Memaparkan catatan dengan label ..kisah kecil... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ..kisah kecil... Papar semua catatan

Jumaat, 30 April 2010

..tulang sang ikan..

..dan ketika itulah saya terhenti seketika. Saya merenung tepat ke arah ikan merah dihadapan mata saya, ikan yang dimasak sambal atau asam pedas. Kelazatannya yang mampu mencairkan air liur tegar mana-mana orang Melayu yang didalamnya mengalir darah dari cili api.

Saya merenung tepat ikan itu.

Ikan yang dimasak pengasuh saya itu saya lihat berupa satu pembawa kemalangan kini.

Taktala melihat muka seorang kanak-kanak kecil terbeliak matanya sambil terlopong mulut dengan air lur sudah terkumpul hampir menjuih di bibir penanda air itu tidak dapat masuk ke dalam perut, Kak Bibah kaget.

Kemudian melihat lagi muka kanak-kanak itu serta merta menjadi merah, kanak-kanak yang ibu bapanya membayar gaji untuknya dijaga dengan rapi kini sudah mula berurat. Kak Bibah sudah dapat mengagak.

"Awat Oun? Tercekik tulang ka?" Tanya Kak Bibah bernada gelabah.

Saya tidak dapat menjawab soalan itu, kerana nafas sukar ditarik, juga nasi yang masih berada di kerongkong, juga pedih yang amat di tekak.

Saya terbatuk-batuk. Amat pedih rasanya tekak. Terasa mahu menelan air liur yang sudah kembung di tekak terkumpul, namun tidak mampu. Hatta sekelumit alunan tekak naik akibat menarik dan menghembus nafas pun sudah cukup mengalirkan air mata kerana pedih, apa lagi mahu menelan air liur?

Tulang ikan merah itu benar-benar mahu membunuh saya.

Tulang ikan merah yang sebatang itu terlekat di kerongkong dan menghiris-hiris daging tekak saya tiap kali saya menarik dan menghembus nafas. Suapan terakhir nasi itu terpaksa saya luahkan semula bersama-sama air liur yang dirembeskan kerana refleks badan pabila terpandang lauk lazat. Namun segalanya terpaksa diluahkan kerana pintu masuk ke alam pencernaan sedang dihadang sebatang tulang ikan.

Saya tidak mampu menangis atau menjerit. Kerana itu akan membuatkannya lagi sakit. Saya hanya mampu mengatur nafas.

Kak Bibah pengasuh saya yang sudah mula gelabah melihat darah di dalam air liur saya mula mahu mengingati penawar yang dia tahu mengikut ilmu orang tua-tua. Dan dia mula ingat petua orang tua-tua; telan segumpal nasi.

Telan segumpal nasi tanpa mengunyahnya adalah petua orang tua-tua di tempat saya bagi mengubat masalah tercekik tulang ikan. Ini kerana dengan teori nasi yang tidak dikunyah itu bersifat keras, diharap ianya dapat menolak tulang yang tersekat itu.

Dan Kak Bibah mahu memaksa saya menelan segumpal nasi itu.

Sebelum ini saya juga pernah tercekik tulang ikan, namun ianya tidak seserius ini. Dan setiap kali ianya terjadi, mak saya akan menyuruh saya berbuat begitu. Namun kerana dipaksa oleh emak, dan sakitnya pula tidak seteruk ini, saya mampu menelannya.

Tapi sekarang, untuk menarik nafas pun sudah cukup sengsara, apatah lagi menelan segumpal nasi?

Saya menolak. Saya menolak lagi. Namun akibat diasak Kak Bibah yang sudah mula panik saya cuba menelannya dengan kaki yang hampir menggelupur akibat menahan sakit.

Saya tidak ingat apa yang terjadi selepas itu. Apa yang saya ingat adalah Kak Bibah menelefon emak yang sedang bekerja. Dan tidak lama selepas itu Kak Bibah menelefon lagi emak yang membuatkan emak terus pulang kerana saya memuntahkan darah beku sebesar segumpal tangan.

*****

Saya sudah lesu dan berasa sangat lapar.

Nasi yang hanya beberapa suap sempat ditelan tengah hari tadi tidak cukup memberikan tenaga pada saya ketika ini. Saya berasa sangat lapar, dan juga sangat letih. Letih kerana setiap masa perlu memberi perhatian kepada menarik dan melepaskan nafas perlahan-lahan supaya tidak sakit.

Selalunya selepas makan tengah hari saya akan tidur, tapi tidak pada hari itu.

Selalunya waktu petang begini saya sedang kekenyangan kerana menghentam masakan Kak Bibah pada waktu tengah hari, tetapi tidak petang ini.

Selalunya petang begini juga saya akan sudah mula keluar untuk bermain dengan adik saya, tetapi tidak petang ini.

Petang ini saya hanya berbaring di atas kusyen kereta itu terlentang sambil kaki berada di atas kusyen, sesuatu yang akan membuatkan saya akan dimarahi jika menaiki kereta dengan kelalu begitu. Tetapi tidak petang itu.

Saya hanya melihat ke bumbung kereta itu sambil mendengar mak berbual tentang membawa saya berjupa seorang tua ini yang pandai dalam perihal perubatan tradisional.

Kepala saya berpinar-pinar pening, sangat pening. Juga lapar, sangat lapar.

Pabila pintu kereta dibuka, saya hanya mampu mengikut kata dan berjalan perlahan masuk ke dalam rumah orang tua itu. Sangat letih rasanya. Baru saya sedar sekarang, letih itu mungkin disebabkan darah yang sudah bergelen keluar dari tekak saya akibat kedajalan tulang ikan itu.

Saya hanya mendengar tanpa dapat menangkap apa yang orang tua itu sembangkan. Isterinya membawa dulang berisi makanan berupa kuih muih. Pulut yang dibungkus dalam pisang, kuih lain. Itu yang saya ingat. Kopi. Panas lagi kopi itu. Saya enggan menjamah dan isteri orang tua itu membuatkan pada saya air milo. Namun saya tidak mahu menjamahnya. Walau lapar, walau dihidang. Sakit di tekak yang sudah mencucuk bagai ditusuk pisau setiap saat semenjak 5 jam yang lalu membuat saya tidak mampu untuk berfikir lagi.

Rasa penat itu kini bertukar mengantuk.

Pabila orang tua itu yang hanya memakai t-shirt pagoda putih berserta serban dan kain pelikat melihat saya tidak mahu menjamah makanan, dia menyuruh isterinya membawakan bahulu bersama air kosong. Wah wah! Orang tua ini tahu ilmu tilik ka apakah? Saya memang sukakan kuih bahulu semenjak saya mula kenal apa itu bahulu. Dan kegemaran itu masih kekal sehingga kini. Kuih 'feveret' saya, bahulu.

Serta merta pabila melihat tin bahulu {yang diperbuat dari tin susu Nespray, agak sedikit berkarat} itu dibuka, seraya aroma bahulu yang terpedap dalam tin itu masuk ke rongga hidung saya, refleks otak saya terus mengutus isyarat pada kelenjar air liur saya suaya merembeskan air hikayat itu. Di tambah pula dengan keadaan saya yang lapar, keinginan badan saya pada makanan mebuatkab air liur itu mengalir dengan lebih laju dan cair. Saya jadi tak keruan melihat bahulu itu.

Namun,

Tak terdaya, pedih itu masih mampu membentengkan mulut saya daripada merasa bahulu itu.

Saya hanya diam, kecewa. Walaupun jelas dari mata dan wajah saya bahawasanya saya inginkan bahulu itu, namun saya hanya memendam rasa itu.

Pedih durjana tulang ikan masih mencengkam saya.

Saya tidak mahu berasa pedih lagi. Pedih akbat tulang itu yang telah di'condition'kan dengan menelan benda membuatkan otak saya menolak sebarang bentuk makanan. Walaupun di satu bahagian lain mengasak saya memanfaatkan enzyme amylase yang telah dirembeskan.

Saya terpaksa akur dengan mekanisma mempertahankan diri badan saya. Jangan makan, kerana ianya akan menambahkan sakit.

Saya semakin terkulai layu.

Lalu orang tua itu memulakan rawatannya. Walaupun ianya agak karut untuk saya ceritakan, tapi percayalah ini cerita benar.

Orang tua itu menyuruh isterinya mengambil tudung periuk, dan mengisi air di atas tudung periuk yang ditelangkupkan itu. Kemudian dia membaca sedikit doa {panjang juga sebenarnya}, dan dia menyuruh saya meminum air itu sambil memegang tudung periuk itu. Ianya seperti memegang gelas dengan kedua-dua belah dan meminum air didalamnya, cuma kini ianya dari tudung periuk.

Saya enggan, kerana masih takut akan pedihnya azab di kerongkong saya. Saya merengek-rengek kerana tidak mahu meminum walaupun dipaksa.

Mak saya memaksa lagi. Bersama orang tua itu dan isterinya yang memujuk saya supaya minum air dari tudung periuk itu.

Namun kerana keadaan dahaga yang amat sangat, ketika sejuk tudung periuk itu mengenai bibir saya dan air dari tudung periuk itu melembapkan bibir saya yang sudah berkeping keringnya dek kehausan, saya akur untuk minum.

Akan tetapi hanya seteguk, itupun kerana saya menggelupur menelan yang seteguk itu akibat pedih yang amat sangat. Semasa menggelupur itu saya menolak-nolak tudung periuk itu dan air itu hampir tertumpah. Selepas menggelupur itu saya lesu dan letih. Nikmat seteguk air sejuk itu saya kenang lagi sehingga kini.

Saya letih dan mula mengulai layu. Saya tidak mendengar lagi apa yang mereka bualkan. Saya tertidur.

Saya sedikit terjaga menyedari badan saya diangkat untuk dimasukkan ke dalam kereta. Dan saya terjaga semula pabila sampai di rumah dan dibaringkan di atas kerusi panjang.

*****

Saya membuka mata.

Saya lapar dan berasa sangat dahaga.

Lalu saya mengambil kerusi dan meletakkan di tepi peti sejuk. Saya panjat kerusi itu, mengintai atas peti sejuk itu dan menggapai bekas plastik bertudung hijau.

Saya turunkan bekas itu ke atas meja makan. Saya tuang air masak ke dalam gelas dan minum. Ada air milo yang emak bancuh tengah hari tadi.

Saya buka bekas hijau itu, mengambil sebiji bahu. Saya cicahkannya ke dalam air milo itu dan memakannya. Saya mengambil lagi, sehingga hampir berbelas biji saya telan petang itu. Kerana lapar.

Emak sedang menyapu sampah di luar. Pabila emak masuk, emak bertanya apda saya,

"Eh, dah hilang tercekik tulang?"

Saya terdiam. Bru saya teringat azab sebelum itu, azab tercekik tulang ikan.

Saya sudah banyak kali tercekik tulang ikan, namun tulang itu yang paling otai.

Saya memandang bawah tudung saji disebalik bekas bahulu itu, ada lagi ikan merah itu. Saya tidak menoleh ke tempat lain, tidak mampu memandangnya. Ianya membawa semacam satu kepedihan dalam diri saya.

Rupanya benar, air dari tudung periuk itu benar-benar mujarab!

Saya sudah terpula bahawa sebelum itu saya hampir nazak kerana tercekik tulang ikan.

Saya hanya mahu memakan bahulu itu sepuas hati.


*****

Selepas itu saya mula menjadi takut untuk makan ikan.

Sehingga tamat sekolah menegah rasanya baru saya mula makan ikan. Itupun ikan kembung belum lagi mampu menaikkan selera saya. Selepas peristiwa itu, saya jarang menjamah ikan yang dimasak emak. Di sekolah mengah juga saya jarang sekali makan ikan. Kesan azab tulang ikan itu terpahat dalam otak saya walaupun sudah hampir sepuluh tahun dan saya sudah berada di sekolah menengah.

Walaupun saya suka makan kepala ikan, namun tidak sebenarnya jika untuk makan kesemua ikan. Ikan yang saya makan pun hanyalah ikan terubuk {ironiknya kerana ikan terubuk banyak tulang}, itupun bahagian isi hitam yang dekat dengan kulit.

Saya juga hanya makan ikan yang dimasak 'sweet and sour' oleh ayah saya, atau ikan masak tiga rasa. Pada hidangan harian yang berlaukkan ikan, selera saya kurang atau saya akan menggoreng telur. Lagi rela dari menjamah ikan itu.

Memori itu masih terpahat dalam minda saya.

Tulang ikan, dan bahulu. Adalah contoh 'conditioning' dalam otak saya. Kerana acap kali saya melihat ikan, saya menjadi takut akan tulangnya. Dan setiap kali melihat bahulu, air liur saya mengalir cair seraya teringat kemanisan di bucunya yang rangup.

*****

Saya teringat peristiwa 'berdarah' ini taktala bibir saya terguris tulang ikan yang dimasak Mukhlis semalam. Sedap, seperti ikan merah yang Kak Bibah masak. Namun sedap itu yang bisa menyakitkan.

Dan, setiap kali memandang tudung periuk, saya teringat kesejukan air yang mengalir di tekak saya suatu ketika dahulu.

Jumaat, 19 Februari 2010

..cicakboy..

..dan saya memerhatikan benda bulat 3 biji berwarna putih itu. Saiznya kecil sebesar kacang pea. Bujur. Saya tak pernah lihatnya sebelum ini.

Saya mengambilnya dari atas para rumah tok itu. Pegang di tangan. Tiba-tiba tok menyapa dari belakang,

"Jangan duk main teloq cicak tu"

Saya menjawab, 'curious'

"Awat tok?"

"Tak pernah orang buat main menda tu"

Dengan perasaan ingin tahu serta degil kepala ini, saya pegang juga, dan tidak melepaskannya. Tok memerhatikan sahaja, dan terus ke dapur.

Saya memegangnya dengan penuh ingin tahu. Saya suka bermain dengan cicak dahulu. Suka tengok ekornya yang meleting-leting pabila putus semasa saya cuba menangkapnya.

Penuh curiga.

Maka benarlah apa yang dikata,

'A child is like a scientist'

Fitrah rasanya sifat itu bagi semua manusia, tak kira kecil ataupun sudah bekerjaya, tak kira pengutip najis ataupun saintis.

Pabila melihat saya yang asyik dengan telur cicak itu, tok tanya saya,

"Nak buat apa teloq cicak tu?"

Saya menjawab penuh harapan,

"Nak tunggu sampai menetas"

Tok hampir ketawa mendengarnya. Namun kerana sayang cucunya, tok layan juga. Lantas tok ambil kapur dan meletakkan telur cicak itu di atas tangannya sambil menguli dengan kapur. Tok kata kapur panas, ini akan tolong telur itu menetas. Baru sekarang saya sedar, orang Melayu ini sebenarnya pandai dalam sains. Jadi memang tak ada alasan untuk dapat markah rendah dalam sains. Mungkin kerana belajar dalam bahasa yang lain dari bahasa pemikiran mereka, maka mereka dapat markah rendah dalam sains.

Balik kepada telur tadi, saya menguli telur itu dengan kapur. Agak panas rasanya tangan, tapi terus menguli penuh kesabaran. Sampai petang saya rasa saya uli benda itu. Tok kata bukannya sehari nak menetas, ambil masa juga. Maka petangnya dengan rasa berat hati, saya tinggalkan telur itu di rumah tok kerana ditegah abah.

Besoknya selepas tadika, saya datang lagi. Dan saya ulinya lagi. Dengan penuh sabar. Sampai kan tok meramas-ramas kuat tangan saya semasa basuh tangan untuk makan. Tok letak sabun dan tonyoh kuat-kuat tangan saya. Sakit. Geli baginya dengan telur cicak, saya rasa. Dan petang itu saya uli kembali telur itu. Dan saya pulang lagi dengan rasa kecil hati. Tambahan pula hari itu hari Khamis, maka besoknya saya tiada tadika, dan saya tak akan ke rumah tok lagi hinggalah hari Ahad.

Maka hati ni berasa sedikit susah. Tapi tak mengapa. Masih ada minggu depan.

Tidak sabar rasanya mahu menunggu lagi dua hari untuk melihat seekor anak cicak yang comel menetas di atas tangan saya.. Cicak dewasa tidak comel. Cicak dewasa lagi menarik dibuat panggang hidup-hidup atas api. Semakin tak keruan rasanya pabila membakar cicak itu menunggu-nunggu badannya kembung dan meletus. Jika semasa meletus itu masing-masing akan lari jauh, takut terpercik ke muka. Kalau air letusan itu meletus kena muka adik saya, saya akan ketawa berdekah-dekah sambil berguling atas lantai simen, kalau kena muka sendiri akan terkapai-kapai sambil lari menahan muntah mencari sinki, seperti raksasa di'fire' Ultraman.

Pulang di rumah ada kakak dan abang saya. Abang kadang-kadang bawa pulang gula-gula untuk saya dan adik Wan. Dan hari itu, syukur, abang bawa pulang gula-gula. Girang hati rasa.

Petang itu saya pegang gula-gula kecil itu dalam tangan sambil main dengan adik. Main atas katil dua tingkat bilik belakang. Satu persatu gula-gula kecil bulat itu dimasukkan ke dalam mulut. Sekarang baru saya tahu, rupanya 'coating' putih di luar gula-gula itu adalah gula serbuk. Patutlah rasa manis pabila masuk dalam mulut.

