..dan kemudian saya terfikir sejenak selepas melihat pernyataan itu. Ianya adalah sebuah pernyataan yang benar, tiada salahnya dari segi kelogikannya. Secara teroinya ianya adalah benar. Namun adakah secara praktikalnya ianya boleh diterima?
Semenjak dewasa ini saya telah mula berpijak di bumi nyata tentang segala teori dan kewarasan remaja saya. Zaman remaja saya penuh dengan pengoncangan minda yang mempersoalkan segala-galanya. Mungkin pada masa itu dibelenggu pagar sekolah membuatkan saya tidak peka dengan isu politik semasa, namun dengan kecambahan perangai manusia di sekolah saya telah mula mempersoalkan rasional manusia. Perkara yang sama saya kira kebanyakan manusia umur saya mula peka sekarang, dan mula menapis segala apa yang dilapor media utama.
Namun saya sedar, segala yang teori itu tak mungkin dilakukan.
Seperti yang pernah saya nukilkan dahulu,
"Teori adalah 2 dimensi, praktikal adalah 3 dimensi"
Kita boleh berteori tentang sesuatu itu dan cuba menjengahnya dari segala macam sudut yang mungkin kita fikirkan.
Kita ambil contoh seperti memasak. Kita boleh berbicara tentang bagaimana cara memasak kari, apa yang boleh dilakukan, dan perkara utama adalah apa yang sepatutnya dilakukan. Dan 'apa yang sepatutnya' inilah yang sering menimbulkan debat. Kerana 'apa yang sepatutnya' menjadi satu macam tempat percambahan idea di mana semua orang cuba berpendapat.
Dan adakah semua pendapat itu boleh diterima pakai? Ianya adalah seperti dalam pelajaran falsafah tentang kesahihan ilmu itu adalah apabila kita berjaya membuktikan ramalan kita. Dan 'apa yang sepatutnya' ini adalah menjadi ramalan tentang perkara yang akan terjadi dan apa yang kita boleh atasi.
Jika memasak kari itu kita perlu didihkan snatan selama 5 minit kemudian renehkannya untuk memberi tekstur pecah minyak, kemudian datang pendapat lain pula mengatakan santan itu hanya perlu didihkan kerana haba yang ada sudah cukup untuk membuatkannya pecah minyak, 'apa yang sepatutnya' ini boleh menjadi debat panjang. Dan bagaimanakah kita ingin mengetahui kebenarannya?
Dengan mencubanya sendiri, atau dalam istilah kegemaran saya 'membuat eksperimen'.
Atau juga dalam erti kata lain, cuba menghampiri realiti.
Dan dalam realiti, adakah semua perkara itu boleh dilakukan? Adakah secara realiti kita mahu melakukannya? Adakah secara realitinya mendidihkan santan itu perkara yang diterima umum walaupun ianya memakan banyak gas? Ataupun kerana kari itu sepatutnya kelihatan sedikit berminyak, kita perlu akan tekstur pecah minyak itu? Dan adakah hanya kerana kita fikir kari itu sepatutnya kelihatan pecah minyak, maka semua orang akan menyukainya begitu?
Dan dalam relaiti, segala yang di dalam teori itu sebenarnya sukar direalisasikan. Akan sentiasa ada satu dimensi yang kita akan terlupa lihat. Teori itu adalah 2d, praktikal itu adalah 3d.
Cara kerja tuhan? Cara kerja tuhan adalah infinit.
Perkara ini timbul semula saban hari ini dengan berbuihnya blog-blog di internet, percuma untuk ditulis, percuma untuk dibaca, semuanya bebas tanpa siapa yang mengenali kita. Ini dunia bebas, sekurang-kurangnya di internet begitu setakat ini.
Isu kebebasan bersuara yang sudah lama berkisar ini saya tidak ingin tulis di sini kerana nanti akan panjang lebar dan kemudian akan ada komen 'anonymous'yang memaki hamun. Saya tak suka maki hamun 'anonymus', saya boleh terimanya lagi kalau ianya bernama dan penuh dengan intelektualisma.
Namun, adakah kerana kita bebas melaungkan apa yang kita suka, kita boleh melakukannya. Adakah tindakan menyekat akhbar itu kurang penting daripada menyekat suara-suara subversif yang belum kenal pangkalnya sama ada ianya adalah dari majoriti atau minoriti?
Saya ingin mengambil contoh yang terdekat dengan diri kita.
Contoh ini adalah kentut.
KIta mulakan dengan sebuah 'thought experiment' (istilah yang terkenal dalam essay ethics saya sekarang ini).
Bayangkan ada berada dalam dewan kuliah dan anda berasa hendak terkentut sangat-sangat.
Adakah anda akan terus kentut?
Jika anda percaya ini adalah sebuah negara bebas, maka anda akan terus kentut. Namun, adakah kepercayaan anda itu dikongsi bersama oleh orang lain? ADakah kepercayaan anda itu adalah majoriti?
Dan kemudian anda cuba berteori logik bagi menyokong tindakan anda.
Oleh sebab orang lain di dalam dewan kuliah itu adalah manusia, maka mereka sama seperti anda yakni mereka perlu kentut. Maka kentut itu adalah normal, kerana semua orang perlu melakukannya. Namun sekali lagi, adakah semua orang sama seperti anda, atau anda hanyalah sekutil majoriti yang perlu akan kentut?
Dan kemudian dengan semangat kebebasan bersuara, kebebasan melakukan semua perkara, dan apa yang sepatutnya manusia lakukan dan hak asasi manusia, ditambah pula dengan motivasi anda yang mahu menegakkan perkara yang benar, berani, tidak hipokrit dan anda berkeyakinan diri yang tinggi, maka anda fikir ianyalah adalah rasional untuk kentut pada masa itu.
Dan dengan memikirkan hujah terakhir anda bahawa semua orang pernah mendengar kentut, dan pernah mencium kentut, maka orang akan memahami dan menyokong perlakuan anda itu.
Tapi saya pasti, jika anda hendak kentut, anda masih berharap bahawa kentut anda itu adalah dari jenis tidak berbunyi (berbau itu mendatangkan keseronokan). Atau ini hanayalah pandangan peribadi saya yang terkategori sebagai minoriti?
Bagi saya, orang yang menahan kentut adalah orang yang hipokrit, tidak berkeyakinan diri dan tidak berani menegakkan keadilan.
Tapi saya tahu, itu hanyalah teori. Realiti adalah realiti. Orang akan memandang jelek orang yang kentut.
Teori adalah 2 dimensi. Praktikal adalah 3 dimensi. Cara kerja tuhan adalah infinit dimensi.
(Bahagian awal entri ini telah terperuk di dalam blog saya hampir setahun tidak dipost dan berkisar tentang isu kebebasan bersuara satu ketika dahulu, setelah ditambah analogi 'kentut' hari ini baru di post)