Rabu, 29 Jun 2011

..dedikasi..

..dan saya terpandang pelekat itu,

"Giliran sampah anda dikutip adalah pada hari Selasa. Sila bawa tong sampah anda ke kawasan yang telah disediakan, atau sampah anda tidak akan dikutip"

Satu kerja gila melekat pelekat pada tong sampah jika dilakukan di Malaysia.

Tahun lepas para pekerja bandaran telah mogok. Ada orang kata mereka mogok kerana diminta oleh persatuan pekerja. Ini kerana terdapat pekerja yang bakal dibuang. Cuaca ekonomi pada waktu itu mendung, inflasi menaik, defisit bajet dalam majlis perbandaran terjadi.

Majlis bandaran terpaksa membuang segelinir pekerja.

Tak semua, cuma sedikit sahaja.

Namun bagi menjaga kebajikan ahli, pesatuan pekerja meminta semua pekerja bandaran mogok dan tidak datang kerja.

Mereka mengambil risiko dibuang kerja beramai-ramai kerana tak rela rakan mereka di buang kerja.

"Ini mungkin boleh terjadi pada kamu, kamu, kamu, atau saya. Kita tak akan biarkan ianya berlaku, tidak sekali-kali"

Saya cuba-cuba memikirkan apakah dialog yang presiden persatuan pemungut sampah itu sampaikan untuk mengajak orang lain mogok.

Maka selama berminggu-minggu sampah tak terkutip, akhirnya bandar ini dipenuhi sampah yang melimpah ruah dan bertaburan atas jalan.

Majlis perbandaran terpaksa mengupah syarikat luar untuk mengutip sampah, melibatkan lebih bajet.

Akhirnya majlis perbandaran akur mungkin pada tuntutan persatuan pekerja.

Kemudian segala-galanya pulih seperti biasa.

Saya melihat pemungut sampah itu berjalan dari satu rumah ke satu rumah mencari tong sampah. Dia membuka setiap tong sampah dan menjenguk ke dalamnya jika-jika ada sampah. Jika ada, dia akan menyorong tong sampah itu ke tempat yang sepatutnya setiap penghuni rumah bawa tong sampah mereka. Di situ ada trak sampah. Setelah sampah dipindahkan ke dalam lori, mereka menyorong semua tong sampah ke rumah asal.

Jika saya yang bekerja sebagai pemungut sampah itu, mesti saya akan tersenyum lebar jika ini terjadi,

"Tempat pengumpulan sampah taman perumahan ini kosong, tiada tong sampah. Yeeehhooo kerja akan menjadi senang kerana tiada sampah untuk dikutip. Siapa suruh mereka tidak bawa tong sampah mereka ke sini seperti yang di arahkan. Ini bukan salah kami, ini salah penghuni rumah. Biarlah rumah mereka busuk, asalkan kerja kita senang. Jom kita pulang"

Itu saya.

Namun tidak bagi pemungut sampah berkulit putih itu, mereka sungguh berdedikasi dalam bekerja.

Dengan dedikasi itu, maka saya percaya mereka punya hak untuk membuat mogok dan meminta gaji minima.

Adakah kita layak untuk meminta sesuatu berdasarkan apa yang kita dipertanggungjawabkan?

Sabtu, 18 Jun 2011

..orbit (versi berat)..

..dan malam bertukar siang, dan hari berlalu, dan kemudian bulan yang asalnya sabit baru, menjadi purnama, sabit lama, dan menjadi semula sabit baru. Dari pada perubahan bulan ini mereka melihat perubahan kepada masa.

Perubahan fasa bulan, adalah penanda masa.

Bulan menjadi penting kerana rata-rata penduduknya yang tinggal di persisiran pantai bergantung pada ikan di laut untuk hidup. Untuk menangkap ikan pasang-surut air lautan itu perlu diketahui. Dan pasang surut lautan itu bergantung pada bulan.

Bulan purnama malam itu, pasanglah airnya.

Maka bulan yang dikaitkan dengan pasang surut menjadi penting kepada keperluan asas yakni menangkap ikan untuk makanan.