Saya rasa, kali pertama saya begitu berminat dengan Dinosaur adalah kerana cicak. Dan di bilik belakang itulah saya selalu membelek buku Dinosaur yang dibeli emak untuk abang. Di bilik belakang itu juga saya pernah terjumpa rangka seekor cicak yang mati, dan pabila melihat persamaan dengan tulang Dinosaur dalam buku itu, minat saya makin bercambah-cambah. Pada masa itu saya mungkin membayangkan Dinosaur itu masih hidup kerana ada tulangnya dalam bilik saya, walaupun saya terpaksa menidakkan pemikiran logik saya yang bertegas bahawasanya Dinosaur itu telah pupus 65 juta tahun yang lalu. Saya tak tahu mengapa. Mungkin kerana saya masih budak-budak, mudah sangat jatuh hati dengan sesuatu yang hanya hadir dalam bayangan kemahuan dan impian, walaupun ianya tidak logik di akal dan pemikiran.

Bilik belakang itu adalah bilik saya dan adik beradik. Saya selalu bermain di situ dengan adik. Ada katil dua tingkat di bilik itu. Katil atas kecil berbanding katil bawah. Kami akan menyusun kusyen di atas tangga katil tua tingkat itu, kemudian menutupi dengan cadar dan kemudian cuba menggelongsor atasnya seperti papan gelongsor. Kami juga akan melompat dari katil atas ke katil bawah, yang selalunya diakhiri dengan rotan dan sebatan abah atau di'ghetu' mak.

Pada hujung minggu itu, semasa saya memanjat katil itu, saya ternampak sesuatu yang pelik di atas tingkap. Tempat yang sama saya rasa saya jumpa tulang cicak.

Sambil berhati-hati menggengam erat gula-gula di tangan takut-takut terjatuh, saya berdiri di kati atas dan menginjut mahu lihat betul-betul benda itu.

Wah! Tanpa di duga, ianya adalah telur cicak!

Saya masih ingat, ketika itu saya betu-betul senyum lebar. Lalu tangan ini terus menggapai telur itu. Niat di hati mahu menetaskan seekor cicak hujung minggu ini pasti terjadi! Akhirnya.

Saya ambil telur itu. Sambil mengawal keseimbangan takut-takut terjatuh, saya genggam telur itu tidak terlalu kuat takut-takut pecah pula. Saya cuba turuni katil dua tingkat itu.

Semasa meniti tangga itu tanpa tangan memegang penghadang kerana kedua-dua tangan sudah penuh dengan 'hasil' yang mengujakan, ketika itulah saya hilang keseimbangan dan hampir jatuh.

Tetapi agak nasib baik saya kira. Tangan ini dengan cepat menggapai penghadang katil itu dan saya sempat kawal keseimbangan. Saya berjaya tangkap penghadang katil dengan satu tangan dan memegang erat. "Kata nak melekat kat syiling macam cicak". Kata saya bongkak.

Tapi malang, terdapat gula-gula yang jatuh ke atas katil bawah.

Tak mahu bazir, kerana ayah saya larang saya dari membazir. Tambahan pula hanya jatuh atas tilam, saya terus ambil gula-gula itu dan masukkan ke dalam mulut tanpa menelan.

Hasrat hati mahu mengulum perlahan-lahan, tapi gula-gula ini rasanya agak berlainan. Lalu saya cuba menyedut kuat-kuat gula itu. Belum lagi keluar manisnya. Agak bengang, saya pun mengigit gula-gula, dan ketika itulah saya melihat tangan saya yang memegang gula-gula sebelum ini masih penuh, dan tangan yang memegang telur cicak itu kosong.

Dan..

* * *
Hari itu, tok lihat saya pelik kerana tidak bermain dengan telur cicak itu. Saya tak minat. Baru saya sedar sekarang semasa menanti telur cicak itu menetas, tak semua penantian berakhir dengan kegembiraan.

Tok buang telur cicak itu.

Pabila menonton filem Cicakman, dan melihat Saiful Apek menelan air kopinya yang terjatuh cicak didalam itu, tiba-tiba rasa payau telur cicak yang pecah dalam mulut saya itu datang kembali. Entah kenapa, saya rasa, memori saya tentang cicak datang bersama rasa payau dan tawar, serta berlendir-lendir dengan sedikit krim.



Kemajuan teknologi kamera inframerah membolehkan kita mengambil gambar bersama 'belaan', terutama yang suka makan cicak

Selasa, 12 Januari 2010

..kuchaeeng..

(tajuk di atas adalah cara sebutan 'kucing' dalam loghat KL seperti yang diterangkan ex-rumate saya, Danial)

..dan saya merenung tepat kearah kucing itu.

Berani benar dia.

Duduk melepak atas bumbung kereta Proton Wira bapak saya yang baru keluar kilang sebulan. Saya rasa plastik kusyen pun abah tak buang lagi. Dalam bonet apatah lagi, memang bau kilang yang macam bau gam budak-budak jalanan blakang kedai Nya PJ1. Kadang-kadang budak-budak tu lepak belakang bank CIMB, lari sikit dari belakang dapur Restoran Gembira (harap maklum saya tak hisap gam).

Kebetulan abah baru balik kerja. Tak sempat tutup kereta baru itu dengan penutup kereta lagi(yang juga berbau kilang, tapi kali ini bukan gam). Kucing tu memanjat angkuh ke atas bonet depan. Kaki langkah pijak cermin depan. Naik atas bumbung.

Kaki depan tegang, kaki belakang juga. Mengeliat. Sambil mulut nganga luas bagai orang menguap.

"Ha, nak tidoq ataih kheta la tu"

Hati ni dah naik panas.

Kucing itu memang samseng!

Abah buka pintu, jerkah kucing itu. Kucing samseng terjun bercempera lari. Sialan, memang nak mati.

Memang, kucing itu memang mahu mati.

Petang itu saya dan adik keluar dari umah. Cari kucing itu. Saya ingat lagi warnanya hitam putih. Banyak putih dari hitam. Jadi saya kira kucing itu kucing putih tompok hitam. Masa dia mengeliat tegang kaki saya intai dari belakang, tak nampak pun telurnya (kepada yang 'innocent', ganti telur=testis). Jadi mesti betina. Amboi, yang betina pun dah buat perangai samseng, kalau yang jantan laki dia ni apa lagi, mesti dah tahap orang yang bagi guna C4 bom mayat orang.

Saya cari-cari sekitar rumah.

Alhamdulillah, jumpa.

Senang pula nak jumpa kucing ni masa ni. Kalau tidak susah. Saya rasa sebab saya cari kucing tu dengan niat jahat, sebab tu senang jumpa. Mesti Setan tolong saya masa ni. Mungkin setan kaburkan mata kucing tu supaya tak lari ke mana-mana, macam setan kaburkan mata ahli politik yang senang dapat projek Ali Baba. Mungkin juga setan tonjolkan imej saya baik di mata kucing tu supaya tak lari kemana, macam kebanyakan peminat Faizal Tahir kena.

Lepas tu pula, nak dijadikan cerita, mahu pula kucing tu datang dekat dengan kami walaupun baru lepas kena jerkah dengan abah saya. Dah la tu, senang pula terpedaya dengan 'trick' "ch ch ch" (teknik memanggil kucing), senang pula dia datang rapat dengan kami kerana terpedaya dengan alunan jari saya yang seolah-olah berisi makanan. Oh apa sihir yang setan pakai ni. Ini lagi teruk dari ahli politik mahupun Faizal Tahir, ini dah macam misai Datuk K!

Adik saya pegang kucing itu kemas-kemas. Dia pegang kaki depan kucing itu, sambil menekap kuat dan tegar pada kepala kucing itu. Kepala bahaya kerana ianya boleh tokak, kaki depan pula senjata utama untuk cakar. Tapak kaki saya pijak belakang badan kucing itu, kuat-kuat pada perut sampai kaki belakangnya mengelebeh keluar seolah-olah terkangkang sehingga di berjaya pula dipijak jari kaki dan tumit saya. Kaki belakang penting kerana ianya akan mencakar orag yang memegang kaki depan dan kepalanya.

Sekali sekala saya menekan kuat sikit sampai rasa tulang belakangnya sudah cecah tanah lepas dari isi perut dan ususnya. Buat begitu supaya keluar bunyi kucing itu, merdu seolah-olah motor menderam. Oh azabnya jadi makhluk lemah dan tidak berkemampuan

Dengan tangan yang tidak bisa memegang apa-apa lagi ini, tangan kiri saya seluk kocek seluar. Ambil kotak. Tangan kiri kanan seluk kocek, ambil lighter.

Kotak dibuka, sebatang dikeluarkan.

Sebatang itu disentuh perlahan-lahan di kawasan junction antara dua jenis cell ephitelium. Kemudian dimasukkan ke dalam lubang itu.

Oh tidak, bukan junction yang atas, ianya junction yang bawah, yakni bawah kucing itu. (untuk yang innocent:lubang bontot kucing itu)

Lighter dinyalakan, dan sumbu dihidupkan.

Mercun mancis itu menyala.

Seraya kucing itu dilepaskan kedalam lubang 'piling' tapak 'construction' yang dekat dengan rumah saya.

Dan peristiwa seterusnya mengambil masa kira-kira 5 saat.

Lubang itu sangat dalam. Saya kira jika saya yang ketika itu darjah 6 masuk, mesti tak dapat panjat keluar. Mesti lubang itu akan terus jadi kubur saya. Tapi untuk dewasa memang boleh panjat keluar.

Sesudah dilepaskan ke dalam lubang itu, kucing itu jadi panik, dan takut. Dia panik sebab ada dalam lubang mungkin. Dia takut. Mungkin kerana sesudah dipijak dan dikilas kepala oleh adik saya, dia terus fobia. Tambah pula cuba anda bayangkan jika anda berada dalam lubang, kemudian pabila anda memandang ke atas cuba keluar ada dua orang yang pada sangkaan anda baik, rupanya 'nakal'. Dan dua orang itu pula sedang mentertawakan anda yang sedang bergelut dengan kematian. Seperti Pat Harkin dan tutor SSC anda sedang ketawa di malam dateline SSC submission anda ketika anda bersengkang mata habiskan kopi pekat tanpa susu di depan laptop, menaip SSC sambil layan Facebook.

Kerana faktor di atas, kucing itu cuba keluar dari lubang itu.

Dia lompat sekali.

Agak tinggi lompatannya itu. Tapi malang, hanya tinggi kira-kira separuh dari lubang itu. (seperti tinggi budak darjah 6). Kucing itu jatuh semula ke dalam lubang.

Dia lompat sekali lagi.

Sayang, cubaan kedua pun gagal.

Maka 5 saat pun habis.

Sumbu mercun mancis di dalam lubang rectumnya habis terbakar.

Dan seperti kebetulan takdir tuhan, pada ketika itulah dia mencuba untuk kali ketiga. Dan tepat kiranya kali ketiga itu, campuran nitrat, ferum, karbon, oksigen di dalam rektumnya itu bernyala pantas.

Paapp!!

Seraya dia melompat untuk kali ketiga.

Alhamdulillah, kali ini dia berjaya, dan tanpa disangka, lompatannya itu tinggi ke udara. Hampir-hampir menyamai tinggi kepala saya yang berada di atas itu. Yakni dia melompat dari ketinggian -2 orang budak darjah 6, ke ketinggian +1 orang budak darjah 6. Matematiknya begini:

Beza, = ketinggian akhir-ketinggian awal

=1 budak darjah 6 - (-2 budak darjah 6)
=1 budak darjah 6 + 2 budak darjah 6)
=3 budak darjah 6

Dia melompat setinggi 3 budak darjah 6!

Saya tahu dia melompat tinggi. Kerana semasa lompatannya itu menyamai paras mata saya, saya dapat lihat asap roket beserta 'fuel' warna merah keluar dari 'thruster' kucing itu.

Selepas itu dalam masa 0.5 saat, kucing itu lesap entah ke mana. Saya tahu 0.5 saat kerana saya hanya dapat melihat percikan bendalir merah itu sahaja yang tinggal di awangan, dan saya kira ia ambil masa 0.5 saat untuk jatuh ke tanah.

Kemudian, kami tak pernah jumpanya.

Hah! Samseng sangat! Samseng longkang ada la..






Pat Harkin: Sub-Dean School of Medicine University of Leeds
SSC : Sejenis assignment

Isnin, 23 November 2009

..eksperimen 2..

..dan saya tertanya-tanya, kenapa perlu abah potong rambut saya, baru 3 bulan lepas abah potong. Setelah diamati maka saya membuat kesimpulan, bahawasanya seperti pokok taugeh yang saya selalu tanam (dengan menyemai kacang hijau atas kapas basah), rambut juga sebenarnya tumbuh!

Maka saya juga tertanya-tanya, jikalau rambut itu tumbuh, dan rambut itu seperti bulu, adakah berus lukisan juga tumbuh?

Abang punya berus lukisan yang bermacam-macam saiz, untuk mata pelajaran seninya di sekolah. Saya sering memerhatikan berus lukisan itu dan bermain-main dengannya, dan terdetik di hati saya adakah berus itu juga tumbuh seperti rambut.

Maka saya pun mencapai gunting, dan potong berus lukisan itu, bermula dengan berus paling kecil.

Selang seminggu, saya tengok kembali.

"Masih tidak tumbuh"

Maka saya memotong berus yang lain, iaitu bersaiz sederhana dan besar.

Dan malamnya saya mendengar abang dimarahi emak, tentang berus lukisan yang dipotong, dan abang menjawab tidak tahu, lalu emak mengatakan abang tidak pandai jaga dan biarkannya dipoting oleh kawan-kawannya yang mungkin dengki.

Dan sebulan pun berlalu.

Saya melihat dalam rak buku abang. Dan tepat pada sangkaan saya, bulu pada berus lukisan itu juga sama,

"Ianya tumbuh semula!"

Maka hati menjadi semakin ghairah. Lalu gunting dicapai sekali lagi, dan kali ini semua berus lukisan itu ditarah sehingga rapat!

Dan besok paginya semasa abang hendak ke sekolah, (dan saya hendak ke tadika mungkin), saya dengar abang saya mengomel-ngomel dan emak pula dengan suara yang marah.

Malam itu saya membuka rak buku abang, untuk melihat hasil eksperimen saya. Tetapi kali ini saya terkejut.

"Asalnya ada 3 berus, tapi sekarang kenapa pula 6? Dan siapa pula memotong berus yang lagi 3? Saya hanya potong 3 berus bulan lepas, dan memotongnya semula semalam"

Hati makin tertanya-tanya. Namun dibiarkan sahaja.

Akan tetapi persoalan 'tumbuh-menumbuh' itu tidak berakhir di situ sahaja.

Teori baru diformulakan, "Kalau macam itu, kalau kita potong tangan kita, bolehkah tangan kita tumbuh semula?". "Bagaimana pula dengan kaki?". Dan teori radikal dicapai oleh budak tadika "Kalau kita potong tangan orang, dan pabila dia mendapat anak kita potong tangan anaknya, dan pabila anaknya melahirkan cucunya dan kita potong tangan cucunya, maka lambat laun keturunnya akan dilahirkan tanpa tangan"

Dan persoalan itu melewar-lewar di kepala. Sehinggalah satu hari di rumah tok.

Abang dan kakak iza (Izza Hazirah) sedang membuat kerja sekolah. Saya dan adik bermain-main dengan kucing yang ada di rumah tok. Saya capai gunting abang. Persoalan itu semakin berat rasanya di tanggung oleh kepala dengan desakan untuk membuat eksperimen memuncak-muncak, namun pada siapa?

Lalu ketika adik tiada, saya mengangkat anak kucing yang ada di rumah tok.

"Kalau rambut boleh tumbuh semula, adakah tangan juga boleh? Dan adakah telinga juga boleh?"

Dan,

Zaaass

Saya meletakkan gunting ke dalam kotak pensel abang, dan saya letakkan anak kucing di luar rumah. Harap tiada siapa yang nampak eksperimen saya, biarlah saya sahaja.

Namun langit tak selalu cerah, hati tak mesti bebas gundah. Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

"Sapa potong telinga kucing ni?"

Suara abah yang hingar sungguh bunyinya. Saya jadi takut.

"Matilah aku"

Lalu saya menjawab, "Wan kot"

Jaring dituding pada adik saya, kerana dia paling bongsu, dia paling kecil, dan umurnya hanya 4, tiada siapa yang akan marah padanya. Dan tepat pada sangkaan saya, tiada siapa yang marahkannya.

Dan setiap minggu ketika pulang ke kampung saya mencari anak kucing itu, hanya untuk menemui kekecewaan bahawasanya tak semua benda yang dipotong boleh tumbuh.

Tak semua yang patah boleh tumbuh, dan tak semua yang hilang boleh berganti.

Dari kiri: Izza Hazirah, Hazwan Adzfar, Faizul Adzfar, Hazrul Adzfar

Ahad, 22 November 2009

..eksperimen 1..

..dan ketika itu dalam usia yang bertatih ke 6 tahun, saya mungkin seorang yang belum dikira mampu memikirkan segala-galanya. Mungkin pada ketika ini saya amat bersetuju dengan apa yang telah diajar dalam I&P, bahawasanya kanak-kanak adalah ibarat saintis kecil yang sentiasa tertanya, namun semuanya telah dan saya masih ingat lalui semasa saya kecil.

Pada kira-kira usia itu, obsesi saya adalah perkara yang sama dengan minat manusia pada masa sekarang: tenaga. Namun tenaga yang saya ketahui pada masa itu hanyalah satu, itulah api, yang saya kira juga adalah minat semua kanak-kanak semasa kecil tak kira zaman apa.

Saya menyalakan api menggunakan guruih (mancis dalam bahasa Kedah), satu persatu sambil mata terpaku akan butir-butir hitam itu mengeluarkan cahaya dan haba. Oh tidak lupa juga cahaya dan haba itu boleh berpindah dari bahan ke bahan! Dan bahan yang terkenal pada masa itu sudah tentulah kertas surat khabar.

Lalu kepala kaku sambil mata terpaku melihat kertas surat khabar terbakar dimamah api.

Oh tidak cukup dengan itu, saya ambil pula pembancuh simen (yang seperti rupa alat memasak burger) dan diletakkan atas nyalaan api, meniru rupa perkakas yang saya biasa lihat digunakan emak di suatu 'compartment' rumah bernama dapur. Ayah saya seorang geologis, dan juga seorang Civil Engineer, maka bahan-bahan untuk membuat rumah biasanya bertaburan di rumah saya. (Jadi jangan cuba gebang dan tipu saya pasal geologi dan civil, saya dibesarkan dengan cerita tanah dan batuan serta bangunan)

"Eh kenapa kertas terbakar, benda ini tidak?"

Lalu tangan ini gatal menyentuh besi pembancuh simen ini, seraya disertai lolongan yang membasahkan sel muka dengan darah yang mengalir rapi dalam kapilari.

Muka merah padam kerana sakit, mujur hanya sedikit.

Lalu hati terdetik kerana benda itu panas.

"Oh jikalau aku panas aku mandi"

Benar.

"Kerana air itu boleh sejukkan benda, mungkin"

Saya memikirkan perkara apa yang boleh dicuba untuk menguji kebenaran pernyataan itu. Setelah berfikir panjang dan sambil melihat sekeliling, lalu tangan ini mengambil semula pembancuh simen dan dilayurkan atas api.

Hampir cukup panas rasanya pembancuh simen itu, saya mengangkat dan membawanya masuk ke dalam rumah, mencari-cari kalau ada bahan yang berair untuk dicuba supaya pembancuh simen itu boleh sejuk.

Namun agak hampa kerana tidak dijumpa di ruang tamu. Berarak pula ke dapur.

"Oh sinki terlalu tinggi pula" Hati mengomel tidak berpuas hati kepada usia diri ini yang baru berangka 5 atau 6.

Lalu perarakan dengan pembancuh simen itu masih dihadapan diteruskan ke destinasi terakhir: tandas.

Ada bunyi air, mungkin abang sedang mandi.

Rupanya adalah betul, dan kebiasaan kami adalah mandi tidak bertutup pintu, atau tutup tidak berkunci, kerana dilarang keras oleh emak dan abah. Larangan itu juga berpunca dari salah saya yang suka main air. Obses saya bukan hanya pada api, malah juga air, sama seperti manusia lain.

Lalu tangan menolak pintu, dan nampaklah abang Pejon (Faizul Adzfar) sedang mandi. Dia tidak menghadap pintu, maka dia tidak sedar akan kehadiran adiknya ini.

Dan dari belakang saya nampak badannya yang sedang disimbahi air itu.

"Air, penyejuk"

Lalu tangan ini pun menekap pembancuh simen ke belakang abang Pejon, yang juga hadir dengan lolongan tajam, dan sudah tentulah wap (atau asap kulit terbakar?).



Abang Pejon (kiri) bersama kanak-kanak yang mak saya mengasuh.

..kisah phosphorus dan nitrat..

Dipetik dari salah satu nota Facebook saya bertarikh 8 Mac 2009

...dan saya selalu sahaja bermain-main di sekeliling rumah nenek itu, tidak kira seorang ataupun bersama adik atau kakak saya. Biasanya selepas pulang dari tadika saya dan adik akan mula menjelajah seluruh pelusuk belukar di depan stor, kemudian kami menjengah pula kedalam bekas kolam ikan ayah saya, dilihat-lihat jikalau ada yang boleh dijadikan barang untuk dimainkan.

Sepetang dihabiskan melewar di ruang penuh semak samun beserta pohon-pohon rambutan yang saya kira lebih tua dari saya. Kemudian hampir sahaja senja, ayah akan datang mengambil kami pulang, dan rumah tok menjadi teka-teki semula untuk dijelajahi keesokan harinya.

Pada suatu hari saya mendapat mercun papan yang saya sudah lupa sama ada diperoleh dari sepupu ataupun abang. Abang kadang-kadang memperolehnya dari rakannya, atau sepupu entah mana didapatinya, mungkin dari kedai dihujung kampung.

Mercun itu menjadi bahan mainan kami yang baru, bermacam-macam projek dijana dengan idea-idea serupa bernas di benak pemikiran budak 6 tahun dan 4 tahun. Mula-mula dimasukkan di dalam tin susu kosong dan diletup untuk mendengar gemanya, kemudian dimasukkan ke dalam buah kelapa muda yang gugur, atau buah kelapa tua ditepi stor yang disimpan tok untuk dibuat benih. Masing-masing mahu melihat kesan letupan mercun papan itu, kuat atau tdak, bunyinya terpekung atau bak halilintar, atau hanya saja-saja untuk mencari idea baru.

Saya juga pernah membelah mercun itu untuk melihat apa yg ada didalamnya, walaupun dibangkang adik kerana ianya sama sekali merosakkan mercun itu. Kami juga kadang-kadang kecewa apabila mercun itu masuk angin, istilah yang digunakan orang kampung untuk mercun yang gagal mengaum ketika dicucuh api, dan juga yang bunyi seperti kentut kecil, mungkin kerana phosphorus dan sulfurnya sudah teroksida, atau nitrat didalamnya belum cukup padat, atau juga ferumnya sudah berkarat.

Sedang asyik saya leka mengeksperimen dengan mercun-mercun itu, tiba-tiba adik saya lari kerana terdapat seekor ayam betina bersama anaknya.

