Selasa, 30 November 2010

..tenaga manusia..

..dan karbon-karbon yang terikat dalam bentuk glukosa itu, bersama juga dalam bentuk lipid atau protein, atau apa jua bentuk, akan dimuatkan ke dalam molekul enzim. Molekul enzim yang khusus untuk bentuk tiga dimensi setiap bahan itu sendiri, seperti model mangga dan kekunci di mana setiap mangga hanya mampu dibuka oleh sebatang anak kunci.

Pabila karbon-karbon yang terikat itu masuk ke dalam enzim di merata-rata tempat diseluruh badan, asid amino dalam enzim itu akan mula bertindak balas secara fizikal dan kimia dan mula mengubah bentuk.

Akhirnya setelah melalui berbagai-bagai tindak balas di dalam berbagai-bagai siri enzim, ikatan antara karbon itu pecah, dan ianya menghasilkan haba, mahupun letupan kecil fizikal, atau juga perpindahan electron semasa ikatan itu pecah yang menghasilkan molekul lain. Dan seterusnya molekul ini ditindak balas pula oleh enzim lain dengan pemindahan electrom dari molekul reactif, dan akhirnya berakhir sebagai molekul-molekul ATP yang menjadi bahan bakar asas kepada setiap tindak balas yang memerlukan tenaga dalam badan kita.

Tenaga, dari ikatan karbon yang berasal dari makanan itu, dipindahkan dalam bentuk bahan kimia bermula dari mulut, ke usus, diserap dan diasimilasi di hati kemudian dipindahkan dan disimpan ke setiap bahagian badan kita. Dan akhirnya dengan bahan itu, setiap inci kubit hatta setiap sel kita menghasilkan tindak balas menghasilkan ATP itu.

Maka setiap sel dalam badan kita menghasilkan ATP, dan juga menghasilkan haba sebagai bahan buangan.

Badan kita adalah seperti reaktor tenaga dengan tenaga dibebaskan dari setiap inci kubik badan kita.

Tindak balas itu ibarat membakar kayu yang punya ikatan karbon, namun bakaran ini sangat terkawal, sangat jitu, dan sangat spesifik di skala nano. Bakaran ini terhasil dengan perpindahan electron dari atom-atom ke atom-atom lain dalam keadaan larut dalam air, tak seperti bakaran kayu yang padam di dalam air. Satu molekul di bakar setiap masa, tidak seperti membakar kayu.

Reaktor manusia, ibaratnya.

Jika disebut tindak balas nuklear, umum mengetahui dahsyatnya natijah nuklear di Hiroshima dan Nagasaki. Dan tenaga nuklear itu sangat besar untuk setiap gram bahan bakar jisim yang ditukar kepada tenaga. Lebih besar dari pembebasan tenaga dari ikatan kimia dalam proses badan kita.

Dan umum juga mengetahui reaktor nuklear terbesar dan terdekat dengan kita tidak lain dan tidak bukan datang dari matahari kita sendiri.

Sebuah bintang yang senantiasa melakurkan hidrogennya sebagai bahan bakar dan menghasilkan helium, dan dengan sedikit jisim yang 'hilang' dalam tindak balas itu terbebas sebagai tenaga haba dan radiasi di permukaannya, yang bergerak berbillion kilometer sampai ke bumi, namun masih mampu membuatkan kita peluh dan juga masih mampu mencetus kebakaran hutan.

Namun, di dalam seinci kubik jisim matahari itu, tidak banyak sebenarnya tenaga dihasilkan. Hanya sekelumit sahaja yang bertindak balas.

Langsung tidak sama dengan badan manusia yang punya tindak balas kimia di setiap pelusuk badan kita.

Ini memeberikan satu lagi fakta yang jarang diketahui. Jika diambil semua jumlah kadar pengeluaran tenaga haba dan cahaya matahari dan di bahagikan dengan isipadunya, sebenarnya seinci padu matahari itu mengeluarkan hampir beribu kali lebih rendah tenaga dari seinci padu badan manusia.

Atau dengan kata lainnya, kita sebenarnya lebih panas dan mengeluarkan lebih banyak tenaga dari matahari.

Hanya kerana nisbah jumlah luas permukaan kepada isipadu badan kita yang besar, dan jisim kita yang kecil, dibandingkan dengan nisbah yang sama oleh matahari yang jauh lebih kecil, dan jisim matahari yang jauh berbillion lebih berat dari manusia, maka matahari lebih panas dan mengeluarkan lebih banyak tenaga dari kita.

65 000 sentimeter padu seorang manusia lebih panas daripada 65 000 sentimeter padu matahari.

Siang tadi salji masih turun (walaupun sekarang hanya kira-kira 8 jam siang), dan salji masih turun sekarang.

Meski ada mentari tadi, suhu hanya mampu menggagah -1 celcius.

Masih lagi di bawah paras beku.

Menarik sebenarnya pabila melihat bangsa manusia di sini telah hidup beribu tahun di sini. Telah beranak pinak dan meneruskan kelangsungan kehidupan mereka di sini. Masih mampu bertahan dan mampu pula menghasilkan kehidupan lain dari rahim mereka.

Saya berjalan pulang dari hospital pada pukul 6 malam tadi dengan suhu masih di bawah paras beku. Saya melihat orang di sekeliling. Orang, manusia yang diperbuat oleh 60% air secara jisimnya.

Jika dibiarkan segelas air di jalanan di sini, ianya akan beku dalam masa satu jam.

Namun manusia, yang 60% air itu tidak pula beku, malah masih hidup, dan mampu membiak pula.

Oleh sebab salji turun awal tahun ini, maka keadaan sejuk akan berterusan disepanjang 3 bulan ini, dan kira-kira 2 bulan suhu akan berada di bawah paras beku. Dan saya kira manusia di sini telah melalui suhu begini sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Walau keadaan di sekeliling berada di bawah paras beku, kita tidak akan beku meski dibuat daripada air, kerana reaktor badan kita membakar sesuatu di dalam air itu.

Walau tanpa matahari untuk memanaskan sekeliling, kita akan terus panas.

Siapa perlukan matahari, jika badan kita lebih panas darinya?

Siapa mahu menjadi bintang, sedangkan kita lebih hebat dari sebutir bintang?

Untuk menjadi hebat, kita tidak perlu berlumba menjadi bintang , kita hanya perlu bersama-sama menjadi manusia.

Ahad, 28 November 2010

..dingin malam..


..dan kemudian saya menoleh dan memandang ke luar tingkap itu dengan pandangan jauh merentasi tingkap cermin nako yang terkadang di hadapan. Biar jauh hampir seratus kilometer, Gunung Jerai masih dapat kelihatan di hujung sana.

Birunya tidak sama dengan biru malam.

Biru gelap Gunung Jerai lebih pekat daripada biru langit malam itu.

Malam itu bulan purnama.

Langit terkosong dari awan.

Dan cahaya bulan purnama melimpah ke atas bendang-bendang padi di belakang blok asrama putra Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu.

Pemandangan yang indah pada pukul 3 pagi.

Masakan saya dapat melelapkan mata jika dijamu pemandangan indah begini?

Mungkin. Kerana makan yang sedap itulah yang bisa buatkan kita kenyang dan terlena, dan hidup yang senang dan mudah itulah yang sering buatkan kita terleka.

Dan saya berharap agar mata ini terpejam oleh kedamaian malam itu.

Saya masih ingat lagi bau dorm itu. Bilik B208. Oleh sebab sekolah saya dikelilingi sawah padi, maka sejajar dengan musim tuai, benih, baja dan racun padi itu maka sekolah saya juga punya empat musim. Ada kalanya musim nyamuk, ada kalanya musim serangga kecil hijau yang saya tidak tahu namanya, ada kalanya musim cali, dan ada kalanya musim kesing atau nama manjanya kutu beruang atau kutu babi. Dipanggil demikian kerana baunya busuk macam bab*. Dan dengan hampir 1/5 perlis itu sendiri yang merupakan ladang tebu, pabila orang menuai tebu dengan membakarnya terlebih dahulu, kami mendapat salji hitam. Salji yang turun dari langit yang berwarna hitam. Tidak menyejukkan, apatah lagi ianya memanaskan hati apabila ianya melekat di baju dan meninggalkan kesan hitam di baju jika kita cuba menyepuhnya dengan tangan.

