Memaparkan catatan dengan label Kisah Botol Roket. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Botol Roket. Papar semua catatan

Sabtu, 20 Jun 2009

..kisah botol roket 7..

..dan ianya sangat pantas, dan sangat panas!

Saya dapat rasakan di muka saya, walaupun ianya berlaku di tepi muka saya.

Awan biru dari dalam botol itu memancut keluar melalu muncung botol itu!

Seperti jet api yang keluar dari bontot roket, atau jet udara panas dari enjin Boeing 747 mahupun jet gas-gas berapi dari belakang pesawat Phantom, saya kira itulah yang keluar dari muncung botol itu.

Dan sepantas kilat ianya tersembur keluar dari muncung itu, nyalaan cantik yang berkilau seperti berlian itu memancut keluar dengan sangat laju, sangat jitu dan saya betul-betul terpaku! Ianya betul-betul di depan muka saya!

Dan seraya itu botol itu terus memecut laju kehadapan akibat dari tolakan jet api itu, terbang ke depan ke kawasan di antara Blok A dan Blok B! Terbang dengan laju sambil jet api itu terpancut, dan ianya menyamai sesuatu yang biasa kita nampak dalam TV2 masa dahulu, ianya adalah apa yang NASA buat selama ini, ianya adalah roket! Botol Roket!

WAAAAGGGHHH!!!!

Saya menjerit! Bukan kerana sangat gembira atau teruja, tetapi kerana sakit yang amat sangat. Jet api itu terpancut betul-betul dihadapan saya. Saya lari ke tandas. Membasuh muka dengan air. Menyejukkan kulit muka saya yang rasa sperti terbakar, seperti dicucuk. Setelah ianya reda sedikit, saya panggung kepala ke depan. Melihat dalam cermin, muka yang sangat merah menyala. Mata saya kabur. Mujur tidak terbakar rambut!

Saya terduduk. Perasaan kini bercampur baur. Gembira, puas, seronok, takut, sakit, risau, insaf, bodoh, pandai, semuanya bercampur.

Gembira, puas, seronok kerana saya telah melihat proses yang menarik. Sakit muka saya, takut dan risau jika muka saya melecur, insaf kerana tidak berhati-hati, rasa bodoh kerana meletakkan muka dekat dengan botol itu, berasa pandai kerana saya menemui sesuatu, hahaha!

.
.
.
..selepas beberapa hari..

Saya mengemaskan barang-barang yang saya 'ambil' dari makmal itu. Sudah tidak mahu meneruskan eksperimen. Mujur saya tidak mati hari itu, atau terbakar muka, kalau apa-apa yang terjadi bagaimana saya mahu mengambil SPM? Saya hentikan dahulu, kerana risau tidak sempat ambil SPM. Saya ceritakan pada Uj apa yang terjadi.

..sehari sebelum sekolah tamat..

Hari ini adalah hari terakhir sekolah. Besok akan mula cuti. Dan kemudian kami tingkatan 5 akan datang semula untuk mengambil SPM. Saya tidak tidur hari itu. Uj juga, mungkin.

Kami mandi dan bersiap awal. Kami solat subuh. Dan pada kira-kira pukul 6.30 itu saya membawa semua radas yang saya 'ambil' dari makmal. Saya bawa bersama Uj. Sayu rasanya melintas kawasan sekolah pada pagi hening itu.

Sekolah yang saya hidup selama 5 tahun, sekolah yang saya makan nasinya menjadi daging saya semasa remaja, sekola tempat saya belajar erti remaja, sekolah tempat saya belajar tentang erti rakan mahupun cinta monyet.

Saya lalu kawasan Dewan Makan. Di depannya pukul 7 nanti akan ada perhimpunan pagi. Perhimpunan yang saya dan Pit akan selalu ponteng.

Saya lintas depan 'board' rumah sukan. Yang depannya ada 'court' bola tampar dan tapak Karnival Soru. Juga ada kolam, kolam nostalgia Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.

Saya lintas depan bilik ERT. Melihat kelas lama saya. Kelas 1 Ilmu, 2 Ilmu, 3 Budi, 4 Delima, 5 Baiduri.

Saya panjat tangga depan makmal Biologi tingkatan 5, tempat Datin Noridah mengajar saya biologi tingkatan 5, dan pernah minum air buah aprikot dari Labuan bersama cikgu Zarina dalam jar makmal!. Dan saya sampai makmal fizik, tempat Cikgu Yusri dan Cikgu Fakhrul, dan kemudian makmal Kimia tingkatan 5, Cikgu Yus dan Cikgu Yaman. Saya terpandang bilik bahasa asing di atas, tempat Sensei Latifah, dan Mis Kong.

Saya letakkan radas-radas itu di atas peti hos bomba, kerana pintu makmal berkunci. Saya melihat sekolah saya dari korridor itu, bersama Uj.

Sangat sayu untuk tinggalkan sekolah itu.

Dan kami pergi ke kelas selepas itu.

.
.
.

..selepas pulang dari bercuti dan bersedia untuk ambil SPM..

Uj kata dia cerita pada ayahnya tentang eksperimen kami. Dan kata ianya gagal. Sebab utamanya mungkin kerana asid nitrik tidak cukup pekat. Saya rasa faktor lain adalah kerana prosesnya belum lengkap, kerana sepatutnya asid nitrik itu dicampur dengan asid sulfurik sebagai mangkin. Dan prosesnya sangat rumit (saya baru tahu sekarang).

Ayahnya berkata kenapa tak pekatkan asid itu. Dia berkata kami cuba elektrolisiskan airnya. Ayahnya ketawa "Kenapa tak sulingkan sahaja"

"Budak-budak sekolah, eksperimen pun dalam bilik sahaja dengan radas terhad, macam mana nak suling?"

Ayahnya menyambut dengan ketawa sambil berkata,

"dayak dalam hutan Sarawak tu pun boleh suling buat air tuak"

Kelas 5 Baiduri. Saya di barisan tengah berbaju kelabu sedang membuat 'gaya dragonball' bersama Uj berbaju putih. Harap berjumpa classmate semua di reunion nanti.

..tamat..

Sabtu, 13 Jun 2009

..kisah botol roket 6..

..dan dari jauh saya nampak botol itu. Perlahan-lahan dalamnya yang dari jernih dan lutsinar itu menjadi keputih-putihan, bertukar menjadi asap berkepul-kepul, tanpa api!!

Menakjubkan! Tanpa sebarang api kelihatan, asap dihasilkan. Saya pernah mendengar bahawa alkohol mampu membakar dalam senyap, tapi adakah ini maksudnya? Saya mendekati botol itu selepas 10 minit memerhatikan dari jauh. Saya juga takut mana tahu kalau tiba-tiba botol itu meletup.

Saya angkat botol itu, dan "OUCH!!". Saya terlepas botol itu. Panas, sangat panas, dan saya maksudkan sangat-sangat panas!. Tanpa api terhasil botol itu sangat panas seperti sedang dibakar, walaupun ianya hanyalah botol plastik. Saya biarkan botol itu. Selepas 10 minit, asap di dalam telah keluar dari muncung botol. Dan dalamnya jernih semula.

Menarik!

Mari kita ulang semula!

Saya masukkan bahan-bahannya, asid nitrik, alkohol dan toluene. Goncang dengan kuat. Lentangkannya atas koridor. Saya nampak toluene dan asid nitrik meleleh dan bertakung di dalam botol. Kali ini saya letakkan sedikit banyak. Mungkin kerana itulah ianya bertakung. Maka adakah maksudnya apa yang tinggal dalam botol itu adalah wap alkohol?

Tapi kali ini, saya akan nyalakannya dengan kertas dari tangan saya, dan saya akan memandangnya dari dekat, tanpa perlu lari. Saya ingin lihat apa yang terjadi sebenarnya. Botol ini tidak meletup sebelum ini. Mungkin juga tidak kali ini.

Saya pegang kertas dengan tangan, saya nyalakan kertas, dan letak di muncung botol itu. Saya memerhatikan apa yang terjadi dalam botol itu.

