Jumaat, 23 Ogos 2019

..senja nan akhir..

..dan tok meninggalkan kami pada hari raya ke-4 aidiladha, 2019.

Ibu tiri saya telah memaklumkan saya seminggu sebelum itu tentang tok yang semakin uzur, saya cuba balik. Namun dek kerana kekangan masa dan kewangan memandangkan saya sedang belajar jauh di selatan, niat itu saya tangguhkan banyak kali.

Akhirnya, semasa aidiladha dan saya berada di kampung isteri di Pahang, tiba-tiba terlintas di hati saya untuk balik menjenguk tok, seakan-akan hati saya mendesak dengan kerasnya. Lantas saya mengajak adik dan isterinya yang berada juga di Pahang untuk balik juga.

Kami bertolak malam raya ke-3 dari Pahang dan sampai hari itu juga.

Dan hari raya ke-4, kami pergi ke rumah maklang dan menjenguk tok. Tok sudah uzur dan nafasnya tersekat-sekat. Pada satu ketika saya duduk di sebelah katilnya, dan memegang tangannya; tangan yang pernah menjaga saya semasa kecil, tangan yang memasak nasi goreng paling sedap, ayam kicap paling sedap, tangan yang tidak leka menganyam daun kelapa menjadi burung, bola, keris dan bermacam-macam, dan tangan yang membuat penangkap patung untuk saya dan adik main pabila saya pulang dari tadika. Tok juga mengajar kami muqaddam, dan surah lazim, dan membolehkan saya membaca alfatihah dan 4 khul sebelum tadika.

Dan setelah beberapa jam di sisi tok, kami bertolak ke rumah abah. Saya membawa anak sulung saya dekat ke tok, dan mencium dahi tok sebelum kami bertolak.

Oleh sebab ianya adalah musim buah, rumah tok dikelilingi buah rambutan yang rimbun berbuah. Buah dari pokok rambutan yang kami sering panjat ketika kecil, dan yang tok selalu simpan untuk kami adik-beradik di kota makan pabila pulang ke kampung. Kami mengait buah rambutan hampir seguni pada waktu itu. dan kami meninggalkan tok di satu petang ke rumah abah.

Namun pabila sampai ke rumah abah, deringan telefon tiba dengan khabar bahawa tok baru sahaja meninggal dunia, tidak sampai sejam setelah kami meninggalkan tok, tidak sampai sejam selepas saya mencium dahi tok.

Kami bergegas ke rumah mak lang. Sampai di sana, rumah telah penuh dan keranda baru sahaja di angkut, dan juga palung.

Saya membantu mengangkat palung, lantas membantu memandikan tok, dan akhirnya mengkafankan tok bersama sepupu serta ayah dan ibu saudara. Tok di mandikan di dalam sebuah bilik, di mana tergantung sebuah potret tok wan, tok dan ibu bapa saudara saya semasa mereka masih muda. Tokwan meninggal setahun sebelum saya dilahirkan, jadi saya kira gambar itu mungkin telah lebih 30 tahun, mungkin 40 tahun.

Tidak sampai sejam, tok di bawa ke masjid dan saya mengikut menyembahyangkan tok.

Pabila tok di bawa di dalam van ke perkuburan kira-kira 6 suku petang, saya turut ikut serta naik ke dalam van.

Dan di senja itu, di dalam van bersama sepupu dan lain-lainnya, di sebelah tok, dalam perjalanan dari masjid ke kubur, melalui sawah padi, disirami cahaya kuning, fikiran saya hanya mampu berlegar dalam memori bersama tok.

Tiba di tanah perkuburan, tok diturunkan ke dalam liang. Saya membantu menurunkan tanah dan akhirnya bersama membaca talkin. Urusan menyempurnakan tok mengambil masa tidak sampai tiga jam, jika terlambat sedikit mesti akan masuk maghrib, jika awal sedikit mesti akan mengambil masa lebih lama.

Tok akhirnya meninggalkan kami di satu senja, tepat pada hari dan masa saya pulang untuk menjenguknya. Jika saya terlewat walau satu hari, hatta satu jam, tidak mungkin saya dapat ketemu tok.

Tok akhirnya meninggal kami di waktu senja, dan saya menghantar tok pergi di satu senja disirami cahaya matahari berwarna kuning senja, senja nan akhir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan