Ahad, 8 Mac 2015

..senja..

..dan menolongnya mengangkat kaki ke atas untuk berbaring. Setelah itu saya tolong betulkan bantalnya untuknya baring.

Katil di tengah ruang tamu itu betul-betul disebelahan tingkap. Dari celahan nako itu angin petang yang sejuk meniup masuk ke katilnya, sambil melambaikan dedahanan pohon rambutan betul-betul belakang rumah. Dari perbaringan nenek, saya dapat melihat suasana mendamaikan sewaktu petang di kampung.

Saya memerhatikan nenek yang memerhatikan ke arah luar. Sambil cuba memicit kaki kirinya yang kebengkakan, dia mengadu,

"Kaki ni pasaipa tak tau. Duk tak duk mangkit pagi tadi dia bengkak."

Mak Lang menegur nenek,

"Jangan duk picit la kaki tu, nanti bengkak."

Nenek sudah lupa kenapa kakinya bengkak.

Kaki nenek bengkak kerana dia tidak berjalan, dia menjuntaikan kakinya di hujung katilnya. Cecairan badan turun ke kakinya, lalu membengkak.

Malah nenek sudah lupa kenapa dia tidak boleh berjalan.

Nenek memerhatikan keadaan sekelilingnya.

Ada bekas kuih.

Dia membuka bekas kuih itu, dan menyusun kuih di dalamnya.

Sebenarnya semenjak saya melawat nenek, sudah hampir lima kali dia menyusun kuih itu.

Nenek sebenarnya mencari sesuatu untuk dibuat. Orang tua-tua, semasa masih muda sentiasa berkerja maka sudah tua mereka sentiasa mahu membuat sesuatu.

Seminggu sebelum itu dia sentiasa berjalan di rumah Mak Lang dan sekelilingnya.

Masuk waktu solat, dia akan bersolat.

Namun seminggu yang lepas, selepas usai bersolat, semasa menukar kain sembahyangnya, kakinya tersadung kain itu dan dia terjatuh. Kemudian dia tidak dapat bangun semula. Apabila dibawa ke klinik, doktor menghantarnya ke hospital di mana nenek disahkan keretakan tulang pelvik, atau tulang belikat punggung.

Setelah itu nenek dimasukkan di wad selama seminggu dan dipasang skru pada tulangnya. Selepas saya mendapat berita itu, saya pulang ke Kedah dan melawat nenek.

*****

Semasa saya kecil, nenek pernah menjaga saya dan adik saya selepas saya pulang tadika. Nenek akan memasak makanan tengah harinya untuk kami makan. Petangnya nenek akan menganyam daun kelapa kepada bentuk burung, bola, udang, keris, jam dan lain-lain untuk saya dan adik saya main. 

Nenek juga akan mencari-cari batang buluh di rumpunan pohon buluh. Kemudian nenek akan mengikat plastik di hujungnya menjadi serkup. Saya dan adik akan menggunakan serkup itu untuk menangkap pepatung yang berterbangan. Saya kira budak-budak sekarang memang tak tahu apa itu penangkap patung yang kami main.

Pabila masuk waktu solat, nenek akan bersolat. Semasa di dalam solat nenek akan membaca sedikit kuat untuk telinganya dengar. Sebagai kanak-kanak yang telinga masih tajam, saya mendengar bacaan solat nenek. Bacaan nenek yang jelas itu buatkan saya yang ketika itu berumur lima ke enam tahun secara automatik terikut dan menghafal Al-Fatihah dan 4 Khul hasil mendengar bacaan nenek, walaupun pada ketika itu saya masih belum fasih membaca muqaddam.

Saya masih ingat ketika tadika, cikgu agak terkejut kerana saya mampu membaca Al-Fatihah, 4 Khul dan surah-surah lain dengan fasih walaupun masih belum mampu membaca muqaddam.

Nenek menjaga kami semasa dia berumur 70-an.

*****

Sekarang nenek sudah 90-an dan menjadi nyanyuk. Nenek tidak ingat sesiapa pun lagi, hatta mak lang yang menjaganya setiap hari sudah dia tidak kenal. Apatah lagi kami cucunya. Nenek sudah tidak ingat siapa dirinya, siapa anak-anaknya, siapa cucunya, dengan siapa dia tinggal, berapa lama dia sudah tidak tinggal di rumahnya, apa perlu di buat untuk hidup, dan lain-lain.

Nenek sudah tidak ingat apa-apa lagi tentang dunia ini, saya rasa.

Namun saya kagum dengan nenek. 

Meskipun dia sudah tidak ingat apa-apa dan sesiapa pun lagi, dalam meniti umur senjanya, nenek sentiasa melihat ke arah jam. Nenek masih tahu membaca jam dan waktu. Apabila jam menunjukkan pukul 1.30 petang, nenek akan bertanya,

"Dah masuk lohoq kot noh?"

(Sudah masuk Zohor kan?)

Tiba waktu solat, nenek akan mengambil wuduk dan bersolat. Meskipun ayah saya selalu berkata yang bacaan solat nenek hanyalah omongan, dan nenek sudah tidak tahu apa yang dibacanya. Namun rakaatnya masih elok.

Semasa usianya yg sudah 90-an ini, sudah nyanyuk dan tidak mengerti apa-apa, nenek masih ingat lagi untuk solat pabila masuk waktunya.

Saya kagum.

Tuhan seolah-olah menarik segalanya dari nenek, termasuk ingatannya, namun menginggalkan solat nenek kepada nenek kerana nenek selalu menjaganya.

*****

Semasa saya belajar perubatan dahulu, saya sering mengikuti perkembangan dalam kajian neurologi dan otak manusia.

Di dalam otak manusia, memori manusia di simpan di dalam bentuk bahan-bahan kimia di dalam sel-sel neuron. Bahan kimia ini terhasil daripada cetusan-cetusan dan aliran bahan kimia semasa otak memproses input dari deria dan aktiviti. Maknanya, setiap apa yg deria kita dapat, dan setiap perilaku kita, ianya akan bertukar menjadi signal-signal elektrik dan kimia di dalam otak kita. Ada di antara signal-signal ini mencetuskan penghasilan bahan kimia yang menjadi memori kita.

Namun, jika signal-signal itu diulang-ulang selalu dan setiap masa, bahan kimia memori itu akan mencetuskan dan menggalakkan pertumbuhan akar-akar yang menghubungkan di antara sel-sel neuron itu. 

Akhirnya apabila akar-akar ini bersambung, memori itu akan di simpan di dalam bentuk pengwayaran neuron. Memori dalam bentuk bahan kimia adalah lemah, dan ianya boleh dicernakan dan hilang oleh sel neuron menyebabkan memori itu hilang. Namun memori dalam bentuk pengwayaran fizikal neuron ini bertahan lebih lama kerana sukar untuk menghapuskan wayar neuron melainkan wayar itu sudah tidak digunakan untuk tempoh yang sangat lama, atau jika neuron itu mati.

Contohnya, apabila kita membaca sesuatu, pada pertama kalinya pembacaan kita akan di simpan dalam bentuk bahan kimia dalam sel neuron, dan kita akan ingat apa yang kita baca. Namun jika kita tidak membacanya lagi untuk keesokan harinya, bahan kimia ini boleh dicerna dan hilang, dan kita akan lupa semula apa yang kita baca.

Namun jika kita membacanya berulang-ulang kali, untuk satu tempoh waktu yang lama, lama kelamaan bahan kimia dan corak laluan signal neuron ini akan menghasilkan akar dan laluan baru yang membentuk memori pembacaan itu, dan akhirnya kita akan ingat dan hafaz apa yang kita baca untuk satu tempoh yang lama. Akan tetapi jika kita tidak mengulangi juga hafalan kita, ianya juga akan hilang dengan wayar neuron itu akan juga akan hilang.

Perkara yang sangat menarik adalah, walaupun wayar neuron memori ini telah terbentuk, jika kita masih mengulangi pembacaan kita, wayar ini akan bertambah banyak dan bertambah meluas sehingga meliputi lebih neuron. Jika wayar sebelum itu hanya melibatkan 100 neuron, dengan lebih ulangan untuk tempoh masa yang sangat pangjang, lebih 1000 neuron akan berhubung membentuk memori itu. Ini seolah-olah pelebaran jalan. Seumpama jalan biasa bertukar menjadi lebuh raya kerana kerap di gunakan.

Ini menyebabkan ingatan itu menjadi lebih kuat dan kekal lama walaupun akar-akar itu hilang, atau neuron-neuron itu mati.

Ya, neuron-neuron itu mati.

Setiap hari di dalam otak manusia, beribu-ribu neuron akan mati dengan sendirinya meninggalkan neuron yang semasa bayinya berbillion itu menjadi makin sedikit saban hari.

Akhirnya apabila kita tua, terlampau banyak neuron yang telah mati sehingga kita hilang memori dan menjadi lupa.

Apa bila sudah tua, kita akan menjadi nyanyuk, kerana neuron-neuron kita telah tinggal sedikit.

Dan apabila kita tua dan neuron-neuron kita banyak yang telah mati, jalanraya-jalanraya kecil pun menghilang kerana sudah tiada neuron untuk dihubungkan. Namun, yang tinggal adalah lebuh raya, kerana ianya lebih besar dan sukar untuk dihapuskan.

Namun, apa yang kita buat semasa kita muda, yang membentuk akar-akar neuron di dalam otak kita setiap hari, akan menentukan siapa kita semasa kita tua nanti.