Dan perlahan-lahan, sesuatu yang saya tidak pernah tengok dalam dunia ini muncul.

Ianya adalah bagaikan awan di dalam botol, cuma ianya berwarna biru. Nyalaan biru yang berolak-olak itu. Ianya tidak sama seperti api yang biasa kita lihat yang menyala dan terbakar dari bawah naik ke atas. Ianya adalah seperti riak-riak air yang bercahaya di dalam botol, dan jika anda adalah peminat siri Stargate, nyalaan biru apabila pintu Stargate itu terbuka, begitulah rupanya!!!

Saya begitu teruja, dan bersemangat! Terasa semuanya begitu bermakna walaupun saya tidak berjaya menghasilkan TNT. Dan saya lihat riak-riak cecair bernyala biru itu bertukar perlahan-lahan menjadi asap kepul putih, seraya saya dapat rasakan botol itu menjadi panas. Saya biarkan botol itu sejuk, dan asap itu keluar.

Kali ini saya akan ulanginya, tapi hanya guna alkohol, ingin lihat apa yang sebenarnya membakar. Adakah alkohol, toluene, atau berlaku tindak balas dan bahan yang terhasil itu yang bernyala sebegitu rupa?

Saya isi alkohol dalam botol itu. Agak banyak. Tanpa toluene dan asid nitrik. saya terlentangkannya. Tangan gulung kertas, dan saya nyalakan kertas itu.

Saya letak kertas pada muncung botol itu, dan saya letakkan perhatikan botol itu dari dekat.

Dan dalam diam-diam, ianya muncul lagi. Tapi kali ini dengan alkohol yang lebih banyak, ianya lebih jelas. Warna biru, berkilau, sperti ombak-ombak awan yang terawang-awang. Sangat cantik. Percayalah saya, sangat cantik.

Ya, jawapannya alkohol. Saya melirik senyuman puas. Akhirnya.

Akan tetapi tiba-tiba..

..bersambung..

Sabtu, 6 Jun 2009

..kisah botol roket 5..

..dan saya goncang botol itu. Dengan agak kuat. Bau toluene kuat menusuk hidung. Patutlah ianya diklasifikasikan sebagai Aromatic Hydrocarbon, kerana memang baunya menusuk hidung.

Saya pandang botol itu. Apabila diletak, terdapat cecair likat, berwarna agak putih meleleh ke bawah. Adakah ianya sudah berjaya? Mungkinkah itu yang kami cari, mungkin. Jika ia benar, maka kami sebenarnya di ambang sejarah.

Akan tetapi cecair itu sedikit, tidak cukup untuk dituang ke atas kertas pun. Hanya mampu meleleh di dalam botol, dan bukan kemuncung botol. Saya bingung. Bagaimana mahu menyalakan bahan eksperimen kami itu.

Mungkin cara klasik perlu digunakan. Seperti menyalakan sumbu mercun, mungkin cara itu saya perlu gunakan. Kerana jika saya menyalakan di situ, silapa hari bulan alamat tak ambik SPM la saya tahun tu.

Jadi saya balut kertas, masukkan sebahagian dalam mulut botol, dan sebahagian lagi ke luar. Saya terpandang tangan saya, terdapat kulit mengelupas dan berwarna putih. Agak menyakitkan. Tapi saya tidak tahu kerana apa. Mungkin bahan kimia itu, tapi saya tidak pernah sentuh toluene, asid nitrik pun tak pernah. Tapi saya ingat saya pernah membasuh bikar itu yang pernah saya isikan asid nitrik. Mungkin, mungkin tidak. Mungkin cuaca kering, biasalah Perlis.

Saya nyalakan kertas itu. Saya berdiri jauh. Melihat botol di atas korridor depan bilik B208 itu dengan penuh debaran, sambil tangan menutup telinga. Dan..

.
.
.
.

..selepas 15 minit..

Tiada apa-apa terjadi.

Dari jauh saya dapat lihat api kertas itu sudah terpadam.

Dan saya tahu apa keputusannya.

Gagal.

Kali ini saya cepat isytiharkannya 'gagal', kerana dari jauh saya nampak yang tiada nyalaan. Dan saya juga sudah menunggu cukup lama kalau-kalau bekas itu meletup.

Tak mengapa, sedangkan Thomas Edison mentolnya meletup gagal beribu kali sebelum mencipta mentol, mungkin kegagalan ini mengajar saya tentang proses yang belum lengkap (wah seperti Full Metal Alchemist pula semasa cuba menghidupkan semula ibu mereka)

Saya memberanikan diri mendekati botol itu. Kertas hanya terbakar di luar muncung botol. Tapi tidak di dalam muncung. Oksigen. Benda alah itu tidak dapat masuk ke dalam. Dalam botol agak berasap. Karbon dioksida, tidak dapat keluar dari botol. Itu telahan saya. Ada kemungkinan. Tapi kita mesti beri peluang kepada setiap kemungkinan, walaupun ianya membawa risiko. Itu salah satu dari prinsip saya.

Saya tebuk lubang di bontot botol itu, dengan lighter dan jarum yang dipanaskan. Idea di kepala saya adalah supaya perolakan berlaku di dalam botol. Botol itu diletakkan melintang. Hipotesis mulut botol di bawah dan lubang itu di atas, mungkin karbon dioksida akan keluar ke atas kerana panas dan oksigen masuk dari muncung botol.

Saya masukkan semula kertas ke dalam mulut botol. Saya nyalakan. Saya berdiri jauh. Dan sesuatu yang saya tidak pernah lihat berlaku.

..bersambung..

Sabtu, 30 Mei 2009

..kisah botol roket 4..

..dan kelas kimia itu kami menjadi lebih pakar.

Elektrod karbon, atau juga dipanggil graphit itu sangat mudah untuk dibawa keluar, apatah lagi wayar kerana ianya kecil sahaja. Tiada orang syak apa-apa, buat-buat tak tahu sudah.

..di bilik..

Saya susun bateri-bateri yang berpuluh-puluh itu menjadi litar siri dan selari (kira-kira 40 bateri terpakai dari walkman saya). Saya susun supaya menjadi kira-kira 12 volt, dengan ada bateri yang disusun selari supaya lebih banyak tenaga dihasilkan (saya letakkan kulit bateri yang dilipat dua supaya bateri itu seperti saling bersentuhan antara -ve dan -ve, dan +ve dan +ve) dan antara bateri atas dan bawah melalui litar siri. Saya gabung menjadi kira-kira 12 volt.

Bikar eksperimen yang masih ada etanol, asid nitrik dan toluene dari minggu lepas itu saya tuang dalam bekas plastik maggi yang sudah tidak dipakai. Kerana bikar itu akan diguna untuk proses elektrolisis.

Saya tuang asid nitrik dalam bikar, sambung wayar dan bateri, dan lihat apa yang terjadi.

Perlahan-lahan saya dapat lihat buaih-buih di elektrod graphite itu. Iniliah dia kali pertama eksperimen elektrolisis saya lakukan di luar makmal, rasa bermakna hidup ini bahawa saya pernah belajar membuat eksperimen itu apabila dapat mengaplikasikannya sendiri.

Saya tinggal dalam loker. Dan saya pergi makan malam, prep malam, sekali sekala saya tengok bikar itu, saya tidur waktu malam, pergi kelas besok pagi, dan pulang pada waktu petang. Saya buka loker, dan terkejut..

Cecair dalam bikar itu sudah tidak lagi jernih. Ianya berwarna perang, atau koko. Saya angkat elektrod karbon itu. Saya lihat elektrod itu terhakis, ya terhakis! Siapa kata elektrod karbon itu lengai, asid nitrik itu telah menghakisnya. Dan cecair dalam bikar itu menjadi perang saya rasa akibat sisa elektrod yang terhakis itu.

Wah ini satu penemuan yang menakjubkan. Asid nitrik itu menghakis elekktrod karbon yang kita belajar dalam eksperimen sebagai 'lengai'!

Jadi bagaimana mahu melakukan eksperimen ini? Bikar berisi asid nitrik, tabung didih tak boleh digunakan, takut jika meletup akan pecah dan kaca berselerakan. Saya pandang bekas maggi itu. Alkohol dan asid nitrik yang saya tuang semalam sudah tersejat. Sangat bahaya. Yang tinggal hanya cecair toluene, tetapi kali ini saya lihat lebih likat. Hmm kenapa ya? Saya lihat juga plastik bekas maggi itu sudah menipis, bagai dilarutkan toluene. Entahlah.

Jadi bagaimana mahu mencampurkan bahan-bahan itu?

Saya terpandang botol minuman, saya tak pasti ianya botol coke atau f&n orange, tapi saya tahu ianya minuman oren. Mungkin inilah jawapannya. Botol plastik lagi mantap. Boleh digoncang dengan kuat, tak seperti bikar atau bekas yang hanya boleh dikacau.

Saya masukkan asid nitrik yang 'pekat', alkohol dan toluene dalam botol itu.

..bersambung..

Sabtu, 23 Mei 2009

..kisah botol roket 3..

..dan hari itu seperti biasa eksperimen dihabiskan cepat-cepat. Habis eksperimen rasmi awal, supaya eksperimen peribadi dilaksana.

Kali ini seperti sebelumnya, tabung didih dan pemalam getah diculik terlebih dahulu. Lebih mudah rasanya, kerana tak mungkin Cikgu Yaman syak apa-apa.

Uj mengambil buku dan diselak-selak, cuba-cuba mencari sesuatu. Dia ambil buku dan bawa ke meja cikgu, dan menanyakan sesuatu. Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu. Ianya hanyalah helah untuk 'distract' cikgu dari saya. Saya menggapai botol etanol, tuang dalam tabung didih. Thariq dan Izwan hanya geleng-geleng kepala melihat. "Gila" mungkin didalam hati mereka berkata.

Sekali lagi, kotak pensel Uj yang besar itu, warna kelabu dengan slogan 'Be Ready'menjadi ibu tumpang untuk tabung didih. Mungkin kerana sudah pro untuk kali kedua, tiada masalah melepasi pintu makmal sesudah tamat sesi makmal.

Pulang ke B208, petang itu juga dimulakan. Tapi mestilah selepas bermain Royal, selepas menyakat Redza atau sembang-sembang kosong dengan Mat Rod atau Banat, atau juga pau discman sony Bad.

Bekas minggu lepas yang masih berisi asid nitrik dan toluene dikeluarkan. Dicampur etanol, dan dikacau. Saya dan Uj melihat.

Kami mengacau lagi.

Dan melihat.

Kacau.

Lihat.

Kacau.

Lihat.

Kecewa.

Tiada cecair 'creamy' terbentuk.

Maka eksperimen ini juga gagal? Kami belum putus asa. Masing-masing memerah kepala yang sudah tepu rasanya. Cuba mengimbas kelas Cikgu Yaman, dan buku-buku kimia, mana tahu ada lagi benda belum lengkap.

..setelah beberapa ketika..

Masih tiada apa-apa yang terjadi. Keadaan masih diam. Masing-masing masih menunggu. Angin petang meniup-niup dan menghempas loker, dan bunyinya bagai mentertwakan kami yang gagal ini. Adakah ianya sudah gagal?

Ya. Kali ini juga.

Saya mencari apa lagi yang belum cukup. Nak kata tak baca bismilah, sudah.

Dan saya cuba meneliti kembali bahan-bahan yang kami ambil itu. Toluene adalah 100% toluene, tak mungkin ianya ada bendasing. Alkohol juga saya ambil yang tulen (selalunya dalam makmal yang tulen adalah 98% alkohol). Dan jari sekarang dituding ke arah asid nitrik.

Ya. Asid nitrik itu. 13M kami rasakan sudah pekat. Tapi entah di mana saya dengar, dalam kategori industri 13M itu adalah cair. Maka air dalamnya juga melarutkan alkohol. Nah, itulah jawapannya!

