Rabu, 11 Ogos 2010

..dari dalam kotak, dari luar otak?..

..dan dia menekan pedal minyak itu laju taktala melihat lampu isyarat itu bertukar hijau. Jarak keretanya dari simpang itu masih berbaki kira-kira 50 meter mungkin. Sayup sedang mahu membelok di kehujungan adalah sebuah bas ekspress yang sedia dari tadi menunggu lampu merah padam.

Keretanya yang kelihatan setua usianya itu menderu laju mencucuk ke arah simpang dan juga ke belakang bas.

Saya kira dia akan menekan brek untuk memperlahankan keretanya itu, apatah lagi hala kereta itu betul-betul ke belakang bas itu tadi.

Saya mengerling ke pakcik itu bagai tersentak,

"Gila apa pak cik ni?"

Dengan serta-merta muncul sesalan dalam hati kerana mnenaiki teksi pakcik ini, kerana saya tahu untuk 10 minit perjalanan dari Shahab Perdana ke Tanah Merah itu, saya tak akan mampu melampiaskan pandangan saya ke luar tingkap bagi menikmati pandangan malam, melainkan hati saya sahaja yang akan berteriak ke luar dari tekak kerana keresahan.

Setiba kami ke simpang dia menekan brek hampir penuh, dan keretanya bagai hampir berhenti. Serentak dengan itu dia memulas sterengnya ke kanan dan membelok rapat. Badan saya hampir merasai 0G akibat 'deceleration' melampau semasa membrek tadi. Ditambah dengan belokan tajam ke kanan yang membuatkan seolah-olah pusat graviti berada di kiri saya.

Setibanya selesai pembelokan, dia bingkas menukar gear dan menekan pedal minyak. Akibat belokan tadi yang di buat dari kanan bas dengan seperti pelesit kelajuannya, bas tadi meng'hon' keretanya.

Dia buat tak tahu.

Tangannya menggapai punat radio kereta buruk itu dan memutar-mutar mencari siaran.

Keretanya itu, sebuah Mercedez buruk yang memang kelihatan buruk dan tua. Kelihatan setua pemandunya. Dan kereta yang saya naiki itu mungkin lagi tua dari saya.

Dashboardnya sudah tidak kelihatan seperti dashboard. Dengan tempat asal meletakkan radio sudah belubang dan diganti dengan radio baru yang bercap murahan Made in China. Radio itu lagi besar dari lubang itu, maka separuh darinya terkeluar dari dashboard. Tipikal bagi teksi buruk seperti itu, terpasang sebuah 'stand fan' atau kipas kecil yang mana pendawaianya jelas kelihatan keluar dari dashboard itu.

Kualiti bunyi radio itu, seperti apa yang sinonim dengan Made in China, berbunyi menjengkelkan. Dengan tahap 'noise' yang kuat sehingga menyukarkan untuk mendengar apa siarannya, siarannya juga seakan-akan bercampur antara dua stesen.

Pemandu teksi itu memasang radio itu mungkin untuk memecahkan kesunyian yang biasa terjadi antara penumpang muda dan pemandu tua yang langsung tidak mengenali antara satu sama lain. Mungkin dia juga memasang radio itu sebagai usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada seorang muda yang menjadi penumpang teksinya. Yakni dia berharap agar penumpangnya lebih sedikit terhibur pabila mendengar lagu.

Namun saya rasa usahanya gagal kerana lagu yang kedengaran hanyalah lagu klasik dari filem di zaman P Ramlee. Ianya hanya menghiburkan diri sendirinya walaupun dia mungkin mahu nampak 'cool' dan tidak kolot kerana berupaya menghiburkan penumpangnya.

Namun nasibnya cukup baik kerana saya kerap juga mendengar lagu klasik.