Jika semasa mudanya kita menonton televisyen dan berhibur, akar-akar neuron membentuk jalanraya memori hiburan di dalam otak. Jika kita asyik setiap hari setiap masa dengan hiburan, jalan raya ini akan bertukar menjadi lebuh raya. Apabila kita tua dan nyanyuk, hanya lebuhraya hiburan yang tinggal, dan kita asyik mahukan hiburan walaupun semasa nyanyuk.

*****

Nenek melihat jam dinding.

Sudah masuk pukul 5.

"Dah Asaq kot noh,"

Saya kagum. Kerana senantiasa nenek menjaga solatnya sepanjang hayatnya, lebuhraya-lebuhraya solat ini terhasil dalam otaknya. Maka apabila neuron-neuron sudah tinggal sedikit, lebuh raya solat ini masih tinggal. Walaupun sudah nyanyuk, nenek masih tahu bersolat.

Nenek meminta untuk ke bilik air untuk berwuduk, namun sukar untuk ditunaikan kerana dia tidak boleh berjalan, dan jika kami mengangkatnya dia akan meraung kesakitan.

Semasa di hospital, sanak saudara saya mewudukkannya dan mengajarnya untuk bersolat sambil duduk.

Namun tidak berjaya.

Kerana di dalam lebuh raya memori nenek, wudhuk adalah dengan duduk dengan curahan air dari cebok, basuh tangan, kumur, hidung, muka, tangan ke siku, ubun-ubun, telinga dan kaki. Wudhuk bukanlah meratakan air yang disembur dari penyembur air.

Solat pula adalah berdiri, rukuk, sujud, duduk tahiyat. Solat bukanlah duduk di atas katil.

Kerana nyanyuk, nenek sudah tidak boleh belajar benda baru. Kerana sepanjang hidupya wudhuknya dan solatnya dilaksanakan dengan cara orang yang sihat dan bukan cara orang yang sakit.

Di waktu petang itu, saya memerhatikan nenek yang duduk kebingungan di atas katil kerana tidak mengeriti keadaan dirinya. 

Nenek memerhatikan ke luar tingkap ke arah pepohon rambutan yang ditiup angin sejuk. 

Sesekali nenek memerhatikan ke arah jam menunggu waktu solat yang sudah tidak mampu ditunaikannya.

Saya memerhatikan jam, sudah hampir pukul 7 petang, sudah senja.

Saya beransur pulang ke rumah kerana perlu bersiap untuk pulang ke KL, meninggalkan nenek yang dijaga mak lang, di umur senjanya.

Rabu, 10 April 2013

..100..

..dan tolehan ke atas itu sebenarnya cuba mencari sesuatu di kala kitaran ini mula bertapak di permulaannya.

"Saya nampak!"

Jerit saya, di dalam hati.

Jam pukul 4.27 pagi, tarikh 11 April 2013, di Melaka.

Di celahan kepalanya saya nampak bintang berkembar tiga. Tiada lagi Sirius. Sirius kini hanya mengintai di waktu Mentari pulang. Terbenam Mentari untuk beberapa jam, maka Sirius dan Orion ikut sama.

Beri peluang kepada langit baru yang akan muncul.

2 tahun dahulu saya kelui ia Summer's Sky.

Tapi di sini tiada musim panas. Setiap hari adalah panas, dan siang dan malamnya hampir sama panjang.

Di kiri dan kanan kepalanya saya bayangkan sepitnya membuka luas.

Dan di bawah kepalanya, saya bayangkan ekornya memcak tinggi menyengat!

Buruj Skorpio kini telah tiba!

Semalam 10 April adalah hari ke seratus untuk tahun ini.

Sudah 25 kali bumi berputar di sekeliling matahari semenjak saya dilahirkan.

Saya mengagak, jika ibu bapa saya mendongak ke langit malam ketika itu, mereka akan melihat bintang yang sama seperti malam; kecuali kedudukan planet Musytari yang tinggi ketika ini.

Sesuatu yang cantik sedang tiba.

Cantik, meski subjektif, kadang boleh jadi sama untuk konstelasi yang berbeza.

Acap kali ianya berbeza untuk konstelasi yang sama.

Cantiknya Orion, berbeza dengan cantiknya Scorpius; si Jengking.

Sesuatu yang cantik sedang tiba.

Saya mengintai tiada kesabaran.

Jengking sudah mula menyapa di langit pagi.

Bulan tujuh nanti ia akan bermegah di langit malam tepat di atas kepala pukul 12 tengah malam.

Sesuatu yang cantik sedang tiba.

Dapatkah anda mengagak di manakah Jengking berada?


Rajah menunjukan langit malam pada 11 April 2013 pukul 4.30 pagi di Melaka, dijana oleh perisian Astronomi percuma Cartes Du Ciel. Kedudukan Buruj Scorpius adalah kira-kira 180 darjah, yakni arah selatan dengan ketinggian kira-kira 45 darjah dari ufuk. 

Khamis, 28 Jun 2012

..jengking..

..dan saya menoleh ke langit tepat di atas kepala saya untuk mencarinya.

Sekarang adalah bulan Jun, atau musim panas kepada yang masih merantau.

Tahukah anda apakah yang paling indah di langit malam ketika ini?

Ianya adalah buruj Scorpio.

Buruj Scorpio yang berupa seekor kala jengking dengan ekornya tinggi menggodam.

Buruj yang paling cantik saya kira.

Mahukah anda tahu cara  melihat sang jengking di langit malam?

Isnin, 29 Ogos 2011

..anakanda sang rembulan..



..dan saya menggenggam jari saya mengikut. Buku lima saya yang masih halus itu saya lihhat dan perhatikan betul-betul.

“Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai. Sampai Ogos, letak Ogos dekat tempat yang sama dengan Julai, lepas tu patah balik. “

“Ok”

“Ogos, September, Oktober, November, Disember. Bulan yang atas semua 31 hari, yang bawah 30 hari, kecuali bulan Februari, 28 atau 29. “

“Hmm hmm”

“La ni bulan apa dekat atas? Bulan apa 31 hari?”

“Januari, Mac, Mei, Julai, Ogos, Oktober, Disember”

Saya memerhatikan mak mengajar abang cara mengingati bilangan hari dalam kalendar. Sambil itu saya hanya mengikuti dari tepi.

Nama bulan pun saya tak tahu, bagaimana mahu ikut?

Tak mengapa, untuk seorang budak 5 tahun, nama bulan tiada signifikasi kerana belum mula bersekolah.

**

Saya menyelak-nyelak takwim di rumah tok itu. Kemudian saya membelek takwim tahun lepas.

Agak aneh, polanya tidak sama.

Jika di dalam kalendar Januari hingga Disember yang bergambar kuda setiap Sabtu dan Ahad itu bilangan hari dalam bulannya sentiasa sama, takwim sembahyang tok kadang-kadang mempunyai bilangan hari yang berbeza bagi bulan yang sama mengikut tahun.

4 helai takwim itu saya perhatikan betul-betul. Ada yang sama, ada yang tidak sama. Dari Muharram hingga ke Zulhijjah kadang-kadang berbeza bilangan hari dalam bulan yang sama setiap tahun.

Saya keliru, mengapa kalendar Islam tidak sama seperti kalenda omputih?

**

Orang lain menunggu di hadapan tv pada hari itu. Bagai sudah kebiasaan.

Saya hanya memerhatikan syiling itu dengan geram. Kerana saya tahu mak dan abah menyembunyikan sekotak besar bunga api dan mercun di atas syiling rumah supaya kami yang masih kecil tidak sampai untuk ambil.

Mak dan abah solat Maghrib, sementara kakak dan adik menunggu di hadapan televisyen.

Saya tidak menunggu, kerana saya sudah tahu. Setiap tahun sama sahaja.

Jika takwim menulis 30 hari berpuasa, kita akan berpuasa 30 hari bulan itu dan raya akan jatuh pada lusa.

Penyimpan mohor besar itu seperti ‘trademark’ setiap tahun. Tidak pernah dia mengumumkan besok raya. Hari raya akan jatuh pada lusa.

Namun saya terfikir, mengapa mesti pengumuman hari raya di buat pada hari ke 29 puasa? Jika kita berpuasa sebanyak 30 hari, mengapa tidak sahaja buat pengumuman pada hari ke 30?

***

Saya memerhatikan bulan sabit itu. Pagi itu masih gelap dan van sekolah belum sampai. Bulan sabit berada di ufuk timur pada pagi itu.

Seminggu sebelum itu, saya melihat bulan di waktu siang.

Semasa di tadika, dan di dalam lukisan tadika, malam disinonimkan dengan bulan dan bintang manakala siang pula disinonimkan dengan matahari.

Saya tahu apa yang di ajar itu tak sepenuhnya benar, kerana saya selalu sahaja nampak bulan pada waktu siang, terutamanya bulan separa.

Di tadika, dan sekolah, kita diajar supaya benda nampak ringkas.

Namun sebenarnya di dunia nyata, semuanya tidak mudah seperti disangkakan.

Hidup, tidak pernah semudah yang diceritakan.

Hidup, bukan suatu teori.

**

“Abah, anak bulan tu apa?”

Saya bertanyakan pada ayah saya tentang sesuatu yang acap kali kedengaran tibanya bulan puasa dan hari raya. Rata-rata orang bercakap tentang anak bulan.

Saya sering memerhatikan bulan di langit, ianya sentiasa nampak sama dengan fasanya.

Kadang-kadang saya mengintai dan cuba meneropong betul-betul bulan itu kalau-kalau ada bulan kecil yang baru keluar dari bulan besar itu!

Anak bulan bagi seorang kanak-kanak tadika samalah seperti anak kucing, ianya dilahirkan oleh ibunya.

Tiada pula saya pernah lihat bulan kecil di sebalik bulan besar itu.

Mereka semua salah, bulan tidak pernah melahirkan anak!

**

Saya memerhatikan bulan pada malam itu.

Entah semenjak bila saya tidak ingat, saya suka memerhatikan bulan.

Terutama bulan purnama.

Seakan-akan satu pukauan setiap kali saya melihat ke arah bulan. Satu kilauan bulat di malam pekat, satu petanda mungkin bahawasanya kita tak usah risau, walaupun tanpa cahaya mentari dalam gelita, bulan tetap di atas sana berkilau, menyempurnakan kerlipan bintang supaya jelita.

Saya memerhatikan bulan setiap kali berpeluang dan melihat kedudukannya mengikut masa dan fasa. Apakah fasa bulan ketika itu, dan di manakah bulan pada pukul 12 malam ketika itu.

Saya kira sudah 15 tahun saya melakukan perkara ini, dan saya masih melakukannya sehingga kini.

**

Akhirnya saya menyedari apakah jawapan teka teki saya selama ini. Mengapa bulan Islam tidak pernah sama, dan mengapa tarikh hari raya di umumkan pada 29 haribulan. Meskipun saya sudah faham perbezaan anak bulan berbanding istilah bulan sabit sahaja, saya masih belum tahu apakah signifikan bulan sabit baru.

Akhirnya saya tahu bahawasanya bulan Islam dikira mengikut perubahan fasa bulan, manakala kalendar Gregorian mengikut kiraan bumi mengelilingi matahari.

Untuk menentukan bulan baru di dalam Islam, kita perlu melihat anak bulan ataupun bulan sabit baru.

Anak bulan ini, yang juga dipanggil hilal boleh muncul sama ada pada terbenamnya matahari pada hari ke 29 ataupun 30 di dalam bulan Islam.

Untuk memahami perkara ini, kita perlu melihat semula rajah sains darjah 4 seperti di bawah.



Masihkah anda ingat rajah fasa bulan ini?

Ianya menggambarkan bulan yang mengorbit bumi dan dari pantulan cahayanya kita melihat fasa bulan.

Bagi memahami rajah ini, perlu diingatkan matahari tidak sekecil begitu dan bulan pula tidak sedekat begitu dengan bumi. Ianya dilukis tidak mengikut skala. Hanya sebagai bantuan untuk pemahaman.

Rajah itu dilukis dengan pandangan dari atas bumi, yakni dari kutub utara.

Seperti rajah di bawah ini. Di sini ditandakan kedudukan Jepun, Malaysia, UK dan Amerika sebagai penanda relative kedudukan Negara itu jika dilihat dari kutub utara. Ini member kedudukan juga bahawa Jepun digelar Negara timur kerana berada di timur sekali dunia manakala UK dan Amerika digelar Barat kerana secara relatifnya mereka berada di barat berbanding dengan kedudukan kita.



Kita sedia maklum bahawa matahari naik dari arah timur. Hal ini adalah kerana bumi berputar dari arah barat ke timur seperti rajah di bawah.



Contohnya jika seseorang berada di barat seperti rajah di bawah,




Pabila dia memandang kea rah timur semasa bumi berada di kedudukannya itu, dia akan melihat pemandangan seperti ini,




Namun apabila bumi berputar dan kedudukan pemerhati berubah,



Dia akan mula melihat matahari naik dari arah timur,



Dari situ juga kita boleh membuat pemerhatian pabila kedudukan pemerhati berubah mengikut putaran bumi,



Dari kedudukan 1 hingga 7, semasa dia berada di kedudukan 1 dan kemudian bumi berputar dan dia berada di kedudukan 2, dia akan melihat matahari muncul di arah timur dan mula bergerak ke atas. Setelah bumi berputar dan dia berada di kedudukan 5 dan kemudian 6, dia akan melihat matahari turun ke arah barat seperti rajah di bawah.



Ini member persepsi bahawa walaupun matahari tidak bergerak dan bumi yang berputar pada paksinya, pemerhati akan memerhatikan matahari naik dari arah timur dan terbenam di barat.



Sekarang berbalik kepada rajah sains darjah 5 kita, apa yang kita perhatikan sebenarnya bulan beredar dari arah barat ke timur bumi. Bulan beredar sama arah dengan putaran bumi, dari arah barat ke timur seperti rajah di bawah.



Secara relatifnya dari kedudukan 1 hingga 8, bulan yang memantulkan cahaya matahari membuatkan kita nampak bulan muncul dengan fasanya. Ini kerana bahagian bulan yang menghadap matahari sentiasa memantulkan cahaya matahari dan bahagian bulan yang tidak menghadapap matahari akan ditelan baying-bayang. Bahagian bulan yang menghadap bumi pula akan kelihatan bergantung kepada banyak mana cahaya matahari yang dipantulkan oleh permukaannya. Ini memberikan fasa bulan seperti di bawah



Namun jikalau di langit kita, bahagian hitam bulan ini tidak akan kelihatan kerana tidak bercahaya dan bahagian bulan yang gelap ini akan mengambil warna langit bumi. Hal ini samalah seperti langit kita, yang tidak mengeluarkan cahaya dan berwarna hitam. Pada malam ianya berwarna hitam, pada siangnya berwarna biru. Maka bahagian bulan yang hitam juga akan mengambil warna atmosfera bumi dan membuatkan fasa bulan kelihatan seperti di bawah,



Berbalik kepada rajah bumi kita, sebenarnya melalui kedudukan bumi relative kepada kedudukan matahri, kita dapat mengagak waktu ketika itu. Contohnya pada kedudukan barat, waktu ketika itu adalah kira-kira 6 pagi, kedudukan yang menghadap matahari akan berada pada pukul 12 tengah hari menandakan matahari sedang tegak di atas kepala (waktu dipermudahkan supaya senang difikir)



Berbalik kepada rajah sains kita, dari kedudukan bulan dan fasanya, kita sebenarnya dapat menentukan kedudukan bulan ketika ianya mula muncul pada langit malam.

Contohnya dari kedudukan bulan semasa ianya berada di bulan sabit seperti rajah di bawah,



Kita dapati ianya berada secara relatifnya kira-kira 45 darjah dari matahari. Maka ketika bulan berada di fasa bulan sabit baru, ketika matahari mula terbenam di ufuk barat yakni pemerhati berada di posisi berikut,



bulan sabit akan berada kira-kira 45 darjah dari ufuk barat.



Bumi berputar dari arah barat ke timur. Ini membuatkan matahari kelihatan seperti bergerak dari arah timur ke barat pada waktu siang (naik arah timur, terbenam arah barat). Namun bulan mengorbit bumi dari arah barat ke timur. Ini menyebabkan pergerakan bulan dari arah barat ke timur seperti bertentangan dengan arah matahari dari timur ke barat. Ini member persepsi bahawa arah pergerakan bulan sentiasa bertentangan dengan arah matahari.

Ini menyebabkan kedudukan bulan yang berubah saban hari. Contohnya jika anda mencerap kedudukan bulan relative dengan kedudukan matahari pada waktu matahari terbenam dari 1 haribulan hingga ke 4 haribulan (bulan Islam), anda akan melihat bulan semakin jauh dari matahari pada waktu matahari terbenam.



Ini juga menyebabkan kedudukan bulan muncul semasa matahari terbenam berubah mengikut fasanya.



Anda boleh membuat pemerhatian sendiri pada waktu maghrib. Jika anda tahu fasa bulan ketika itu, pabila matahari jatuh bulan akan mula muncul di kedudukan yang tetap mengikut fasanya.

Contohnya dalam rajah berikut, pemerhati yang sedang melihat matahari terbenam akan melihat bulan muncul mengikut turutan berpandukan fasanya.



Jika ianya bulan sabit baru ( kedudukan bulan 1), dia akan melihatnya kira-kira 45 darjah dari ufuk timur. Semasa bulan separa (kedudukan 2), dia akan melihat bulan berada tegak di atas kepala semasa matahari mula terbenam. Semasa bulan berada pada fasa hamper purnama baru (kedudukan 3), ianya akan berada kira-kira 45 darjah dari ufuk timur. Semasa bulan purnama pula (kedudukan 4), dia akan memerhatikan bulan naik bertentangan dengan kedudukan matahari, yakni di saat matahari terbenam di ufuk barat bulan akan naik di ufuk timur.



Sudah tentulah di langit bulan akan kelihatan seperti berikut





Hal ini juga sebenarnya boleh digunakan sebagai penunjuk masa pada waktu malam. Jika pada masa dahulu tiada jam dan orang bergantung pada kedudukan matahari untuk mengetahui masa pada waktu siang, masa pada waktu malam boleh dianggarkan dengan melihat kedudukan bulan bergantung pada fasanya.

Contohnya jika matahari tegak di atas kepala pada pukul 12 tengah hari, pada waktu 12 tengah malam bulan purnama akan berada tegak di atas kepala. Jika fasa bulan ketika itu adalah bulan hamper purnama baru, pada pukul 12 tengah malam ianya adalah kira-kira 45 darjah dari ufuk barat.



Jika bulan bergerak bertentangan dengan arah matahari, kita dapat mengagak bahawa jika semasa awal bulan, bulan sabit baru kelihatan di atas matahari semasa matahari terbenam, pabila bulan menghabiskan satu orbitnya mengelilingi bumi, pada penghujung bulan yakni bulan sabit lama, bulan sabit lama akan berada di bawah matahari semasa matahari jatuh.

Lintasan bulan yang melalui matahari (akibat arahnya yang bertengan dengan matahari) menandakan masuknya bulan baru dalam Islam.

Lintasan ini berlaku kira-kira pada malam ke 29 atau 30 sesuatu bulan itu.

Ini menyebabkan pentingnya kita melihat anak bulan (bulan sabit baru) pada hari ke 29 bulan Islam itu.

Dalam rajah di bawah, bulan sedang melintasi matahari dalam orbitnya. Kedudukan bulan berubah dari 1 ke 2 ke 3.



Maka bergantung pada kedudukan bulan pada masa matahari terbenam hari ke 29, terdapat 3 kemungkinan bagaimana bulan kelihatan.



Jika bulan berada di kedudukan 1 yakni ianya belum melintasi matahari,



Jika kita memandang matahari terbenam, bulan akan berada di bawah matahari. Dan bersama dengan terbenamnya matahari ke bawah ufuk, bulan akan terbenam sama tidak kelihatan.



Jika ini yang berlaku pada 29 haribulan, ini menandakan perkiraan bulan baru tidak dimulakan dan jumlah hari dalam bulan itu adalah 30 hari, yakni esoknya adalah 30 haribulan.

Jika bulan berada di kedudukan 2,



Yakni sama tinggi dengan matahari, ketika matahari terbenam, ianya akan terbenam sama



Ini juga menyebabkan kiraan hari pada bulan itu adalah 30 hari.

Namun jika pada 29 haribulan itu bulan sudahpun berada di kedudukan 3,



Pada matahari terbenam,



Kita akan dapat melihat bulan sabit baru.

Jika ini terjadi, bulan baru diisytiharkan dan keesokan harinya akan di umumkan sebagai 1 haribulan.

Bulan sabit baru yang menandakan masuknya hari baru ini penting untuk dicerap dengan segera bersama terbenamnya matahari, kerana ianya akan terbenam sama dengan terbenamnya matahari.

Pada 29 haribulan Ramadan tahun ini bersamaan 29 Ogos 2011, kedudukan matahari terbenam diramalkan berada pada kira-kira 279 darjah dari utara manakala kedudukan bulan terbenam adalah pada 273 darjah dari utara. (arah barat adalah 270 darjah dari utara)

Namun kerana bulan yang baru sahaja melintasi matahari dan kedudukannya yang masih dekat di ufuk, matahari diramalkan terbenam pada pukul 7.20 malam manakala bulan pula terbenam pada 7.24 malam.



Ini bermakna kita punya 4 minit untuk melihat bulan.

**

Saya masih ingat ketika kecil, saya sentiasa memerhatikan takwim untuk mengetahui masa berbuka puasa. (rujuk entri equinox)

Dan pada bulan ini juga saya mula bertanya tentang anak bulan dan seterusnya fasa bulan yang membawa minat saya kepada mencerap langit lebih mendalam.

Namun saya sebenarnya berasa sungguh kagum.

Kagum kerana pengumuman hari raya pada malam 29 haribulan Ramadhan sentiasa sama dengan apa yang tertulis di takwim.

Takwim, waktu sembahyang.

Takwim adalah perkara yang paling menakjubkan pada saya. Kerana di situ sebenarnya tertulis masa matahari naik, matahari tegak di atas kepala, matahari jatuh, cahaya kemerahan di langit malam mula kehilangan dan berbagai-bagai lagi.

Takwim dibuat menggunakan perkiraan matematik yang sangat kompleks. Perkiraan matematik kamiran, teori gravity Newton, jumlah serakan cahaya di langit, dan berbagai-bagai lagi perkiraan yang sangat kompleks.

Dan perkiraan ini sentiasa tepat, sepertimana pengumuman hari raya.

Jika pengiraan matematik yang dibuat setahun sebelum itu mengatakan bulan sabit akan kelihatan pada malam 29 Ramadan, maka pada malam 29 Ramadhan itu kita akan dapat melihat anak bulan Syawal, walaupun pengiraan dilakukan bertahun sebelum itu.

Takwim, yang tergantung tidak diselak pada dinding rumah kita melainkan pada bulan Ramadhan, adalah satu symbol. Takwim yang penuh habuk dan tidak diendahkan berbanding kalendar kuda itu adalah satu simbolik. Takwim yang kita sebagai orang kebanyakan tak endahkan melainkan tok bilal masjid.

Simbol, betapa kita menggunakan pengiraan kompleks fizik dan astronomi di dalam kehidupan harian kita.

Simbol, bertapa orang Islam sebenarnya mampu mengira, sudah mengira, sedang megira, dan mengaplikasikan matematik dalam kehidupan harian.

Simbol, bertapa kebejatan masyarakat yang mensinonimkan bahawa orang Melayu itu lemah matematik berbanding kaum lain sebenarnya satu stereotaip yang sangat salah.

Simbol, bertapa kita sebenarnya mampu melakukan matematik.

Simbol, bertapa kita sebenarnya tidak lemah.

Adakah dengan pengakhiran Ramadhan ini menandakan berakhirnya kekuatan kita melawan nafsu? Atau kita sebenarnya lemah dan alah kepada nafsu?

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

p/s: Jika malam raya anda tidak tidur, pada pukul 3 pagi kira-kira 50 darjah kea rah timur terdapatnya satu bintang terang. Ianya adalah planet Musytari.

Rabu, 24 Ogos 2011

..faktor (2)..



Bahagian 2.

..dan terakhir, plasma.

Plasma adalah keadaan di mana apabila nukleus dan electron sudah tidak terikat dan bergerak bebas, tanpa elektron mengorbit nukleus. Di teras matahari itu adalah suatu kacau bilau.

Haba, tekanan, kacau, bilau.

Akhirnya nucleus-nukleus hidrogen yang sangat laju, sangat panas dan penuh dengan tenaga itu bertembung semasa sendiri. Ikatan antara nuklues dipecahkan, dan ikatan baru terhasil. Ikatan yang lama itu dibebaskan sebagai tenaga, yang juga merupakan jisim yang menjadi tenaga.

Tenaga itu, seperti yang anda ketahui, adalah apa yang menerangkan matahari dan bintang.

Dari sesuatu kekacauan maha dahsyat itu, datangnya nikmat cahaya.


*****

Setiap objek mengenakan tarikan graviti ke atas objek yang lain. Jika dua biji bola terapung di udara, mereka sebenarnya mengenakan tarikan graviti ke atas satu sama lain. Lama kelamaan mereka akan tertarik dan akhirnya melekat bersama.

Graviti ini, dipengaruhi oleh jisim badan itu. Sebiji bola seberat 10kg akan mengenakan lebih tarikan graviti ke atas bola seberat 1 kg. Bukannya bola 1kg itu tidak menarik, dua-dua menarik.

Semakin berat sesuatu objek itu, semakin tinggi tarikan gravitinya.

Bumi, mengenakan tarikan gravity ke atas kita, namun kita juga mengenakan tarikan gravity ke atas bumi. Namun disebabkan bumi yang lebih berat, berkali-kali lebih berat dari kita, kita tampak seperti jatuh ke bumi pabila kita terjun ke bawah, walaupun sebenarnya bumi juga naik sedikit (terlalu sedikit sehingga boleh diabaikan) ke atas akibat ditarik oleh kita.

Dua biji bola besi masing-masing seberat 1kg akan sama-sama menarik dengan daya tarikan yang sama dan bergerak ke arah masing-masing dengan kadar yang sama.

Manakala bola besi seberat 10kg dan 1kg masing-masing akan mengenakan tarikan gravity berkadar langsung dengan jisimnya. Bola 10kg akan lebih menarik bola 1kg, bola 1kg akan kurang menarik bola 10kg. Hasilnya, walaupun mereka bergerak mendekati sama-sama, namun bola 1kg akan bergerak lebih banyak mendekati bola 10kg, berbanding bola 10kg ke arah 1kg.

Sebiji bola besi seberat 1kg (ketumpatan 7.87 g/cm^3) dan sebiji bola osmium (ketumpatan 22.6 g/cm^3) seberat 3 kg mempunyai saiz yang sama. Ini kerana ketumpatan osmium adalah kira-kira 3 kali ganda ketumpatan besi, maka untuk satu isipadu besi dan osmium yang tetap, jisim osmium adalah 3 kali ganda lebih berat dari besi.

Namun untuk bola yang diperbuat dari bahan yang sama, ketumpatan yang sama mahu menjadi lebih berat, kita perlu meningkatkan saiznya.

Sekilo besi ada lebih kecil dari 10kg besi.

Sekilo kapas adalah lebih kecil berbanding 100kg kapas.

Hukum semudah inilah yang menjawab persoalan saya kira-kira 11 tahun yang lalu.

Kenapa Musytari tidak menjadi sebuah bintang walaupun ianya diperbuat dari hydrogen dan helium, bahan yang sama membentuk bintang?

Jawapannya mudah,

Kerana Musytari terlalu kecil.


*****


Skeptisma, ingin mengetahui, adalah sifat manusia. ianya sifat yang ada dalam setiap manusia tersemi di dalam genetiknya.

Mengapa semasa kecil kita selalu bertanya tentang itu tentang ini kepada ibu bapa kita? Kerana ianya adalah fitrah manusia itu untuk ingin mengetahui, mencari ilmu.

Fitrah manusia adalah ingin mengetahui, ingin mencari kebenaran. Semenjak dari kecil kita sering bertanya kepada ibu bapa atau sesiapa sahaja. Lihat sahaja anak-anak kecil, mereka sering bertanya tentang itu dan ini.

Namun akibat selalu dimarahi dan dikaitkan dengan perangai Yahudi yang kononnya suka bertanya itu, kita memendam fitrah kita dan menjadi bodoh. Kita menjadi malu bertanya kerana masyarakat menstigmakan ia dengan kebodohan.

Kita akhirnya memendam fitrah kita.

Fitrah sebagai seorang manusia.

Manusia.

Semua manusia itu adalah sama. Dilahirkan dengan fitrah yang bagus-bagus semuanya. Kurniaan tuhan yang maha esa pembeza kita dengan monyet dan binatang.

Kita semua adalah semuanya sama, kita dilahirkan dengan fitrah yang sama. Semasa kecil kita suka mempersoalkan. Semasa kecil kita ingin mengawal. Semaca kecil kita mempercayai.

Sifat manusia yang sama, kerana fitrahnya manusia adalah sama.

Namun apakah yang sebenarnya membezakan manusia dengan manusia yang lain sepertimana yang kita lihat sekarang?

Kenapa kita berbeza dengan rakan kita? Kenapa ibu bapa kita berbeza dengan ibu bapa orang lain? Kenapa ibu bapa rakan kita lebih kaya dari ibu bapa kita? Kenapa rakan kita lebih pandai dari kita?

Kenapa kita berbeza sedangkan pada hakikatnya kita adalah sama? Kita diperbuat dari bahan yang sama, dari darah, daging, atom-atom dan genetik spesis manusia yang sama?

Jadi jika Bill Gates menjadi jutawan, mengapa kita tidak boleh menjadi jutawan?

Pada asasnya kita juga adalah manusia yang sama.

Jika rakan kita mampu mendapat A dalam peperiksaan, mengapa kita juga tidak mampu mendapat gred yang sama?

Pada asasnya kita adalah manusia yang sama.

Kita adalah manusia, kita mempunyai dan diperbuat dari bahan-bahan yang sama.

Kita semua adalah sebatian karbon, hydrogen, oksigen, nitrogen, fosforus, kalsium, ferum, dan elemen-elemen lain.

Kita semua adalah sama.

Mengapa kita tidak boleh berjaya seperti orang lain?


*****

Saya memerhatikan bintang itu. Bintang itu bernama Betelgeuse. Lokasinya adalah di bahu kanan buruj Orion, atau Belantik.

Signifikasi bintang itu adalah ianya sekarang termasuk ke dalam kategori Superraksaksa Merah, atau 'Red Supergiant'.

Bintang itu memulakan hayatnya sebagai sebuah bebola gas yang lebih besar dari matahari.

Lebih besar, maka ianya lebih berat dari matahari. Oleh sebab ianya lebih berat, ianya mempunyai lebih gravity dan gravity yang bertindak di terasnya adalah lebih tinggi dari matahari. Ini menyebabkan lebih tekanan di terasnya, maka lebih banyak tindak balas nuklear.

Lebih tindak balas nuklear sehinggakan pabila hidrogennya habis dilakur, tekanannya yang masih tinggi cukup untuk melakurkan helium menjadi Oksigen, Neon, Carbon, dan pabila Helium dan lain-lain habis di terasnya, cukup lagi tekanannya untuk melakurkan elemen tadi menjadi elemen yang lebih berat dan seterusnya. Dan akhirnya pelakuran terhenti apabila yang tinggal di terasnya adalah besi, atau Ferum.

Sesuatu yang bintang 'ringan' seperti matahari kita hanya lakukan di peringkat akhir kehidupannya. Ini kerana pabila hydrogen di terasnya dilakur, tekanan yang ada adalah kurang berbanding tekanan di dalam bintang yang lebih besar, maka hanya sedikit sahaja helium yang mampu dilakurkan menjadi elemen yang lebih berat. Tekanan di teras matahari tidak setinggi tekanan di teras bintang lain.

Tidak seperti pelakuran hydrogen menjadi helium, pelakuran helium menjadi elemen lain dan seterusnya menjadi elemen yang lebih berat menghasilkan tenaga yang kurang berbanding pelakuran sebelumnya. Kurang tenaga, maka graviti lebih kuat menarik elemen-elemen ini. Pelakuran elemen-elemen ini akhirnya akan berhenti apabila produk terakhirnya adalah ferum, kerana pelakuran ferum menjadi elemen yang lebih berat memerlukan tenaga, dan tidak membebaskan tenaga seperti pelakuran sebelumnya.

Pabila semua bahan bakarnya habis, graviti menarik semua bahan-bahan diluar terasnya ke arah terasnya.

Prinsip ini sama seperti pemanasan air di dalam bikar. Air yang panas, yang mempunyai tenaga akan bergerak ke atas manakala air yang sejuk, yang kurang tenaga akan bergerak ke bawah. Air yang panas mempunyai tenaga dan melawan gravity, air sejuk tidak bertenaga dan mengikut gravity.

Inilah prinsip bintang. Dari awal hayatnya, hydrogen yang sejuk bergumpal kerana gravity masing-masing. Apabila gumpalan bebola gas ini cukup tekanan di terasnya, ianya melakur dan menghasilkan tenaga. Dan tenaga ini membuatkan bahan-bahan panas di teras matahari bergerak jauh dari terasnya melawan graviti.

Di teras bintang itu adalah kacau bilau.

Perlawanan antara tenaga dan gravity. Jika bintang itu cukup panas, ianya akan menghalang gravity daripada meruntuhkannya lagi.

Namun di akhir hayat bintang itu, pelakuran yang terjadi menghasilkan sedikit tenaga. Sedikit, sedikit, sedikit, dan akhirnya habis apabila bahan bakarnya habis.

Betelgeuse telah melakurkan hampir kesemua bahan bakarnya, yang tinggal hanyalah saki baki bahan bakaran yang menghasilkan sedikit tenaga. Bintang, seperti api berwarna merah menandakan ianya tidak panas.

Pabila bahan bakarnya habis nanti, kesemua bahan disekitar terasnya ditarik oleh graviti ke terasnya. Tarikan yang sangat-sangat kuat ini menyebabkan bahan-bahan itu memecut laju jatuh ke terasnya. Runtuhan bahan-bahan ini yang sangat laju dan kuat ke terasnya menghasilkan tindak balas terakhir, sebuah coup de grĂ¢ce. Oleh sebab halaju yang tinggi, tekanan yang tinggi ini akhirnya memungkin ferum dilakur menjadi bahan yang lebih berat. Tindak balas ini juga menukarkan hampir 2/3 daripada jisim bintang itu menjadi tenaga dalam bentuk photon elektromagnetik, atau bahasanya dipanggil cahaya, atau bahasa romantisnya dipanggil letupan supernova.

Supernova, istilah yang menggambarkan satu letupan cahaya di saat bintang mati.

Cahaya yang dihasilkan ini cukup untuk menerangi seluruh galaksi dan menggelamkan cahaya-cahaya bintang lain.

Hanya bintang yang terlampau besar menghasilkan supernova di akhir hayatnya. Bintang yang lebih besar dari matahari.

Saya memerhatikan Betelgeuse mana-mana tahu tiba-tiba ianya menjadi supernova kerana bila-bila masa sahaja ianya akan mati.

Letupan supernova inilah yang menghasilkan element yang lebih berat dari ferum semasa pelakuran akhirnya.

Betelgeuse, bintang yang asalnya lebih besar dari matahari.

Namun, bagaimana pula dengan bintang yang lebih lebih lebih besar dari matahari?

Prinsipnya sama dan..

..bersambung..






Khamis, 14 Julai 2011

..diari..


..dan saya berlabuh dari satu laman ke laman yang lain, mencari-cari jika ada yang boleh dipakai.

Namun saya hampa ketika ini, ianya belum lagi siap, dan masing-masing sedang sedaya upaya membuat yang terbaik.

Nampaknya, lama lagilah kalau ada pun.

Nasib barang tua, sudah orang tak endahkan. Xperia X1 saya terpaksa bertahan untuk satu masa yang lama lagi.

Belum lagi ada orang yang menghasilkan ROM Android yang stabil untuknya.

Saya mahu-mahu mencuba cari kalau-kalau ada orang yang sudah keluarkan ROM Android untuk telefon PDA saya yang lama, Xperia X1. Sudah 3 tahun usianya. Namun ianya masih kukuh serta utuh dan berfungsi.

Saya akan bawanya jika keluar untuk berjalan, kerana Xperia ini sahaja yang dibekalkan dengan GPS tulen, yakni perkakasan GPS. iPhone tiada GPS, yang ada hanya A-GPS. Ianya agak tidak berguna kerana lokasi perlu ditentukan menggunakan pemancar telekomunikasi dan bukannya isyarat satelit seperti Xperia.

Saya sedang mencari-cari software baru untuk Xperia ini, mahu mencuba Android. Kerana smahu bertukar angin dari Windows 6.1. Bukan apa, saja suka-suka.

Namun setakat ini hampa, kerana semuanya masih lagi dalam pembangunan.

Ada yang sudah lengkap, namun masih tak stabil. Maka rata-rata pembangun 'software'(atau bahasa kasarnya penggodam haram) berkongsi program Android yang telah diubahsuai dan disesuaikan dengan Xperia X1 dengan para pelayar forum mereka. Bersama dengan perisian itu, mereka merekodkan proses dan pembangunan yang telah mereka lakukan dan mereka sertakan bersama log proses mereka itu.

Log, atau catitan proses atau rekod segala aktiviti, penemuan, masalah, penyelesaian, dan segala-galanya termasuk diari mereka disertakan agar para pembangun perisian lain dapat membacanya dan kemudiannya bertindak dari itu.

Log ini, adalah penting bagi menjamin kesinambungan pembangunan.

Log, adalah bahasa kejuruteraan untuk diari.

Diari, buku catitan harian.


*****

Hadiah nobel adalah hadiah tahunan yang diberikan kepada komuniti saintis untuk penemuan yang telah mereka lakukan yang akan menyumbang banyak kepada pembangunan sains di masa hadapan.

Contohnya tahun 2008 Osamu Shimomura dan rakan-rakannya menemui protein berkilauan yang boleh digunakan dalam bidan biokimia. Protein berkilauan ini, boleh dilekatkan secara kimia kepada molekul lain yang sebelum ini tidak boleh dilihat di bawah mikroskop cahaya kerana saiznya terlalu kecil, dan molekul ini tidak memancarkan cahaya dalam spektrum boleh nampak.

Penemuan ini membolehkan molekul yang sebelum ini sukar dikesan di bawah mikroskop untuk dilihat dan ini membuka bidang baru dalam immunohistokimia.

Hadiah Nobel, adalah untuk penemuan.

Penemuan.


*****

Jika anda bertanya, apakah definasi sains, masing-masing sukar rasanya memberi definasi sains. Saya sendiri pun kurang fasih untuk berbicara tentang sains.

Sains boleh jadi tentang corak (pattern).

Melihat semua sel di bawah mikroskop dan mendapati semua sel punya nukleus, membuatkan kita mengenalpasti corak umum dalam sel, bahawasanya sel punya nuklues.

Mencerap bintang dan mendapati semua bintang menghasilkan spektrum elektromagnetik hidrogen, membuatkan kita mengenal corak dan menyimpulkan bahawa bintang asalnya gas hidrogen.

Namun apa yang saya tahu tentang sains adalah, para saintis bukanlah orang yang tersangat pandai dan berambut serabai seperti Albert Einstein.

Sains, adalah penemuan. Saintis adalah orang yang menemui. Sepertimana Newton menemui persamaan untuk mengira graviti, Hook menemui sel, dan Einstein menemui kesan fotoelektrik, itulah definisi sains.

Sebab itu jugalah, hadiah nobel diberikan kepada penemuan saintifik.

Scientific discovery!


*****


Penemuan itu, direkodkan.

Pada masa dahulu, di mana sains masih lagi di peringkat keanak-anakan dan hanya segelintir sahaja orang berkecimpung dalam bidang eksperminetasi dan penemuan, sains adalah satu cabang yang asing.

Rata-rata masyarakat masih di dalam bidang pertanian bagi meneruskan kehidupan. Sains hanyalah untuk golongan atasan yang punya banyak duit dan dapat membayar untuk makanan yang ditani oleh orang lain. Maka saintis tidak perlu bertani untuk makan, mereka mampu membayar untuknya.

Sains yang masih lagi asing membuatkan ianya penting untuk saintis mencatat semua penemuan, kerana tak ramai orang yang tahu tentang sains. Apabila sains dicatat, jika semasa hayat seseorang saintis itu dia tidak bertemu perintis, sekurang-kurangnya jika dia mati pada masa hadapan akan ada perintis yang membaca penemuannya dan meneruskan eksperimentasinya.

Ditambah juga dengan budaya orang Eropah yang menyimpan dan menulis diari, maka sains berkembang dan kekal di dalam komuniti itu dan tidak mati dengan matinya saintis itu.

Catatan, diari ini juga dipanggil jurnal.

Jurnal adalah catatan seseorang saintis tentang penemuannya.

Maka dari budaya menyimpan diari, jurnal inilah datangnya jurnal-jurnal penyelidikan yang kita baca sekarang. Dari situlah datangnya istilah 'journal' dan bukannya laporan makmal (lab report) seperti yang kita siapkan semasa zaman persekolahan, walaupun hakikatnya adalah benda yang sama.

Jurnal untuk merekod penemuan, adalah kunci utama sains.

Tidak jauh saya katakan, jurnal itu adalah sains.


*****


Journal, hasil penulisan, ditulis dalam setiap kali penemuan sains dilakukan.

Journal ini juga menjadi kayu aras pengukur tahap sesuatu universiti di dalam liga.

Tidak nafikan terdapat banyak 'ranking', atau peletakan tahap antara universiti bagi mencerminkan di mana tahap universiti-universiti itu. Terdapat 'ranking' dalam bidang pengajaran, terdapat 'ranking' dalam bidang pencapaian akademik pelajar. Namun 'ranking' utama yang saya percaya betul-betul mencerminkan tahap pencapaian universiti itu adalah 'ranking' dalam pencapaian penyeldikan mereka.

Lebih banyak penyelidikan di buat, lebih tinggi tahap universiti itu. Lebih banyak penemuan dibuat, lebih tinggi darjat universiti itu.

Dan penyelidikan dan penemuan ini diukur dalam berapa banyakkan jurnal yang berkualiti dikeluarkan.

Semua universiti dalam 'top 100' menghasilkan jurnal yang dikeluarkan dalam jurnal-jurnal antarabangsa.

Jurnal, menjadi penanda ukur pencapaian universiti. Jika anda tertanya-tanya kenapa universiti Malaysia semuanya berada di tahap rendah-rendah, cuba anda masuk ke laman carian jurnal dan lihat sendiri berapa banyakkah jurnal dari universiti Malaysia.

Jurnal, tulang belakang sains, menjadi kayu ukur pencapaian universiti.

*****

Prinsip ekonomi terlalu panjang untuk diceritakan. Juga prinsip sains.

Namun saya pasti anda semua tahu apakah kepentingan sains kepada masyarakat.

Kuatnya Jepun semasa perang dunia ke-2 tidak dinafikan kerana Jepun punya kereta kebal, kapal terbang, senapang dan bom yang tidak dihasilkan oleh negara Asia lain. Oleh itu, walaupun China, jiran Jepun punya rakyat berkali ganda lebih tinggi dari Jepun, mereka kalah kepada bahaman negara matahari terbit itu. Semua peralatan ini dihasilkan dengan pengetahuan sains.

Kini Jepun, walaupun kalah dalam perang dunia kedua, bangun semula sebagai kuasa ekonomi yang mengeksport barangan fenomena seperti Playstation, kereta Honda, Toyota, Nissan, dan lain-lain.

Russia di zaman Sovietnya juga serupa. Mereka punya teknologi tinggi sehingga mampu menghasilkan bom hidrogen, program angkasa dan bermacam-macam lagi sehingga digeruni Amerika.

Amerika Syarikat, United Kingdom, German, dan lain-lain lagi dibina diatas ekonomi yang kukuh yang tumbuh dari penemuan sains.

Sains, adalah nadi mencipta produk baru yang akhirnya boleh dijual dan merancakkan ekonomi. Sains juga adalah batu asas kekuatan negara dengan penciptaan alat-alat ketenteraan.

Dan bermacam-macam lagi.

Anda sendiri tahu apakah kepentingan sains.


*****

Namun apa yang saya ingin kita fikirkan sekarang bukanlah tentang kepentingan sains.

Ianya adalah kritikan dan kepincangan masyarakat kita.

Jurnal, asas sains, ditulis dalam bahasa.

Bahasa sesebuah bangsa.

Setiap universiti dalam 'ranking' tertinggi 100 menghasilkan jurnal dalam bahasa negara masing-masing.

Namun itu tak bermakna universiti mereka itu rendah tahapnya.

Bahasa di dalam jurnal menjadi tunggak utama penyampaian idea, idea sains. Bahasa secara tidak langsung adalah pemacu sains, yang kemudiannya memacau ekonomi dan kekuatan negara itu.

Kini ramai ahli-ahli bahasa mengutuk keras peminggiran bahasa Melayu sebagai penyampai ilmu.

Namun salah siapakah sebenarnya perkara ini berlaku?

Adakah kerana salah kerajaan yang bertindak meminggirkan bahasa kita sendiri dari universiti kita?

Adakah kerana para saintis kita sendiri yang menulis di dalam bahasa Inggeris?

Atau adakah kerana salah ahli bahasa itu sendiri yang lebih gemar menulis novel cinta dan kritikan, tanpa ada usaha untuk berkecimpung dalam sains dan penyelidikan?

Kemajuan tamadun Islam salah satu faktornya adalah kerana kemajuan ilmu pada masa itu. Ilmu-ilmu ini banyak datangnya dari tamadun Greek dan Rom yang mengalamai keruntuhan. Namun khalifah tidak menyuruh ilmuan untuk belajar bahasa Greek dan Rom dan melakukan penyelidikan dalam bahasa Greek dan Rom, khalifah menyuruh ilmuan menterjemah buku-buku asing ke dalam bahasa Arab, dan dari situ rakyat marhaen mampu membaca dan mengembangkan ilmu itu dalam bahasa yang mereka gunakan dalam fikiran dan otak mereka.

Saya mengkritik secara terbuka peranan ahli-ahli bahasa yang hanya tahu duduk menulis novel-novel cinta, novel-novel perasaan dan kritikan sosial tanpa ada usaha langsung menterjemah buku-buku agung. Kebanyakannya langsung tidak tahu bagaimana sains itu berfungsi dan berkembang, namun hanya tahu mengkritik semua pihak kononnya tiada usaha yang diambil.

Namun saya sedar, kritikan tidak akan ke mana-mana tanpa usaha.

Saya impikan buku-buku sains di perpustakaan sekolah saya dahulu, yang memungkinkan saya membaca tentang sistem solar, sejarah dunia, dan berbagai-bagai lagi ilmu sains dalam bahasa Melayu, bahasa dalam pemikiran saya. Bahasa yang saya gunakan dalam otak saya untuk berfikir. Saya mengimpikan buku-buku agung, jurnal-jurnal dan tesis di dalam bahasa Melayu yang dapat dibaca oleh orang kampung yang memahaminya dan kemudian mengaplikasikannya.

Apa yang kita perlukan untuk memajukan bahasa Melayu bukanlah penulis, yang merupakan ahli bahasa, ahli sastera dan sasterawan yang menulis buku bahasa Melayu.

Apa yang sebenarnya kita perlukan adalah saintis yang juga ahli bahasa, ahli sastera dan sasterawan yang menulis di dalam bahasa Melayu.

Khamis, 7 Julai 2011

..faktor (1)..


Bahagian 1

..dan semua orang di dalam kelas itu disuruh menyanyi, lagu berbahasa orang putih itu saya langsung tidak faham sebenarnya. Hendak sebut pun susah. Tahu maknanya pun tidak, namun saya tahu ianya sesuatu yang istimewa.

'Twinkle twinkle little star,
How I wonder what you are?
Up above the world so high,
Like a diamond in the sky'

Saya pulang dari tadika tengah hari itu ke rumah tok. Malam nanti mungkin akan keluar ke halaman rumah melihat kalau-kalau pokok bakawali berbunga. Sementara itu boleh intai-intai bintang di langit. Sesuatu yang senantiasa menggamit perhatian saya.

*****


Saya menyumbatkan hujung tiub itu ke hujung tiub di tayar basikal. Abang menyuruh saya memegang kedua-duanya kuat-kuat supaya tidak terlepas. Abang mula mengepam tayar basikal itu dengan pam tayar yang berwarna hijau. Pam bediri yang pengepamnya berupa pemegang yang ditekan sambil terbongkok-bongkok menggunakan tangan.

Tayar yang kempis itu kembung semula. Kami memicit tayar itu memeriksa tahap kekerasannya. Setelah itu sedikit air liur diletakkan di tiub basikal itu, jika buih terhasil tandanya bocor, namun hari itu kami bernasib baik.

Saya belum kuat lagi untuk mengepam basikal pada masa itu. Tak cukup laju dan pamnya yang hampir tinggi perut saya menyukarkan lagi saya jika mahu menolak sambil membongkok. Maka tugas saya selepas itu adalah menyimpan semula pam itu.

Saya memegang pam basikal itu, dan "Ouch!". Ianya panas. Hujung yang berdekatan dengan tapak pam itu sangat panas. Tidak tahu sebab apa. Mungkinkah ada geseran dengan injap pam di dalam balang besi itu?


*****


Saya membuka buku sains PMR abang, mencari-cari satu jawapan.

Jawapan kepada persoalan yang sangat penting.

Kenapa meteor terbakar pabila memasuki atmosfera bumi?

Cikgu sains memberitahu bahawa pabila meteor memasuki atmosfera bumi, ianya bergesel dengan udara dari atmosfera bumi. Akibat halaju meteor yang tinggi dan bergeser dengan udara itu, ianya menjadi sangat panas lalu ianya terbakar.

Namun ada masalahnya, kerana saya tidak mempercayainya.

Saya skeptik dengan segala benda yang saya pelajari, walaupun dari guru sendiri. Jika tidak logik di kepala saya, salahlah ianya walaupun ianya dari seorang guru.

Namun saya pendam sahaja persoalan itu dalam kepala, kerana pabila ditanya, cikgu hanya mengulangi jawapan yang sama.

Bagi seorang budak darjah 5, geseran berlaku pabila berlaku pertembungan secara 'side by side' dan dalam arah yang selari dan masa yang agak lama. Masakan meteor yang bergerak laju itu bergeser dengan udara yang statik. Kalaupun geseran terjadi, ianya pada tepi dan kurang sekali di depan.

Buku Sains PMR abang juga memberi jawapan yang sama, geseran.

Saya masih tidak mempercayai.

Saya skeptik.


*****

Terasa badan berat seketika. Namun kemudian ianya terasa seperti biasa. Kaki saya berasa aneh tadi, seolah-olah menampung badan yang lebih berat.

Hampir separuh perjalanan, saya merasa sesuatu yang aneh. Saya membuka mulut dan cuba menghembuskan hidung. Abah menyuruh saya menelan air liur. Rasa aneh.

Saya jarang menaiki lif, kalau ada pun menaiki lif adalah semasa pergi membeli belah di kompleks membeli belah di Pulau Pinang. Ketika itu tiada apa-apa di Alor Setar, jika mahu membeli baju hari raya ke dua, atau membeli buku rujukan yang bagus, perlu pergi ke Pulau Piang. Dan hanya di Pulau Pinanglah ketika itu ada bangunan tinggi yang boleh kita naiki lif.

Saya menelan air liur.

Terasa belakang lidah saya tergerak, dan kawasan belakang mulut dan dalam telinga saya bergerak bersama bunyi 'pop' yang perlahan.

Rasa aneh di dalam telinga itu hilang, saya mampu kembali mendengar. Telinga saya sudah tidak tersumbat. Saya melihat adik saya masih lagi cuba menghembus nafas di dalam mulut bagi menghilangkanrasa aneh dalam telinga semasa menaiki lif memanjat menara Alor Setar itu.

Hampir sampai ke puncak menara, semasa lif itu hampir berhenti, terasa keanehan pula dalam perut dan kaki. Sedikit loya walau untuk seketika. Terasa seolah-olah badan ringan seketika.

Aneh, kerana semasa lif itu mula mendaki terasa berat sedikit, pabila lif itu berhenti terasa ringan sedikit. Saya mengagak bahawa semasa lif mendaki, saya ditarik ke atas oleh lif yang menekan dari tapak kaki, sebab itu terasa berat kerana sesuatu menolak saya ke atas. Semasa lif hendak berhenti pula, saya terlajak ke atas, sebab itu terasa hendak terbang seketika.

Selepas itu saya pelajari dan hadapi semula pengalaman aneh yang dirasa dalam telinga. Perasaan telinga tersumbat itu banyak berlaku di tempat tinggi.

Semasa menaiki kereta memanjat bukit juga rasa begitu. Seolah-olah pabila ketinggian kita berubah dengan mendadak seperti menaiki lift atau menaiki bukit dengan kenderaan, telinga kita akan pekak dan berdesing seketika.

Saya bertanya kepada abah tentang perkara itu, abah berkata ianya adalah kerana pabila semakin tinggi ketinggian kita, tekanan udara akan berkurang. Maka oleh sebab itu akan berlaku sedikit perubahan yang menyebabkan telinga kita seolah-olah tersumbat.

Saya masih terlalu kecil untuk memahami perkara itu. Tidak untuk 6 tahun lagi, tidak sehingga saya tingkatan 3.

*****

Namun ada sesuatu yang tidak kena antara bintang-bintang itu. Ini kerana bintang-bintang yang lain berkelipan, namun bintang itu tidak berkerlipan. Ianya seolah-olah sama dengan bintang yang saya selalu nampak di ufuk pagi atau senja.

Cuma kali ini bintang itu berwarna putih sedikit kuning. Dan ianya antara bintang yang tercerah pernah saya jumpa. Namun ianya janggal, kerana tidak berkelip.

Bintang itu cantik, cerah dan lebih besar berbanding bintang lain. Sungguh mempersonakan.

Saya bertanya pada abah, apakah bintang itu.

Abah menjawab 'Satelit'.

Ianya mengambil masa 5 tahun untuk saya ketahui bahawa bintang itu bukanlah satelit, namun sebuat planet.

Planet Musytari, mungkin juga planet Zuhal.



*****


Setelah 11 tahu memendam persoalan meteor terbakar di dalam kepala itu, akhirnya saya telah temui jawapan sebenar.

Rupanya apa yang di ajar adalah salah.

Meteor itu terbakar kerana sebab yang sama kenapa pam basikal berasa panas setelah dipakai.

Ianya adalah kerana udara yang termampat!

Pam basikal memampatkan udara. Molekul udara mengandungi tenaga kinetik yang tinggi, dan apabila ianya dimampatkan dan dipaksa untuk mengambil ruang yang lebih kecil, ianya membebaskan tenaga kinetik itu sebagai haba.

Jawapan meteor yang saya temui dari web NASA setelah 11 tahun mencari juga memaparkan jawapan yang sama. Pabila meteor memasuki bumi, halajunya yang tinggi yang melebihi kelajuan bunyi memampatkan udara yang bertentangan dengannya. Udara yang termampat ini membebaskan tenaga kinetik sebagai haba dan membakar meteor itu.

Akhirnya saya tahu, skeptisma saya semasa darjah 5 itu berasas. Walaupun mengambil masa satu dekad untuk mendapat jawapan, ianya berbaloi.


*****


Saya membuka buku sains itu mahu membaca lebih banyak tentang planet-planet yang mengorbit matahari. Pada ketika kanak-kanak lain sibuk bermain Digimon dan Dash Yankuro, saya membaca tentang planet-planet dan bintang-bintang.

Namun ada sesuatu yang saya perasan aneh.

Ianya adalah komposisi planet Musytari itu. Ini kerana ianya dibuat dari gas Hidrogen dan Helium. Bahan yang sama yang membentuk matahari.

Jika ianya adalah sama dengan bahan matahari, mengapa ianya tidak menyala dan menjadi bintang?

Saiznya juga sudah sangat besar berbanding dengan bumi, walaupun ianya lebih kecil dari matahari.

Mengapa Musytari yang diperbuat dari bahan yang sama dengan matahari itu tidak menyala dan menjadi bintang?

Skeptisma saya menyala dan sepanas mentari.

Betulkah buku sains ini? Atau ada lagi perkara yang saya tidak ketahui?


*****


Saya tertekan ke belakang. Ianya sedang memecut. Dari pecutan terjadi daya. Berat saya seolah-olah tertumpu ke tempat duduk kapal terbang itu. Dan berat itu menarik saya menyebabkan badan saya terasa seolah-olah dimampat.

Bukan senang untuk rasa perasaan begitu. Kajian menunjukkan badan manusia hanya mampu menahan berat 3 kali dari berat biasa jika mahu hidup. Atau istilah lain 3g. Jika lebih dari itu, kita hanya mampu bertahan untuk seketika, jika terlalu lama organ badan kita akan berhenti berfungsi dan darah berhenti mengalir dan kita akan mati.

Paling dekat untuk merasai berat yang lebih dari badan kita adalah apabila menaiki kapal terbang. Semasa berlepas ianya memecut dengan pecutan kira-kira 20 m /s^2, atau kira-kira dua kali pecutan graviti. Maka kita terasa seolah-olah tertarik ke tempat duduk kerana berat kita telah bertambah dua kali ganda dan tertumbu ke tempat duduk itu. Terasa seolah-olah satu mampatan.

Pabila kapal terbang itu semakin memanjat langit, telinga saya menjadi pekak. Namun saya tidak perlu menelan air liur saya sekarang kerana saya boleh menggerakkan otot di sekeliling telinga dalam saya. Ianya membuka tiub estachio yang menghubungkan telinga dalam dan tekak, maka tekanan udara di dalam telinga dalam diselaraskan dengan tekanan atmosfera yang sebelum ini lebih rendah dari telinga dalam, yang menyebabkan gegendang telinga sedikit menggelumbung. Ini menyebabkan pekak dan desing itu.

Pabila ketinggian kapal terbang itu menjadi malar, saya melihat ke luar tingkap dan menikmati keindahan dari statosfera. Saya telah keluar dari toposfera, lapisan atmosfera yang terdekat dengan bumi, lapisan atmosfera di mana hampir semua awan dan cuaca berlaku.

Kini saya tinggi, lebih tinggi dari awan. Di situ, tekanan udaranya lebih rendah dan udara dalam kabin kapal terbang terpaksa dimampatkan untuk meningkatkan tekanannya, atau semua akan mati. Kita tidak boleh hidup di tekanan udara itu, terlalu rendah.

Saya belum lagi sampai separuh dari atmosfera bumi, namun tekanannya sudah berkurang mendadak.

Tinggi langit dari permukaan bumi hanyalah kira-kira 100 km.

Tinggi lapisan gas itu adalah kira-kira 100km, dan tekanan udaranya sudah berubah secara mendadak.


*****

Ianya kelihatan seperti ombak-ombak, atau sesuatu yang pekat. Ianya bergerak ke atas.

Tampak seperti logamaya di atas tar panas tengah hari Jitra.

Saya memerhatikan dengan khusyuk.

Ralit seketika memerhatikan logamaya di dalam bikar berisi air itu.

Apabila ombakan kecil itu sampai ke atas dekat permukaan air, ianya seolah-olah hilang. Namun hanya seketika kerana ianya diganti pula dengan ombakan yang baru datang dari bawah.

Saya ralit memerhatikan air di dalam bikar itu sedang dipanaskan sehingga terlupa merekod suhu air itu dan dikejutkan apabila buih-buih yang mula terbentuk dari dasar bikar itu sudah mula membuak-buak.

Air itu telah mendidih, saya terlupa merekod peningkatan suhu semasa air itu sedang dipanaskan.

Saya melihat sekeliling, kalau cikgu ada, memang mati kalau tahu saya tidak mengikut arahan.

Petang itu saya pulang dari makmal tingkatan 1 itu sambil terbayang-bayang lagi perkara yang saya nampak tadi. Walaupun konsepnya tetap sama, namun setiap perkara itu yang sudah kita ketahui, akan tetap menarik jika kita melihatnya dari perkara lain.

Gas, air, bendalir yang panas akan bergerak ke atas. Apabila ianya sejuk, ianya turun semula ke bawah. Tempatnya di atas tadi digantikan dengan bendalir yang panas lain. Berulang-ulang. Api yang menyala di bawah bikar itu akan memanaskan semula air itu menjadi lebih panas, dan ianya mula naik semula ke atas kerana bendalir yang di atas sekarang secara relatifnya lebih sejuk.

Konsep yang sama.

Pepejal mempunyai haba pendam yang lebih rendah berbanding cecair. Maka ianya lebih cepat panas dan lebih sejuk.

Pada siang, foton dan tenaga dari matahari akan memanaskan daratan dan lautan. Daratan lebih cepat panas, dan ianya pula akan memanaskan udara. Udara di daratan naik tinggi, dan tempatnya diganti dengan udara sejuk dari laut. Bayu laut. Di malam hari, darat cepat sejuk, laut pula masih panas. Maka anda sudah dapat mengagak. Bayu darat.

Bendalir yang panas, akan naik ke atas.

Bendalir yang sejuk, turun ke bawah.

Turun ke bawah, ditarik graviti.

Semasa dipanaskan, bendalir punya tenaga. Ianya naik ke atas bendalir sejuk mengambil tempatnya di bawah. Bendalir yang panas mampu melawan graviti. Pabila ianya sejuk, ianya kalah kepada graviti dan turun semula ke bawah.

Bendalir yang panas mampu melawan graviti.

Bendalir yang sejuk, runtuh kerana graviti.

Prinsip asas.


*****


'Twinkle twinkle little star,
How I wonder what you are,
Up above the world so high,
Like a diamond in the sky'

Tiada apa-apa yang istimewa tentang bintang, tentang matahari. Mungkin.

Mungkin juga segala-galanya tentang bintang sangat menarik.

Bintang, matahari, seperti yang kita belajar di dalam sains di sekolah rendah adalah bebola hidrogen dan helium yang bernyala dengan perlakuran nuklear. Ianya melakurkan, atau mencantumkan hidrogen menjadi helium dan membebaskan tenaga di dalam proses itu.

Dan tenaga itu cukup untuk memanaskan bumi. Tenaga itu juga menerangi siang kita, dan pada malamnya menghiasi pemandangan kita dengan kerlipan-kerlipan bak berlian.

Ianya hanyalah gas. Gas helium, gas hidrogen. Yang diisi ke dalam belon supaya ia boleh terapung.

Tiada Uranium, tiada Plutonium. Hanya gas, yang sifatnya tiada keras, tiada pula kita pijak, tiada pula kita boleh renangi seperti cecair. Ianya hanyalah gas.

Namun sedikit yang kita tahu, untuk gas membebaskan tenaga nuklear yang lebih hebat dari pemecahan nuklues Uranium itu sebenarnya telah memaksanya melalui sesuatu yang amat dahsyat.

Sangat, terlalu, maha dahsyat.

Jejari matahari dari pusatnya sehingga ke permukaannya adalah kira-kira 70,000km.

Berbanding dengan tinggi atmosfera bumi yang hanya kira-kira 100km, ianya berkali-kali ganda lebih tinggi. Jika menaiki kapal terbang yang hanya mampu mendaki kira-kira 10km itu pun kita sudah tidak mampu hidup kerana tekanan udaranya sudah terlalu rendah, cuba kita bayangkan bagaimana pula penambahan tekanan udara yang terjadi jika kita bergerak dari permukaan matahari ke terasnya.

Jika orang berkata ada tahap tertentu kita boleh selam kerana tekanan air akan memecahkan genedang telinga kita, cuba bayangkan tekanan udara di dalam teras matahari yang jauh beribu kali lebih dalam dari laut.

Penambahan tekanan udara akan memaksa gas bertukar menjadi cecair, dan penambahan tekanan lagi akan memaksa cecair menjadi pepejal.

Sepertimana pabila kita mengepam basikal yang menghasilkan haba akibat pemampatan udara, dan meteor yang terbakar di atmosfera bumi akibat mampatan udara, begitulah akibatnya pabila gas hidrogen dan helium dipaksa menjadi cecair, dan kemudiannya menjadi pepejal.

Haba dibebaskan, terbebas dengan sangat banyak, sangat banyak.

Dan haba ini pula meleburkan semula pepejal hidrogen dan gas yang terbentuk di dalam teras paling dalam matahari, namun perubahan cecair ini pula akhirnya memaksanya menjadi pepejal akibat tekanan yang terlalu tinggi. Peroses ini memampatkan cecair dan pepejal hidrogen berkali-kali.

Tekanan, dan haba yang terhasil ini, sangat tinggi.

Dan akhirnya akibat tekanan, pepejal separa cair hidrogen dan helium yang mana susunan atomnya itu sudah cukup rapat dipaksa menjadi lebih rapat. Maka benteng elektron dipecahkan dan nukleus-nukleus atom hidrogen dan helium itu semakin dekat, dan haba yang tinggi memaksanya bergerak dengan laju, sangat laju.

Betul-betul laju.

Tekanan dan haba yang sangat tinggi itu, yang terhasil seiring perubahan hidrogen melalui 3 bentuk fizikal yang asas (3 bentuk fizikal asas: pepejal, cecair dan gas),akhirnya mengubah hidrogen itu kepada bentuk fizikal yang ke 4 dan..

..bersambung..