Ahad, 29 Mei 2016

..matahari palsu..

..dan melambai daunnya meski keras saya kira batang pelepahnya. Saya rasa di luar telah pun ribut, namun kerana saya berada di dalam kereta, kami tidak rasa akan angin deruan ganas itu.

"Angin kuat begini, biasa kalau mahu hujan."

"Ya, memang hujan pun dari tadi"

Saya berbual kosong dengan rakan saya dan dia membalas bersahaja.

Kami dalam perjalanan pulang sejauh 100 km dari dalam pelusuk Kedah di Felda Lubok Merbau, bagi menghadiri kenduri perkahwinan salah seorang juruteknik saya.

Semasa pulang, hujan turun jarang-jarang. Semasa di Kuala Ketil saya, hujan yang kadang bertitis besar, kadang lebat, diselangi dengan angin dan cahaya matahari petang, bertukar pula kepada angin menderu kuat. Pohon-pohon kelapa sawit di kiri kanan jalan dari kilang Schaefer-Kalk ke Kolej Universiti Insaniah itu ditiup kencang dan kembang pelepahnya bertukar menjadi tegak seperti akan terlucut bila-bila masa sahaja.

Angin kuat itu, datang dengan titisan kecil hujan yang jarang, dan matahari yang sudah rendang di petang itu menyimbahi bumi dengan cahaya kuning keemasan dari tepi, walau awan tebal di atas.

Saya kenal cuaca itu.

Ianya selalunya sejuk begitu.

Permulaan kepada sebuah hujan yang turun dari awan kumulonimbus gergasi, mungkin.

Awan besar dan berat yang mengandungi banyak air sejuk yang telah terkondensasi semasa ianya berada di lapisan teratas toposfera yang sejuk itu, menyerap banyak haba dari persekitaran pabila air itu jatuh ke bumi.

Maka ianya selalu datang dengan angin yang sejuk.

Namun angin yang sejuk itu tidak pun saya rasa kerana saya berada di dalam kereta.

*****

Saya terpandang sesuatu di langit bersebelahan matahari petang itu.

Ya saya kenal fenomena itu.

Ianya adalah seakan-akan pelangi kecil, ataupun palitan cahaya mentari di kiri dan kanan matahari kira-kira 22 darjah jaraknya. Cuma kali ini saya hanya melihat di kanannya sahaja kerana di kiri matahari terbina sebuah gunung awan berwarna hitam.

Saya cuba mengingati di mana saya pernah melihatnya sebelum ini.

Saya cuba betul-betul untuk ingatinya.

Ianya adalah fenomena yang dipanggil 'sun dog', atau tranlasi langsungnya 'anjing matahari'. Ianya juga dikenali sebagai 'parhelion', 'matahari palsu'.

Parhelion adalah cahaya seakan-akan matahari di kiri dan kanan matahari. Jaraknya dari matahari adalah kira-kira 22 darjah, atau dua genggam penumbuk. Kadang-kadang ianya lemah dan kelihatan seperti pelangi, dan mungkin juga dikelirukan sebagai iridisen awan (cloud iridiscence) yang seolah-olah sama, kecuali iridisen awan adalah fenomena pelangi di hujung awan.

Ianya fenomena yang sama seperti halo bulan (moon halo), iaitu satu bulatan cahaya disekeliling bulan pada waktu malam, selalunya bulan purnama tinggi di langit yang seolah-olah kosong dari awan, tapi tak berbintang.

Ianya juga seperti halo matahari (sun halo) walaupun sangat jarang ditemui.

Ianya terjadi apabila cahaya melintasi zarah kristal ais atau air tinggi di langit, mungkin bukan di lapisan toposfera tapi boleh jadi juga di stratosfera.

Halo bulan jika kita sedar di Malaysia ini terjadi di langit kosong tanpa awan, tapi juga tak berbintang. Kerana sebenarnya di langit malam ketika itu punya lapisan ais yang membiaskan cahaya matahari seolah-olah dalam kejadian pelangi.

Ianya juga sama untuk halo matahari.

Dan juga sama dengan parhelion.

Ais di langit tinggi.

Sekarang musim hujan, dan tiupan angin yang dingin itu mengingatkan saya kepada sesuatu.

Ais di langit.

Saya tiba-tiba teringat di mana tempat saya pernah melihat parhelion dan halo matahari ini.

Suatu tempat yang punya banyak ais di langit.

Saya tersedar, dan sebelum memori tempat itu menyelinap semula ke dalam otak saya, memori yang saya cuba lupakan, saya memilih untuk tidak memikirkan tentangnya.

Mungkin, suatu masa di hadapan, saya akan memikirkan semula tentang matahari palsu ini.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan