Sabtu, 20 Mac 2010

..good good!..

..dan semasa kecil salah satu bunyi yang saya sering takut ketika berada di rumah tok di Kampung Telok Malek adalah bunyi burung gudgud.

Semasa saya kecil, belakang rumah tok masih lagi hutan, sekarang sudah jadi tempat orang tanam apa entah. Depan rumah tok pula seberang dari balik jalan ada alur. Alur, atau juga orang Kedah panggil aloq adalah seperti sungai yang sedikit kecil. Belakang rumah tok pula ada parit. Parit dalam bahasa Kedah yang dituturkan orang kampung merujuk kepada longkang yang bersaiz besar, tapi dalam pertuturan saya parit dan longkang itu sama sahaja (I speak broken Kedah language).

Dan seperti yang sering kita dengar dalam peribahsa 'bagai aur dengan tebing' yang merujuk kepada betapa rapatnya hubungan antara sungai, atau laluan air yang sering menjadi habitat kepada pohon buluh atau aur, begitulah keadaan di rumah tok saya. Di tepi parit, dan alur itu tumbuh merimbun pohon-pohon buluh. Itulah asalnya peribahasa 'bagai aur dengan tebing', di mana sahaja ada laluan air yang besar, di tebingnya terdapat aur, ataupun nama modennya pohon buluh. Ianya sama seperti 'bagai isi dengan kuku', tak dapat dipisahkan.

Dan pohon buluh juga menjadi salah satu penanda terdapatnya laluan air jika anda sesat di dalam hutan belantara. Tapi ini hanya sah di Malaysia kerana buluh di Malaysia tumbuh dekat dengan saluran air dalam rumpun, tapi buluh contohnya di Jepun dan China tumbuh sebatang-sebatang dan jaraknya jauh-jauh. (Saya sudah lupa istilahnya, mungkin dikotomi atau monopod, saya belajar untuk Kuiz Sains Alam Sekitar semasa saya tingkatan 5)

Berbalik kepada burung gud-gud ini ianya agak misteri. Saya tidak pernah nampak burung itu, hanya bunyinya yang menderam dengan penuh misteri yang membuat saya ketakutan. Ianya berbunyi,

'gud gud gud gud gud gud gud gud gud gud gud'

dengan nada serupa hantu yang tinggi pada awal, kemudian beransur perlahan di penghujung.

Setiap kali pulang tadika jika saya terdengar bunyi ini, mesti saya cuak-cuak atau terbayang-bayang ada hantu dalam pohon-pohon buluh di depan dan tepi rumah tok itu yang membuat bunyi itu sambil menjelirkan lidah dan mata terbeliak menjegil pada saya. Ini kerana burung gud-gud ini saya dapati suka hinggap pada pohon buluh.

Tapi saya selamat, kerana rimbun buluh di tepi rumah tok adalah dari jenis pohon buluh yang kecil (ok, saya lupa nama jenis buluh itu apa, tapi ianya dari jenis yang orang membuat batang kail) manakala buluh di depan rumah tok itu adalah dari jenis buluh meriam (juga diguna buat lemang). Buluh meriam tinggi dan rimbun serta besar maka burung gud gud suka hinggap di hujungnya yang lentok.

Ada satu jenis buluh yang mesti anda semua pernah dengar dari peribahasa. Peribahasa 'suara merdu bak buluh perindu'. Buluh perindu adalah sejenis buluh yang apabila angin bertiup melalui celahan rumpunnya, akan berdesir bunyi yang menenangkan jiwa dan aman, lalu menjadilah peribahasa itu. Buluh perindu juga menjadi pilihan untuk membuat seruling pada masa dahulu kerana bunyinya juga lebih enak. Satu lagi jenis buluh adalah buluh betung. Buluh ini memang besar dan saya rasa ianya juga digunakan untuk membuat meriam buluh.

Berbalik kepada burung gud-gud. Semasa saya sekolah rendah saya pernah terjumpa bangkai seekor burung yang sangat besar di tengah jalan. Saya sangkakan burung helang kerana saiznya lebih besar dari burung gagak dan warnanya koko dengan bukaan kepaknya hampir sehasta saya. Namun pabila diberitahu abah, baru saya tahu ianya adalah burung gud-gud. Dan selepas itu saya rasa, barulah saya mula dapat lihat burung gud-gud di pohon-pohon buluh itu.

Sekarang sudah tiba musim bunga. Hari ini equinox, menandakan siang dan malam sama panjang. Tanpa 'day light saving', pukul 6.15 pagi sudah mula cerah manakala 6.15 petang sudah mula gelap. Dengan day light saving nanti, ianya akan menjadi seperti di Malaysia; cerah pukul 7.15 pagi, malam 7.15 malam. Sekarang masih beza 8 jam dengan Malaysia, nanti akan beza 7 jam.

'Day light saving' bermula pada Ahad terakhir bulan March, dan tamat pada Ahad terakhir bulan September.

Di Malaysia, saya sering terjaga di waktu pagi kerana bunyi kicauan burung. Bermula semasa saya di sekolah rendah dan tinggal di Taman Mahsuri Fasa 2D, di Taman Suria 2, di sekolah asrama Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, di Kolej Mara Banting.

Dan kini, setelah habis musim sejuk, burung-burung keluar dari hibernasi dan ada yang sudah mula berhijrah pulang ke UK.

Kicauan burung mengejutkan saya setiap pagi.

Mungkin ini hanya perasaan saya, tapi saya rasakan burung selalunya mula berkicau kira-kira 2 jam sebelum matahari naik, yakni ketika masuk subuh.

Dan saya sudah mula terjaga pukul 4.30 pagi kerana bunyi kicauan burung.

Saya rindukan bunyi burung teras nangka berwarna kuning yang saya selalu dengar dari sekolah rendah, sekolah menengah dan juga di Taman Mahsuri Jasmina. Di rumah saya di Malaysia, burung teras nangka selalu hinggap di pokok palma depan rumah saya. Memang cantik.

Dan burung gud-gud pula, membuat saya rindukan kampung saya.

Apa signifikasi burung gud-gud kepada saya di sini?

Mungkin kerana semasa saya di tadika, abang pernah cerita kepada saya bagaimana burung gud gud mendapat nama.

Cerita bermula pabila seorang Orang Putih membela seekor burung. Setiap kali burung itu membuat kerja atau menghiburkan orang putih itu, orang putih itu akan memuji 'Good!'. Maka setelah banyak kali mendengar, burung itu pun mengulangi perkataan 'Good' itu sehingga kini, dan memberikannya nama Burung Gud-Gud sempena bunyinya.

Orang putih, yang di negara mereka saya sedang hidup.

Pujian, seperti yang diberikan kepada burung itu, adalah lumrah dan tabiat orang putih itu sendiri. Mereka sentiasa memuji dan memberi galakan.

Belum pun saya mula secara rasmi bersekolah di sekolah rendah, abang telah pun menceritakan kepada saya perangai sebenar orang putih. Bila saya tiba di sini baru saya mengalami sendiri perkara itu.

Good good!

Tok di depan rumah. Perhatikan disebelah kiri gambar di celahan tiang nun juah di belakang ada rimbunan pohon buluh.


Pohon rambutan yang saya sering panjat semasa kecil. Disebelah kanan gambar adalah rimbunan pohon buluh yang sama dalam gambar sebelum ini.

Adik saya, Hazwan Adzfar bergambar bersama pohon buluh sambil duduk di atas busut tua.

2 ulasan: