuat kerja acuh tak acuh. Mengambil cap jari pun hanya satu tompokan, walaupun jelas tempat lain ada cap jari yang punya 5 jari.

Siapa kata polis di negara maju lebih baik dari negara kita? Kita terlalu memuja negara barat sehingga mnghina negara sendiri, sehinggakan menjadi dungu memandang sebelah mata kerja polis dan memandang hina orang yang menjaga keamanan negara kita itu dengan beranggapan mereka itu tali barut syaitan. Jahil.

Satu minggu selepas itu, merupakan 7 hari yang paling menyeksakan dalam hidup saya.


*****

Segala kerja saya semua hilang. Dan saya sedang berjalan seorang diri meredahi salji tebal di atas jalan yang becak dan sejuk. Suhu -10. Hingus saya sudah membeku. Tangan dan kaki saya sakit kerana kesejukan. Saya berulang-alik setiap malam ke kluster komputer untuk membuat kerja yang perlu di hantar.

Saya masih ingat lagi keadaan saya ketika itu. Tidak terurus. Badan lemah longlai kerana tidak cukup tidur. Setiap saat yang saya lalui adalah bagaikan berjalan di dalam terowong hitam yang tidak berpenghujung. Saya cuba sedaya upaya mengharungi satu minggu hari-hari itu dengan tabah.

Otak saya bagaikan lesu yang amat. Pada minggu itu juga ada peperiksaan Inividual and Population topik statistik. Topik yang saya paling saya tidak faham di mana pangkal dan hujungnya semenjak saya di tingkatan 4 lagi. Saya terpaksa berulang alik ke kluster komputer untuk melakukan ulangkaji kerana semua nota berada di web universiti dan saya tiada komputer. Nota yang saya simpan juga sudah tiada kerana semuanya berada di dalam laptop.

Saban malam saya mengharung sejuk dan gelap untuk ke sana. Meredah seorang diri di dalam kesayuan hati yang hampir bagaikan hendak menangis kerana keserabutan otak saya ketika itu.

Tidak cukup dengan peperiksaan I&P itu, otak saya pada masa yang sama perlu mempelajari bahasa German tuagasan yang saya sedang lakukan. Belajar bahasa German dari 0% hingga ke mampu bercakap dengan pesakit dalam bahasa German dalam 2 minggu, menghafal 500 kosa kata dan tatabahasa asas bahasa German yang dua kali lebih susah dari bahasa Inggeris itu, dan melakukan kerja rumah yang diberikan tutor pada masa yang sama, dan melakukan tugasan menyiapkan 'self reflection' setiap hari bersama bukti selain daripada mengingati dan menulis semula 'self reflection' yang hilang bersama laptop, cukup untuk meberatkan otak saya.

Saya sebenarnya 'enjoy' dengan perkara-perkara itu sebelum laptop saya itu dicuri, namun kini tanpa laptop di bilik dan saya terpaksa berjalan seorang diri malam-malam membuatkan dunia saya ini terbalik dari keputihan awan ke kehitaman perut bumi. Dan dunia saya ketika ini tunggang langgang.

Saya mempunyai masalah tidur semenjak sekolah lagi. Setiap kali di rumah, saya kaan tidur 2 jam, terjaga dan buat kerja 2 jam, dan tidur 2 jam dan seterusnya. Saya menyukainya begitu. Dan itu rutin saya. Namun setelah pertistiwa itu, segalanya terganggu.

Terpaksa ke kluster sudah cukup memakan waktu tidur petang saya, dan dalam keadaan mengantuk itu saya cuba menggagah diri untuk melakukan tugasan saya. Dan hampir pukul 12 tengah malam saya masih menggagahkan diri menahan mengantuk cuba melakukan semua itu.

Saya masih ingat pada suatu malam, dalam keadaan mengantuk, sejuk, lapar, sakit badan itu saya terpaksa pulang pada pukul 1 pagi untuk tidur. Dan dalam keseorangan itu sekumpulan orang mabuk sedang berjalan dalam jalan yang sama dari arah bertentangan. Pabila mereka ternampak saya, mereka menjerit-jerit. MElihat tubuh mereka yang tiada langsung rupa pelajar universiti dan lebih mirip kepada 'chav' atau golongan penjahat pembuat masalah, saya menjadi takut dalam keadaan ketidakstabilan emosi itu. Saya membelok dan mengambil jalan yang sangat jauh untuk pulang ke rumah agar tidak dekat dengan mereka.

