Selasa, 28 September 2010

..ular..

..dan selepas itu saya terus duduk di atas kerusi. Waktu masih lewat tengah hari. Belum lagi awal petang. Hendak keluar bermain di luar pun masih awal. Apatah lagi cerita Flashman masih lagi belum ke udara. Pantang naluri saya untuk keluar bermain sebelum menonton Flashman setiap hari.

Saya duduk sahaja di kerusi itu. Adik Wan dan akak sedang berbaring di atas karpet di ruang tamu itu. Hampir tidur mungkin. Kerana matahari masih lagi tinggi di langit dan terlalu panas untuk keluar bermain. Maka seperti biasa bagi seorang budak sekolah rendah pada masa seperti itu adalah untuk tidur sekejap. Namun saya tidak dapat tidur. Terlalu panas saya fikir untuk ketika itu. Saya suka tidur pada waktu petang kerana ianya lebih sejuk (jangan tiru aksi ini).

Di atas kerusi panjang abah sedang berbaring dan nyenyak lena.

Dia penat rasanya.

Dari sekian pagi lagi abah sudah berada di halaman rumah kerana memotong pokok bunga kertas dan pokok-pokok lain. Pokok-pokok itu sudah ada semenjak saya ingat lagi. Ianya tumbuh di dalam pasu bersama pokok-pokok bunga lain serta pokok bunga bakawali.

Mungkin kerana niatnya untuk mencantikkan kawasan. Apatah lagi pokok bunga kertas senang untuk dijaga. Dikatakan ianya tidak perlu disiram kerap maka sesuai dengan kesibukan yang kadang-kadang sudah tidak sempat menguruskan kehidupan yang lain melainkan diri sendiri.

Pokok bunga kertas itu tumbuh rendang dan ianya cantik. Namun akibat terlalu serabut abah memutuskan untuk menebangnya bersama pokok-pokok lain yang tumbuh di luar rumah itu.

Mula dari awal pagi abah sudah berada di luar dan mula menebang pokok-pokok itu. Hampir matahari tegak di kepala segalanya sudah siap ditebas. Tampak cerah akhirnya halaman rumah kami.

Terlalu letih mungkin, atau belum ada tong sampah besar untuk kawasan taman perumahan kami, atau juga wheel barrow di belakang rumah terlalu kecil untuk mengangkut semua itu untuk dibuang, abah melunggukkan sebentar daun-daun dan batang-batang itu di luar rumah di atas rumput tepi jalan. Mungkin petang nanti abah akan mengangkut semuanya dan dibuang ke tempat pembuangan sampah di hujung Taman Mahsuri Fasa 2D itu (sekarang tapak itu sudah menjadi restoran Dusun Permai).

Suasana sangat sepi tengah hari itu.

Dan saya sedang duduk di atas kerusi di sebelah kerusi panjang tempat abah berbaring.

Kerusi saya selari dengan kerusi abah, dan dibelakangnya dinding.

Dan ditepi kiri saya adalah gerbang masuk ke dapur dimana di situ juga ada pintu ke bilik depan, bilik tengah, dan bilik belakang yang sedikit dekat dengan tandas.

Abah nyenyak tidur.

Kakak dan Wan sedang berbaring di atas karpet beralaskan kusyen di kepala.

Saya sedang duduk hampir bersandar.

Dan ketika itulah saya terdengar sesuatu yang agak aneh punyinya.

Ianya seperti bunyi berdesis. Dan seperti bunyi sesuatu diheret.

Bunyi itu seperti di atas tempat sandar kerusi.

Saya berasa sangat aneh dan cuba memekirkan bunyi apakah itu. Dan dalam sekelip mata saya merasakan di atas tempat sandar kerusi yang saya sedang duduk itu, di belakang tengkuk saya bunyi benda diseret itu betul-betul dibelakang tengkuk saya.

Dan bersama dengan satu macam kesejukan yang sedang menyeret di tengkuk saya.

Saya terkejut dan terus terbangun dan menoleh ke belakang.

Dan ketika itulah saya nampak sesuatu yang panjang berwarna hijau gelap meluru laju di tempat asal belakang tengkuk saya itu. Ianya melungsur laju dan jatuh ke lantai.

Dengan terkejut dan refleks, saya terus menjerit,

"Ulaq! Ulaq!"

Dan saya betul-betul nampak ular itu meluru laju masuk ke bilik tengah.

Ayah saya terus terjaga dari lenanya dan dengan nada cemas bertanya "Mana? Mana?"

Adik dan kakak saya dengan terkejut juga bertanya.

Abah terus meluru mengambil batang penyapu.

Dan saya memberitahu bahawa ular itu masuk ke bilik tengah. Abah masuk dengan batang penyapu di tangan mahu menggodam ular itu.

Adik dan kakak saya juga berkata mereka terdengar bunyi sesuatu benda terjatuh, tetapi mereka tidak tahu apa bunyi itu.

*****

Peristiwa itu saya masih ingat sehingga sekarang. Dan rasa sejuk ular itu bergesel di belakang tengkuk saya masih lagi saya ingat sehingga sekarang. Rupa ular itu terjatuh dari kerusi dan menderu masuk ke bilik tengah juga saya masih ingat sehingga sekarang. Bunyi geseran ular itu di dinding juga saya masih ingat. Dan, bunyi ular itu terjatuh yang juga di dengari oleh akak dan adik saya juga saya masih ingat sehingga sekarang.

Meskipun setelah habis digeledah bilik tengah itu (yang tidak punya tingkap dan katil, hanya meja besar dan rak buku yang digunakan sebagai 'mini office' ayah saya), ular itu tidak pernah dijumpai.

Tetapi saya betul-betul nampak ular itu.


..angin..

..dan saya memandang langit pagi itu.

Hampir kosong.

Jauh di kejauhan nampak kebiruan yang sangat menenangkan. Langit itu mengingatkan saya kepada hari terakhir saya di Malaysia tempoh hari. Sebelum kaki melangkah masuk ke penerbangan Air Asia menuju ke Terminal Penerbangan Tambang Rendah (baca:murah) dari Alor Setar itu, saya mendongakkan kepala melihat ke langit.

Ianya kosong, tidak berawan.

Aneh rasanya. Langit di Malaysia jarang kosong begitu. Seakan-akan memberi satu 'headstart' kepada saya tentang langit yang saya bakal hadapi dalam masa 24 jam lagi. Ataupun mungkinkah ianya satu simbolik bahawa sebenarnya saya pulang dengan hati kosong. Hati yang masih bersama dengan rumah, emak, keluarga, orang teristimewa, atau segala-galanya yang saya sinonimkan dengan 'rumah'?

Namun saya biasa sangat dengan langit di sini. Sekejap sahaja ianya cerah begitu. Hasil cerah saki baki musim panas mungkin. Kerana sekejap sahaja ianya akan bertukar. Dengan angin artik yang menderu laju petanda musim sejuk sedang bertawar dengan angin selatan musim panas. Taktala 20 minit kemudian, langit mulai muram semula.

'Typical British weather'.

Dan kanvas biru di bumbung itu dicorakkan semula dengan awan-awan kumulus bertahap rendah, terlalu rendah sehingga saya kerap kali merasakan pandangan saya terpana dan tersekat daripada memandang jauh kehadapan.

Saya lebih sukakan awan di Malaysia. Terutamanya di Kedah. Rata-rata awan kumolonimbus bertahap tinggi yang dari jauh di ufuk barat di atas Kuala Kedah sudah menampakkan kerakusannya bahawanya awan itulah yang paling besar dan gah sehingga menggunung tinggi seperti gunung di kayangan. Namun kemegahannya masih lagi berhati perut, dengan tingginya itu tidak menghalang saya menikmati keluasan langit ciptaan tuhan.

Langin yang luas.

Kosong.

Mungkin kerana ianya menandakan kebebasan bak burung. Mampu pergi ke atas, bawah, depan, belakang, kiri, kanan, melintang, menyendeng.

Bebas.

Mungkin langit yang kosong itu hanyalah perumpamaan kepada musim panas tempoh hari dan tahun-tahun sebelum ini yang tidak dipenuhi dengan kesibukan dan mampu lagi merasa bebas.

Angin telah bertiup. Awan datang menutup langit kosong.

Angin tahun ketiga sedang menusuk. Saya terpana kerana tahu akan menjadi sangat sibuk.