Khamis, 30 April 2009

..kisah tupai merah..


..dan berasa sedikit kelakar, apabila melihat-lihat tupai berwarna kelabu di taman-taman disini. Mereka melompat-lompat, masuk kecelah daun-daun, mencari-cari makanan.
Taktala musim sejuk mencengkam dengan malam 16 jam, dan pokok-pokok bogel ditindan salji kadangkala, berasa kasihan pula melihat tupai-tupai yang berwarna kelabu itu menggelintar celahan dahan pokok, didalam tong sampah, mencari-cari makanan.
Namun mereka hidup. Berjaya mengharung musim sejuk, tanpa pemanas seperti dalam rumah. Dan diwaktu ini jika saya memandang ke luar tingkap, berasa geli hati melihat mereka bermain-main di belakang rumah. Di atas pagar, atas bumbung, atas jalan.
Akan tetapi, disebalik tupai-tupai kelabu yang jinak dan suka berlari-lari disebalik kaki orang yang berjalan ini, baru saya sedar sekarang bahawa mereka sebenarnya adalah kaum PENJAJAH!!
Tupai kelabu itu sebenarnya sekarang sedang mendominasi UK dan menyesarkan tupai merah (saya kira tupai asli) dengan keupayaan mereka yang lebih lasak, lebih tebal bulu serta dapat makan kacang yang belum masak tidak seperti tupai asli itu!!
Dan saya tidak berapa minat untuk membincangkan Darwinisma di sini, namun seperti teori evolusi tupai asli itu akan pupus akibat tangan manusia yang membawa tupai penjajah dari Amerika yang dilepaskan ke habitat liar.
Ianya sama dengan kisah 400 tahun dahulu. Kaum Melayu yang sedang berbalah gila kuasa, dengan tanah sekangkang kera yang dibahagi-bahagikan lagi antara anak cucu yang tidak kisah kubur ibubapa mereka masih basah tanahnya, dengan pembesar-pembesar serta raja-raja berebut kuasa. Lemah mentaliti, lemah fizikal, lemah pemikiran.
Namun seperti tupai merah itu mana mungkin orang Melayu itu sedar mereka lemah. Sehinggalah datang kaum yang lebih kuat. Baru sedar, baru ingat, namun sudah terlambat, itupun kalau mahu beringat!!
Dijajah 400 tahun. Namun, adakah kita masih lagi ingat kelemahan kita?
Atau kalau mahu contoh yang lagi jelas lagi bermakna, di mana orang Islam sekarang?
Ataupun kita mahu menunggu lagi sehingga nasib kita menjadi tupai merah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan