..dan kemudian saya menoleh dan memandang ke luar tingkap itu dengan pandangan jauh merentasi tingkap cermin nako yang terkadang di hadapan. Biar jauh hampir seratus kilometer, Gunung Jerai masih dapat kelihatan di hujung sana.
Birunya tidak sama dengan biru malam.
Biru gelap Gunung Jerai lebih pekat daripada biru langit malam itu.
Malam itu bulan purnama.
Langit terkosong dari awan.
Dan cahaya bulan purnama melimpah ke atas bendang-bendang padi di belakang blok asrama putra Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu.
Pemandangan yang indah pada pukul 3 pagi.
Masakan saya dapat melelapkan mata jika dijamu pemandangan indah begini?
Mungkin. Kerana makan yang sedap itulah yang bisa buatkan kita kenyang dan terlena, dan hidup yang senang dan mudah itulah yang sering buatkan kita terleka.
Dan saya berharap agar mata ini terpejam oleh kedamaian malam itu.
Saya masih ingat lagi bau dorm itu. Bilik B208. Oleh sebab sekolah saya dikelilingi sawah padi, maka sejajar dengan musim tuai, benih, baja dan racun padi itu maka sekolah saya juga punya empat musim. Ada kalanya musim nyamuk, ada kalanya musim serangga kecil hijau yang saya tidak tahu namanya, ada kalanya musim cali, dan ada kalanya musim kesing atau nama manjanya kutu beruang atau kutu babi. Dipanggil demikian kerana baunya busuk macam bab*. Dan dengan hampir 1/5 perlis itu sendiri yang merupakan ladang tebu, pabila orang menuai tebu dengan membakarnya terlebih dahulu, kami mendapat salji hitam. Salji yang turun dari langit yang berwarna hitam. Tidak menyejukkan, apatah lagi ianya memanaskan hati apabila ianya melekat di baju dan meninggalkan kesan hitam di baju jika kita cuba menyepuhnya dengan tangan.
Malam itu musim kutu babi.
Meski serangga itu tidak berbau babi, namun disebabkan baunya yang sangat menjengkelkan, ianya dinamakan sedemikian mengikut budaya orang Melayu yang suka mencarut dengan kata "Bab*!".
Saya masih ingat bau itu. Entah mengapa ianya sudah melekat kuat di minda saya dan terbiasa pula saya dengannya. Mungkin karena bau itu muncul di peringkat perkembangan pesat otak saya pada usia remaja itu, maka otak saya sudah menerima bau itu sebagai perkara yang biasa. Dan kemudian oleh sebab bau itu hanya di dorm dan blok aspura, maka setiap kali saya membau bau seperti itu saya teringatkan katil saya di sekolah itu.
Meski sudah disapu saban malam, bau kutu babi itu masih bertepu di dalam bilik itu. Mungkin sudah diasimilasikan dengan udara bilik itu, atau mungkin kerana bau itu sudah meresap di cadar-cadar dan kemudian terbebas perlahan-lahan.
Saya hampir terlelap dengan bau dan pemandangan itu.
Dan tiba-tiba terdengar bunyi deruan angin dari jauh yang menyelinap di celahan daun. Dan beberapa saat kemudian ianya menyapa wajah saya.
Bau bendang. Dan juga bau yang kosong. Udara segar semata-mata
Saya menarik selimut ke atas badan sambil tangan menggengamnya rapat ke dagu. Ianya tidak sesejuk manapun. Cuma sedikit dingin. Ianya panas berselimut, namun menenangkan.
Saya teringat malam itu, bahawa lima tahun sebelum itu saya pernah tertanya-tanya, apa yang saya sedang buat lima tahun kemudiannya. Ketika darjah enam dan masih terbayang-bayang bagaimana rupa dewasa saya. Dan saya tersenyum sendirian pabila teringatkannya.
Lima tahun yang lepas, tahun 2000 saya tertanya-tanya apa yang saya sedang buat pada 2005 yakni sekarang.
Saya ketawa dalam hati. Saya sedang berada di tingkatan lima di sekolah ini, pukul tiga pagi dan tidak dapat tidur malam sambil cuba mencari sesuatu untuk membuatkan saya terlelap, dan saya juga sedang menikmati pemandangan malam sawah padi di tingkap itu sambil terbau bau kutu babi itu dan mungkin besok siangnya akan ada salji hitam.
Sambil dibaluti dingin malam, saya memejam erat mata cuba untuk tidur, dan memikirkan, apa yang saya sedang buat lima tahun akan datang.
*****
Saya memandang ke luar tingkap dari meja saya ini. Tiada serangga di sini pada musim ini. Terlalu sejuk. Di luar sana deretan rumah berbata merah. Rumah kecil bertangga sempit. Tingkap tertutup rapi. Tidak mahu angin luar bertiup masuk.
Entah mengapa saya sering teringatkan pengalaman di sekolah menengah dahulu. Mungkin kerana kehidupan berasrama yang dipenuhi dengan sahabat-sahabat yang membesar bersama-sama dari sebelum baligh hingga ke tahap mampu menjadi bapa orang. Bersama-sama melalui zaman 'goncangan' pemikiran dan tumbesaran minda membuatkan saya terikat kepada memori di sekolah itu.
Mungkin zaman itu zaman gila, sekolah itu tidak seberapa, namun memorinya yang paling jelas di minda. Penuh ceria, penuh gembira, walau punya duka, tetap terjaga.
Dan memori itu diukir bersama rakan-rakan.
Saya memandang ke luar tingkap.
Salji sudah berhenti turun, dan suasana memutih saujana mata memandang.
Langit berawan rendah, tidak bercahaya bulan. Hanya pencemaran cahaya bandar sahaja. Tiada bau apa di bilik saya, hidung saya sudah sebulan tersumbat kerana sekarang musim sejuk.
Dinginnya di malam ini, suasana sepi.
Saya menarik duvet dan membungkus badan. Ianya panas dan selesa begitu.
Saya cuba memejamkan mata untuk tidur, dan memikirkan apa yang sedang saya lakukan lima tahun akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan