Selasa, 30 November 2010

..tenaga manusia..

..dan karbon-karbon yang terikat dalam bentuk glukosa itu, bersama juga dalam bentuk lipid atau protein, atau apa jua bentuk, akan dimuatkan ke dalam molekul enzim. Molekul enzim yang khusus untuk bentuk tiga dimensi setiap bahan itu sendiri, seperti model mangga dan kekunci di mana setiap mangga hanya mampu dibuka oleh sebatang anak kunci.

Pabila karbon-karbon yang terikat itu masuk ke dalam enzim di merata-rata tempat diseluruh badan, asid amino dalam enzim itu akan mula bertindak balas secara fizikal dan kimia dan mula mengubah bentuk.

Akhirnya setelah melalui berbagai-bagai tindak balas di dalam berbagai-bagai siri enzim, ikatan antara karbon itu pecah, dan ianya menghasilkan haba, mahupun letupan kecil fizikal, atau juga perpindahan electron semasa ikatan itu pecah yang menghasilkan molekul lain. Dan seterusnya molekul ini ditindak balas pula oleh enzim lain dengan pemindahan electrom dari molekul reactif, dan akhirnya berakhir sebagai molekul-molekul ATP yang menjadi bahan bakar asas kepada setiap tindak balas yang memerlukan tenaga dalam badan kita.

Tenaga, dari ikatan karbon yang berasal dari makanan itu, dipindahkan dalam bentuk bahan kimia bermula dari mulut, ke usus, diserap dan diasimilasi di hati kemudian dipindahkan dan disimpan ke setiap bahagian badan kita. Dan akhirnya dengan bahan itu, setiap inci kubit hatta setiap sel kita menghasilkan tindak balas menghasilkan ATP itu.

Maka setiap sel dalam badan kita menghasilkan ATP, dan juga menghasilkan haba sebagai bahan buangan.

Badan kita adalah seperti reaktor tenaga dengan tenaga dibebaskan dari setiap inci kubik badan kita.

Tindak balas itu ibarat membakar kayu yang punya ikatan karbon, namun bakaran ini sangat terkawal, sangat jitu, dan sangat spesifik di skala nano. Bakaran ini terhasil dengan perpindahan electron dari atom-atom ke atom-atom lain dalam keadaan larut dalam air, tak seperti bakaran kayu yang padam di dalam air. Satu molekul di bakar setiap masa, tidak seperti membakar kayu.

Reaktor manusia, ibaratnya.

Jika disebut tindak balas nuklear, umum mengetahui dahsyatnya natijah nuklear di Hiroshima dan Nagasaki. Dan tenaga nuklear itu sangat besar untuk setiap gram bahan bakar jisim yang ditukar kepada tenaga. Lebih besar dari pembebasan tenaga dari ikatan kimia dalam proses badan kita.

Dan umum juga mengetahui reaktor nuklear terbesar dan terdekat dengan kita tidak lain dan tidak bukan datang dari matahari kita sendiri.

Sebuah bintang yang senantiasa melakurkan hidrogennya sebagai bahan bakar dan menghasilkan helium, dan dengan sedikit jisim yang 'hilang' dalam tindak balas itu terbebas sebagai tenaga haba dan radiasi di permukaannya, yang bergerak berbillion kilometer sampai ke bumi, namun masih mampu membuatkan kita peluh dan juga masih mampu mencetus kebakaran hutan.

Namun, di dalam seinci kubik jisim matahari itu, tidak banyak sebenarnya tenaga dihasilkan. Hanya sekelumit sahaja yang bertindak balas.

Langsung tidak sama dengan badan manusia yang punya tindak balas kimia di setiap pelusuk badan kita.

Ini memeberikan satu lagi fakta yang jarang diketahui. Jika diambil semua jumlah kadar pengeluaran tenaga haba dan cahaya matahari dan di bahagikan dengan isipadunya, sebenarnya seinci padu matahari itu mengeluarkan hampir beribu kali lebih rendah tenaga dari seinci padu badan manusia.

Atau dengan kata lainnya, kita sebenarnya lebih panas dan mengeluarkan lebih banyak tenaga dari matahari.

Hanya kerana nisbah jumlah luas permukaan kepada isipadu badan kita yang besar, dan jisim kita yang kecil, dibandingkan dengan nisbah yang sama oleh matahari yang jauh lebih kecil, dan jisim matahari yang jauh berbillion lebih berat dari manusia, maka matahari lebih panas dan mengeluarkan lebih banyak tenaga dari kita.

65 000 sentimeter padu seorang manusia lebih panas daripada 65 000 sentimeter padu matahari.

Siang tadi salji masih turun (walaupun sekarang hanya kira-kira 8 jam siang), dan salji masih turun sekarang.

