Sabtu, 14 November 2009

..kisah bangau..

..dan bangau itu pun terbang beribu-ribu kilometer ke selatan, mahu melarikan diri dari cuaca sejuk kutub utara. Dia perlu cepat, dia perlu ligat, kerana barang lambat seminggu pun akan membiarkan badannya dibaham angin sejuk itu, dan sejuknya itu akan mengejangkan ototnya.

Dia perlu cepat, jadi sukar untuknya berhenti rehat untuk makan, kerana di angin tiada R&R yang jual makan, di angin semuanya perlu di cari di darat, dan di cari itu makna perlu di kais; kaisnya pagi berjaya, kenyanglah dia pagi itu, kaisnya petang hampa, maka bergerutlah perutnya semalaman.

Maka dia singgah di paya, kerana cuacanya panas sedikit, tapi terlalu panas untuknya bertelur dan hidup, bulunya bulu putih, paruhnya paruh mancung, tak seperti burung 'local' yang koko dan berparuh penyek.

Maka tibanya di paya itu, badannya sudahpun kurus kerana sudah berharian tidak makan. Maka diseluknya paruh ke dalam air, cuba-cuba mencari akan ikan.

Tapi hampa, kerana tidak berpengalaman mungkin, tidak bisa dia hidup di kawasan semak seperti itu. Oh tidak, bukan dia yang cetek pemikiran, ikan ini yang bodoh tak mahu timbul untuk dimakannya!

Maka ikan berlari-lari seraya nampak bangau.

"Bodohlah aku mahu masuk ke perutmu, sama bodoh dengan kau yang bulu putih berdiri celah rumput koko, tak belajar penyamaran langsung!"

Desir hati ikan, sambil ketawa, tentulah.

Lalu ikan mengejek bangau dari jauh. "Bodohlah akan kamu kerana di sini rumputnya panjang-panjang, mana mungkin aku timbul!"

Bangau bengang. "Bengap punya ikan"

"Aduh! Aduh! Sakitnya perutku!"

Suara dari jauh kedengaran. "Inilah akibatnya tidak makan makanan aku, inilah akibatnya makan makanan orang". Kerbau merintih. Perutnya sakit. Dalam kepalanya berfikir ini mesti kerja nasi mentah yang dia jumpa di sebelah reban ayam. Malasnya kerbau untuk berjalan sedikit ke tepi paya untuk makan rumput, dikekahnya nasi yang dia jumpa dekat dengan rumah tuannya, malasnya kerbau.

Nasi mentah ketawa terkekeh. Nasibnya baik, fikirnya. "Ambik kau, dulu kepung aku, sekarang dah jadi sekam!" Nasi mentah ketawa, fikirnya manusia tidak akan apa-apakannya, manusia hanya mahu kulit beras untuk dibuat sekam dan dibakar, dan dibuat baja. Tapi dia tidak tahu selamatnya dia kerana mentah, sudahlah bodoh, dirasakan nasibnya itu senantiasa baik pula.

Lalu kayu api berteriak "Apa yang kau sukakan sangat?" Bengang. Dia menyambung "Selamatnya kau sebab aku!"

Nasi berang.

"Eh apa kau tahu kayu, kau tu dah la dilonggok orang, mahu dibakar pula!"

Malam itu masa nasi ditanak, menangis-nangis dia (yang nama asalnya beras). Tak mahu direbus hidup-hidup. Kayu pula meratap-ratap, tambah pula dilihatnya abu dan arang ketawa padanya. "Aku tak mahu jadi hitam". Oh kayu, macam la kau itu putih sangat. Bangau hanya sengih. "Amatur"

Namun selamatnya mereka berdua kerana hujan. Air sedang bersuka ria pabila dipanggil turun. "Bodohnya, siapa yang ganggu daku dikala aku tinggi di puncak?" Fikirnya air dia akan sentiasa tinggi dari orang, dia sentiasa lebih dari orang. Oh air yang tidak matang, kalaupun kau turun jadi air longkang, lambat laun akan disejat balik jadi awan. Itupun kalau kau mahu berusaha timbul ke permukaan air, itupun kalau kau sedar.

Air turun, jadi hujan, sambil marah. Dalam marahnya dia langgar kayu api, dalam marahnya sambil mencari. "Siapa bahalul yang menarik ku turun dari awan?"

Lalu dijumpanya katak. "Oi bodoh!, kenapa panggil aku? Aku tidak hutang apa-apa padamu"

Katak dengan cemasnya 'Tolong daku, tolong daku"

"Apa yang kau mahu? Aku tidak bisa menolongmu, bukannya bawa apa-apa faedah padaku. Kau hodoh, lembik, eeuu geli"

"Tolong daku, tolong daku, ular mahu makan aku!"

"Aaah apa aku peduli, bukan masalah aku!"

Ngggaaaapppp!!!

. . .

Bllluuuurrrrppppp!

"Hmmm, sudahlah untuk harini, tak boleh tamak, lepas ini puasa, tiga hari pula keluar cari makanan. Biarpun katak itu hodoh, bergerutu, lendir, tidak sesedap ikan mahu nasi, atau serangup rumput yang aku tahu bukan makanan aku, aku terima nasibku, aku terima katak itu makanan aku. "Alhamdulillah" Ular beredar, sambil tersenyum perli.

. . .

Dan bangau terbang semula, hampa.

"Panjang punya cerita, cakap sikit punya banyak, last2 aku lapar jugak"

Khamis, 12 November 2009

..merdekakah kita?..

Episod 14

..dan saya masih lagi mendengar suara2 mereka berkata begitu, walau bagai hendak naik radang cochlea ini diasak oleh ayat-ayat itu, ianya masih lagi berupaya meradangkan hati saya secara bahasanya.

Saya juga kadang-kadang berkata begitu, dan begitu kuat juga pernah menyokong teori-teori itu. Walau sekarang juga saya sedar banyak yang mengucap begitu, baik orang yang berada di bawah sedang bekerja bertungkus lumus mengais tanah mencari barang sebutir nasi, atau yang agak senang dapat menyewa rumah dan bekerja di kilang, mahupun yang di tengah dengan kereta dan rumah ansuran mereka, atau juga sedikit kelompok di atas yang memakai t-shirt polo yg dimasuk kemas dalam seluar bertali pinggang 'Lacoste'.

Semua masih berkata begitu, masih percaya begitu, kasihan, kepada diri saya juga.

Suara-suara begitu masih berkata, memang ini perangai bangsa mereka, bangsa kita, bangsa saya. Pemalas, kuat mengumpat, tikam belakang, dengki, buruk perangai, sombong, dan segala macam tahi yang biasa diucap oleh bangsa lain kepada bangsa lain. Namun ini, kepada diri sendiri.

Namun jauh di dalam hati saya, jika dilapah segala pemikiran dan racun-racun yang disuntik dalam minda saya oleh kata-kata begitu sejak kecil, akan terselak segala kesedaran yang saya baru sedar.

'seperti katak di bawah tempurung'

Itulah saya kira diri saya ini jadinya semasa saya berada di Malaysia. Penuh dengan idea-idea rakus tentang buruknya bangsa saya semasa di sana, disuap lagi dengan bukti-bukti sahih dan nyata di depan mata kepala, saya pernah percaya. Kemudian disogok pula oleh rujukan kepada kaum lain, saya makin diduga. Dibesarkan dalam komuniti yang percaya semua itu, dan melalui semua ini, saya yakin bahawa semuanya benar, pernah yakin.

Namun, saya kiranya saya sedar sekarang. Setelah keluar dari tempurung beribu negarakan Kuala Lumpur itu, saya mula melihat apa yang ditohmah kepada bangsa saya itu, sebenarnya sama sahaja dengan bangsa lain.

Tiada beza, tiada yang amat berbeda, hanya kerana kita percaya, hanya kerana kita melihatnya di depan mata, namun yang buruknya itu tampak di bangsa, walhal saya sedar sekarang ianya adalah hal dunia.

400 tahun kita dijajah sudah, perlu kita berfikir sekarang, merdekakah kita?

..bersambung..

Selasa, 10 November 2009

..kisah bintang 1..

..dan seraya mata memandang ke luar tingkap pada satu malam kira-kira bulan Disember tahun 2008, saya terpegun dengan langit yang dihadap malam itu. Tidak pernah disangka, bahawa selama 3 bulan saya berada di Leeds dan tidur di tepi tingkap (pot pilihan sejak sekolah, katil betul2 sebelah tingkap), saya tidak pernah sedar yang saya tidur di bawah buruj Biduk.

Buruj Biduk, yang saya sering mencari-cari di kala langit mula membenamkan matahari di ufuk habis, dan awan pula malu untuk merangkak, meninggalkan langit itu kosong, penuh hanya dengan bintang.

Namun tika di Malaysia sukar benar mencari biduk, dan saya kira belum pernah saya melihatnya di sana. Hanya satu permata yg bisa membuat mata saya berkilau, dengan magnitud -1.46 (matahari= -26.74, bulan = -12.74), Sirius yang berumahkan Canis Major menjadi carian di kala menatap langit.

Sirius bintang tercerah, hampir keliru kadang-kadang jika Musytari atau Zuhal berarak di belakang awan kabur dekat dengan Sirius, hanya warna pada mata kasar menjadi pembeza.

Dan di utara pada Biduk, terdapatnya Ursa Minor, rumah kepada Polaris.

Dan pada malam ini, tika saya mendongak ke langit, tepat 45 darjah ke utara, di sana saya melihatnya. Paksi kepada cahaya malam. Jika anda punya kamera SLR, dan memasang kelajuan 'shutter' untuk buka selama 5 atau 6 jam, anda akan lihat semua bintang berputar di sekeliling satu paksi, satu pusat, yang dicari manusia berdekad, malah berabad, dan tidak jauh juga jika dikatakan bermilenia, sebagai panduan pelayaran, panduan utara, bintang Polaris.

2 bintang, 2 ciri, punya keistimewaan tersendiri. Satu di utara, satu di khatulistiwa. Di utara sentiasa di cari, di khatulistiwa memang dikagumi. Sirius yang tercerah, Polaris yang penunjuk arah. Sirius yang dikagumi manusia, Polaris yang dicari pelayar.

Sama seperti manusia. Ada yang ingin menjadi tehebat, yang menonjol bakat, yang mahu punya peminat. Namun ada pula mahu berbakti, mahu memberi, mahu mengasihani. Antara dua tiada yang salah, semuanya betul.

Mana satu kita tidak kisah, walaupun ramai yang mengejar Sirius, mahu menjadi yang tercerah, yang terhebat. Jangan risau, jika anda tidak mampu, tanamkan Polaris di dalam hati, menjadi yang dicari orang di kala susah.

Jika anda tidak dapat menjadi Sirius, jadilah Polaris.

If u can't be a Sirius, be a Polaris

..bukan noktah..

..dan pada malam ini ketika jariku digigit-gigit oleh suhu berangka tunggal, sementara kepalaku dimamah pula oleh buku Grays Anatomy, dan hatiku diratah-ratah oleh gulana peperiksaan, aku tahu, bahawa aku perlu bercerita, tentang kisah, yang masih belum sudah, yang belum kaku, kisah itu..

Isnin, 20 Julai 2009

..matahari lindungan bulan..

..dan pada Rabu ini bersamaan 22 July 2009 diramalkan akan berlaku gerhana matahari penuh. Namun bagi Malaysia, ianya hanyalah separa (atau sekelumit sahaja).

Bagi Malaysia, bulan akan berada di atas matahari bermula dari kira-kira pukul 8.00 pagi (waktu matahari naik adalah 7.00 pagi, jadi diharap matahari sudah cukup tinggi masa itu).


Ianya akan menutupi matahari semaksimanya pada kira-kira pukul 8.40 pagi. Luas kawasan litupan adalah ibarat jika anda menindih dua keping syiling 20sen dengan kawasan tindihan itu adalah kira-kira 2/5 dari jejari syiling itu, syiling yang bawah itu ibarat luas matahari yang kelihatan.


Ianya akan tamat pada kira-kira pukul 9.15 pagi.


Bagi yang ingin menyaksikannya, diharap anda tidak melihat matahari dengan mata kasar tanpa perlindungan, mahupun dengan memakai shade kerana ianya sangat bahaya.


Cara yang agak selamat adalah dengan mengisi air didalam besen, dan lihat pantulan matahari dalam air itu menggunakan plat negatif.


Namun terdapat pelbagai cara lagi yang anda boleh gunakan, hanya perlu rajin cari dalam internet ataupun buku-buku sains.

Ramalan bentuk matahari yang akan kelihatan pada gerhana yang akan datang (observatory: Kuala Lumpur) menggunakan perisian Cartes du Ciel (The Charts of Sky)

Sabtu, 4 Julai 2009

..kapling!!!..

..dan saya berlari dengan pantas. Hela nafas panjang tak mungkin ditarik, melainkan nafas pendek padu yang cuba diatur supaya kaki tak tersadung rungkaian merah jambu itu.

Fuuh. Hah. Fuuh. Hah.

Di dalam celah-celahan kedua tangan kurus ini, saya cuba mengintai depan. Tidak mahu tersalah arah, hanya kedepan yang saya mahu, bukan terpesong. Nafas cuba ditarik lagi, cuba menghantar lebih oksigen ke tangan, tangan yang sedang menjunjung belitan merah jambu seberat lebih 15 kilogram itu, mungkin lebih berat.

Fuuh. Hah. Fuuh. Hah.

Degupan jantung menjadi lebih padu. Tekanan sistol dan diastol itu begitu terasa di arteri saya, cukup kuat hingga terasa dan terdengar degupnya ditelinga.

Fuuh. Hah. Fuuh. Hah. Lub dub, lub dub, lub dub

Beban di tangan terasa berkurang. Ianya sudah hampir sampai ke penghujung. Hos itu sudah hampir sampai ke pengujung. Saya mendongak ke atas melihat hujung tangan. Dari celahan sinar matahari itu saya dapat melihat bayang-bayang hujung betina hos itu.

Lub dub, lub dub, lub dub.

Saya dapat melihat orang di depan saya, pembawa hos ke dua. Dengan kepala jantan di tanah. Dia sedang membuka hos kedua, startegi supaya cepat habis kawad itu untuk mendapat masa tersingkat dengan merungkai kesemua hos sekaligus tanpa menunggu disambung ke hos sebelumnya.

Startegi yang perlu akan pengiraan jitu serta pencongakan vektor dan jarak yang mapan supaya hos tidak terlebih atau terkurang buka kerana jika ini terjadi, hos itu mungkin tidak lurus atau tidak dapat disambung dan jika ini terjadi, segalanya dikira batal kerana gagal menyambungkan host atau hos tidak lurus. Hos pula tidak boleh ditarik, penalti akan dikenakan.

Lub dub, lub dub, lub dub.

Peeeggghhh!! Saya hampir tercampak kedepan bersama bunyi hos yang sedikit terseret itu. Petanda bahawa hos itu sudah habis dibuka, dan petanda azab 10 saat merungkai hos sepanjang hampir 20 meter dan seberat lebih 15kg itu selesai.

Lub dub, lub dub. lub dub.

Saya mencapai kepala hos jantan di tanah. Dengan tangan masih memegang kepala betina. Saya melutut, dan memegang kedua-dua kepala hos itu. Saya merapatkannya.

Lub dub, lub dub, lub dub.

KAPLING!!!!!!!!!!

Kepala jantan dimasukkan ke dalam kepala betina, seraya mulut menjerit sekuat jiwa kata-kata keramat seorang kadet bomba, Kapling! Ianya berasal dari perkataan 'couple in' kerana perbuatan itu yang mencantumkan hos jantan ke dalam betina itu untuk menyambung hos supaya air dapat disalurkan dari sumber air yang jauh ke kawasan kebakaran.

Lub dub, lub dub, lub dub.

Tapi kerja saya belum selesai.

Ianya adalah Kawad Kering dan Menyelamat. Maksudnya kami perlu membuka hos dan menyelamatkan dummy. Sebagai orang pertama membuka hos, saya perlu pergi ke bahagian menyelamat pula, supaya kerja lebih cepat.

Lub dub, lub dub, lub dub.

Saya berlari ke arah trak bomba itu. Ada tangga di sebelahnya yang menghala ke atas sebuah platform yang dibina untuk ditempatkan dummy, target saya.

Di sebelah tangga terdapat seorang ahli bomba, pengadil rasanya. Memakai topi serta baju celoreng merah, warna baju bomba. Topinya dilabuhkan hampir menutup mata, kerana panas mungkin dan wajahnya dilindungkan dengan bayang-bayang topi itu hingga menampakkan hanya kumis dan bibirnya serius. Saya dapat rasakan yang dia memandang saya, dengan hati beku. Memandang ahli kadet bertubuh kecil ini berlari-lari dibawah topi keledar bomba yang besarnya seperti rongga toraks badannya sendiri.

Lub dub. Lub dub. Lub dub

Dalam berat helmet itu saya cuba mendongak atas tangga bomba, cuba melihat target saya. Jauh di atas. Langkah diatur berhati-hati, kaki dipijak ke atas anak tangga aluminium itu. Dengan penuh kudrat bersama keringat lencun di baju, saya berusaha menongkah graviti.

Dari anak tangga pertama, satu persatu. Supaya tak tersalah langkah atau tersadung, ianya adalah penalti. Sampai langkah terakhir. Saya memandang dummy itu.

Lub dub, lub dub, lub dub.

Ianya adalah kali pertama saya melihat dummy itu. sebelum ini hanya dikhabarkan Cikgu Mustafa tentang rupa itu, dan beratnya yang dikatakan menyerupai berat manusia. Saya cuba-cuba berlatih mengangkat teman dengan gaya yang diajar. Agak berat, tapi saya yakin saya mampu.

Lub dub. Lub dub.

Tangan mencapai tangan dummy, dan sebelah lagi pahanya. Saya melutut dan menarik dummy itu ke belakang saya dan..

MasyaAllah!

Berat nak mati! Ianya sangat berat tak terkata, Pak Tapa cakap macam berat manusia, dia tak cakap pun berat manusia dewasa!

"Ya Allah. Bala apa yang aku cuba tarik ni?" Saya terkelu di dalam hati. Ianya adalah dummy berbentuk manusia yang lengkap berkaki dan bertangan, dengan setiap inci dummy itu diisi dengan pasir. Ibarat menjunjung guni pasir dibelakang seberat 80kg.

Saya menggagahkan diri juga. Saya tarik dengan kuat. Aaaarrgg! Hampir patah belakang ini rasa, hampir bercantum belikat ini seksanya!

Sambil menggalas dummy itu, azab kedua muncul tiba; bawa dummy itu turun tangga!

Lub dub.

"Berilah kekuatan langit padaku"

Saya gagahkan kudrat memegang bala itu sebelah tangan. Dengan sebelah lagi cuba meraba tangga. Kaki meliar cuba hinggap pada anak tangga, takut tersadung.

Saya mengatur langkah menuruni anak tangga itu, sambil menjunjung 80kg pasir di belakang.

Satu. Satu. Beratnya makin terasa. Satu. Satu. Berat. Satu. Satu. Makin berat. Satu. Satu. Azab. Satu. Dan saya sudah hilang kudrat.


Buuuuukkkk!!


Lub.


Jantung saya seakan-akan berhenti. Dummy yang saya pegang sebelah tangan itu telah JATUH!

Dummy itu jatuh dari belakang saya terus ke atas tar, dan yang azabnya ianya jatuh betul-betul di hadapan pengadil yang sekian tadi berdiri di tepi tangga!

Saya tergamam. Ahli pasukan tadi yang baru habis memasang nozel terkejut.

Saya kaku.

Dummy yang jatuh ke bawah itu adalah ibarat mangsa kebakaran jatuh dari tangga semasa cuba diselamatkan oleh ahli bomba. Adakah anda dapat bayangkan?

Saya cepat-cepat turun tangga.

Lub dub. Lub dub. Lub dub. Lub dub. Lub dub. Lub dub. Lub dub.

Dengan tangkas dummy diangkat ke belakang kembali. Saya galasnya dengan dibantu oleh ahli pasukan, dan dibaringkan ke atas 'stretcher'.

Wisel di tiup. Dan ianya tamat.

Lub

Dub


Lub

Dub

. . .


Ianya adalah salah satu kisah pengalaman saya semasa menjadi ahli kadet bomba yang paling saya tak dapat lupakan. Ianya terjadi semasa saya tingkatan 3, mungkin sudah hampir dengan PMR.

Saya tidak pasti sama ada kami menang atau kalah kawad itu. Tapi sampai hari ini, apabila disebut tentang bomba, masih terngiang-ngiang dalam telinga saya kata keramat itu;

KAPLING!!

Sabtu, 20 Jun 2009

..kisah botol roket 7..

..dan ianya sangat pantas, dan sangat panas!

Saya dapat rasakan di muka saya, walaupun ianya berlaku di tepi muka saya.

Awan biru dari dalam botol itu memancut keluar melalu muncung botol itu!

Seperti jet api yang keluar dari bontot roket, atau jet udara panas dari enjin Boeing 747 mahupun jet gas-gas berapi dari belakang pesawat Phantom, saya kira itulah yang keluar dari muncung botol itu.

Dan sepantas kilat ianya tersembur keluar dari muncung itu, nyalaan cantik yang berkilau seperti berlian itu memancut keluar dengan sangat laju, sangat jitu dan saya betul-betul terpaku! Ianya betul-betul di depan muka saya!

Dan seraya itu botol itu terus memecut laju kehadapan akibat dari tolakan jet api itu, terbang ke depan ke kawasan di antara Blok A dan Blok B! Terbang dengan laju sambil jet api itu terpancut, dan ianya menyamai sesuatu yang biasa kita nampak dalam TV2 masa dahulu, ianya adalah apa yang NASA buat selama ini, ianya adalah roket! Botol Roket!

WAAAAGGGHHH!!!!

Saya menjerit! Bukan kerana sangat gembira atau teruja, tetapi kerana sakit yang amat sangat. Jet api itu terpancut betul-betul dihadapan saya. Saya lari ke tandas. Membasuh muka dengan air. Menyejukkan kulit muka saya yang rasa sperti terbakar, seperti dicucuk. Setelah ianya reda sedikit, saya panggung kepala ke depan. Melihat dalam cermin, muka yang sangat merah menyala. Mata saya kabur. Mujur tidak terbakar rambut!

Saya terduduk. Perasaan kini bercampur baur. Gembira, puas, seronok, takut, sakit, risau, insaf, bodoh, pandai, semuanya bercampur.

Gembira, puas, seronok kerana saya telah melihat proses yang menarik. Sakit muka saya, takut dan risau jika muka saya melecur, insaf kerana tidak berhati-hati, rasa bodoh kerana meletakkan muka dekat dengan botol itu, berasa pandai kerana saya menemui sesuatu, hahaha!

.
.
.
..selepas beberapa hari..

Saya mengemaskan barang-barang yang saya 'ambil' dari makmal itu. Sudah tidak mahu meneruskan eksperimen. Mujur saya tidak mati hari itu, atau terbakar muka, kalau apa-apa yang terjadi bagaimana saya mahu mengambil SPM? Saya hentikan dahulu, kerana risau tidak sempat ambil SPM. Saya ceritakan pada Uj apa yang terjadi.

..sehari sebelum sekolah tamat..

Hari ini adalah hari terakhir sekolah. Besok akan mula cuti. Dan kemudian kami tingkatan 5 akan datang semula untuk mengambil SPM. Saya tidak tidur hari itu. Uj juga, mungkin.

Kami mandi dan bersiap awal. Kami solat subuh. Dan pada kira-kira pukul 6.30 itu saya membawa semua radas yang saya 'ambil' dari makmal. Saya bawa bersama Uj. Sayu rasanya melintas kawasan sekolah pada pagi hening itu.

Sekolah yang saya hidup selama 5 tahun, sekolah yang saya makan nasinya menjadi daging saya semasa remaja, sekola tempat saya belajar erti remaja, sekolah tempat saya belajar tentang erti rakan mahupun cinta monyet.

Saya lalu kawasan Dewan Makan. Di depannya pukul 7 nanti akan ada perhimpunan pagi. Perhimpunan yang saya dan Pit akan selalu ponteng.

Saya lintas depan 'board' rumah sukan. Yang depannya ada 'court' bola tampar dan tapak Karnival Soru. Juga ada kolam, kolam nostalgia Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.

Saya lintas depan bilik ERT. Melihat kelas lama saya. Kelas 1 Ilmu, 2 Ilmu, 3 Budi, 4 Delima, 5 Baiduri.

Saya panjat tangga depan makmal Biologi tingkatan 5, tempat Datin Noridah mengajar saya biologi tingkatan 5, dan pernah minum air buah aprikot dari Labuan bersama cikgu Zarina dalam jar makmal!. Dan saya sampai makmal fizik, tempat Cikgu Yusri dan Cikgu Fakhrul, dan kemudian makmal Kimia tingkatan 5, Cikgu Yus dan Cikgu Yaman. Saya terpandang bilik bahasa asing di atas, tempat Sensei Latifah, dan Mis Kong.

Saya letakkan radas-radas itu di atas peti hos bomba, kerana pintu makmal berkunci. Saya melihat sekolah saya dari korridor itu, bersama Uj.

Sangat sayu untuk tinggalkan sekolah itu.

Dan kami pergi ke kelas selepas itu.

.
.
.

..selepas pulang dari bercuti dan bersedia untuk ambil SPM..

Uj kata dia cerita pada ayahnya tentang eksperimen kami. Dan kata ianya gagal. Sebab utamanya mungkin kerana asid nitrik tidak cukup pekat. Saya rasa faktor lain adalah kerana prosesnya belum lengkap, kerana sepatutnya asid nitrik itu dicampur dengan asid sulfurik sebagai mangkin. Dan prosesnya sangat rumit (saya baru tahu sekarang).

Ayahnya berkata kenapa tak pekatkan asid itu. Dia berkata kami cuba elektrolisiskan airnya. Ayahnya ketawa "Kenapa tak sulingkan sahaja"

"Budak-budak sekolah, eksperimen pun dalam bilik sahaja dengan radas terhad, macam mana nak suling?"

Ayahnya menyambut dengan ketawa sambil berkata,

"dayak dalam hutan Sarawak tu pun boleh suling buat air tuak"

Kelas 5 Baiduri. Saya di barisan tengah berbaju kelabu sedang membuat 'gaya dragonball' bersama Uj berbaju putih. Harap berjumpa classmate semua di reunion nanti.

..tamat..