Jumaat, 9 September 2016

..damai sang nikel..

..dan ke belakang berulang-ulang kembali, sambil badan dan dahi saya merintih kepanasan dan basah kepeluhan kerana terlalu bahang. Apabila semua habuk seperti sudah hilang dan kain pengelap yang saya guna itu bertukar kehitaman, saya merendam kain itu ke dalam air di dalam baldi, membilasnya, memerahnya dan kembali mengelap besi penghadang itu.

Baru sahaja mengelap 10 meter, saya sudah tidak tahan. Mengelap dan membersihkan besi penghadang keselamatan di kawasan produksi (production line) bukanlah kerja yang mudah. Panas, dikelilingi asid sulfurik panas mengewapan bersuhu 60 darjah selsius dengan mengandungi logam berat zinc dan nikel, disulami bar bas (bus bar) mengandungi aliran eletrik beribu ampere bukanlah suatu tempat yang saya idamkan untuk bekerja, apatah lagi kerja mencuci dan mengelap penghadang keselamatan di situ!

Saya berhenti menarik nafas, cuba menyejukkan badan.

Lalu saya menyambung kembali, mengelap ke depan dan kebelakang besi itu lemas di dalam peluh sendiri bernafaskan wap asid sulfurik.

Baru sahaja satu meter saya mengelap, saya terhenti.

Saya memerhatikan tepat di hadapan saya, sebuah tangki yang di atasnya penuh dengan debu hijau sebatian nikel. 

Ianya nampak menyesakkan mata. 

Saya menghampiri tangki itu, cuba membukanya dari atas.

Apabila tertarik sahaja tangan saya pada pemegang penutup tangki itu, terus sahaja keluar wap asid sulfurik ke muka saya. Saya terkebelakang, dan terkedu.

*****

"Saya datang nak mintak kerja sebab kawan saya kata ada kerja kosong"

"Oh memang ada setiap masa. Kamu umur berapa?"

"Saya 24. Tengah cuti sem, jadi nak kerja dalam tiga bulan"

"Oh 24? Tak habis belajar lagi? Lambatnya. Selalunya orang 24 ni dah kerja besar-besar, kahwin dan ada anak kan"

Saya hanya tersenyum, kelat. Pada masa-masa begitu, saya sudah biasa menelan apa sahaja yang orang lontar pada saya.

Manusia, mereka berhak untuk cakap apa sahaja yang mereka mahu tanpa berfikir apa yang orang lain rasa. Itu falsafah saya. Itu hak mereka.

Itu hak semua manusia.

Lalu dia menyambung lagi,

"Kamu boleh ka kerja berat-berat angkat barang macam ni?"

Saya hanya tersenyum, terdesak,

"Saya boleh buat apa sahaja, cik"

Jawapan yang sebenarnya di dalam hati saya adalah "Saya sangggup buat apa sahaja, cik"

Dia menyambung lagi,

"Gaji kami bayar sebulan RM600, OK kan? Tu kira tinggi dah la tu kan"

Saya tersenyum lagi sepanjang itu. 

Kedai 24 jam itu hanyalah kedai yang senang dapat kerja dan senang untuk ditinggalkan. Gaji RM600 itu tidak sepadan kerana banyak tempat lain yang bayar lebih tinggi. Namun tempat lain susah untuk terima pekerja sementara seperti saya; lelaki dewasa berumur 24, masih belajar di universiti, tidak punya sumber pendapatan yang lain melainkan pinjaman pendidikan, yang langsung tidak cukup untuk kehidupan sebulan, cuba mencari pendapatan sementara cuti semester 3 bulan supaya dapat menampung perbelanjaan di universiti untuk semester seterusnya.

*****

Angin penghawa dingin itu sejuk meniup muka saya. 

"Sejuk lah air cond ni"

Kerani di sebelah saya mengeluh. 

Penghawa dingin itu betul-betul menghadap muka nya, tapi bukan muka saya. Saya hanya berasa sejuk selesa di pejabat itu. Kerani itu mahu memperlahan penghawa dingin, namun saya tegah.

Saya tidak suka kalau pejabat itu tidak sejuk ketika saya menekan butang kalkulator dan spreadsheet excel di hadapan saya.

Petang itu kiraan saya telah tamat, dan saya kira betul kerana kiraan saya menepati data masa lampau konsentrasi nikel di dalam tangki itu.

Skema kawalan konsentrasi nikel dan asid sulfurik ini pasti berjaya.