Dan saya masih ingat juga bagaimana pada satu hari saya pulang untuk tidur dan ada senior yang datang. Mereka bersembang kuat sehinggakan saya tidak dapat tidur langsung selama hampir 3 jam.

Bagaimanakah perasaan anda, jika anda sedang tertekan, keletihan, mengantuk dan cuba berehat dan tidur di dalam bilik anda, namun ada orang di ruang tamu sebelah bilik anda ketawa berdekah-dekah dan tidak 'considerate' langsung?

Saya masih ingat perasaan itu.

Dan bermula hari Selasa, saya mulai sakit kepala dan mula berasa tidak sihat. Akhirnya tekanan perasaan yang saya alami telah mula menberi kesan kepada fizikal saya.

Pada pagi hari Rabu, dua hari sebelum tamatnya tugasan saya, dan pagi peperiksaan I&P saya itu, merupakan kemuncak tekanan perasaan saya.

Tiada apa di dalam kepala saya ketika itu tentang I&P.

Ketika pukul 11 pagi itu, saya mengambil wuduk, membentangkan sejadah, dan bersolat hajat semoga urusan saya dipermudahkan.

Dan di dalam doa saya itu, saya telah menangis teresak-esak kepada tuhan.

Saya tidak ingat bila kali terakhir saya menangis, mungkin beberapa tahun dahulu akibat masalah keluarga.

Dan di dalam kesejukan itu, saya merasakan tubuh saya panas dengan linangan air mata itu. Dan setelah meluahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Esa, saya merasakan seperti segala beban dari atas badan saya ini diangkat serta merta. Saya tahu jauh di dalam hati saya bahawa Allah akan memakbulkan doa saya.

Saya berangkat dan mengambil peperiksaan meskipun tiada apa-apa dalam kepala saya tentang I&P itu.

Setelah itu di dalam dewan kuliah, seorang rakan saya Hazman menegur, "Apasal muka kau ni nampak macam sakit?"

Saya diam. Tiada kata yang mampu mengungkapkan bebanan saya ini.

Saya teringat ketika saya melintasi koridor di Medic School itu, terdapat 3 orang sedang berjalan dan sedang ketawa. Di papan kenyataan itu tertulis satu iklan, "Do you know, 1 out of 4 peoples is in depression?". Ada 4 orang di situ, dan terdetik di hati saya, adakah hidup ini satu kebetulan?

Setalah seminggu laptop saya dicuri, pada malam Khamis itu merupakan malam terakhir untuk menyiapkan tugasan dan menghantarnya kebesokan harinya.

Dalam keadaan sakit kepala, loya, sejuk, letih, sakit badan, mengantuk saya menyiapkan kerja saya di kluster komputer.

Tugasan saya itu dibuat dengan halai balai. Tatabahasa tunggang langgang, dan semua ayat German saya menggunakan 'Google Translate'. Saya hanya mahu 'D' untuk tugasan itu. Kerja itu saya buat sekali harung, tanpa menyemaknya semula untuk kesalahan. Saya hanya mahu menyiapkannya dan menghantarnya. Ketika saya menaip perenggan terakhir itulah saya rasakan detikknya. Tekak saya loya teramat. Lalu saya memutuskan untuk pulang ke rumah dan menyiapkan perenggan akhir 'reflective log' itu besoknya.

Setibanya saya di rumah, ketika itulah tuhan memakbulkan doa saya.

Saya berlari ke tandas tingkat atas menuju ke mangkuk tandas kerana hendak termuntah.

Tuhan memakbulkan doa saya malam itu. Dengan membuatkan saya muntah.

Bukan sebarang muntah.

Ianya adalah 'projectile vomiting'.

