Fuuh. Hah. Fuuh. Hah.
Di dalam celah-celahan kedua tangan kurus ini, saya cuba mengintai depan. Tidak mahu tersalah arah, hanya kedepan yang saya mahu, bukan terpesong. Nafas cuba ditarik lagi, cuba menghantar lebih oksigen ke tangan, tangan yang sedang menjunjung belitan merah jambu seberat lebih 15 kilogram itu, mungkin lebih berat.
Fuuh. Hah. Fuuh. Hah.
Degupan jantung menjadi lebih padu. Tekanan sistol dan diastol itu begitu terasa di arteri saya, cukup kuat hingga terasa dan terdengar degupnya ditelinga.
Fuuh. Hah. Fuuh. Hah. Lub dub, lub dub, lub dub
Beban di tangan terasa berkurang. Ianya sudah hampir sampai ke penghujung. Hos itu sudah hampir sampai ke pengujung. Saya mendongak ke atas melihat hujung tangan. Dari celahan sinar matahari itu saya dapat melihat bayang-bayang hujung betina hos itu.
Lub dub, lub dub, lub dub.
Saya dapat melihat orang di depan saya, pembawa hos ke dua. Dengan kepala jantan di tanah. Dia sedang membuka hos kedua, startegi supaya cepat habis kawad itu untuk mendapat masa tersingkat dengan merungkai kesemua hos sekaligus tanpa menunggu disambung ke hos sebelumnya.
Startegi yang perlu akan pengiraan jitu serta pencongakan vektor dan jarak yang mapan supaya hos tidak terlebih atau terkurang buka kerana jika ini terjadi, hos itu mungkin tidak lurus atau tidak dapat disambung dan jika ini terjadi, segalanya dikira batal kerana gagal menyambungkan host atau hos tidak lurus. Hos pula tidak boleh ditarik, penalti akan dikenakan.
Lub dub, lub dub, lub dub.
Peeeggghhh!! Saya hampir tercampak kedepan bersama bunyi hos yang sedikit terseret itu. Petanda bahawa hos itu sudah habis dibuka, dan petanda azab 10 saat merungkai hos sepanjang hampir 20 meter dan seberat lebih 15kg itu selesai.
Lub dub, lub dub. lub dub.
Saya mencapai kepala hos jantan di tanah. Dengan tangan masih memegang kepala betina. Saya melutut, dan memegang kedua-dua kepala hos itu. Saya merapatkannya.
Lub dub, lub dub, lub dub.
KAPLING!!!!!!!!!!
Kepala jantan dimasukkan ke dalam kepala betina, seraya mulut menjerit sekuat jiwa kata-kata keramat seorang kadet bomba, Kapling! Ianya berasal dari perkataan 'couple in' kerana perbuatan itu yang mencantumkan hos jantan ke dalam betina itu untuk menyambung hos supaya air dapat disalurkan dari sumber air yang jauh ke kawasan kebakaran.
Lub dub, lub dub, lub dub.
Tapi kerja saya belum selesai.
Ianya adalah Kawad Kering dan Menyelamat. Maksudnya kami perlu membuka hos dan menyelamatkan dummy. Sebagai orang pertama membuka hos, saya perlu pergi ke bahagian menyelamat pula, supaya kerja lebih cepat.
Lub dub, lub dub, lub dub.
Saya berlari ke arah trak bomba itu. Ada tangga di sebelahnya yang menghala ke atas sebuah platform yang dibina untuk ditempatkan dummy, target saya.
Di sebelah tangga terdapat seorang ahli bomba, pengadil rasanya. Memakai topi serta baju celoreng merah, warna baju bomba. Topinya dilabuhkan hampir menutup mata, kerana panas mungkin dan wajahnya dilindungkan dengan bayang-bayang topi itu hingga menampakkan hanya kumis dan bibirnya serius. Saya dapat rasakan yang dia memandang saya, dengan hati beku. Memandang ahli kadet bertubuh kecil ini berlari-lari dibawah topi keledar bomba yang besarnya seperti rongga toraks badannya sendiri.
Lub dub. Lub dub. Lub dub
Dalam berat helmet itu saya cuba mendongak atas tangga bomba, cuba melihat target saya. Jauh di atas. Langkah diatur berhati-hati, kaki dipijak ke atas anak tangga aluminium itu. Dengan penuh kudrat bersama keringat lencun di baju, saya berusaha menongkah graviti.
Dari anak tangga pertama, satu persatu. Supaya tak tersalah langkah atau tersadung, ianya adalah penalti. Sampai langkah terakhir. Saya memandang dummy itu.
Lub dub, lub dub, lub dub.
Ianya adalah kali pertama saya melihat dummy itu. sebelum ini hanya dikhabarkan Cikgu Mustafa tentang rupa itu, dan beratnya yang dikatakan menyerupai berat manusia. Saya cuba-cuba berlatih mengangkat teman dengan gaya yang diajar. Agak berat, tapi saya yakin saya mampu.
Lub dub. Lub dub.
Tangan mencapai tangan dummy, dan sebelah lagi pahanya. Saya melutut dan menarik dummy itu ke belakang saya dan..
MasyaAllah!
Berat nak mati! Ianya sangat berat tak terkata, Pak Tapa cakap macam berat manusia, dia tak cakap pun berat manusia dewasa!
"Ya Allah. Bala apa yang aku cuba tarik ni?" Saya terkelu di dalam hati. Ianya adalah dummy berbentuk manusia yang lengkap berkaki dan bertangan, dengan setiap inci dummy itu diisi dengan pasir. Ibarat menjunjung guni pasir dibelakang seberat 80kg.
Saya menggagahkan diri juga. Saya tarik dengan kuat. Aaaarrgg! Hampir patah belakang ini rasa, hampir bercantum belikat ini seksanya!
Sambil menggalas dummy itu, azab kedua muncul tiba; bawa dummy itu turun tangga!
Lub dub.
"Berilah kekuatan langit padaku"
Saya gagahkan kudrat memegang bala itu sebelah tangan. Dengan sebelah lagi cuba meraba tangga. Kaki meliar cuba hinggap pada anak tangga, takut tersadung.
Saya mengatur langkah menuruni anak tangga itu, sambil menjunjung 80kg pasir di belakang.
Satu. Satu. Beratnya makin terasa. Satu. Satu. Berat. Satu. Satu. Makin berat. Satu. Satu. Azab. Satu. Dan saya sudah hilang kudrat.
Buuuuukkkk!!
Lub.
Jantung saya seakan-akan berhenti. Dummy yang saya pegang sebelah tangan itu telah JATUH!
Dummy itu jatuh dari belakang saya terus ke atas tar, dan yang azabnya ianya jatuh betul-betul di hadapan pengadil yang sekian tadi berdiri di tepi tangga!
Saya tergamam. Ahli pasukan tadi yang baru habis memasang nozel terkejut.
Saya kaku.
Dummy yang jatuh ke bawah itu adalah ibarat mangsa kebakaran jatuh dari tangga semasa cuba diselamatkan oleh ahli bomba. Adakah anda dapat bayangkan?
Saya cepat-cepat turun tangga.
Lub dub. Lub dub. Lub dub. Lub dub. Lub dub. Lub dub. Lub dub.
Dengan tangkas dummy diangkat ke belakang kembali. Saya galasnya dengan dibantu oleh ahli pasukan, dan dibaringkan ke atas 'stretcher'.
Wisel di tiup. Dan ianya tamat.
Lub
Dub
Lub
Dub
. . .
Ianya adalah salah satu kisah pengalaman saya semasa menjadi ahli kadet bomba yang paling saya tak dapat lupakan. Ianya terjadi semasa saya tingkatan 3, mungkin sudah hampir dengan PMR.
Saya tidak pasti sama ada kami menang atau kalah kawad itu. Tapi sampai hari ini, apabila disebut tentang bomba, masih terngiang-ngiang dalam telinga saya kata keramat itu;
KAPLING!!
hahaha...kapling!!!
BalasPadamweyh sama lah pengalaman kita, aku pun kadet bomba dulu...kapling2 ni mmg memori giler ar...
aku ingat aku pernaH terjatuh hosE and nozzle sekali...malu siyot...
nyway, satu ayat yang mmg tak boleh luper SAMPAI MATI..KAPLING SIAP!!!!!