Bulan, menjadi penting untuk menyara kehidupan.

Maka konsep perubahan fasa bulan itu beransur-ansur menjadi satu konsep yang penting; masa.

Di negara khatulistiwa itu, siang dan malamnya hampir sama panjang setiap hari, tiada beza. Matahari naik hampir waktu yang sama paginya, dan terbenam petang yang sama. Hampir setiap hari. Perubahan beberapa minit satu hari berbanding hari yang seterusnya nyata terlalu sedikit untuk dikesan.

Maka matahari, tiada signifikasinya kepada masyarakat itu.

Perkara yang sentiasa sama, yang sentiasa malar, kecil kepentingannya kepada manusia. Meski manusia itu suka akan perkara yang malar, namun perkara yang sentiasa sama sebenarnya kurang menarik minat manusia.

Matahari yang sentiasa sama tiada signifikan kepada manusia itu.

Saya mengangkat kepala dan melihat sekeliling, sudah masuk waktu maghrib, sudah hampir pukul 7. Perlu pulang segera atau akan dimarahi emak. Besok, semasa matahari naik di ufuk, saya akan pergi ke sekolah.

*****

Saya memandang ke luar tingkap. Pukul 8 malam, atau jika ia sudah boleh dipanggil malam.

Saya menutup semula jendela. Cahaya terik matahari menyilaukan mata saya.

Saya memilih bilik ini kerana ianya meghadap matahari jatuh. Semasa di Tahun ke-dua, bilik saya berada di bawah dan menghadap rumah orang lain. Maka siang, atau malam, bilik saya tidak pernah disirami cahaya mentari. Pada musim sejuk keadaan lebih memeritkan kerana cahaya matahari kurang. Saya boleh berada di dalam bilik saya tanpa melihat cahaya matahari selama seminggu. Hidup berpandukan cahaya lampu elektrik yang jauhs ekali dari perkataan 'semulajadi'.

Maka semasa memilih bilik tahun ini, saya memilih bilik ini kerana menghadap matahari jatuh.

Sekurang-kurangnya semasa musim sejuk, cahaya matahari dapat menyegarkan tubuh saya walau untuk seketika.

Meski matahari jarang ada pada musim sejuk, dengan bilik yang menghadap matahari jatuh, saya memastikan bahawa pabila keluarnya matahari dari celahan awan, saya orang pertama yang disapanya.

Kisah 6 bulan dahulu.

Kisah bilamana waktu solat subuh habis pukul 8 pagi dan waktu maghrib masuk pul 3.30 petang. Waktu di mana matahari naik tidak cukup tinggi untuk mengishtiharkan waktu solat zuhur yang menyebabkan solat zuhur dijamakkan dengan Asar. Waktu di mana siangnya hanyalah kira-kira 8 jam.

Kini, matahari seperti seolah-olah tidak mahu turun. Waktu Subuh dan Isyak telah tiada, kerana langit malam berwarna biru maghrib. Waktu maghrib pada pukukl 9.40 malam dan matahari naik pada pukul 4.30 pagi. Hanya kira-kira 8 jam malam.

Pukul 8 malam matahari masih terik.

Semalam, baru sahaja terjadi gerhana bulan. Namun kerana malam yang bermula lambat, mustahil untuk menyaksikan gerhana itu.

Bulan, disini selalu dilitupi awan, kadang kelihatan namun lebihnya kepada malu-malu.

Tiada apa-apa yang signifikan tentang bulan di sini. Bulan mengambang, kalau kelihatan, tidakpun mampu mencerahkan alam. Bulan mengambang, pasang air lautpun kurang maknanya kerana rata-rata orang tinggal di darat. Kurang angin, kurang sejuk. Di darat lebih banyak makanan.

Matahari di sini diraikan. Rata-rata orang bercakap tentang cuaca apabila bersapa, pabila matahari menyinar mereka akan berbalas "Cuaca yang baik hari ini", pabila matahari mula memanas mereka akan bertanya "Ke mana kamu mahu pergi dalam cuaca begini?". Matahari adalah sumber cahaya dan kepanasan di tanah yang sentiasa sejuk dan mendung ini. Matahari adalah penanda kepada kehidupan, yang memungkinkan putik bunga kembang dan ketiadaanya dirasakan pabila daun-daun mulai gugur.