Bagi yang jarang mencium udara kampung, ayam betina bersama anak-anak adalah suatu yang mesti dihindari, kerana selembut-lembut ayam itu dan sepenakutnya ia lari jika dikejar kita akan berubah utara selatan jika ianya bersama anaknya. Secara automatik ayam betina yang menjaga anaknya akan berubah ke 'protective mode', dengan kepaknya dikebar besar untuk anak-anaknya bersembunyi, serta bulu tengkuknya mengerbang hingga ayam itu serupa belon yang ditiup padat dengan udara, dan sekarang tugasnya hanya satu, menyabung sesiapa yang datang dekat! Kakak saya pernah luka-luka dikaki dek dipatuk ayam betina yang berang entah tiba-tiba.

Akan tetapi pada hari itu, bagai satu kekuatan baru yang saya dapat dari bermain mercun, saya tiba-tiba menjadi bersemangat untuk mencuba sesuatu yang baru, menganggu ibu ayam itu. Mungkin kerana anak-anak ayam yang comel itu mendorong saya untuk mengejar mereka, atau saja-saja untuk suka, saya mula merancang bersama adik pada hari itu, untuk mengelirukan ibu ayam itu dan menangkap anaknya.

Adik saya berdiri dihadapan ibu ayam itu, saya dibelakangnya. Ibu ayam itu menjadi pening untuk mengadap siapa, bulu tengkuknya dikembang kearah saya, kemudian kearah adik saya, seperti tidak tentu arah, kemudian kami mula mengejar anaknya. Apabila ibunya mengejar, saya lari dan adik saya mengejar anaknya, pabila ibunya sedar anaknya dikejar, ibunya akan mengejar adik saya pula, diulang-ulang. Ibu ayam itu pula kemudian seperti sudah hilang arah dan anak-anaknya yang mengejar ibunya mula berkeceramuk dan bercempera ke arah lain. Sampai satu ketika, tangan saya hampir sahaja menyentuh seekor anak ayam.

Saya terus mengejar, akan tetapi ibu ayam itu sedar akan gelagat saya, lalu ia mula beralih arah dan mula hendak menyabung. Saya terkejut, dan mula melarikan diri mengelak ayam betina itu, dan pada masa itulah ianya berlaku. Anak ayam yang saya kejar tadi itu hilang dari pandangan mata, dan saya mula memacu mata saya kehadapan untuk lari, dan pada masa itulah anak ayam yang sedang ketakutan itu juga lari lintang pukang ke celahan kaki saya, kebawah kaki, dan semasa saya cuba mengambil langkah seterusnya, kaki saya secara tanpa sedar berada di atas anak ayam itu, dan sayapun ter...


. . .

Rasa tidak sedap hati menjengah kepala, tentang benda lembut sebentar tadi yang berada dibawah tapak kaki. Adakah ianya ular? Atau hanya tanah liat? Atau.. Saya menoleh kebelakangan , dan semasa mata saya meliar mencari itulah pandangan terpaku pada suatu bebola berbulu kuning diatas tanah.

Saya kaget, bebulu kuning diatas tanah itu bukanlah sesuatu yang nampak seperti elok untuk dipandang. Saya berhenti, ayam betina itu sudah pergi entah kemana. Adik saya juga terpaku, kami mendekati bebola bulu kuning itu, dan masing-masing mula menjadi pucat melihat akan paruh kecil serta kaki di benda itu, serta percikan merah yang keluar dari paruh itu. Masing-masing cuak, takut, gelisah, tok mesti marah jika tok tahu anak ayamnya mati oleh kerja kami berdua, masing-masing terdiam sejenak.

Tiba-tiba terdengar laungan dari jendela rumah tok “Oun, wan, mai masuk minum milo mai!” . Suasana menjadi lebih kaget, tok memanggil kami masuk kedalam, apa perlu dibuat dengan anak ayam itu? Jika kami masuk kedalam sudah tentu tok akan perasan tentang benda tidak bernyawa itu dan mesti mengesyaki kamilah yang membuat bahananya.

Lalu saya mula berfikir, apa yang mahu dibuat dengan bangkai itu? Jika mahu dibuang disemak mesti lambat laun tok akan jumpa semasa menebas, jika mahu ditanam tiada cangkul atau jika ada pun mesti tok akan curiga, lalu semasa kaget inilah kepala saya tiba-tiba disampuk sesuatu, “Sat tok, nak main mercun ni bagi habis sat!”

Segalanya disiapkan, satu disisipkan dibawah bangkai itu, dan satu diterojoh masuk kedalam paruh kecil bangkai itu.

Api dihidupkan, dicucuh yang dibawah bangkai itu dahulu kemudian baru pada sumbu yang terkeluar sikit dari paruhnya. PANGGGGG!!! Letupan pertama, cecair merah terpercik sedikit bersama asap serta bebulu kuning seraya sesuatu yang kecik terpelanting ke atas, dan seterusnya PAAANNNGGGG!!!

Benda yang diudara itu hilang dari pandangan, ditelan asap-asap yang kelam. Proses penghapusan bukti berjaya, tiada kesan bangkai hatta setitik darahpun tertinggal, tiada kubur perlu digali, bukti kekejaman saya dan adik hilang, dan kami masuk ke rumah tok dengan senang hati untuk minum milo, minuman kegemaran semasa kecil.


. . .


Setelah lebih sepuluh tahun peristiwa itu berlaku, saya masih ingat dengan jelas rupa anak ayam itu. Pada suatu hari saya terbaca di akhbar sebuah berita hangat, berita tentang serpihan mayat dijumpai diatas puncak sebuah bukit akibat dibom. Saya tersenyum, sambil hati kecil saya berkata “Ingatkan aku sorang ja yang bwat camni, rupanya ada lagi”


Stor (asalnya adalah sebuah jelapang)



Bubu? Lukah? Entah saya pun tak tahu.


Adik saya Hazwan Adzfar di atas busut bawah pohon buluh


Pokok rambutan yang saya selalu panjat semasa kecil

Tok di depan rumah.


Buah kelapa untuk dibuat benih.