Saya meninggalkan pejabat dan turun ke makmal berjumpa dengan penyelia juruteknik saya.

Saya melampirkan cetakan email yang saya baru hantar kepadanya. Saya menerangkan skema kawalan konsentrasi nikel itu kepadanya sehingga dia faham. Skema itu mengandungi cara untuk membancuh asid sulfurik dan sebatian nikel, masa, bila, atur selia dan lain-lain bagi mencapai konsentrasi asid dan nikel yang konstan tak kira apa jua kadar pengunaan nikel untuk penyaduran.

Penyelia itu mengangguk tanda faham. Dia akan beritahu kepada semua juruteknik lain.

Kemudian saya bertanya,

"Nampak menyusahkan dak untuk orang production buat? Takut susah dekpa tak buat nanti"

"Dah kalau hang nak, mau tak mau dekpa kena buat jugak"

Di kilang tempat saya kerja, sebagai jurutera saya akan membuat pengiraan dan mengatur cara kerja juruteknik untuk mengawal produksi. Saya akan mengarahkan juruteknik saya di makmal dan juruteknik makmal akan menasihati juruteknik produksi (production) tentang waktu untuk membancuh bahan kimia di tangki bahan kimia.

Saya cuba memudahkan kerja mereka, namun kerana bos saya meminta saya mengawal kandungan bahan kimia itu supaya lebih konstan, saya perlu mengubah cara kerja mereka kepada cara kerja yang lebih memenatkan berbanding sebelum ini.

Cara kerja yang memerlukan penyediaan dua kali sehari berubah kepada enam kali sehari kerana ditentukan oleh saya.

Saya hanya mengira dan mengatur dari kerusi empuk saya di dalam pejabat berhawa dingin itu. Dan cara atur kerja yang saya buat itu akan di lakukan oleh juruteknik di production line yang panas dengan wap asid sulfurik itu.

Sebelumnya mereka hanya perlu menghidu wap itu dua kali sehari, namun kini berubah kepada enam kali sehari, kerana butang-butang kalkulator dan excel saya.

*****

"OK terima kasih cik, sila datang lagi"

"Sama-sama"

Saya memasukkan duit syiling yang dibayar pelanggan itu ke dalam kaunter. Terdapat duit keping lima puluh sen yang dipenuhi kerak berwarna hijau. Sebagai peminat duit syiling lama, saya cuba mengikis kerak hijau itu cuba melihat tarikh duit syiling itu, manalah tahu tahun 1967 atau 1968 atau 1969.

Namun hampa.

Keraknya terlalu tebal.

Jikalau saya ada asid sudah saya tuangkan sedikit untuk buang lapisan oksida itu.

Duit syiling selalunya diperbuat dari aloi yang mengandungi nikel (nickel) atau tembaga (copper). Nikel di dalam syiling mungkin akibat terdendam dalam larutan bergaram atau berasid dan berkonduktiviti tinggi, akan teroksida bersama oksigen di dalam udara selalunya membentuk sebatian Ni2+ yang berwarna hijau. Tembaga juga apabila teroksida selalunya membentuk Cu+ yang tidak berwarna atau berwarna hitam mengikut keadaan. Jika ianya menjadi Cu2+ yang selalunya berwarna biru, boleh juga menjadi hijau mengikut susunan hablur garam itu.

Saya kira kerak hijau di syiling itu adalah sebatian Ni2+ atau Cu2+.

Fikiran saya terhenti pabila menyedari tiada lagi pelanggan masuk dan tiada tanda kereta pelanggan akan berhenti di hadapan kedai.

"Adik tolong jaga sat na, abang nak pi toilet, nak sembahyang sat"

"OK pi la buat apa nak"

Saya bergegas untuk sembahyang zohor, kemudian membuang air besar dan kemudian berwuduk dan solat Asar!

Saya solat Zohor di akhir waktu supaya dapat didekatkan dengan solat Asar kerana kesuntukan masa.

Sepatutnya kedai 24 jam francais itu mengambil enam orang pekerja yakni dua orang untuk setiap shif yang panjangnya lapan jam.

Namun kerana ketidakpandaian pengurusnya, atau mungkin menjimatkan kos, pengurusnya hanya mengambil dua orang pekerja; saya dan seorang budak lagi.

Kami kerja lapan jam satu shift, dan disambung empat jam yang dikira sebagai overtime, OT. Jadi untuk 24 jam, hanya ada dua orang pekerja berselang seli dengan seorang pekerja bekerja 12 jam pada satu masa.

Ianya memenatkan dan menyeksakan, dan menganiyakan.

Oleh kerana tidak punya pengganti, saya tidak punya masa untuk pergi ke tandas atau sembahyang.

Waktu yang memungkinkan saya pergi adalah apabila anak pengurus itu pulang sekolah dan dipaksa oleh ayahnya untuk membantu jaga kedai. Yang mana budak itu saya minta tolong sekejap untuk jaga kedai.

Selepas solat, saya ke kaunter.

Gugup jantung saya.

Budak itu tiada di kaunter!

Saya bergegas, pintu tak berkunci, tiada siapa menjaga kedai, Saya ke kaunter, nampak masih selamat, tiada apa-apa kesan di ceroboh. Syukur kedai tidak dicuri. Saya lihat basikal budak itu tiada di situ. Dia pergi bermain dengan kawannya.

Bukan pekerjanya sahaja yang tertekan, anaknya sendiri yang baru tingkatan satu itu pun berasa tertekan dengan pengurus kedai itu kerana dipaksa menjaga kedai.

Petang itu, semasa saya menutup urusniaga kedai, terdapat kekurangan wang RM3. Saya sudah agak. Setiap kali budak itu ada menjaga kedai bersama saya, pasti akan kekurangan wang. Dia mencuri wang dari kaunter saya rasa. Namun yang lebih mencelakakan, kerana itu shift saya, wang yang kurang itu akan ditolak dari gaji saya! Walaupun saya sudah berkali-kali menolak untuk budak itu datang menjaga kedai itu, bapanya masih memaksanya, kononya untuk menolong saya, walhal menyusahkan lagi.

Dan pada hari raya tahun itu, selepas sahaja solat raya, saya pergi menjaga kedai sedangkan pengurus itu bersuka ria pulang ke kampung halamannya di Perak. Jika hari lain saya dibayar kira-kira sehari RM20, hari raya itu saya di bayar RM30. Dia tidak mengira kadar tiga kali untuk musim perayaan dengan memberikan bermacam alasan, kononnya saya tidak layak menerima kadar cuti perayaan kerana bukan pekerja tetap.

Saya terpaksa korbankan hari raya saya itu semata-mata hanya untuk dibayar lebih RM10, sedangkan saya berhak dibayar keseluruhan RM60.

Saya terpaksa lakukan juga ketika itu, semuanya kerana terpaksa.

Terpaksa untuk dianiaya.

*****

Saya memandang tangki tempat pembancuhan larutan asid sulfurik dan nikel itu.

Saya berpeluh kepanasan dari atas kepala hingga ke hujung kaki.

Saya cuba menbayangkan juruteknik produksi berada di situ mengangkat beban 20 kg sebanyak enam kali sehari, menghidu wap asid sulfurik dan menahan bahang panas itu.

Juruteknik dan juga operator yang dibayar mungkin antara RM1100 hingga RM2000 sebulan untuk membuat kerja itu.

Juruteknik dan juga operator yang dibayar mungkin antara RM40 hingga RM70 sehari untuk menahan bahang dan wap asid di situ.

Semenjak saya mengubah cara kerja mereka kira-kira sebulan yang lalu, saya tidak pernah pergi ke tangki itu. Namun mereka berada di situ enam kali sehari.

Saya menoleh kebelakang.

Saya melihat ramai pekerja yang tempat duduk mereka di pejabat sedang menahan bahang panas dan kerimasan di production line itu petang itu.

Saya bekerja di kilang kepunyaan Jepun. Untuk menerapkan budaya kerja yang baik, nilai-nilai murni seperti sayang dan hargai tempat kerja, menghargai kebersihan dan 5S, presiden syarikat itu mewajibkan semua pekerja di pejabat termasuk dirinya sekali untuk turun dan mencuci kilang sekali seminggu.

Dan pada petang itu saya diwajibkan mengelap penghadang keselamatan di kawasan itu.

Saya menoleh kembali ke tangki larutan asid sulfurik dan nikel itu.

Kira-kira lima tahun yang lepas semasa saya ditendang dari universiti, saya pulang kosong dan terdesak untuk menyara hidup sendiri di samping belajar semula di universiti.

Pada masa itu saya terdesak dan sanggup membuat kerja apa sahaja tidak kira berat mana sekalipun untuk bayaran RM20 sehari, walaupun dianiaya.

Saya kira pada masa itu, jika kilang saya sekarang ini menawarkan kerja kepada saya, saya juga akan seperti juruteknik produksi menahan bahang dan wap asid untuk membancuh bahan kimia seperti itu.