Meski ada mentari tadi, suhu hanya mampu menggagah -1 celcius.

Masih lagi di bawah paras beku.

Menarik sebenarnya pabila melihat bangsa manusia di sini telah hidup beribu tahun di sini. Telah beranak pinak dan meneruskan kelangsungan kehidupan mereka di sini. Masih mampu bertahan dan mampu pula menghasilkan kehidupan lain dari rahim mereka.

Saya berjalan pulang dari hospital pada pukul 6 malam tadi dengan suhu masih di bawah paras beku. Saya melihat orang di sekeliling. Orang, manusia yang diperbuat oleh 60% air secara jisimnya.

Jika dibiarkan segelas air di jalanan di sini, ianya akan beku dalam masa satu jam.

Namun manusia, yang 60% air itu tidak pula beku, malah masih hidup, dan mampu membiak pula.

Oleh sebab salji turun awal tahun ini, maka keadaan sejuk akan berterusan disepanjang 3 bulan ini, dan kira-kira 2 bulan suhu akan berada di bawah paras beku. Dan saya kira manusia di sini telah melalui suhu begini sejak beribu-ribu tahun dahulu.

Walau keadaan di sekeliling berada di bawah paras beku, kita tidak akan beku meski dibuat daripada air, kerana reaktor badan kita membakar sesuatu di dalam air itu.

Walau tanpa matahari untuk memanaskan sekeliling, kita akan terus panas.

Siapa perlukan matahari, jika badan kita lebih panas darinya?

Siapa mahu menjadi bintang, sedangkan kita lebih hebat dari sebutir bintang?

Untuk menjadi hebat, kita tidak perlu berlumba menjadi bintang , kita hanya perlu bersama-sama menjadi manusia.

Ahad, 28 November 2010

..dingin malam..


..dan kemudian saya menoleh dan memandang ke luar tingkap itu dengan pandangan jauh merentasi tingkap cermin nako yang terkadang di hadapan. Biar jauh hampir seratus kilometer, Gunung Jerai masih dapat kelihatan di hujung sana.

Birunya tidak sama dengan biru malam.

Biru gelap Gunung Jerai lebih pekat daripada biru langit malam itu.

Malam itu bulan purnama.

Langit terkosong dari awan.

Dan cahaya bulan purnama melimpah ke atas bendang-bendang padi di belakang blok asrama putra Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu.

Pemandangan yang indah pada pukul 3 pagi.

Masakan saya dapat melelapkan mata jika dijamu pemandangan indah begini?

Mungkin. Kerana makan yang sedap itulah yang bisa buatkan kita kenyang dan terlena, dan hidup yang senang dan mudah itulah yang sering buatkan kita terleka.

Dan saya berharap agar mata ini terpejam oleh kedamaian malam itu.

Saya masih ingat lagi bau dorm itu. Bilik B208. Oleh sebab sekolah saya dikelilingi sawah padi, maka sejajar dengan musim tuai, benih, baja dan racun padi itu maka sekolah saya juga punya empat musim. Ada kalanya musim nyamuk, ada kalanya musim serangga kecil hijau yang saya tidak tahu namanya, ada kalanya musim cali, dan ada kalanya musim kesing atau nama manjanya kutu beruang atau kutu babi. Dipanggil demikian kerana baunya busuk macam bab*. Dan dengan hampir 1/5 perlis itu sendiri yang merupakan ladang tebu, pabila orang menuai tebu dengan membakarnya terlebih dahulu, kami mendapat salji hitam. Salji yang turun dari langit yang berwarna hitam. Tidak menyejukkan, apatah lagi ianya memanaskan hati apabila ianya melekat di baju dan meninggalkan kesan hitam di baju jika kita cuba menyepuhnya dengan tangan.

Malam itu musim kutu babi.

Meski serangga itu tidak berbau babi, namun disebabkan baunya yang sangat menjengkelkan, ianya dinamakan sedemikian mengikut budaya orang Melayu yang suka mencarut dengan kata "Bab*!".

Saya masih ingat bau itu. Entah mengapa ianya sudah melekat kuat di minda saya dan terbiasa pula saya dengannya. Mungkin karena bau itu muncul di peringkat perkembangan pesat otak saya pada usia remaja itu, maka otak saya sudah menerima bau itu sebagai perkara yang biasa. Dan kemudian oleh sebab bau itu hanya di dorm dan blok aspura, maka setiap kali saya membau bau seperti itu saya teringatkan katil saya di sekolah itu.

Meski sudah disapu saban malam, bau kutu babi itu masih bertepu di dalam bilik itu. Mungkin sudah diasimilasikan dengan udara bilik itu, atau mungkin kerana bau itu sudah meresap di cadar-cadar dan kemudian terbebas perlahan-lahan.