Maka asid nitrik itu perlu dipekatkan. Tapi bagaimana ya asid nitrik itu boleh dipekatkan? Saya hanya belajar cara melarutkannya, tapi tidak sebaliknya!

Maka satu proses membuang air perlu dilakukan. Ianya tak boleh didihkan, kerana asid nitrik mudah meruap (sebab kenapa botolnya diletak dalam kebuk wasap). Jika didihkan, perlu dalam ruang tertutup seperti radas penyulingan supaya asid nitrik yang meruap itu terkondensasi semula dan dikutip.

Maka apa lagi yang boleh digunakan untuk membuang air dari larutan? Peyejatan? Tak boleh. HNO3 itu juga akan meruap.

Dan dalam angin petang yang menderu itu tiba-tiba saya teringat akan satu proses. Iaitu fakta asas kimia SPM: elektrolisis asid adalah proses elektrolisis air yang memisahkan Hidrogen dan Oksigen dari air.

Jika saya elektrolisis asid nitrik ini, air semua akan keluar menjadi hidrogen dan oksigen, dan asid ini akan pekat!

Ya itulah jawapannya! Tahniah Hazrul dan Huzaifah. Saya pandang keliling. Nampak berpuluh-puluh biji bateri yang saya guna untuk walkman saya. Saya kira jika disambung jadi litar siri akan hasilkan voltan yang tinggi. Tapi masih ada yang belum cukup; elektrod dan wayar.

Oleh kerana ianya asid, maka elektrod karbon perlu digunakan kerana ianya tidak reaktif.

Maka barang yang perlu 'dipinjam' seterusnya adalah wayar dan elektrod karbon.

..bersambung..

Sabtu, 16 Mei 2009

..kisah botol roket 2..



"dayak dalam hutan Sarawak tu pun boleh suling buat air tuak"


-Abdul Rahman bin Abang Bohan bin

Datu Patinggi Abang Haji Abdillah


.. dan kami memerhatikan bikar itu,

melihat

melihat

melihat

(15 minit selepas itu)

Masih melihat

Tiada apa-apa berlaku, tiada sebarang cecair 'creamy' terbentuk

Tangan saya masih memegang kertas, untuk dicelup di dalam TNT (TNT sukar untuk terbakar kerana bersifat cecair, maka ia dicelup dengan kertas dan dikeringkan, digulung menjadi bentuk sosej dan kemudian dinyalakan)

Cecair didalam bikar masih berupa dua lapisan cecair yang tidak bercampur, toluene dibawah, asid nitrik di atas (tidak seperti minyak yang terapung di atas air, toluene lebih tumpat walaupun rupanya seperti minyak)

Kami mengacau bikar itu, dengan spatula(juga hak kerajaan malaysia). Melihat dari jauh larutan itu bercampur (kerana risau TNT yang terhasil akan meletup disebabkan tidak stabil)

Larutan itu berpusing berbentuk 'twister', dan kemudian kembali menjadi dua lapisan.

Kami melihat lagi

melihat...

melihat..

melihat..

masih tiada apa-apa yang terjadi,

dengan sedihnya,

Dengan ini diumumkan, eksperimen GAGAL!

Kenapa gagal? Kepala ligat fikir, kenapa dua-duanya tidak mahu bercampur?

Kenapa dua larutan itu walaupun sudah dikacau masih tidak mahu bercampur? Adakah kerana kami tersalah ambil bahan atau kami kacau dengan tidak kuat? Kedua-duanya cecair, apa masalahnya?

Sebab musabab cuba dicari. Tangan melakar di atas kertas rupa molekul asid nitrik, dan juga toluene. Bagaimana mungkin dua larutan itu tidak mahu bercampur. Dan juga di dalam 'cerebrum' ini cuba meneka bagaimana kedua-dua molekul itu boleh bertindak balas.

Buku-buku kimia habis diselak, cuba mencari-cari mungkin terdapat petunjuk yang lain. Proses penintratan benzene diamati betul-betul, mungkin jawapannya ada pada sepupu toluene ini.

Setelah gusar memikirkan jawapan tentang persoalan yang seperti mustahil, tiba-tiba jawapan terlintas didalam kepala.

Owh!! Hydrophilic dan hydrophobic! Itu mungkin jawapannya. Mana mungkin anjing bersahabat dengan kucing melainkan ada manusia yang menjaga dan mendidiknya. Maka bagaimana kita boleh bawa kedua-dua molekul itu dekat untuk bertindak balas?

Hampir seketika berfikir, tiba-tiba konsep 'sabun' tiba di dalam kepala.

Sabun yang amphipatic mampu mebuatkan minyak larut dalam air, sabun yang berkepala hydrophilic dan hydrophobic itu. Maka jawapan yang perlu dicari adalah molekul amphipatic, ada ekor hydrocarbon, dan kepala hydrophilic, dan jawapan terdekat di dalam makmal adalah; Alcohol

Maka bahan seterusnya yang perlu disonglap dari makmal adalah alkohol.

..bersambung..

Ahad, 3 Mei 2009

..kisah botol roket 1..

..dan seperti yang semua orang tahu, saya sukakan subjek kimia dan makmal, terutamanya makmal kimia dan fizik. Seperti syurga dunia kata orang, begitulah makmal bagi saya, sehingga hampir semua tempat botol reagen dan laci kelalang kon, tabung uji, tungku kaki tiga, kaki retort saya khatam.

Makmal paling best setakat ini makmal kimia tingkatan lima, yang bawah library tu, yang port orang kata tangga berhantu tu. Bukan apa, banyak sungguh bahan kimia kat situ, yang takdak kat makmal tngkatan 4.

Hari-hari akhir tingkatan 5 sangat tension. Orang cakap otak tepu belajar banyak sangat, mcm banyak sangat la. Bila dah nak habis tingkatan 5 ni, macam semua benda yang wajb ada dalam kepala otak kita yang kerajaan wajibkan, semua dah kena sumbat dalam kepala. Benda yang tak payah ada toksah kata la, masuk sendiri.

Buku tu macam semua page dah selak. Tapi buku Sukses Kimia ada benda yang tak sepatutnya dia letak pun dia letak. Saja nak bagi nampak gempak, bagi macam lebih informatif, tapi sebenarnya buat otak letih ada la. Dan buku ni buku kegemaran saya; ada satu bahagian tu yang saya suka, bahagian kimia organik. Kerana apa? Kerana entah tiba-tiba dia letak info kat situ: toluene ditindakbalas dengan asid nitrik pekat untuk membuat trinitrotoluene(TNT), sejenis bahan letupan.

Maka otak budak-budak remaja yang memang suka mencuba ni pun tiba-tiba menjadi geliga. Dan entah kenapa tiba-tiba dalam makmal tingkatan 5 tu ada toluene (padahal tak pernah ada pun eksperimen sekolah yang pakai toluene, sebab karsiogenik!). Asid nitrik? Telah la, bahan wajib tu. Dalam buku cakap asid nitrik pekat, dan tengok dalam lab ada Asid nitrik 13M. 13M!! Wow!! Paling pekat yang pernah saya tengok (sebenarnya dalam kategori industri, 13M tu cair).

Maka otak yang tengah kemaruk nak buat bom ni pun apa lagi, dalam diam-diam mengambil kedua-dua bahan itu. Ada kawan baik saya yang tolong saya sama, namanya Huzaifah, panggilannya Uj, memang otak ngeng macam saya gak la. Asid nitrik 13M, toluene, tabung uji, bikar dirampuk dalam satu hari. Agak peluh jugak la nak lepas cikgu dengan Uj pegang bikar, dalam bekas pensel ada asid nitrik dalam tabung didih yang dipalam dengan pemalam getah.

Sampai bilik, semua barang sumbat dalam loker saya. Buat yang satu dorm dengan saya, memang tahu saya suka menjajah loker, setiap tahun mesti paling kurang 2 loker. Eksperimen mula petang tu jugak (of course la lepas men Royal, permainan wajib budak-budak MU).

Kami masukkan toluene dalam bikar, pastu tuang asid nitrik.

..bersambung..