Namun, setelah empat tahun semenjak peristiwa di mana saya terdesak, dianiaya dan dibayar RM20 sehari di kedai 24 jam itu, saya berjaya mendaki tangga kehidupan dan duduk di kerusi empuk di pejabat berhawa dingin membuat kira-kira dengan bayaran lebih RM100 sehari.

Petang itu, sebelum saya meninggalkan pejabat, saya terpandang syiling didalam balang di hadapan saya. Terdapat syiling lima puluh sen berkerak di dalamnya. Saya juga menyedari terdapat debu sebatian nikel di kasut saya.

Hari itu dalam perjalanan pulang, saya menyedari betapa hijaunya pohon-pohon di tepian jalan, seperti hijaunya sebatian nikel.

Hari itu dalam perjalanan pulang, saya dapat merasakan bahawa warna hijau itu sebenarnya mendamaikan.


Ahad, 29 Mei 2016

..matahari palsu..

..dan melambai daunnya meski keras saya kira batang pelepahnya. Saya rasa di luar telah pun ribut, namun kerana saya berada di dalam kereta, kami tidak rasa akan angin deruan ganas itu.

"Angin kuat begini, biasa kalau mahu hujan."

"Ya, memang hujan pun dari tadi"

Saya berbual kosong dengan rakan saya dan dia membalas bersahaja.

Kami dalam perjalanan pulang sejauh 100 km dari dalam pelusuk Kedah di Felda Lubok Merbau, bagi menghadiri kenduri perkahwinan salah seorang juruteknik saya.

Semasa pulang, hujan turun jarang-jarang. Semasa di Kuala Ketil saya, hujan yang kadang bertitis besar, kadang lebat, diselangi dengan angin dan cahaya matahari petang, bertukar pula kepada angin menderu kuat. Pohon-pohon kelapa sawit di kiri kanan jalan dari kilang Schaefer-Kalk ke Kolej Universiti Insaniah itu ditiup kencang dan kembang pelepahnya bertukar menjadi tegak seperti akan terlucut bila-bila masa sahaja.

Angin kuat itu, datang dengan titisan kecil hujan yang jarang, dan matahari yang sudah rendang di petang itu menyimbahi bumi dengan cahaya kuning keemasan dari tepi, walau awan tebal di atas.

Saya kenal cuaca itu.

Ianya selalunya sejuk begitu.

Permulaan kepada sebuah hujan yang turun dari awan kumulonimbus gergasi, mungkin.

Awan besar dan berat yang mengandungi banyak air sejuk yang telah terkondensasi semasa ianya berada di lapisan teratas toposfera yang sejuk itu, menyerap banyak haba dari persekitaran pabila air itu jatuh ke bumi.

Maka ianya selalu datang dengan angin yang sejuk.

Namun angin yang sejuk itu tidak pun saya rasa kerana saya berada di dalam kereta.

*****

Saya terpandang sesuatu di langit bersebelahan matahari petang itu.

Ya saya kenal fenomena itu.

Ianya adalah seakan-akan pelangi kecil, ataupun palitan cahaya mentari di kiri dan kanan matahari kira-kira 22 darjah jaraknya. Cuma kali ini saya hanya melihat di kanannya sahaja kerana di kiri matahari terbina sebuah gunung awan berwarna hitam.

Saya cuba mengingati di mana saya pernah melihatnya sebelum ini.

Saya cuba betul-betul untuk ingatinya.

Ianya adalah fenomena yang dipanggil 'sun dog', atau tranlasi langsungnya 'anjing matahari'. Ianya juga dikenali sebagai 'parhelion', 'matahari palsu'.

Parhelion adalah cahaya seakan-akan matahari di kiri dan kanan matahari. Jaraknya dari matahari adalah kira-kira 22 darjah, atau dua genggam penumbuk. Kadang-kadang ianya lemah dan kelihatan seperti pelangi, dan mungkin juga dikelirukan sebagai iridisen awan (cloud iridiscence) yang seolah-olah sama, kecuali iridisen awan adalah fenomena pelangi di hujung awan.

Ianya fenomena yang sama seperti halo bulan (moon halo), iaitu satu bulatan cahaya disekeliling bulan pada waktu malam, selalunya bulan purnama tinggi di langit yang seolah-olah kosong dari awan, tapi tak berbintang.

Ianya juga seperti halo matahari (sun halo) walaupun sangat jarang ditemui.