Saya hampir terlelap dengan bau dan pemandangan itu.

Dan tiba-tiba terdengar bunyi deruan angin dari jauh yang menyelinap di celahan daun. Dan beberapa saat kemudian ianya menyapa wajah saya.

Bau bendang. Dan juga bau yang kosong. Udara segar semata-mata

Saya menarik selimut ke atas badan sambil tangan menggengamnya rapat ke dagu. Ianya tidak sesejuk manapun. Cuma sedikit dingin. Ianya panas berselimut, namun menenangkan.

Saya teringat malam itu, bahawa lima tahun sebelum itu saya pernah tertanya-tanya, apa yang saya sedang buat lima tahun kemudiannya. Ketika darjah enam dan masih terbayang-bayang bagaimana rupa dewasa saya. Dan saya tersenyum sendirian pabila teringatkannya.

Lima tahun yang lepas, tahun 2000 saya tertanya-tanya apa yang saya sedang buat pada 2005 yakni sekarang.

Saya ketawa dalam hati. Saya sedang berada di tingkatan lima di sekolah ini, pukul tiga pagi dan tidak dapat tidur malam sambil cuba mencari sesuatu untuk membuatkan saya terlelap, dan saya juga sedang menikmati pemandangan malam sawah padi di tingkap itu sambil terbau bau kutu babi itu dan mungkin besok siangnya akan ada salji hitam.

Sambil dibaluti dingin malam, saya memejam erat mata cuba untuk tidur, dan memikirkan, apa yang saya sedang buat lima tahun akan datang.


*****


Saya memandang ke luar tingkap dari meja saya ini. Tiada serangga di sini pada musim ini. Terlalu sejuk. Di luar sana deretan rumah berbata merah. Rumah kecil bertangga sempit. Tingkap tertutup rapi. Tidak mahu angin luar bertiup masuk.

Entah mengapa saya sering teringatkan pengalaman di sekolah menengah dahulu. Mungkin kerana kehidupan berasrama yang dipenuhi dengan sahabat-sahabat yang membesar bersama-sama dari sebelum baligh hingga ke tahap mampu menjadi bapa orang. Bersama-sama melalui zaman 'goncangan' pemikiran dan tumbesaran minda membuatkan saya terikat kepada memori di sekolah itu.

Mungkin zaman itu zaman gila, sekolah itu tidak seberapa, namun memorinya yang paling jelas di minda. Penuh ceria, penuh gembira, walau punya duka, tetap terjaga.

Dan memori itu diukir bersama rakan-rakan.

Saya memandang ke luar tingkap.

Salji sudah berhenti turun, dan suasana memutih saujana mata memandang.

Langit berawan rendah, tidak bercahaya bulan. Hanya pencemaran cahaya bandar sahaja. Tiada bau apa di bilik saya, hidung saya sudah sebulan tersumbat kerana sekarang musim sejuk.

Dinginnya di malam ini, suasana sepi.

Saya menarik duvet dan membungkus badan. Ianya panas dan selesa begitu.

Saya cuba memejamkan mata untuk tidur, dan memikirkan apa yang sedang saya lakukan lima tahun akan datang.



Khamis, 21 Oktober 2010

..erti sebuah kebebasan..


..dan kemudian saya terfikir sejenak selepas melihat pernyataan itu. Ianya adalah sebuah pernyataan yang benar, tiada salahnya dari segi kelogikannya. Secara teroinya ianya adalah benar. Namun adakah secara praktikalnya ianya boleh diterima?

Semenjak dewasa ini saya telah mula berpijak di bumi nyata tentang segala teori dan kewarasan remaja saya. Zaman remaja saya penuh dengan pengoncangan minda yang mempersoalkan segala-galanya. Mungkin pada masa itu dibelenggu pagar sekolah membuatkan saya tidak peka dengan isu politik semasa, namun dengan kecambahan perangai manusia di sekolah saya telah mula mempersoalkan rasional manusia. Perkara yang sama saya kira kebanyakan manusia umur saya mula peka sekarang, dan mula menapis segala apa yang dilapor media utama.

Namun saya sedar, segala yang teori itu tak mungkin dilakukan.

Seperti yang pernah saya nukilkan dahulu,

"Teori adalah 2 dimensi, praktikal adalah 3 dimensi"

Kita boleh berteori tentang sesuatu itu dan cuba menjengahnya dari segala macam sudut yang mungkin kita fikirkan.