Malam itu musim kutu babi.

Meski serangga itu tidak berbau babi, namun disebabkan baunya yang sangat menjengkelkan, ianya dinamakan sedemikian mengikut budaya orang Melayu yang suka mencarut dengan kata "Bab*!".

Saya masih ingat bau itu. Entah mengapa ianya sudah melekat kuat di minda saya dan terbiasa pula saya dengannya. Mungkin karena bau itu muncul di peringkat perkembangan pesat otak saya pada usia remaja itu, maka otak saya sudah menerima bau itu sebagai perkara yang biasa. Dan kemudian oleh sebab bau itu hanya di dorm dan blok aspura, maka setiap kali saya membau bau seperti itu saya teringatkan katil saya di sekolah itu.

Meski sudah disapu saban malam, bau kutu babi itu masih bertepu di dalam bilik itu. Mungkin sudah diasimilasikan dengan udara bilik itu, atau mungkin kerana bau itu sudah meresap di cadar-cadar dan kemudian terbebas perlahan-lahan.

Saya hampir terlelap dengan bau dan pemandangan itu.

Dan tiba-tiba terdengar bunyi deruan angin dari jauh yang menyelinap di celahan daun. Dan beberapa saat kemudian ianya menyapa wajah saya.

Bau bendang. Dan juga bau yang kosong. Udara segar semata-mata

Saya menarik selimut ke atas badan sambil tangan menggengamnya rapat ke dagu. Ianya tidak sesejuk manapun. Cuma sedikit dingin. Ianya panas berselimut, namun menenangkan.

Saya teringat malam itu, bahawa lima tahun sebelum itu saya pernah tertanya-tanya, apa yang saya sedang buat lima tahun kemudiannya. Ketika darjah enam dan masih terbayang-bayang bagaimana rupa dewasa saya. Dan saya tersenyum sendirian pabila teringatkannya.

Lima tahun yang lepas, tahun 2000 saya tertanya-tanya apa yang saya sedang buat pada 2005 yakni sekarang.

Saya ketawa dalam hati. Saya sedang berada di tingkatan lima di sekolah ini, pukul tiga pagi dan tidak dapat tidur malam sambil cuba mencari sesuatu untuk membuatkan saya terlelap, dan saya juga sedang menikmati pemandangan malam sawah padi di tingkap itu sambil terbau bau kutu babi itu dan mungkin besok siangnya akan ada salji hitam.

Sambil dibaluti dingin malam, saya memejam erat mata cuba untuk tidur, dan memikirkan, apa yang saya sedang buat lima tahun akan datang.


*****


Saya memandang ke luar tingkap dari meja saya ini. Tiada serangga di sini pada musim ini. Terlalu sejuk. Di luar sana deretan rumah berbata merah. Rumah kecil bertangga sempit. Tingkap tertutup rapi. Tidak mahu angin luar bertiup masuk.

Entah mengapa saya sering teringatkan pengalaman di sekolah menengah dahulu. Mungkin kerana kehidupan berasrama yang dipenuhi dengan sahabat-sahabat yang membesar bersama-sama dari sebelum baligh hingga ke tahap mampu menjadi bapa orang. Bersama-sama melalui zaman 'goncangan' pemikiran dan tumbesaran minda membuatkan saya terikat kepada memori di sekolah itu.

Mungkin zaman itu zaman gila, sekolah itu tidak seberapa, namun memorinya yang paling jelas di minda. Penuh ceria, penuh gembira, walau punya duka, tetap terjaga.

Dan memori itu diukir bersama rakan-rakan.

Saya memandang ke luar tingkap.

Salji sudah berhenti turun, dan suasana memutih saujana mata memandang.

Langit berawan rendah, tidak bercahaya bulan. Hanya pencemaran cahaya bandar sahaja. Tiada bau apa di bilik saya, hidung saya sudah sebulan tersumbat kerana sekarang musim sejuk.

Dinginnya di malam ini, suasana sepi.

Saya menarik duvet dan membungkus badan. Ianya panas dan selesa begitu.

Saya cuba memejamkan mata untuk tidur, dan memikirkan apa yang sedang saya lakukan lima tahun akan datang.