Matahari adalah segalanya di sini.

Matahari, yang sentiasa berubah di sini. Pada musim sejuk yang kurangnya cahaya matahari, tiada tanaman dapat ditanam. Pada musim bunga, panas dan luruh tanaman di tanam dan disimpan bagi menghadapi musim sejuk.

Pabila siangnya panjang orang melakukan kehidupan mereka dengan bersungguh-sungguh, dan pabila musim sejuk mereka bersabar dan mengharung keperitannya dengan semangat yang tinggi bahawa ianya bukan selamanya. Kerana musim panas akan tiba jua satu hari nanti. Dan apabila musim bunga tiba, mereka mengemas rumah mereka bagi mengalukan musim panas. 'Spring cleaning'.

Entah mengapa pabila tibanya musim bunga setelah berbulan musim sejuk, saya terasa terpanggil utnuk mengemas bilik. Spring Cleaning mungkin.

Waktu siang yang berubah, matahri yang berubah, menjadi signifikasi kepada manusia.

Mungkin kerana itulah terdapatnya agama pagan yang menyembah matahari di sini.

Kerana itulah juga manusia disini mengguna pakai kalendar matahari, atau Gregorian Calendar yang berpandukan masa bumi mengelilingi matahari. Kerana ianya signifikan kepada manusia di sini.

Sesuatu yang berubah itu, penting kepada manusia.

*****

Dan mereka kemudiannya berpindah dan mula membiak semakin jauh dari laut. Mereka semakin ke darat. Mereka kemudiannya mula menanam tanaman untuk makanan ruji. Gandum, barli, padi.

Mereka mula mengawal.

Sebelum ini hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jika turun ke laut paginya, kenyanglah perut anak-anak mereka tengah harinya. Ribut bersama ombak di paginya, gersanglah tekak anak-anak mereka tidak berisi. Semuanya hampir tanpa kawalan. Mungkin juga mereka masih menyimpan ikan-ikan dari semalam, mungkin juga mereka mengeringkannya tujuan bekalan. Mungkin juga mereka mula melihat hutan mencari makan.

Maka mereka mengikut fitrah mereka.

Salah satu fitrah manusia; mengawal.

Mereka mula mencari makanan dan menyimpannya dengan banyak supaya jika da hari mereka tidak dapat mencari makanan, mereka masih lagi punya bekalan.

Kemudiannya mereka menyemai semula benih-benih tumbuhan yang mereka kutip dari hutan. Mereka mula membajak, dan menanam.

Menanam, suapaya ada bekal masa hadapan.

Mereka tidak lagi perlu bergantung kepada perubahan untuk hidup, mereka mula mengawal perubahan dan menjadikannya malar.

Tanpa disedari sebelum ini juga mereka mengawal. Mereka mengesan perubahan bulan dan dari situ mereka berupaya mengawal pasang surutnya.

Akhirnya pabila mereka semakin jauh ke daratan, mereka semakin menjadi para petani yang menanam tumbuhan supaya bekalan makanan mereka malar.

Mereka, sebagai manusia sebenarnya cuba mengawal segalanya. Mereka mahu mengawal perubahan dan menjadikan perubahan itu sesuatu yang malar.

Pabila bercucuk tanam, hujan menjadi penting untuk tanaman. Jika musim itu hujan, suburlah tanaman, jika musim itu panas, kering kontanglah tanah. Sepertimana musim tengkujuh di laut, musim hujan di darat juga penting.

Dan musim hujan, tengkujuh, kering, kemarau, angin timur, angin barat ini bukanlah kawalan bulan, ianya matahari.

Musim panas di hemisfera utara dan tekanan rendah di himalaya menolak angin keluar, dan dari interaksi kompleks daratan, lautan, awan, makan terjadilah angin yang bertiup.

Kini hidup mereka dipengaruhi matahari yang menukarkan hemisfera utara dan hemisfera selatan kepada panas dan sejuk, dan arah angin yang bertiup.

Namun masakan mungkin fitrah manusia yang berfikir tidak dapat membantu fitrah mereka yang mahu mengawal.

Biarpun perubahan itu datang dari matahari, mereka tetap tahu bilakah masanya musim angin timur, atau barat, dan bila masanya mereka akan dapat menanam padi.

Maka sepertimana mereka mengesan pola perubahan bulan, mereka mengesan pola perubahan angin.

Mereka mengesan semua perubahan, dan mereka mengikutnya dan menjadikannya sesuatu yang seolah-olah tampak malar.

Mereka tahu bila tibanya masa angin bertiup yang membawa pepohon hujan. Dan akhirnya mereka berjaya menanam padi setahun sekali. Meski 'tahun' di sini adalah tahun kawalan 'matahari' dan bukannya tahun kawalan 'bulan'.

*****

Saya masih ingat pemandangan sawah padi itu. Kadang-kadang saya kan melepak di tepi sawah padi. Di hujung kawasan perumahan yang bertentangan dengan Bukit Tunjang. Saya tidak tahu musim padi bila. Kadang-kadang ianya hijau, kadang-kadang ianya seperti satu lautan dengan pucuk padi cuba bernafas, kadang-kadang ianya hijau kuning, kadang-kadang ianya keemasan, dan kadang-kadang ianya hanyalah tanah kosong.

Seolah-olah tiada kiraan berapa tahun sekali penanaman padi kini.

Saya tidak tahu banyak tentang padi. Apa yang saya tahu dahulu padi ditanam setahun sekali mengikut musim hujan dan kemarau. Kuasa kerja manusia yang lambat dan meletihkan juga tak memungkinkan padi ditanam lebih dari itu.

Selepas merdeka, mesin bajak diperkenal dan empangan dibina, padi mula ditanam dua kali setahun. Tidak lagi perlu menunggu musim hujan untuk menanam padi. Apa yang perlu dibuat hanyalah menahan air hujan yang turun pada musim hujan dalam empangan, dan menyalurkannya sedikit demi sedikit untuk digunakan pada musim kering.

Perubahan musim hujan akhirnya berjaya di malarkan. Air diempang sebagai bekalan, supaya kita tidak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kemudian dengan pengenalan baka baru, kini padi ditanam 5 kali setiap dua tahun. Kita akhirnya mengesan perubahan yang ada dalam setiap baka padi dan menghasilkan baka yang malar untuk kegunaan kita. Kita mengawal.

Matahari akhirnya hilang semula kesannya kepada kita.

Cuma terkadang ianya bengis menjadi kemarau menanduskan empangan. Atau sekali-sekala angin ditiup dan awan diarak terlebih banyak menumpahkan hujan yang menenggelamkan tanah dengan bah.

Namun segala perubahan itu akhirnya kita kawal dan kita jadikan ianya perkara yang sentiasa sama.

Perubahan, akhirnya tampak seperti sudah tidak penting kepada kita.

Apabila kita sudah mengawal, dan menjadikan ianya sesuatu yang tidak berubah, perubahan akhirnya hilang kesannya.

Saya memandang sawah padi itu. Warna hijaunya tampak sama.

Sama.

*****

Lagi tiga hari untuk ke solstis musim panas. Hari yang terpanjang dalam tahun ini. Soltis tahun ini jatuh pada 21 Jun 2011.

Pabila saya teringat kepada soltis, saya tahu berbanding soltis musim sejuk 6 bulan yang lalu, bumi telah pun separuh dalam orbitnya mengelilingi matahari. Separuh pusingan lagi, kita akansampai semula ke solstis musim sejuk. Bumi mengorbit matahari dan dengan itu perubahan cuaca bumi terjadi.

Beberapa hari lepas gerhana bulan terjadi. Gerhana bulan, yang terjadi pada bulan purnama, menentukan bahawa ianya telah sampai ke separuh orbitnya mengelilingi bumi bermula dari anak bulan. 14 hari lagi ianya akan kembali menjadi anak bulan, dan kemudian menjadi purnama, dan ulang semula.

Perubahan ini, walaupun tampak sama sebenarnya amat penting kepada kita.

Kerana dengan perubahan inilah datangnya konsep masa kepada kita.

Bumi yang mengorbit matahari memberi makna 'tahun', dan bulan yang mengorbit bumi memberi makna 'bulan'. Satu pusingan bumi atas paksinya memberi makna 'sehari'. Pembahagian tahun kepada bulan, dan bulan kepada hari membuatkan kita mahu menjadi lebih spesifik dan teliti, satu lagi fitrah manusia. Kita mahu pula membahgikan hari kepada jam, dan jam kepada minit, dan minit kepada saat.

Setiap saat dalam kehidupan kita asasnya datang dari perubahan kedudukan di dalam orbit.

Dan perubahan ini walaupun tampak sama, sebenarnya sangat berbeza.

Pukul 12:05:07 pada 21 Jun 2011 apabila berganjak dan berubah kepada pukul 12:05:08 21 Jun 2011 adalah tidak sama. Walaupun masih ada 12:05:07 pada besok harinya, dan ada 21 Jun pada tahun hadapannya, hakikatnya 12:05:07 21 Jun 2011 sudah terlepas dan tak akan kembali.

Ianya satu perubahan yang menandakan masa telah bergerak.

Sebagaimana masa itu penting kepada manusia, juga perubahan itu sama pentingnya.

Setiap sesuatu yang berubah itu, sangat penting kepada seorang manusia.

Dan perubahan itu juga penting, jika manusia itu mahu menjadi seseorang.

Khamis, 16 Jun 2011

..bendera..



..dan 'key chain', replika atau juga t-shirt. Namun, hobi saya jika pergi ke negara orang adalah mengumpul bendera negara itu. Saya tidak tahu mengapa, namun seolah-olah dengan mempunyai bendera sesebuah negara yang dipandang tinggi penduduk negara itu, dijulang tinggi di puncak tiang sambil kenaikannya dinyanyikan penuh semangat itu, saya sebenarnya memegang kebanggaan negara itu untuk dibawa pulang bersama. Setiap kali pulangdari negara lain buat kali terakhir kalinya, saya akan membawa pulang bendera negara itu.

Gambar adalah bendera negara yang telah saya kunjungi, kecuali India, Palestin dan Kesatuan Eropah. Bendera yang tiada adalah bendera Thailand (saya lawat semasa di tingkatan 4), Brunei Darussalam (transit satu hari 2009) dan United Arab Emirates (juga transit 2009).

Saya juga sebenarnya mempunyai barang lain yang saya suka untuk dibawa pulang sebagai cenderahati. Walaupun bunyi pelik, namun negara luar pertama yang saya kunjungi, Turki, Republik Czech dan Austria, cenderahati yang saya bawa pulang selain bendera adalah sedikit tanah dari negara itu.

Saya sebenarnya mendapat idea ini dari Filem Saving Private Ryan. Menarik juga jika kita membawapulang dari negara orang tanah mereka, seolah-olah mengumpulkan tanah dari seluruh pelusuk dunia. Namun akibat muatan yang berat, dan gusar jika tersangkut di sekuriti lapangan terbang, cenderahati tanah itu saya tidak teruskan. Tanah dari ketiga-tiga negara itu juga telah hilang dalam proses perpindahan.

Entah mengapa, semasa membuka balutan bendera-bendera itu semasa mengemas bilik tempoh hari, dan juga untuk menyimpan bendera Norway yang saya bawa pulang dari percutian baru-baru ini, hati saya menjadi sayu.

Sayu kerana saya sebenarnya tidak mempunyai bendera Malaysia, ataupun Kedah.

Atau juga sayu, kerana tidak tahu sama ada koleksi bendera itu akan bertambah nanti. Juga sayu kalau-kalau bendera United Kingdom akan menjadi bendera terakhir dalam koleksi itu.

Saya berdoa kepada tuhan semoga dipermudahkan urusan saya.