Kita ambil contoh seperti memasak. Kita boleh berbicara tentang bagaimana cara memasak kari, apa yang boleh dilakukan, dan perkara utama adalah apa yang sepatutnya dilakukan. Dan 'apa yang sepatutnya' inilah yang sering menimbulkan debat. Kerana 'apa yang sepatutnya' menjadi satu macam tempat percambahan idea di mana semua orang cuba berpendapat.

Dan adakah semua pendapat itu boleh diterima pakai? Ianya adalah seperti dalam pelajaran falsafah tentang kesahihan ilmu itu adalah apabila kita berjaya membuktikan ramalan kita. Dan 'apa yang sepatutnya' ini adalah menjadi ramalan tentang perkara yang akan terjadi dan apa yang kita boleh atasi.

Jika memasak kari itu kita perlu didihkan snatan selama 5 minit kemudian renehkannya untuk memberi tekstur pecah minyak, kemudian datang pendapat lain pula mengatakan santan itu hanya perlu didihkan kerana haba yang ada sudah cukup untuk membuatkannya pecah minyak, 'apa yang sepatutnya' ini boleh menjadi debat panjang. Dan bagaimanakah kita ingin mengetahui kebenarannya?

Dengan mencubanya sendiri, atau dalam istilah kegemaran saya 'membuat eksperimen'.

Atau juga dalam erti kata lain, cuba menghampiri realiti.

Dan dalam realiti, adakah semua perkara itu boleh dilakukan? Adakah secara realiti kita mahu melakukannya? Adakah secara realitinya mendidihkan santan itu perkara yang diterima umum walaupun ianya memakan banyak gas? Ataupun kerana kari itu sepatutnya kelihatan sedikit berminyak, kita perlu akan tekstur pecah minyak itu? Dan adakah hanya kerana kita fikir kari itu sepatutnya kelihatan pecah minyak, maka semua orang akan menyukainya begitu?

Dan dalam relaiti, segala yang di dalam teori itu sebenarnya sukar direalisasikan. Akan sentiasa ada satu dimensi yang kita akan terlupa lihat. Teori itu adalah 2d, praktikal itu adalah 3d.

Cara kerja tuhan? Cara kerja tuhan adalah infinit.

Perkara ini timbul semula saban hari ini dengan berbuihnya blog-blog di internet, percuma untuk ditulis, percuma untuk dibaca, semuanya bebas tanpa siapa yang mengenali kita. Ini dunia bebas, sekurang-kurangnya di internet begitu setakat ini.

Isu kebebasan bersuara yang sudah lama berkisar ini saya tidak ingin tulis di sini kerana nanti akan panjang lebar dan kemudian akan ada komen 'anonymous'yang memaki hamun. Saya tak suka maki hamun 'anonymus', saya boleh terimanya lagi kalau ianya bernama dan penuh dengan intelektualisma.

Namun, adakah kerana kita bebas melaungkan apa yang kita suka, kita boleh melakukannya. Adakah tindakan menyekat akhbar itu kurang penting daripada menyekat suara-suara subversif yang belum kenal pangkalnya sama ada ianya adalah dari majoriti atau minoriti?

Saya ingin mengambil contoh yang terdekat dengan diri kita.

Contoh ini adalah kentut.

KIta mulakan dengan sebuah 'thought experiment' (istilah yang terkenal dalam essay ethics saya sekarang ini).

Bayangkan ada berada dalam dewan kuliah dan anda berasa hendak terkentut sangat-sangat.

Adakah anda akan terus kentut?

Jika anda percaya ini adalah sebuah negara bebas, maka anda akan terus kentut. Namun, adakah kepercayaan anda itu dikongsi bersama oleh orang lain? ADakah kepercayaan anda itu adalah majoriti?

Dan kemudian anda cuba berteori logik bagi menyokong tindakan anda.

Oleh sebab orang lain di dalam dewan kuliah itu adalah manusia, maka mereka sama seperti anda yakni mereka perlu kentut. Maka kentut itu adalah normal, kerana semua orang perlu melakukannya. Namun sekali lagi, adakah semua orang sama seperti anda, atau anda hanyalah sekutil majoriti yang perlu akan kentut?

Dan kemudian dengan semangat kebebasan bersuara, kebebasan melakukan semua perkara, dan apa yang sepatutnya manusia lakukan dan hak asasi manusia, ditambah pula dengan motivasi anda yang mahu menegakkan perkara yang benar, berani, tidak hipokrit dan anda berkeyakinan diri yang tinggi, maka anda fikir ianyalah adalah rasional untuk kentut pada masa itu.

Dan dengan memikirkan hujah terakhir anda bahawa semua orang pernah mendengar kentut, dan pernah mencium kentut, maka orang akan memahami dan menyokong perlakuan anda itu.

Tapi saya pasti, jika anda hendak kentut, anda masih berharap bahawa kentut anda itu adalah dari jenis tidak berbunyi (berbau itu mendatangkan keseronokan). Atau ini hanayalah pandangan peribadi saya yang terkategori sebagai minoriti?

Bagi saya, orang yang menahan kentut adalah orang yang hipokrit, tidak berkeyakinan diri dan tidak berani menegakkan keadilan.

Tapi saya tahu, itu hanyalah teori. Realiti adalah realiti. Orang akan memandang jelek orang yang kentut.

Teori adalah 2 dimensi. Praktikal adalah 3 dimensi. Cara kerja tuhan adalah infinit dimensi.





(Bahagian awal entri ini telah terperuk di dalam blog saya hampir setahun tidak dipost dan berkisar tentang isu kebebasan bersuara satu ketika dahulu, setelah ditambah analogi 'kentut' hari ini baru di post)


Isnin, 4 Oktober 2010

..Pendidikan eBay 101..

..dan kemudiannya dengan segala kemungkinan itu yang diberikan, maka sudah tentulah golongan-golongan 'baru' dan 'mentah' ini akan bersemangat untuk memulakan langkah pertama dalam kemudahan yang diwar-warkan di media itu. Di tambah lagi dengan atas dasar kejujuran dan keberkesanan sistem pos yang tinggi, maka tiada sebab untuk anda berjalan berkilometer ataupun memandu kereta ke kedai sedangkan segalanya boleh dihantar di depan pintu rumah dengan kos yang lebih rendah dari tambang bas atau duit minyak.

Namun disebabkan terlalu obses dengan sesuatu barang itu, ataupun kerana barang yang dicari sukar didapati, mereka tidak sabar-sabar untuk memiliki barang tersebut lantas memasukkan jumlah dan menekan butang 'bid'.

Teorinya mudah di sini.

Jika ada seratus orang yang bersedia untuk menbida sesuatu barang, dan diberikan tempoh lelongan barang tersebut akan tamat dalam seminggu lagi. Set ini ditambah lagi secara teoritikalnya tiada 'reserve price' diletakkan, dan bidaan dimulakan dengan harga 1 pound. Harga purata pasaran itu untuk barang itu adalah 100pound, dan harga bida di Ebay pada malam adalah 95pound, harga tengah hari 90pound, dan untuk harga secondhand adalah 70pound (malam) dan 65pound (siang).

Jika 100 orang ini adalah bersikap 'noob', maka walaupun masih tinggal seminggu bidaan berakhir, mereka akan mula mebida. Dan dengan ini, walaupun masih tinggal seminggu lagi, harga bidaan telah mula mendekati harga syiling (harga purata yang sanggup dibayar). Dan dengan ini apabila seminggu telah berlalu dan masa tertinggal 10minit, harga malam telah menjadi 90 pound (mendekati 95pound harga pasaran eBay).

Dan sekarang, jika kita tukar 100 orang ini kepada 100orang 'good eBayer'. Dengan menggunakan set kes di atas, kita dapat ramalkan bahawa dalam seminggu lelongan berlangsung, tiada sesiapa yang akan membida barang itu, walaupun barang itu sudah tersenarai dalam 'watch list' 100 orang. Dan apabila masa bidaan hanya tinggal 1minit, harga barang itu masih lagi 1 pound (harga permulaan). Namun apabila masa tinggal 10saat untuk berakhir, para eBayer ini akan mula memasukkan bidaan masing-masing. Adakah anda dapat memikirkan kesannya kepada harga akhir barang itu? Jika diberikan set eBayer ini tidak sama sekali akan memasukkan 95 pound sebagai harga tertinggi mereka, hal ini akan sama sekali mengakibatkan barang itu menjadi lebih murah berbanding harga yang dibayar oleh kes pertama.

Namun sudah tentulah kedua-dua kes ini adalah teoritikal sahaja.

Secara realitinya, taraf 'noob' dan 'good' eBayer ini adalah sperti taburan graf normal. Ianya seperti 50 peratus eBayer adalah 'noob', dan 50 peratus adalah 'good' eBayer dengan jumlah ini berada dalam dua standard deviation dari mean graf itu.

Maka dengan taburan ini, segalanya kadang-kadang menjurus kepada sesuatu yang tidak dapat diramalkan walaupun suasana ini diketahui menjurus kepada pengakhiran kes 1.

Contoh saya berikan, jika terdapat 50 orang 'noob' eBayer dan 50 orang 'goo'd eBayer membida barang yang sama. Walaupun masih tinggal satu minggu untuk bidaan berakhir, harga barang itu sudah mendekati harga syiling pasaran eBay kerana dibida oleh noob eBayer. Apa maknanya ini kepada good eBayer? Sama ada untuk membida di saat akhir ataupun membida pada waktu tengah hari kerana jika dia membida pada saat akhir, sudah tentu barang itu sudahpun menapai harga syiling.

Walaupun secara teorinya susah untuk menukar semua eBayer menjadi 'good' eBayer, tapi saya masih berharap sekurang-kurangnya 'mean' graf normal eBayer itu semakin hari semakin bertambah kearah good eBayer.

Selasa, 28 September 2010

..ular..

..dan selepas itu saya terus duduk di atas kerusi. Waktu masih lewat tengah hari. Belum lagi awal petang. Hendak keluar bermain di luar pun masih awal. Apatah lagi cerita Flashman masih lagi belum ke udara. Pantang naluri saya untuk keluar bermain sebelum menonton Flashman setiap hari.

Saya duduk sahaja di kerusi itu. Adik Wan dan akak sedang berbaring di atas karpet di ruang tamu itu. Hampir tidur mungkin. Kerana matahari masih lagi tinggi di langit dan terlalu panas untuk keluar bermain. Maka seperti biasa bagi seorang budak sekolah rendah pada masa seperti itu adalah untuk tidur sekejap. Namun saya tidak dapat tidur. Terlalu panas saya fikir untuk ketika itu. Saya suka tidur pada waktu petang kerana ianya lebih sejuk (jangan tiru aksi ini).

Di atas kerusi panjang abah sedang berbaring dan nyenyak lena.

Dia penat rasanya.

Dari sekian pagi lagi abah sudah berada di halaman rumah kerana memotong pokok bunga kertas dan pokok-pokok lain. Pokok-pokok itu sudah ada semenjak saya ingat lagi. Ianya tumbuh di dalam pasu bersama pokok-pokok bunga lain serta pokok bunga bakawali.

Mungkin kerana niatnya untuk mencantikkan kawasan. Apatah lagi pokok bunga kertas senang untuk dijaga. Dikatakan ianya tidak perlu disiram kerap maka sesuai dengan kesibukan yang kadang-kadang sudah tidak sempat menguruskan kehidupan yang lain melainkan diri sendiri.

Pokok bunga kertas itu tumbuh rendang dan ianya cantik. Namun akibat terlalu serabut abah memutuskan untuk menebangnya bersama pokok-pokok lain yang tumbuh di luar rumah itu.

Mula dari awal pagi abah sudah berada di luar dan mula menebang pokok-pokok itu. Hampir matahari tegak di kepala segalanya sudah siap ditebas. Tampak cerah akhirnya halaman rumah kami.

Terlalu letih mungkin, atau belum ada tong sampah besar untuk kawasan taman perumahan kami, atau juga wheel barrow di belakang rumah terlalu kecil untuk mengangkut semua itu untuk dibuang, abah melunggukkan sebentar daun-daun dan batang-batang itu di luar rumah di atas rumput tepi jalan. Mungkin petang nanti abah akan mengangkut semuanya dan dibuang ke tempat pembuangan sampah di hujung Taman Mahsuri Fasa 2D itu (sekarang tapak itu sudah menjadi restoran Dusun Permai).

Suasana sangat sepi tengah hari itu.

Dan saya sedang duduk di atas kerusi di sebelah kerusi panjang tempat abah berbaring.

Kerusi saya selari dengan kerusi abah, dan dibelakangnya dinding.

Dan ditepi kiri saya adalah gerbang masuk ke dapur dimana di situ juga ada pintu ke bilik depan, bilik tengah, dan bilik belakang yang sedikit dekat dengan tandas.

Abah nyenyak tidur.

Kakak dan Wan sedang berbaring di atas karpet beralaskan kusyen di kepala.

Saya sedang duduk hampir bersandar.

Dan ketika itulah saya terdengar sesuatu yang agak aneh punyinya.

Ianya seperti bunyi berdesis. Dan seperti bunyi sesuatu diheret.

Bunyi itu seperti di atas tempat sandar kerusi.

Saya berasa sangat aneh dan cuba memekirkan bunyi apakah itu. Dan dalam sekelip mata saya merasakan di atas tempat sandar kerusi yang saya sedang duduk itu, di belakang tengkuk saya bunyi benda diseret itu betul-betul dibelakang tengkuk saya.

Dan bersama dengan satu macam kesejukan yang sedang menyeret di tengkuk saya.

Saya terkejut dan terus terbangun dan menoleh ke belakang.

Dan ketika itulah saya nampak sesuatu yang panjang berwarna hijau gelap meluru laju di tempat asal belakang tengkuk saya itu. Ianya melungsur laju dan jatuh ke lantai.

Dengan terkejut dan refleks, saya terus menjerit,

"Ulaq! Ulaq!"

Dan saya betul-betul nampak ular itu meluru laju masuk ke bilik tengah.

Ayah saya terus terjaga dari lenanya dan dengan nada cemas bertanya "Mana? Mana?"

Adik dan kakak saya dengan terkejut juga bertanya.

Abah terus meluru mengambil batang penyapu.

Dan saya memberitahu bahawa ular itu masuk ke bilik tengah. Abah masuk dengan batang penyapu di tangan mahu menggodam ular itu.

Adik dan kakak saya juga berkata mereka terdengar bunyi sesuatu benda terjatuh, tetapi mereka tidak tahu apa bunyi itu.

*****

Peristiwa itu saya masih ingat sehingga sekarang. Dan rasa sejuk ular itu bergesel di belakang tengkuk saya masih lagi saya ingat sehingga sekarang. Rupa ular itu terjatuh dari kerusi dan menderu masuk ke bilik tengah juga saya masih ingat sehingga sekarang. Bunyi geseran ular itu di dinding juga saya masih ingat. Dan, bunyi ular itu terjatuh yang juga di dengari oleh akak dan adik saya juga saya masih ingat sehingga sekarang.

Meskipun setelah habis digeledah bilik tengah itu (yang tidak punya tingkap dan katil, hanya meja besar dan rak buku yang digunakan sebagai 'mini office' ayah saya), ular itu tidak pernah dijumpai.

Tetapi saya betul-betul nampak ular itu.


..angin..

..dan saya memandang langit pagi itu.

Hampir kosong.

Jauh di kejauhan nampak kebiruan yang sangat menenangkan. Langit itu mengingatkan saya kepada hari terakhir saya di Malaysia tempoh hari. Sebelum kaki melangkah masuk ke penerbangan Air Asia menuju ke Terminal Penerbangan Tambang Rendah (baca:murah) dari Alor Setar itu, saya mendongakkan kepala melihat ke langit.

Ianya kosong, tidak berawan.

Aneh rasanya. Langit di Malaysia jarang kosong begitu. Seakan-akan memberi satu 'headstart' kepada saya tentang langit yang saya bakal hadapi dalam masa 24 jam lagi. Ataupun mungkinkah ianya satu simbolik bahawa sebenarnya saya pulang dengan hati kosong. Hati yang masih bersama dengan rumah, emak, keluarga, orang teristimewa, atau segala-galanya yang saya sinonimkan dengan 'rumah'?

Namun saya biasa sangat dengan langit di sini. Sekejap sahaja ianya cerah begitu. Hasil cerah saki baki musim panas mungkin. Kerana sekejap sahaja ianya akan bertukar. Dengan angin artik yang menderu laju petanda musim sejuk sedang bertawar dengan angin selatan musim panas. Taktala 20 minit kemudian, langit mulai muram semula.

'Typical British weather'.

Dan kanvas biru di bumbung itu dicorakkan semula dengan awan-awan kumulus bertahap rendah, terlalu rendah sehingga saya kerap kali merasakan pandangan saya terpana dan tersekat daripada memandang jauh kehadapan.

Saya lebih sukakan awan di Malaysia. Terutamanya di Kedah. Rata-rata awan kumolonimbus bertahap tinggi yang dari jauh di ufuk barat di atas Kuala Kedah sudah menampakkan kerakusannya bahawanya awan itulah yang paling besar dan gah sehingga menggunung tinggi seperti gunung di kayangan. Namun kemegahannya masih lagi berhati perut, dengan tingginya itu tidak menghalang saya menikmati keluasan langit ciptaan tuhan.

Langin yang luas.

Kosong.

Mungkin kerana ianya menandakan kebebasan bak burung. Mampu pergi ke atas, bawah, depan, belakang, kiri, kanan, melintang, menyendeng.

Bebas.

Mungkin langit yang kosong itu hanyalah perumpamaan kepada musim panas tempoh hari dan tahun-tahun sebelum ini yang tidak dipenuhi dengan kesibukan dan mampu lagi merasa bebas.

Angin telah bertiup. Awan datang menutup langit kosong.

Angin tahun ketiga sedang menusuk. Saya terpana kerana tahu akan menjadi sangat sibuk.

Isnin, 23 Ogos 2010

..kereta kayu..

..dan kemudiannya saya membalut kotak milo itu dengan kertas warna berwarna ungu. Saya gamkannya erat pada kotak kertas itu. Kemudian cikgu arahkan supaya kami membiarkan kotak itu di atas meja untuk kering. Usai kelas hari itu, kotak milo yang pada awalnya saya bawa ke sekolah pagi itu sudah bertukar menjadi tempat meletak sampul surat pada tengah harinya. Cikgu pesan supaya kotak itu digunakan untuk meletakkan surat.

Saya bawa pulang hasil kelas pendidikan seni itu.

Bawa pulang dengan hati tertanya-tanya, mahu buat apa kotak ini?

Saya bukannya seorang yang punya kawan lain di negara itu untuk berutus surat. Kami juga tidak mengutus surat kepada saudara-saudara seperti dalam drama-drama Melayu di RTM pada tahun 90-an. Cukup hanya sekadar dengan telefon oleh Telekom.

Namun saya bawa pulang juga kotak untuk diisi sampul surat itu.

Setiba di rumah saya letakkannya di atas meja. Masih lagi memikir untuk buat apa dengan kotak itu.

Kemudian saya leka bermain hingga lupa hendak buat apa dengan kotak itu.

Pabila ayah saya pulang dari kerja, dia melihat kotak di atas meja makan itu dan bertanya,

"Benda apa ni"

"Kotak isi sampul surat, buat kat kelas PS tadi"

"Baguslah, boleh letak bil telefon, elektrik dan air"

Lalu ayah saya mengambil kotak itu dan melekatkannya di dinding.

Setiap hari dan bulan saya memandang dengan bangga pabila helaian demi helaian bil diletakkan di dalam kotak itu.

Rasa semacam satu kepuasan apabila hasil titik peluh sendiri digunakan dan dipuji. Biarpun ada kritikan selepas itu, saya yakin ianya supaya saya dapat membuat yang lebih baik. Dan saya berbangga, kerana orang lain menggunakan apa yang saya hasilkan bairpun tidak seberapa.

*****

Saya memerhatikan kereta Proton Saga itu. Ianya adalah Proton Saga baru.

Saya memandangnya dengan penuh kebanggan. Biarpun bukan kepunyaan saya, saya tahu siapa yang hasilkan kereta itu.

Penghasil kereta itu saya tahu adalah orang Malaysia sendiri. Biarpun enjinnya masih lagi berjenama bangsa penjajah, namun kebolehan menghasilkan kereta sendiri membuatkan saya bangga dan yakin.

Yakin bahawa genetik yang menghasilkan kereta itu adalah genetik yang sama yang mengalir di dalam darah saya.

Orang yang menghasilkan kereta itu adalah sebangsa dengan saya.

Melihat kereta itu, saya menjadi yakin bahawa jika ini adalah bukti bahawasanya genetik saya mampu menghasilkan sesuatu, maka saya yakin di masa hadapan saya juga mampu menghasilkan sesuatu.

Orang putih dan Jepun itu hanya gah pada nama. Kita juga mampu melakukan benda yang sama.

Namun disebabkan kualiti Proton yang terkenal dengan tahap kerendahannya, Proton disinonimkan dengan benda buruk dan tidak berkualiti. Maka kemudian orang memilih untuk membeli kereta asing. Ditambah pula dengan pengurusan Proton yang penuh korup, ianya semakin menjatuhkan nama Proton itu sendiri. 'Brand name'nya sudah tercalar teruk. Mungkin perlu 10 tahun untuk dicat baru. Itupun kalau pengurusannya lebih 10 tahun maju dari pengurusan syarikat kereta asing.

Saya tidak faham mengapa orang mengutuk Proton berlebih-lebih. Hanya tahu mengutuk semasa berlepak, dan bukan membantu membangunkan bersama-sama.

Mungkin, silapnya genetik bangsa saya adalah suka mengutuk hasil tangan sendiri. Tapi saya ragu-ragu jika orang yang mengutuk itu akan mengutuk hasil kerja tangan mereka sendiri. Mungkin kerana mereka tidak merasakan darah yang membuat Proton itu adalah darah mereka sendiri.

Mungkin mereka tidak tahu jika mereka terus membeli kereta Proton, ianya akan punya lebih duit untuk dilabur dalam kajian kualiti ataupun juga menghasilkan enjin sendiri.

Atau juga jika itu tidak berhasil, apa yang perlu adalah kita singkirkan semua pengurusan Proton 100% dan gantikan dengan 100% orang baru supaya kronisme dan korupsi itu tidak diwarisi. Seperti peristiwa Hiroshima dan Nagasaki di mana bom atom itu telah membunuh semua orang-orang tua kolot dan apa yang tinggal hanyalah orang muda yang berpemikiran baru dan tidak mewarisi pemikiran kolot.

Apa yang penting, saya masih lagi berbangga dengan Proton. Dan yakin, jika ada bahagian darah saya yang boleh menghasilkan kereta, darah saya juga akan menghasilkan sesuatu di masa hadapan.

Cuma saya berharap mentaliti orang Malaysia pada masa itu lebih bersifat membina bangsa sendiri.

Selamat Hari Kemerdekaan ke 53.