Lagu klasik itu menghiasi pekat malam perjalanan dari Alor Setar ke Tanah Merah. Pekat malam yang di kirinya berdiri rumah-rumah orang kaya baru dari duit jual tanah buat jalan mungkin, manakala di kanan lebuhraya persekutuan itu adalah lambaian hijau lautan padi. Satu lambaian lautan yang mana saya masih merindui sejak dari atas katil di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.

Pakcik pemandu teksi itu menekan pedal minyaknya dengan kuat. Kereta usang itu menderu kuat enjinnya acap kali pedal itu diasak. Bunyinya merudum kuat selari dengan usianya yang sudah lewat matang. Namun bunyi kereta itu masih punya gah, mungkin kerana negara pembuatnya adalah negara yang sinonim dengan kejuruteraan sehingga kini.

Pakcik itu memotong kereta ikut suka hatinya. Jika kereta di hadapan di lorong kiri, ke kananlah dia memotong. Jika kereta di hadapan di lorong kanan berlagak laju, di lorong kirilah dia memotong.

Semua dia bedal.

Barangkali mahu menunjuk usia bukanlah penghalang pada kecergasan, atau sahaja mahu tunjuk hebat pada orang lain tak mahu mengalah. Biasalah, apa lagi yang ada pada seorang tua melainkan kebanggaan dirinya?

Sebuah Waja putih dihadapan berada di lorong kanan. Kereta itu bernombor 'plate' wilayah, orang luar kiranya di kawasan itu melainkan dilekatkan sticker jata negeri Kedah di tepi nombor itu.

Secara relatifnya memandang dari 'frame' di dalam teksi itu, saya melihat Waja itu sebagai perlahan. Namun apabila mengintai ke panel kelajuan Mercedez itu, saya sedar dengan kelajuan 110 km/j teksi yang saya naiki itu sebenarnya terlalu laju. Dan Waja itu saya kiranya sedang memandu dengan kelajuan terlaju yang dibenarkan di lebuhraya persekutuan yakni 90 km/j.

Waja itu hanya membuat yang terbaik tanpa melampaui batas.

Dan pakcik tua itu cuba memotong dari arah kiri.

Sedarinya pabila kelihatan teksi Mercedez itu meligan Waja itu, sang pemandu Waja mungkin menyedari bahawa teksi yang saya naiki cuba memotongnya. Ego, mungkin, atau hanyalah melengkapi lagi sebuah peraturan bahawasanya kereta di lorong kanan adalah lorong kelajuan, maka Waja itu memecut laju dan meninggalkan teksi yang saya naiki.

Pemandu teksi itu mencemuh seraya mengutuk Waja itu.

"Isy, apa la dia ni"

Saya menggeleng di dalam hati. Biarkan sahaja orang tua itu dengan hatinya yang tidak mahu kalah dan tidak mahu menyedari kesilapan sendiri.

Lintas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, teksi itu sudah pastinya menghampiri baki lebuhraya itu. Selepas itu di kepala jalan, teksi itu perlu membelok ke kiri.

Namun hampir sampai sahaja ke simpang itu, kelihatan di hadapan adalah Waja itu lagi.

Dan secara relatifnya dari dalam teksi itu sambil memandang meter kelajuan, saya tahu Waja itu sedang mematuhi had laju kebangsaan. Dan Waja itu sudahpun memasuki lorong untuk membelok ke kiri. Lorong yang kiranya di lebuh raya kita akan melihat tanda amaran 'Dilarang memotong'.

Namun Sang pemandu teksi itu masih lagi dengan sifatnya. Kali ini dia cuba memotong Waja itu dari arah kanan. Tak mungkin kalah pada kali ini sesudah kalah sebelumnya, pakcik itu menurunkan gear ke gear 4 bagi mendapatkan lebih 'kick'. Dia memijak jitu pedal minyak mahu mengejar kembali maruahnya.

Tak mungkin juga dia kira, kereta Mercedez import buatan Germannya kalah kepada kereta Waja buatan Malaysia oleh Proton yang seorang fasilitator BTN mengistilahkannya sebagai produk 'teh tarik tepi jalan'.

Arakian pabila menyedari kereta taksi buruk itu cuba memotongnya, Sang Waja itu sekali lagi menderukan enjinnya menyalahi undang-undang.

Dan tanpa perlu dicertitakan lagi, teksi itu kembali jauh ketinggalan di belakang.

"Isy payah kigha la ngan oghang cam ni"

Pakcik itu menyumpah seranah lagi.

Saya menyumpahnya di dalam hati. Bodohnya sikapnya yang mahu tergesa-gesa sehingga hanya tahu menyalahkan orang lain tanpa pernah menuding jari ke diri sendiri.

Saya sudah terbiasa dengan karenah pemandu-pemandu teksi sebegini di atas jalan raya. Sudah banyak kali berlaku di depan mata saya pemandu teksi seperti ini membawa melulu dan hanya tahu membunyikan hon menyalahkan orang lain. Pernah juga sebuah motosikal hampir rebah di hadapan saya akibat sebuah teksi yang secara tiba-tiba keluar dari simpang. Dan pabila Sang penunggang berjaya menahan kaki dari jatuh, dia diherdik oleh si pemandu teksi dengan kata-kata kesat seolah-olah yang empunya salah adalah si penunggang. Hampir juga saya melakukan praktikal CPR hari itu.

Dan pengalaman seperti malam itu juga semakin mengukuhkan lagi stereotaip saya terhadap mereka ini meskipun saya tahu ianya adalah salah. Dari pengamatan saya, saya kira mereka ini merasakan bahawa oleh kerana mereka hidup mengais rezki di atas jalan raya, mereka sudah pakar dan tahu segala selok belok rahsia jalan raya. Dan oleh sebab itu juga mereka merasakan merekalah sentiasa jauhari di atas jalan raya. Dan apabila ditegur oleh orang yang bukan dilihat sebagai pemandu tegar di atas jalan raya, mereka membatukan kepala dengan sangkaan bahawa orang lain tidak kenal jalan raya seperti mereka.

Mungkin, kebanyakan mereka ini pabila di atas jalan raya hanya berfikir di dalam kotak kepercayaan diri mereka sendiri, dan pabila tangan mereka di stereng dan gear, dan kaki mereka di pedal-pedal minyak, brek dan klac, mereka ini mula berfikir di luar otak.

Maka benarlah kata-kata itu.

Pengetahuan di dunia ini bukanlah dibina oleh pakar, tapi di bina oleh orang yang bersemangat.

"The knowledge is not built by the experts, but it is built by the enthusiast"

Setibanya di hadapan rumah saya, saya bertanya kepada pemandu teksi itu berapakah tambangnya. Saya kira, pabila dia melihat rumah yang sebenarnya bukan milik saya itu, dia terus mengetuk saya dengan tambang RM30. Walhal sebelum itu saya telah bertanyakan padanya tentang tambang ke Taman Mahsuri dan dijawabnya RM20.

Biarlah, saya sudah biasa dengan perangai mereka ini.

Dan hari itu pulangnya saya dari 2 minggu pengembaraan ke serata pelusuk semenanjung Tanah Melayu, setibanya di stesen kereta api, saya ditanya oleh seorang pemandu teksi jika mahu menaiki teksi.

Saya bertanyakan tambang ke Taman Mahsuri.

Sambil menuding jari ke alamat yang dicat ke pintu teksi itu, dia berkata,

"Kereta ini kereta dari Jitra, jadi saya ambil RM20 sahaja"

Saya mengangkat beg saya berjalan menuju ke Pekan rabu dan menunggu bas.

1 ulasan:

  1. dah lama tak naik teksi kat Jitra
    bila baca cerita ang ni, macam takut pulak, takut kena ketuk time nak bayaq

    tapi ur experience yang teksi tu ligan waja tu, aku suka! hahahaha ^_^ nice!

    BalasPadam