Ianya terjadi apabila cahaya melintasi zarah kristal ais atau air tinggi di langit, mungkin bukan di lapisan toposfera tapi boleh jadi juga di stratosfera.

Halo bulan jika kita sedar di Malaysia ini terjadi di langit kosong tanpa awan, tapi juga tak berbintang. Kerana sebenarnya di langit malam ketika itu punya lapisan ais yang membiaskan cahaya matahari seolah-olah dalam kejadian pelangi.

Ianya juga sama untuk halo matahari.

Dan juga sama dengan parhelion.

Ais di langit tinggi.

Sekarang musim hujan, dan tiupan angin yang dingin itu mengingatkan saya kepada sesuatu.

Ais di langit.

Saya tiba-tiba teringat di mana tempat saya pernah melihat parhelion dan halo matahari ini.

Suatu tempat yang punya banyak ais di langit.

Saya tersedar, dan sebelum memori tempat itu menyelinap semula ke dalam otak saya, memori yang saya cuba lupakan, saya memilih untuk tidak memikirkan tentangnya.

Mungkin, suatu masa di hadapan, saya akan memikirkan semula tentang matahari palsu ini.





Sabtu, 7 Mei 2016

..kitaran hujan..

..dan juga hujan turun kerap lewat ini.
Saya kira musim el nino telah tamat, kitaran arus laut dan angin global telah kembali seperti biasa.
Pabila kerap hujan, ratu-ratu semut, dan anai-anai yang bersarang mula menelurkan semut-semut dan anai-anai yang ditakdirkan menjadi raja dan ratu baru. Seolah-olah ia sudah dapat berfikir, pabila bumi basah, ia menjadi lembut, dan mudah diangkut menjadi sarang baru.
Lalu koloni baru dapat dibina dan genetik mereka akan berkembang
Lalu pabila tertetasnya semut-semut dan anai-anai baru ini, mereka ini yang punyai kepak untuk memudahkan dan memungkinkan mereka untuk mengembara jauh bagi membina koloni baru terbang sebagai kelkatu-kelkatu untuk membina koloni baru.
Saya memandang arus semut-semut hitam itu. Mereka sedang berkumpulan keluar dari bilik saya. Dalam sepuluh ekor semut sedang mengangkut sesuatu di belakang mereka.
Mereka sedang mengangkut bangkai kelkatu tak berkepak yang kematian. Saya rasa saat hampirnya ia kepada kematiannya ia menggugurkan kepaknya dan mencari teman untuk mengawan, kerena ia mungkin bakal raja, pun juga mungkin bakal ratu. Namun saya kira harapannya berakhir dengan kehambaran kerana bilik saya ini hanyalah dinding batu tak bertanah dan tak berkayu, jika pun ia sempat mengawan tak mungkin ia mampu membina istananya di sini.
Bangkai bangsawan itu diangkut semut hamba pencari makanan untuk di bawa pulang ke sarang mereka, yang mana ia akan menjadi makanan kepada anak semut, ratu ataupun baja kepada kulat makanan semut itu.
Sekarang telah hujan kembali.

Sabtu, 9 April 2016

..101..

..and after everything looks fine and in order, I went back home.

That was yesterday. Yesterday I went to the factory to see if everything related to chemicals were in order for the production line to start. It was supposed to be a weekend holiday for me, but I went there anyway just so I don't have to answered to my boss if any problem happened.

Today is the 101st day of the year 2016.

It would be the special 100th day for every other year, but this year is the leap year. So on this year, 101st day would be the day that I hated the most.

There are no windows from room that I can look out for the stars on this day.

Usually on this day, I would look up at the night sky to see the stars.

The same stars and constellation 28 years ago when I was born.

The earth has circled around the sun 28 times since I was born.

I haven't done anything that I am really proud of since those 28 circles.

But this 28th circles is definitely better compared to the 27th circle, and also the last 4 to 5 circles.

I haven't achieved anything yet.

But on this 28th circles, I realized something.

I shouldn't compare myself to others.

Life is not fair, even since the beginning of the 0th circle. And I have to admit it.

On this 28th circles, I hope I woun't compare myself to others.  I hope I will compare myself only to myself on the previous circles.

To compare what have I improved.

What have I learned in life.

What new knowledge have I gained.

What old knowledge still I retained.

What new skills have I developed.

And most important,

What new challenged have I accepted, and passed.

The rainbow is just an illusion.

Life is nothing but a storm.

And I hope I will endure it, like what I have been done before.