Setelah muntah itu, segala otot-otot di badan saya terasa sakit terutama abdomen saya yang mengejang. 'Projectile vomiting' adalah petanda satu penyakit di sini yang dipanggil 'winter vomiting'. Ianya adalahpenyakit yang sangat pantas berjangkit yang disebabkan virus. Ianya berjangkit seperti selesama, namun simptomnya seperti taun dengan cirit-birit bersama muntah yang diistilahkan sebagai 'projectile vomiting' merujuk kepada muntahnya yang terpancur keluar seperti pistol air.

Setelah muntah itu, saya tertidur keletihan. Tidak mampu menyiapkan tugasan saya.

Oleh sebab salah seorang rakan saya telah terkena penyakit itu, maka tutor saya telah melarangnya datang ke kelas kerana ianya sangat mudah berjangkit. Dan disebabkan pada hari Rabu itu saya tidak ke kelas kerana sakit kepala dan demam, tutor saya juga mengesyaki saya dijangkiti penyakit yang sama.

Keesokkan, hari Jumaat saya ke klinik berjumpa doktor. Saya mendapat cuti sakit dan Medic School berkata saya boleh menghantar tugasan itu selepas cuti Krismas.

Saya terlantar di atas katil selama 3 hari kerana terlalu letih untuk bergerak. Saya masih ingat salji hari itu yang gebu dan tebal. Menandakan cuti istimewa untuk mereka yang telah menghantar tugasan saya. Namun bukan saya. Bukan untuk saya.

Setelah 5 hari berbaring di atas katil, saya bergerak semula ke kluster komputer. Saya menyemak kembali, dan mengatur kembali dan menaip semula sambil membuang 'sampah-sampah' halai balai yang telah saya taip sebelum itu.

Menjelang malam tahun baru 31 Disember, saya telah menyiapkan tugasan saya. Bunga api malam 1 Januari itu menandakan cuti saya bermula. Walaupun singkat.



*****

Saya masih ingat bagaimana perasaan ketika itu berjalan di dalam salji tebal, sejuk mencecah -10 darjah selsius, sangat mengantuk, sakit badan, dan sakit kepala. Dan saya masih ingat bagaimana saya menangis pagi itu memohon rahmat Allah.

Syukur Alhamdulillah kerana saya mendapat B untuk kedua-dua peperiksaan I&P dan tugasan SSC saya itu.

Saya telah membeli komputer baru musim panas yang lalu. Serik dengan laptop. Saya membeli komponen PC dan membinanya sendiri setibanya saya di sini bulan September yang lalu. Biarlah berat, asalkan orang tak dapat angkat.

Saya juga masih ingat, bahawa saya telah berdoa supaya si pencuri laptop itu kemalangan digilis kenderaan tetapi tidak mati, hanya berada di dalam lock-in syndrome.


Iklan (hoho)



PC baru saya. Diberi nama 'Makoto Shishio', sempena watak terkuat anime Samurai X. Dinamakan begitu kerana saya menyangkakan ianya akan cepat panas kerana menggunakan pemproses AMD, namun ianya langsung tidak panas (Makoto Shishio terbakar akibat kepanasan badannya sendiri). Rahsianya? Corsair H50 Water cooling dan dipasang dengan spesifikasi 'push and pull' menggunakan dua kipas Scythe Ultra Kaze 38mm 3000rpm. Suhu maksimum tanpa OC= 16 Darjah celcius normal load

AMD Phenom II X6 1090T
MSI 890FXA-GD70
4GB Corsair Dominator DDR3
ATI Radeon 5770 Vapor-X Sapphire
1TB Western Digital
Cooler Master Silent Gold 1000W
Antec 1200


Isnin, 6 Disember 2010

..menepis realiti..

..dan mati seterusnya rebah ke bumi. Bangkai-bangkai ini, mahupun juga tumbuhan yang rebah, atau hidupan laut yang mati, akan kemudiannya tertanam dan tertimbus oleh tanah-tanah dan garam-garam lautan. Pabila ianya tertimbus dalam keadaan anpa oksigen, jauh di dalam tanah, ianya akan dipanaskan oleh haba dan tekanan dari bumi.

Setelah berjuta-juta tahun, bangkai ini yang rata-rata diperbuat dari karbon dan hidrogen akhirnya akan berubah bentuk menjadi minyak.

Kemudian kita menggali minyak itu dan menggunakannya untuk menggerakkan mesin dan kenderaan kita.

Akibat negara kita yang baru merdeka, bagi mengejar kemajuan kita memerlukan sistem pengangkutan dan telekomunikasi yang sepadu demi memecutkan lagi proses mencapai kemajuan itu.

Namun, kerana pendapatan rakyat yang rata-rata masih rendah, kita sebenarnya masih belum punya keupayaan untuk menggunakan kenderaan.

Bukan kerana harganya yang tinggi, namun kerana untuk bergerak kita memerlukan minyak sebagai bahan bakar yang mahal harganya.

Pendapatan kita masih rendah berbanding pendapatan rakyat di negara maju untuk pekerjaan yang sama. Seorang pemandu bas di UK bergaji minimum 650 pound atau RM3000, berbanding seorang pemandu bas di Malaysia. Atas dasar ini mereka mampu menawarkan harga yang lebih tinggi untuk minyak, maka harga minyak sangat tinggi.

Namun, seperti yang sedia tahu, perhubungan adalah kunci kemajuan sesebuah negara. Pengangkutan, satu bentuk perhubungan adalah salah satu kunci emas kemajuan ini.

Jika demikian, jika kita masih miskin untuk mampu membeli minyak, maka kita akan sentiasa kebelakang dalam pengangkutan, maka sampai bila-bila negara kita tak akan maju bukan?

Untuk mengatasi masalah ini, subsidi diperkenalkan.

Setiap hasil cukai negara, setiap hasil jualan minyak kualiti tinggi, akan digunakan untuk membayar subsidi minyak ini.

Ini seperti jalan pintas, dan jalan singkat. Diharapkan pabila masalah transportasi diselesaikan, kemajuan kita dipecutkan bagi mengejar kemajuan negara maju. Dan dalam proses itu, diharapkan pendapatan rakyat negara ini bertambah dan mampu untuk membeli minyak yang mahal harganya ini.

Namun lain pula jadinya.

'Disposable income' rakyat ini bukan digunakan untuk pelaburan dan menjana lebih pendapatan, sebaliknya digunakan bagi membeli lebih kereta. Ianya kerana realiti tidak diketahui, bahawa harga minyak sebenarnya tidak mampu dibeli.

Maka kereta menjadi lambang status. Bagaimana mahu meminang anak orang kalau diri masih belum berkereta?

Dan ianya menjadi budaya untuk berkereta.

Dan kita pula yang masih megah dan bangga, terlalu ego untuk menaiki pengangkutan awam. Siapa hendak berhimpit-himpit dan sesak? Saya juga tidak mahu.

Lagipun pengangkutan awam tidak menyeluruh, dan tidak boleh dipercayai.

Maka setiap orang mahu punya kereta dan kenderaan tanpa mengetahui realiti global.

Maka kereta dan kenderaan lain menjadi semakin banyak.

Dan yang lebih menyakitkan, kenderaan kebangsaan yang hasilnya akan menyumbang kembali kepada pendapatan negara tidak diendah dan dikatakan buruk dan korup. Maka orang membeli kereta luar dan kekayaan kita semakin mengalir ke luar.

Dan realiti yang paling menyakitkan yang diketahui oleh semua orang adalah minyak akan habis suatu hari nanti. Tanyalah semua orang, semuanya akan tahu. Biarpun orang kampung di pedalaman.

Dan semua juga tahu realiti kapitalisme, bahawa harga barang dipengaruhi oleh 'supply and demand'.

Minyak semakin sikit, dan harganya akan semakin tinggi.

Semua orang tahu realiti ini.

Dan suatu hari nanti minyak akan menjadi semakin mahal.

Adakah kita akan menggunakan semua hasil bumi, cukai dan perdagangan kita untuk membayar subsidi minyak yang akhirnya akan dibakar di dalam enjin kereta dan berubah menjadi asap hitam?

Semua tahu realiti ini.

Namun semua masih marah ketika harga minyak naik.

Saya tidak setuju dengan korupsi dan penyalahgunaan kuasa dalam politik negara kita.

Tapi realiti adalah realiti.

Harga minyak akan tetap naik suatu hari nanti.

Adakah kita akan masih mahu melayan ego dan kebanggaan diri kita dan menepis realiti ini?

'Pride won't put food on your table'